+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Friday, 10 January 2014

Bukan Bulan yang Bercahaya

1/10/2014 01:07:00 am

Share it Please
Matahari adalah sebuah bintang daripada berjuta-juta bintang yang membentuk galaksi alam semesta. Dalam sistem solar  mataharilah menjadi paksi kepada kisaran semua komet, asteroid, dan planet.
 
 
Kedudukan matahari dalam sistem solar amat penting terutama kepada manusia. Ia seperti nadi kehidupan kerana hampir kesemua jenis hidupan di bumi memerlukannya. Semua manusia semenjak zaman dahulu kala mengetahui bahawa matahari membekalkan cahaya dan tenaga kepada bumi. Matahari diibaratkan seperti sebuah lampu yang paling terang menyuluhi dan menerangi bumi. Maka tidak hairanlah manusia dahulu kala ada yang menjadikannya sebagai Tuhan untuk disembah.
Mengikut ilmu sains moden, matahari adalah sebuah bola gas yang sangat besar. Ia dibina hasil daripada gumpalan gas-gas yang amat panas. Tenaga yang muncul dari perut matahari hasil daripada proses tindakbalas bahan-bahan nuklear akan mencari jalan menuju permukaan matahari melalui jalan yang berliku-liku dan kemudian memancarkannya ke ruang angkasa. Jika tidak suhu matahari akan meningkat tinggi yang akan mengakibatkan matahari akan pecah.
Mengikut perkiraan ahli astronomi kuasa sinaran tenaga cahaya yang dikeluarkan oleh matahari menyamai 4 trilion trilion lampu yang mempunyai kuasa 100 watt!.
Ini membuktikan bahwa matahari tidak ubah seperti sebuah lampu yang membakar mengeluarkan cahaya dengan sendiri hasil daripada tindakbalas kimia pada sumbunya.
Sebaliknya bulan, walaupun kelihatan nampak bercahaya, tetapi sebetulnya cahaya itu bukanlah daripada dirinya sendiri.
Hakikatnya, bulan menerima cahaya daripada matahari, kemudian memantulkannya kembali ke bumi, sehingga mata melihatnya seperti bercahaya sendiri.
Ini adalah kerana bulan bukan terbina daripada gas-gas. Malah strukturnya terdiri daripada jasad pejal.
Ahli astronomi dan angkasawan yang menjejak kaki ke bulan mendapati bahawa permukaan bulan terdiri daripada batu batan dan debu-debu yang mengandungi berbagai jenis galian yang dinamakan sebagai regolith.
Material-material yang memenuhi permukaan bulan ini berupaya memantulkan cahaya matahari. Namun tidak semua cahaya matahari yang sampai ke bulan akan dipantulkan ke bumi. Jika ini berlaku sudah tentu bumi akan berada dalam keadaan terlalu panas. Oleh kerana keadaan bulan penuh dengan debu-debu maka ia boleh menyerap sebahagian daripada cahaya matahari.
Pakar-pakar astronomi mengatakan bahawa bulan hanya memantulkan sebanyak 7 % sahaja cahaya matahari yang menyuluhinya.
Berkenaan dengan dua fenomena yang berbeza ini, Al-Quran dalam surah Nuh, ayat ke-16, ketika menerangkan tentang penciptaan langit yang tujuh, menyifatkan matahari di langit sebagai sebuah siraaj (lampu atau pelita), manakala bulan sebagai nuur (cahaya). 
 
وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُوراً وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجاً
Dan Allah menciptakan padanya (langit yang tujuh) bulan sebagai cahaya ( نُوراً ) dan menjadikan matahari sebagai pelita (سِرَاجًا).
 
Penjelasan Al-Quran ini kelihatan membenarkan penemuan saintifik tentang hakikat cahaya yang ada pada matahari dan bulan.
Jika hakikat matahari sebagai pelita atau lampu  (سِرَاجًا) kurang jelas pengertiannya maka di dalam ayat yang lain Al-Quran menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan pelita atau lampu  (سِرَاجًا) itu. Penjelasannya terdapat di dalam surah  An Naba`, ayat ke-13: 
 
وَجَعَلْنَا سِرَاجاً وَهَّاجاً
Dan kami jadikan matahari yang bersifat wahhaaja (membakar).
 
Ayat ini memberitahu kita bahawa lampu yang dimaksudkan ialah lampu yang sifatnya membakar dan mengeluarkan cahaya berkedip-kedip (سِرَاجاً وَهَّاجاً). Kenyataan ini adalah satu gambaran bahawa matahari membakar dan sudah tentu mengeluarkan cahayanya dengan sendiri. Cahaya yang keluar daripada sesuatu yang sedang membakar sudah tentu pula akan menyilaukan mata.
Sebaliknya berkenaan dengan bulan tidak ada penjelasan pada ayat yang lain menunjukkan bahawa ia boleh membakar dan mengeluarkan cahaya dengan sendiri.
Sifat bulan diterangkan di dalam ayat yang lain hanya sebagai bulan yang menerangi dengan nurnya sebagaimana di dalam Surah Al-Furqan ayat 61:                                                                              
 
تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَاء بُرُوجاً وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجاً وَقَمَراً مُّنِيراً
Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj (سِرَاجاً) dan bulan yang bersifat muniir (مُنِيراً).
 
Sifat muniir dari segi bahasa lebih menunjukkan kepada "menzahirkan kecantikan" atau "kelihatan cantik" seperti pokok-pokok apabila mengeluarkan bunga dan manusia apabila wajahnya kelihatan berseri-seri. Dengan sebab itu wajah yang cantik akan diumpamakan seperti bulan yang menerangi. Sifat menerangi yang ada pada bulan tidak bermaksud menunjukkan proses penerbitan tenaga cahaya. Malah lebih kepada fungsi menerangi sesuatu menerusi keindahan cahayanya (nur).
Fakta ini jelas menunjukkan bahawa bulan tidak menghasilkan tenaga cahaya dengan sendiri malah kemungkinan sahaja cahayanya datang daripada sumber yang lain. Oleh itu penemuan sains moden tidaklah bercanggah dengan nas Al-Quran. Malah kelebihan Al-Quran ialah ia relevan di setiap zaman; relevan kepada setiap latarbelakang pendidikan manusia; relevan  untuk menjadi petunjuk bagi mereka yang mencari kebenaran.
 
 

* Oleh: Zaharudin Nawi

0 comments:

Post a Comment