SYURGA dan neraka bukan hanya diyakini Muslimin, malah Yahudi dan Nasrani yang menganut agama samawi turut mempercayainya. Satu daripada rukun iman adalah percaya kepada hari akhirat, termasuk di dalamnya adalah beriman kepada syurga dan neraka.
Daripada Ubadah bin Samit, Rasulullah SAW bersabda,
"Sesiapa bersaksi tidak ada Ilah (yang berhak disembah) selain ALLAH, tidak ada sekutu baginya, dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya, Isa adalah hamba ALLAH dan utusanNya serta kalimatNya yang ALLAH titipkan kepada Maryam dan roh yang ALLAH ciptakan daripadaNya, dan bersaksi bahawa syurga itu benar dan neraka itu benar maka ALLAH akan memasukkannya ke dalam syurga betapa pun amal yang dilakukannya." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Keyakinan adanya syurga dan neraka adalah satu daripada cabang iman. Wajib kita meyakini ALLAH menciptakan syurga dan kenikmatan di dalamnya, dan syurga adalah tempat ALLAH memuliakan hamba yang mentaatinya. Juga meyakini ALLAH menciptakan neraka, tempat ALLAH menunjukkan siksaNya.
Sahabat Rasulullah SAW sangat memberi perhatian apabila Baginda membicarakan syurga dan neraka, kerana amat penting dalam hidup manusia untuk masuk syurga.
Tidak seperti keyakinan orang sufi yang mengatakan mereka beribadah tapi tidak menginginkan syurga. Padahal di akhirat nanti tidak ada tempat bagi manusia selain syurga atau neraka.
Mereka mengatakan sesiapa beribadah kerana menginginkan syurga, itu akan mencacatkan keikhlasan. Sedangkan ALLAH SWT memerintahkan hambaNya meminta syurga, bahkan malaikat dan Rasul serta orang yang dijamin syurga semua meminta syurga daripada ALLAH, dan mereka adalah seutama-utama wali ALLAH.
Nabi Ibrahim kekasih ALLAH berdoa,
"Jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mewarisi syurga yang penuh kenikmatan" (Surah Al-Syu'ara: 85).
Asiah isteri Firaun, calon ahli syurga, ketika diseksa dia berdoa seperti yang diceritakan,
"ALLAH membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang beriman, ketika dia berkata, "Ya Rabbku, binakanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di syurga" (Surah Al-Tahrim: 11).
Syurga sangat mahal
Rasulullah SAW juga banyak berdoa meminta syurga. Golongan Sahabat sangat termotivasi apabila Baginda AS menceritakan syurga dan kenikmatannya, sehingga amal soleh mereka meningkat. Mereka juga sangat takut apabila diceritakan neraka dan azabnya, sehingga mereka menjauhi segala yang dimurkai ALLAH.
Rasulullah SAW bersabda,
"Jika kamu meminta kepada ALLAH, mintalah Syurga Firdaus Al-A'la (yang tertinggi)." (Sahih Al-Bukhari)
Syurga ALLAH sangat mahal dan tidak dapat dibeli dengan amal ibadah. Rasulullah SAW mengatakan tidak ada seorang pun masuk syurga dengan amal ibadahnya, tidak juga Baginda SAW. Sebaliknya seseorang masuk syurga kerana kurnia dan rahmat ALLAH.
Kita tidak tahu dengan amal apa kita akan diberi rahmat ALLAH untuk masuk ke syurgaNya.
Apa yang pasti, tidak akan masuk syurga kecuali nafsun Muslimah iaitu jiwa yang bertauhid. ALLAH SWT memasukkan jiwa bertauhid ini ke syurga dengan sebab-sebab dan kita tidak tahu amal apa bakal terpilih menjadi ahlinya.
Diceritakan dalam riwayat sahih, ada yang masuk syurga kerana memberi minum anjing kehausan dan menyingkir pohon yang melintang di tengah jalan.
Janganlah kita pandang kecil pada satu kebaikan. Apa yang pasti, jagalah tauhid kerana itu adalah kunci ke syurga. Ini kerana ALLAH mengharamkan syurga kepada orang yang berbuat syirik.
