Amalkan gaya hidup dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
MENCINTAI Nabi SAW tidak cukup sekadar dengan pengakuan semata-mata, sebaliknya hendaklah ia direalisasikan seperti apa disabdakan oleh Baginda,
"Tidaklah salah seorang kalian beriman sehingga aku lebih dia cintai daripada anaknya, ibu bapanya, dan seluruh manusia." (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Untuk kita membela agama yang dibawa oleh Nabi, kita hendaklah mencintai Baginda lebih daripada diri sendiri dan kecintaan itu hendaklah diterjemahkan dengan tindakan. Cinta seperti inilah yang mengisi hati sahabat Baginda SAW.
Cinta sejati
Abu Bakar Al-Siddiq RA berkata,
"Wahai Rasulullah, demi ALLAH sesungguhnya aku lebih mencintaimu daripada keluargaku. Sesungguhnya aku lebih mencintaimu daripada anakku. Ketika aku berada di rumah, aku teringat dirimu, aku tidak mampu sehingga aku datang bertemu denganmu lalu aku melihatmu.Namun ketika aku teringat kematianku dan kematianmu, aku mengetahui bila engkau masuk syurga engkau berada di kedudukan golongan Nabi, dan bila aku masuk syurga, aku tidak dapat melihatmu." (Riwayat Hasan, Al-Thabarani)
Nabi tidak menjawab sehingga turun ayat,
"Barang siapa mentaati ALLAH dan Rasul, maka mereka bersama orang yang telah diberi nikmat oleh ALLAH daripada kalangan para Nabi, siddiqin, syuhada, dan solehin." (Surah al-Nisa: 69)
Umar bin Al-Khatthab RA berkata,
"Dahulu aku mempunyai seorang jiran Ansar daripada Bani Umayyah bin Zaid, sebuah kabilah yang bermukim di dataran tinggi kota Madinah. Kami berdua bergilir-gilir mengunjungi Rasulullah SAW. Jika hari ini dia turun maka esoknya aku yang turun.
Selesai menemui Rasulullah SAW, aku khabarkan kepadanya apa yang disampaikan Rasulullah pada hari itu, baik berupa wahyu atau lainnya. Demikian juga halnya kalau dia yang turun, dia melakukan hal sama.
Sebagai lelaki Quraisy, kami orang yang memiliki penguasaan terhadap isteri-isteri kami. Tetapi setiba kami di Madinah, kami dapati orang Ansar adalah orang yang kalah oleh isteri-isteri mereka. Akibatnya isteri-isteri kami mula terpengaruh dengan tabiat wanita Ansar.
Pernah satu ketika aku membentak isteriku, tapi dia membantah. Aku jadi berang bila dia berani membantahku. Isteriku berkata, "Mengapa kamu marah atas sikapku, padahal isteri-isteri Nabi SAW juga membantah Baginda SAW? Bahkan ada antara mereka yang meninggalkan Baginda SAW seharian hingga malam."
Aku menyinsing pakaianku dan menuju rumah Hafsah. Setiba aku di rumahnya, aku berkata: "Wahai Hafsah, benarkah ada di antara kalian yang membuat Rasulullah SAW kesal seharian hingga malam?"
"Benar" jawabnya.
"Alangkah ruginya kamu. Apa kamu berasa aman daripada murka ALLAH setelah kamu membuat kesal RasulNya, hingga boleh jadi kamu celaka kerananya? Jangan meminta kepada Nabi SAW dan jangan sekali-kali membantah atau meninggalkannya. Mintalah kepadaku apa yang kamu inginkan dan jangan kamu terpengaruh madumu kerana dia lebih cantik dan lebih dicintai Rasulullah SAW".
Pada ketika itu warga Madinah sedang membicarakan Raja Ghassan sedang menyiapkan pasukan berkuda untuk menyerang Madinah. Ketika itu, tiba giliran jiranku orang Ansar itu untuk turun menemui Rasulullah SAW. Petangnya, dia mendatangiku dengan tergesa-gesa dan mengetuk pintu rumahku dengan kuat. Dia berkata, "Ada perkara besar yang baru terjadi!"
Aku bertanya, "Adakah pasukan Ghassan telah tiba?"
Jawabnya, "Jauh lebih besar dan lebih ngeri dari itu. Nabi SAW telah menceraikan isteri-isterinya!"
Aku bergumam, "Alangkah rugi si Hafsah kalau begitu."
(Riwayat Al-Bukhari)
Terlalu banyak lagi jika hendak diceritakan, tapi lihatlah bagaimana sikap golongan sahabat yang lebih mementingkan Rasulullah atas diri dan keluarga, sehingga bagi mereka, serangan pasukan Raja Ghassan lebih kecil jika dibanding apa yang terjadi dengan rumah tangga Nabi.
Abu Sufyan ra berkata,
"Aku tidak melihat seorang pun manusia yang mencintai manusia seperti kecintaan sahabat Muhammad kepada Muhammad." (Sirah Ibn Hisyam)
Cinta yang sejati lagi ikhlas terhadap Nabi akan terzahir dalam akhlak, amalan, tingkah laku dalam kehidupan, bahkan akan mendorong seseorang itu menolong agama yang dibawa oleh kekasihnya.
