+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Thursday 20 February 2014

Life, In All Its Beautiful Forms - الحياة ، بكل أشكال جميلة

No comments

Ulama UAE keluar fatwa larang tinggal di Marikh

Abu Dhabi, 20 Feb. - Pihak berkuasa pentadbiran Islam Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan fatwa melarang umat Islam menjadi sukarelawan untuk menjalani misi hidup di planet Marikh.
 
Majlis fatwa yang diketuai Profesor Dr Farooq Hamada itu menentang misi rancangan menjelajah ruang angkasa yang dinamakan Mars One. Misi yang kali pertama diusulkan Belanda itu bertujuan untuk menempatkan manusia secara kekal di Marikh menjelang 2023.
"Terdapat kemungkinan individu yang membuat perjalanan ke Marikh tidak dapat bertahan untuk hidup di sana dan lebih terbuka kepada kematian," kata majlis fatwa UAE sebagaimana dipetik oleh World Bulletin. Golongan ulama di negara Arab itu berpendapat individu yang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan ke Marikh sama saja seperti mereka untuk ingin membunuh diri.
 
Mereka berkata, tiada alasan kukuh yang membolehkan umat Islam menyertai misi itu.
 
Terdapat laporan yang menyatakan ramai umat Islam menawarkan diri untuk menyertai misi Mars One. Daripada beribu-ribu calon yang mendaftar di seluruh dunia, 500 dikatakan datang dari dunia Arab. - Agensi
No comments

PPIM : Kenapa mufti pun pakai sutera?

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar bersuara tentang hukum pemakaian batik sutera tulen di kalangan lelaki.

"Yang pakai pula bukan tak ada ilmu agama, tok-tok mufti pun pakai," kata Aktivis PPIM, Sheikh Abd Kareem S Khadaied yang enggan menamakan mufti yang dimaksudkan atas alasan enggan mengaibkan orang lain.
 
Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan pernah memutuskan haram baju sutera untuk lelaki tetapi ia didakwa tidak diendahkan, termasuk mufti sendiri.
 
"Ada perbincangan majlis fatwa yang mengesahkan ia haram untuk baju tetapi tali leher sutera boleh... dari segi hukum (ia) jelas.
 
"Saya mula buat kenyataan media (tentang perkara ini) pada tahun 1996 dan saya mula maklumkan Jakim pada tahun 1997.
 
"Saya telah beritahu ketua pengarah Jakim sendiri, " katanya dalam sidang media pagi tadi.
 
"Kita terpanggil untuk buat sidang akhbar ini kerana kita nampak para alim ulama dan ada antara mereka yg pakai dan sembahyang dengannya.
 
"Ada juga yang menyatakan kain ini tak mungkin sutera kerana kalau ia sutera ia mahal," tambahnya.
 
Menurutnya lagi, sidang media hari ini juga diadakan kerana beliau mahu masyarakat sedar bahawa batik sutera lelaki yang selama ini disangkakan sutera campuran, kebanyakannya adalah sutera tulen.
 
"Soalannya ramai orang tak tahu, batik sutera itu sutera tulen, ramai orang percaya ia bukan sutera tulen.
 
"Jadi kita di sini nak mengatakan ia sutera tulen.
 
"Kita nak maklum pada masyarakat supaya masyarakat sedar," katanya.
 
Selain itu, beliau turut menggesa Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia mencari kain alternatif untuk mengganti sutera tulen yang digunakan untuk melukis batik lelaki.
 
"(Kedua) kita cadang supaya Perbadanan Kraftangan wujudkan alternatif kain.
 
"Ketiga, kita minta supaya ada labelling (pelabelan), "Ini seratus peratus sutera" supaya masyarakat tahu," katanya.
 
"Saya ahli dalam kain"
Beliau yang sebelum ini aktif dalam industri batik dan turut mereka corak batik, telah bersara daripada perniagaan batiknya yang menggunakan jenama 'Khadani' dua tahun lalu.
 
Namun kini beliau tetap masih aktif sebagai anggota Majlis Batik Dunia.
 
"Dulu masa saya masih lagi dalam industri kita akan kata ini sutera tulen, tapi dia (pembeli) nak beli juga.
 