Apa pun dosa yang dilakukan seseorang, maksiat daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, menjadi prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah yakni selama mana dosa itu tidak sampai kepada syirik, orang itu layak masuk syurga. ALLAH SWT berfirman:
"Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan orang yang menyekutukanNya, dan Dia mengampuni selain itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Nisa: 48)
Prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah bagi pelaku dosa besar selama tidak mensyirikkan ALLAH, mereka di akhirat kembali kepada kehendak ALLAH. Barangkali ALLAH mengampunkan dan memasukkan ke syurga dengan rahmat kurniaNya, dan barangkali ALLAH memasukkan ke neraka atas dosa-dosa yang mereka lakukan.
Namun akhirnya dengan kelebihan tauhid, akhirnya mereka akan masuk juga ke syurga, terselamat dari kekal dalam neraka seperti orang yang menyekutukan ALLAH.
Berbeza dengan prinsip kumpulan bidaah iaitu Khawarij dan Muktazilah, mereka melihat pelaku dosa besar ini sama seperti golongan musyrik yang kekal di neraka.
Berbeza dengan golongan murji'ah yang mengatakan dosa tidak menggugat keimanan, bahkan mereka mengatakan pelaku dosa adalah beriman dan layak terus masuk ke syurga.
Mereka menganggap iman dan amal tidak ada kaitan. Kedua-dua pegangan ini menyalahi al-Quran dan Sunnah.
Golongan selamat
Pada masa sama, ada golongan yang akan selamat dari neraka dan terus masuk ke syurga.
Rasulullah SAW bersabda,
"Diperlihatkan kepadaku umat terdahulu, dan aku melihat seorang Nabi bersama dengan pengikutnya, dan aku melihat seorang Nabi itu bersama seorang pengikut dan dua orang pengikut, dan aku melihat seorang Nabi itu tidak ada seorang pun pengikut, lalu diperlihatkan kepadaku di sebelah ufuk sebilangan manusia yang ramai, maka aku menyangka inilah umatku, diperkatakan kepadaku, ini adalah Nabi Musa bersama kaumnya.
Lalu diperlihatkan kepadaku sejumlah manusia yang lebih ramai di sebelah ufuk, dan diperkatakan kepadaku, ini adalah umatmu... Dalam kalangan mereka ada 70,000 orang yang akan terus masuk ke syurga tanpa dihisab.Mereka itu orang yang tidak meminta supaya diruqyah, tidak berubat dengan besi panas, dan tidak tathayyur (percaya kepada sial dan khurafat). Mereka ini bertawakal kepada Tuhan mereka." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Secara umumnya, ada umat Islam akan selamat dari neraka, mereka tidak akan singgah ke neraka kerana dosa-dosa mereka, sebaliknya akan terus ke syurga. Mereka adalah Al-Firqah Al-Najiyah (golongan yang selamat).
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya umat Bani Israil yang terdahulu terpecah kepada 72, dan umatku ini akan berpecah kepada 73 kumpulan, 72 daripadanya masuk neraka, hanya satu yang selamat. Ditanya kepada Baginda siapa mereka, Baginda menjawab Al-Jamaah.
Dalam riwayat Al-Tirmizi, Nabi menjelaskan Al-Jamaah adalah "apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya."
Untuk selamat dari neraka, pastikan kedudukan kita bertepatan dengan apa yang menjadi kedudukan Rasulullah SAW dan apa yang menjadi pegangan sahabat, atau disimpulkan sebagai Salaf Al-Soleh.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya" (Bukhari & Muslim). Rasulullah SAW berhenti di situ.
Dengan berpegang al-Quran dan sunnah, jangan jadi seperti rata-rata umat Islam yang berbeza-beza aliran dalam kefahaman akidah, praktik ibadah dan akhlak. Apabila ditanya apa pegangan mereka, mereka mengatakan al-Quran dan Sunnah.
Golongan Syiah yang melaknat sahabat pun mendakwa mereka berpegang dengan al-Quran dan sunnah.
Jadi apakah bezanya? Jawapannya adalah haruslah kita fahami al-Quran dan sunnah yang menepati apa yang menjadi pegangan, kefahaman, dan amalan golongan sahabat RA dan kefahaman Salaf Al-Soleh secara umumnya.
Semoga kita termasuk dalam golongan Al-Firqatun Najiyah, selamat dari masuk neraka dan akan terus masuk ke syurga.
* Oleh USTAZ IDRIS SULAIMAN, AHLI SYURA ILMUAN MALAYSIA, 10 Januari 2014
0 comments:
Post a Comment