Bagaimana kita menolong agama yang dibawa oleh Nabi? Antaranya adalah dengan mengikuti, menyebarkan dan mempertahankan Sunnah Baginda.
Sesungguhnya syarat agar ALLAH mencintai seseorang hamba adalah dengan dia mengikuti Sunnah Nabi dan menjauhi bidaah. Ini sebagaimana firman ALLAH:
"Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya kamu mencintai ALLAH maka ikutilah aku nescaya ALLAH akan mencintai kamu." (Surah Ali Imran: 31)
Perayaan Maulid Nabi
ALLAH menetapkan syarat mengikuti Nabi SAW untuk ALLAH cinta kepada kita. Soal kita mencintai Nabi, itu tidak ada maknanya jika amalan kita menyelisihi amalan Nabi. Apa yang lebih penting adalah kita mengikuti ajaran Baginda, barulah ALLAH membalas cinta kita. Firman ALLAH:
"Barang siapa menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya dan mengikuti selain jalan orang-orang beriman (para sahabat), nescaya Kami biarkan dia dalam kesesatan yang dilakukan itu." (Surah An-Nisa': 115)
Alangkah mendalam erti cinta terhadap Nabi yang diperlihatkan oleh Imam Darul Hijrah yakni Imam Malik rahimahullah ketika beliau berkata,
"Barang siapa yang melakukan bidaah dalam Islam yang dia lihat baik, maka dia telah menuduh Nabi Muhammad SAW telah mengkhianati risalah, kerana ALLAH telah berfirman, "Pada hari ini telah aku sempurnakan untukmu agama kamu" (Surah al-Maidah: 3), maka apa yang bukan agama pada hari itu, tidak akan menjadi bahagian agama pada hari ini." (Riwayat Imam Al-Syatibi dalam Al-I'tisam)
Tidak ada ulama salaf yang merayakan Maulid Nabi. Perayaan Maulid Nabi baharu muncul pada abad ke-4 hijriyah di Mesir, dimulakan oleh kerajaan Syiah Fathimiyah Mesir secara besar-besaran.
Selama 400 tahun sejak hijrahnya Nabi SAW, golongan Muslimin tidak mengenal perayaan Maulid Nabi. Jadi Maulid Nabi adalah suatu hal yang baharu dalam agama, kerana tidak ada satu pun generasi awal umat Islam mengerjakannya.
Ada yang mengatakan tidak mengapa kita meniru hal itu kerana ia dilihat baik. Namun baik buruk dalam urusan agama ini tidaklah diukur dengan sangkaan dan rasa-rasa. Ini kerana sekiranya hal itu benar-benar adalah kebaikan, ketahuilah dengan pasti generasi awal Islam dalam kalangan sahabat Nabi SAW adalah orang pertama yang akan melakukannya.
Malah ulama berselisih pendapat tentang tarikh kelahiran Nabi SAW. Namun apa yang sahih adalah Rabiulawal juga merupakan tarikh kewafatan Baginda SAW. Jadi umat Islam harus ingat ada kebarangkalian orang yang bergembira merayakan tarikh itu sebenarnya sedang bersenang-senang dengan kewafatan Nabi.
Boleh jadi dia bergembira dengan lahirnya Nabi SAW, dan boleh jadi dia bergembira dengan wafatnya Nabi kerana Nabi SAW wafat pada tarikh itu. Hal ini tidak mustahil kerana perayaan ini sendiri dimulakan oleh golongan Syiah, di samping mereka turut merayakan hari kelahiran ahlul bait.
Adapun beberapa ulama terkemudian yang berpendapat bolehnya sambutan maulid, mereka sekadar membolehkan dalam bentuk mengingati, dan tetap melarang segala acara bidaah dan maksiat yang dilakukan di dalamnya seperti acara nyanyian, majlis yang bercampur lelaki dan perempuan, puji-pujian berlebihan ke atas Nabi dan sebagainya. Ini adalah hal yang diingkari.
Agama menyuruh kita mentaati al-Quran dan sunnah, dan Nabi memerintahkan kita menjauhi setiap perkara baharu dalam agama. Jadi jalan selamat adalah meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh generasi awal umat Islam dalam kalangan sahabat dan tabiin.
Rasulullah SAW bersabda:
"Jauhilah perkara-perkara baru (dalam urusan agama), kerana perkara baru adalah bidaah, dan setiap bidaah adalah kesesatan." (Sahih, Abu Daud)
Ketahuilah bahawa orang yang jujur mencintai Nabi adalah orang yang berbangga dengan akidah dan syariat yang dibawa oleh Nabinya. Sama sekali tidak ada keinginan dalam hatinya untuk meniru-niru selain amalan yang telah diajar oleh kekasihnya. Mereka menolong agama yang dibawa Nabi, berusaha mengetahui Sunnah Nabi dan mengajarkannya kepada keluarga dan orang lain.
Orang yang mencintai Nabi mengamalkan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang daripada sekecil-kecilnya hingga kepada sebesar-besarnya. Mereka tidak memandang remeh pada satu sunnah pun. Mereka meneladani akhlak terpuji Baginda.
Mereka tidak bersikap ghuluw (berlebihan) terhadap Baginda, tidak mengangkatnya lebih tinggi dari kedudukan yang sepatutnya, iaitu sebagai hamba dan utusan ALLAH.
* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014
0 comments:
Post a Comment