"Kita susah juga nak kata kita tak mahu jual pada dia, dia orang Islam," katanya yang turut mengadakan demonstrasi membakar sutera bagi mengenal pasti ketulenan sutera. - MalaysiaKini
No comments

Cinta Islamik sebelum nikah

Hindari daripada sikap mengislamikkan cinta sebelum nikah sehingga menghalalkan aktiviti yang dilarang dalam Islam. - Gambar hiasan
 
BUDAYA mengislamkan cinta sebelum nikah; lalu menghalalkan chatting, bergayut, couple, dating antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dimulakan dengan salam, diakhiri dengan salam, ada pula yang berchatting dalam bahasa Arab agar kelihatan betapa islamiknya cinta mereka.
 
Hal ini cukup bahaya kerana ia mengandungi racun yang tersembunyi.
 
Ini bukan cinta Islam sebaliknya adalah cinta dorongan hawa nafsu dan bisikan-bisikan syaitan. Secara tegas, perhubungan antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin sama ada bercouple, dating, berSMS, berWhatsApp, atau cara tradisional dengan telefon, hal ini adalah bercanggah dengan syariat Islam. Maka ia adalah haram kerana ia  bertaklid kepada budaya orang kafir.
 
Perbuatan ini dilakukan akibat kejahilan dan ambil mudah terhadap hukum-hakam syarak di samping sikap ibu bapa yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka mendidik serta mentarbiah anak dengan ajaran Islam.
 
Walhal syariat Islam secara jelas mewajibkan ke atas ibu bapa secara khasnya supaya mentarbiah anak sebaik-baiknya dan memberikan pemahaman terhadap hukum-hakam Islam secara umumnya. Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap kamu bertanggungjawab dan setiap kamu akan disoal atas orang yang di bawah tanggungannya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
 
Mukadimah zina
Syariat Islam secara tegas melarang yakni mengharamkan segala perbuatan yang menghala kepada perzinaan. Firman ALLAH SWT,
"Dan jangan kamu dekati zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan yang keji dan jalan yang membawa kerosakan." (Surah Al-Isra': 32)
Dalam ayat agung ini menunjukkan bukan zina itu sahaja yang dilarang, tetapi segala jalan, perbuatan yang membawa kepada zina itu. Syarak menitikberatkan semua aspek ini. Di samping diharamkan zina, syarak turut mengharamkan segala jalan yang boleh membawa kepadanya.
 
ALLAH berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kemaluannya" (Surah An Nur: 30).
Menundukkan pandangan adalah menjaga pandangan daripada melihat benda haram dan menjaga kemaluan.
 
Ditegaskan juga kewajipan menundukkan pandangan ini bukan ke atas lelaki sahaja, bahkan ke atas wanita juga. ALLAH berfirman:
"Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka." (Surah Al-Nur: 31)
Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Telah ditakdirkan atas setiap anak Adam bahagiannya daripada zina, tidak ada yang dapat menghalangnya. Kedua mata zinanya adalah melihat. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lidah zinanya adalah bercakap.
 
Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki zinanya adalah berjalan. Dan hati itu bergolak serta berkeinginan, dan kemaluan itu akan membenarkannya atau mendustakannya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Ini menunjukkan zina boleh terjadi pada seluruh anggota. Ini adalah mukadimah, dan kemaluan itu membenarkannya atau menafikannya. Itu adalah kemuncaknya, iaitu persetubuhan haram itu sendiri.
 
Ini dapat difahami sebagai Sunnatullah Al-Kauniyyah; ketetapan takdir pasti terjadi di mana setiap manusia tak dapat menyelamatkan anggota badannya daripada zina. 
 
Bagaimanapun, di samping Sunnatullah Al-Kauniyyah, ada pula Sunnatullah Al-Syar'iyyah; iaitu ketetapan syarak. Harus dibezakan keduanya. Ketetapan takdir mengatakan hal itu pasti terjadi; anggota itu pasti terkena zina. Tetapi pada masa sama, ketetapan syarak menegah kita dari melakukannya.
 
Mukadimah zina ini semua perlu dihindari. Daripada Umar bin Al-Khattab RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiga adalah syaitan." (Riwayat Ahmad, Tirmizi & Hakim( Sahih))
Apa yang dilakukan oleh syaitan? Tidak lain dan tidak bukan, syaitan akan terus membisikkan dan menyemarakkan lagi api perzinaan itu, supaya diteruskan sehingga sampai kepada kemuncak zina itu, wal-'iyyadzu billah (kita meminta perlindungan daripada ALLAH).
 
Oleh itu, kita perlu betulkan persepsi, jangan ingat zina itu persetubuhan haram sahaja. Tidak. Mukadimah ini termasuk zina. Pepatah Arab mengatakan, "Zina itu pandangan, lalu senyuman, lalu salam, lalu berbual-bual, lalu pertemuan."
 
Pertemuan adalah babak terakhir sebelum perzinaan. Kita semua setuju zina adalah seburuk-buruk perkara dan kita tidak mahu terjatuh dalam kancah perzinaan itu.
 
Jadi kita kena menjaga batas pergaulan dan menjauhi mukadimah. Ini kerana khuatir tidak semena-mena tanpa kita sedar telah sampai ke penghujung babak perzinaan itu, dan bila sampai ke tahap itu, mungkin tidak ada yang dapat menghalangnya lagi.
 
Segera kahwinkan anak
Ibu bapa perlu mengambil perhatian keutamaan dikahwinkan anak itu dengan segera. Ini amalan salaf terdahulu, yang mana pada zaman ini seakan-akan diabaikan.
 
Dewasa ini, keutamaan diberikan kepada perkara duniawi, manakala kewajipan berkahwin itu dikesampingkan. Inilah yang menjadi punca budaya couple dan dating.
 
Rasulullah SAW bersabda:
"Wahai pemuda, barang siapa yang memiliki kemampuan, hendaklah dia berkahwin. Kerana ia akan mampu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu akan bisa menundukkan nafsu syahwatnya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Sekiranya ibu bapa melambatkan perkahwinan anak, dikhuatiri jatuh dalam kancah zina. Jadi hendaklah diambil langkah pencegahan sebagaimana disebut Nabi Muhammad SAW iaitu kahwinkan anak itu kerana ia akan menundukkan pandangannya serta menjaga kemaluannya.
 
Alhamdulillah, masyarakat Islam terutamanya masih mengambil berat keutamaan berkahwin, berbeza dengan Barat yang sudah teruk mereka melihat perkahwinan itu suatu yang membebankan, menyusahkan, bahkan merugikan. Kerana itu mereka memilih untuk tidak berkahwin dan tidak membudayakan perkahwinan, sebaliknya mereka panggil budaya partner.
 
Ini realiti dan jelas meruntuhkan sistem kekeluargaan, kerana kekeluargaan adalah asas dalam kekuatan sesebuah masyarakat. Apabila asas kekeluargaan itu sudah runtuh, maka percayalah masyarakat itu secara automatiknya akan porak-peranda dan hancur.
 
Masyarakat kita semua setuju keutamaan berkahwin, cuma masalahnya ialah cepat atau lambat. Pada zaman sekarang perkahwinan itu dilambat-lambatkan, bukan saja lelaki tetapi juga wanita.
 
Di usia 25-30 tahun, mereka  masih tidak berkahwin.
 
Ini adalah permulaan kepada satu malapetaka. Akibatnya, mereka memilih untuk berdating, bercouple, malah ada yang sudah bertunang tetapi bertahun-tahun lamanya.
 
Apa faedahnya? Ini bukan faedah tetapi mencari bala.
 
Satu hal yang perlu diingat adalah kesudahan yang baik datang daripada permulaan yang baik. Kalau sesuatu itu dimulakan dengan cara yang sebetulnya, insya-Allah kita akan dapat hasil yang diinginkan.
 
Sebaliknya kalau permulaan dan persediaan tidak mengikut cara yang betul, bagaimana kita mengharapkan natijah yang baik?
 
Maka begitulah dalam kekeluargaan, kalau mengimpikan sebuah keluarga yang baik, anak yang soleh, hendaklah perkahwinan dan perhubungan dengan bakal pasangan itu dimulakan dengan cara yang baik.
 
Adapun couple, dating, dan seumpamanya adalah cara yang tidak baik dan akhirnya boleh mengakibatkan kerosakan.
 
Berapa ramai emulakan perkahwinan mereka apabila sudah terlanjur? Berapa ramai memulakan perkahwinan apabila sudah ada anak di luar nikah? Bagaimana kehidupan mereka selepas itu?
 
Tentu akan ada kesan sejarah hitam di dalam keluarga mereka. Maka sebuah institusi keluarga itu perlu dimulakan dengan mengikut telunjuk syarak. Insya-ALLAH kita mendapat hasilnya seperti yang diinginkan.
 
 
 

* Oleh Ustaz Idris Sulaiman, Ahli Syura Ilmuwan Malaysia (ILMU), Sinar Harian, 14 Februari 2014
No comments

Monday 17 February 2014

Kebaikan mungkin bawa ke neraka

Kebaikan adalah perbuatan murni yang disukai ALLAH. - Gambar hiasan
 
DOSA membawa insan ke neraka. Perbuatan baik pula membawa insan ke syurga. Itulah hasil yang sepatutnya. Dosa adalah perbuatan salah yang dimurkai ALLAH SWT. Kebaikan adalah perbuatan baik yang disukai ALLAH.
 
Pun begitu dalam kehidupan insan tidak mustahil untuk dosa menyebabkan seseorang itu mendampingi ALLAH sehingga membawanya ke syurga. Juga tidak mustahil kebaikan membuatkan seseorang melupai ALLAH sehingga membawa pengamalnya ke neraka.
 
UJUB
Ujub atau kagum dengan diri sendiri adalah penyakit rohani yang kronik. Dalam kalangan manusia, ada yang merasa sombong dengan amalan agamanya sehingga melihat orang lain hina di sisi ALLAH dibandingkan dirinya. Dengan kesombongan itu dia meminta orang mencium tangannya atau meminum bekasnya ataupun mengambil syafaat darinya. Jika itu perkara berlaku
 
tanpa permintaannya, tidak mengapa. Tidak dinafikan pun keberkatan ALLAH yang diturunkan untuk orang-orang soleh. Namun apabila ada manusia berasa merekalah merupakan orang soleh yang diturunkan keberkatan itu, bagai sudah pasti ahli syurga sementara orang lain adalah pendosa yang memerlukan syafaat mereka untuk ke syurga, maka itu adalah tanda ujub, sombong dan riyak. Ia mengheret ramai yang bersolek dengan solekan agama ke neraka.
 
Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Tiga pembinasa; iaitu: kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti dan kekaguman seseorang dengan dirinya sendiri" (Riwayat al-Bazzar, al-Tabarani, al-'Uqaili dll. Hadis berstatus hasan)
 
DOSA KE SYURGA?
Jangan hairan bahawa jika nanti di akhirat ada dalam kalangan mereka yang kelihatan pernah melakukan dosa di dunia ini menuju ke syurga. Bagaimana?
 
Ya, terdapat insan yang apabila dia melakukan dosa, dia tersangat menyesal. Dia bertaubat dan sentiasa merasa hina diri di hadapan ALLAH Yang Maha Agung. Terasa kesalahan itu mengikuti setiap langkahnya. Malu kepada ALLAH meliputi perasaannya. Segala ibadah yang dia lakukan dirasakan kerdil dan kecil. Dia bertungkus lumus membaiki diri lebih dari keadaannya sebelum terjatuh ke dalam dosa tersebut.
 
Timbul rasa tawaduk dalam jiwanya. Apabila dia melihat orang lain dia merasa betapa mereka lebih mulia daripadanya di sisi ALLAH kerana dia seorang yang berdosa. Segala kesombongan dalaman jiwanya dikikis apabila dia mengenangkan dosa-dosanya itu. Mungkin orang lain tidak tahu tentang dosanya, namun dia sendiri tahu dan ALLAH Maha Mengetahui. Betapa dia bersyukur kerana ALLAH menutupkan keaibannya, ataupun memberikan ruang untuk dia terus hidup sekalipun dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Maka kalau demikianlah keadaan, dosa-dosanya itu membawanya ke syurga dengan izin ALLAH.
 
Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Miftah Dar al-Sa'adah: " Antaranya, bahawa sesungguhnya ALLAH apabila mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hamba-Nya, Dia jadikan hamba itu lupa gambaran ketaatan yang telah dia lakukan.
 
Diangkat itu semua dari jantung hati dan lidahnya (tidak membangkit-bangkitkannya). Apabila dia diuji dengan dosa, ALLAH jadikan dosa itu memenuhi  ruang matanya, dia lupa segala amalan baiknya dan dia jadikan segala ingatan dukanya terhadap dosanya. Sentiasa dosanya itu berada di hadapannya, semasa dia berdiri, duduk ataupun berjalan. Maka inilah sumber rahmat pada dirinya. Ini seperti kata sebahagian Salaf Soleh:
 
"Sesungguhnya ada hamba ALLAH melakukan dosa, lantas dengan dosa itu dia masuk syurga. Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka". Bagaimana demikian? Sebabnya, dia melakukan dosa lalu sentiasa dosa itu memenuhi matanya, setiap kali dia ingat dia akan menangis, menyesal, beristighfar, merendah diri kepada ALLAH, kembali kepada-Nya, merasa hina dan pasrah. Lantas dia beramal dengan amalan-amalan soleh maka itu menjadi sebab kerahmatan untuk dirinya" (1/445-446. Beirut: Muassasah Fuaad).
PAHALA KE NERAKA?
Kebaikan sepatutnya membawa ke syurga. Namun jika pengamal kebaikan itu menjadi riak, sombong, takjub dengan dirinya sendiri sehingga merasa dia tiada cacat di hadapan ALLAH. Hilang dari jiwanya perasaan tawaduk, kerendahan diri sebagai hamba dan seakan pasti dirinya ke syurga. Di tambah lagi, dia memandang lekeh kepada orang lain. Orang lain bagaikan pendosa, dialah bagaikan sumber pahala. Ini merupakan musibah terhadap kerohaniannya. Ini telah menimpa ramai golongan yang berpakaian agama sehingga mereka bagaikan penentu siapa ke syurga dan siapa ke neraka. Berjalan dengan sombong sambil menghulur tangan untuk dicium oleh orang lain dengan bangganya.
 
Inilah yang dinukil oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah tadi: "Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka".
 
Ibn Qayyim menjelaskan maksud hal ini dengan menyebut: "Dia beramal dengan kebaikan lalu sentiasa fikirannya mengungkit, mengingat dan menghitung-hitung kebaikan itu terhadap tuhannya dan manusia. Dia takbur dengannya, dia merasa pelik jika orang tidak mengagungkan, memuliakan dan membesarkan kebaikannya. Sentiasalah keadaannya begitu sehingga bertambah kuasa pengaruh perasaan itu lalu ia memasukkannya ke dalam neraka.
 
Tanda kebahagiaan itu apabila kebaikan-kebaikan seseorang hamba ALLAH itu berada di belakangnya (dia tidak mengingatinya) sementara kejahatan-kejahatannya pula berada dalam ruangan matanya (mengingatinya). Tanda kecelakaan pula apabila hamba itu menjadikan kebaikan-kebaikannya memenuhi ruang matanya sementara kejahatan-kejahatannya berada di belakangnya (dia melupainya)" (ibid, 1/446).
 
PAKAIAN AGAMA
Maka janganlah kita sangka semua yang berpakaian agama itu akan ke syurga. Tidak mustahil lenggangan jubah, rida, serban dan segala lambing-lambang agama yang dipakai dengan kesombongan sehingga merasa dirinya lebih baik dan sempurna di banding orang lain, itu semua hanya mengheret pengamalnya ke dalam neraka.
 
Ibn Ataillah dalam hikamnya menyebut: "Boleh jadi ALLAH membuka untukmu pintu ketaatan tapi tidak dibuka pintu penerimaan amalan. Boleh jadi ditakdirkan untukmu maksiat maka itu menjadi sebab jalan sampai kepada ALLAH. Maksiat yang menyebabkan seseorang rendah diri dan pasrah lebih baik daripada ketaatan yang membawa kepada ujub dan takabbur".
 
Apatah lagi mereka yang ujub dan sombong dengan keturunan seperti yang mendakwa dirinya dari keturunan Nabi SAW ataupun wali ataupun ulama sehingga dia memandang lekeh kepada orang lain. Ini sama dengan slogan Iblis ketika membantah ALLAH:
"Aku lebih baik daripadanya (Adam), aku diciptakan dari api sedangkan dia diciptakan dari tanah." (Surah al-A'raf: 12)


* Oleh Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Minda Tajdid, 13 Februari 2014
No comments

Sunday 16 February 2014

UAE buka masjid pintar

Dubai, 15 Feb. - Emiriah Arab Bersatu (UAE) akhirnya membuka masjid pintar pertamanya di sini Ahad lalu. Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan (DIACA) melancarkan Masjid Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Jumeirah 3, menggunakan kod teknologi Maklum Balas Pantas (QR) yang menawarkan akses digital masjid.
 
Masjid ini kini dilengkapi teknologi kod QR yang pertama dipasang di bangunan kerajaan dan adalah sebahagian daripada fasa pertama pembangunan masjid pintar, termasuk sembilan lagi masjid yang akan mengikut jejaknya akhir tahun ini, demikian menurut satu laporan Khaleej Times.
Melalui teknologi kod QR, orang ramai boleh mendapatkan maklumat umum mengenai masjid - sejarahnya, kapasiti, alam semula jadi, kawasan, aturan masa solat, ceramah atau kursus-kursus yang ditawarkan masjid juga maklumat mengenai khutbah Jumaat sepanjang masa.
 
Langkah ini adalah selaras dengan inisiatif Kerajaan Pintar yang diumumkan oleh Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Raja Dubai, pada Mei 2013.
 
Dr Hamad Al Shaibani, Ketua Pengarah DIACA, berkata, perkhidmatan interaktif yang terdapat di sini boleh diakses melalui telefon pintar dan tablet setiap masa.
 
"Kami menggunakan teknologi kod QR untuk mengenal pasti semua masjid di UAE bagi membantu membangunkan dan menambah nilai kepadanya. Ia memberikan perkhidmatan elektronik yang lebih mudah dan senang diakses.
 
"Untuk memberi komen mengenai perkhidmatan pintar yang ada, orang ramai boleh menghubungi (04-6087844), menyebut nama dan kod masjid iaitu 74, "katanya.
 
Ketua seksyen IT di DIACA, Nassir Mubarak berkata projek masjid pintar adalah saluran baru untuk komunikasi yang lebih baik dengan orang ramai. Orang ramai juga boleh menghantar cadangan mereka, pendapat, maklum balas, aduan atau laporan jika berlaku pincang fungsi melalui inisiatif masjid pintar.
 
"Derma Elektronik - di bawah pembangunan, juga boleh didapati, bersama-sama dengan lebih banyak perkhidmatan pada masa depan."
 
Kod QR adalah tanda nama niaga untuk dua sistem kod bar dimensi yang pada asalnya dicipta pada 1994 oleh Denso Wave, anak syarikat Toyota. Ia adalah satu cara untuk mengesan kenderaan yang dipasang di suatu tempat dan untuk mengimbas komponen pada kelajuan tinggi. Kod QR sudah lama berkembang kegunaannya di luar industri automotif. Ia digunakan secara meluas pada hari ini dalam pelbagai sektor seperti pengesanan inventori, perkapalan dan logistik serta tiket dalam talian.
 
"Kod teknologi QR membolehkan pengunjung masjid untuk mengakses laman web khas masjid dengan mengimbas kod bar dengan telefon pintar atau tablet yang secara automatik dilengkapi dengan teknologi ini. Aplikasi kod QR ini juga boleh dimuat turun dengan mudah di kedai-kedai dalam talian berkaitan." – Agensi
No comments

Majlis Fatwa : Melabur dalam ASB, ASN 'harus'

KUALA LUMPUR, 16 Feb. - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menegaskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah 'harus'.
   
Ini termasuk dividen atau bonus yang diterima menerusi kedua-dua skim pelaburan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin dalam satu kenyataan semalam.
   
Menurut Abd Shukor, Jawatankuasa Fatwa amat kesal kerana terdapat pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan keraguan dengan memuat naik surat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menyatakan skim tersebut sebagai tidak patuh Syariah.
   
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) mengenai hukum melabur dalam ASB dan ASN yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
   
Tahun lepas, Comango menghantar laporan mengenai pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia untuk diteliti dalam Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland.
   
Antara tuntutan lain ialah menuntut hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.   
   
Status melabur dalam ASN dan ASB yang juga dibangkitkan oleh beberapa penceramah di laman-laman sosial, turut menimbulkan keresahan kepada masyarakat awam.
   
"Isu pelaburan ini merupakan perkara ijtihadi, yang sememangnya akan mengundang polemik dan perdebatan jika semua pihak yang mendakwa sebagai pakar mahu menegakkan pandangan masing-masing tanpa menghiraukan peranan pihak yang diberi autoriti dalam menentukan hukum.
   
"Sewajarnya mereka yang melabelkan diri sebagai intelektual Islam ini memahami isu ini secara menyeluruh dan hak-hak Ulil Amri kerana akibat daripada sikap mereka yang gemar dan sengaja mempertikaikan hukum yang telah dibuat, telah menimbulkan keresahan yang meruncing dalam kalangan umat Islam," katanya.
 
Abd Shukor menyifatkan tindakan itu hanya akan merugikan umat Islam sendiri.
   
Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan supaya provokasi yang melibatkan hukum hakam dihentikan supaya tidak mengundang kekeliruan. - Bernama
No comments

Thursday 13 February 2014

Isteri pun boleh bohong suami

KEPADA suami, pernahkah anda dibohongi isteri? Isteri pula, pernahkah anda membohongi suami?
 
Saya tidak mengharap jawapan untuk soalan itu kerana pernah atau tidak pernah, sedar atau tidak, jawapan hanya ada pada diri anda sendiri. Cuma apa yang saya boleh katakan, tidak salah bagi isteri berbohong kepada suami, bergantung pada bagaimana dan apa tujuan pembohongan itu!
  
Mungkin ada yang masih ingat, tidak lama dahulu saya pernah menulis bahawa tidak dianggap salah bagi seseorang suami membohongi isterinya, juga bergantung pada bagaimana dan apa tujuan pembohongan itu.
  
Justeru, apa yang saya tulis ini adalah untuk menjelaskan bahawa sebenarnya keharusan untuk berbohong itu sama ada suami kepada isteri atau isteri kepada suami hukumnya sama selagi berada dalam ruang lingkup syarat-syarat yang diharuskan.
 
Saya nak bagi contoh, perut saya adalah seumpama tembikai masak dari ladang yang paling subur. Sudah sekian lama, apabila saya minta komen isteri mengenai 'tembikai masak' saya ini, dia kata "ok saja!"
 
Apabila saya merungut, dia menyabarkan saya. Ini meyakinkan saya bahawa dia memang tidak kisah. Lama kelamaan, saya pun ikut tidak kisah. Sebagai suami yang baik, keutamaan saya sudah tentu kepada isteri. Saya bertanggungjawab untuk jaga pandangannya terhadap saya. Apa yang dia tidak suka, saya perlu elak termasuklah dalam hal imej dan penampilan.
  
Jadi apabila dia kata 'ok' atau 'tak kisah' saya pun jadi tidak kisah. Makan minum bak kata orang, 'membujur lalu, melintang patah'.
 
Tiba-tiba beberapa hari lepas, di luar pengetahuan saya, isteri beli secara online tali pinggang menggunakan kuasa bateri yang gunanya untuk membakar dan memecahkan lemak pada 'tembikai masak' saya.
  
Ketika tali pinggang itu dihantar, hanya saya yang berada di rumah dan terkejut juga saya apabila ianya adalah untuk saya sedangkan bukan saya yang memesan tali pinggang itu. Dan lebih terkejut lagi apabila kotaknya dibuka, saya tengok rupa tali pinggang itu seakan yang selalu dibawa Stone Cold dan Tripple H dengan gambar lelaki perut berketak.
   
Setelah membelek itu ini, barulah saya faham apa yang selama ini dikata ok oleh isteri mengenai 'tembikai masak' saya sebenarnya tidak ok. Niat dan tujuannya untuk menjaga hati saya supaya tidak tersinggung!
 
Memang dalam kebanyakan keadaan, kita suami isteri perlu berterus terang. Tetapi bayangkan kalau kita bersikap terlalu jumud dan langsung tidak ada keanjalan dalam komunikasi, bagaimana perasaan pasangan?
  
Hakikatnya, kita adalah manusia yang punya hati dan perasaan. Ada ketika kita boleh terima kenyataan berterus terang orang lain, dan ada masanya juga kita akan tersinggung meskipun apa yang dikata itu betul.
 
Dalam konteks saya dengan isteri, sudah tentu sukar bagi saya untuk terima malah mungkin saya akan merajuk tidak makan nasi berhari-hari jika dia menjawab begini: "Betullah, memang perut abang tu boroi, macam orang mengandung 12 bulan. Buruk la.. Eeee, tak suka la tengok!!!"
 
Lalu apabila dia guna strategi dengan membelikan saya tali pinggang Stone Cold itu, saya terima malah saya teramat faham mesej yang cuba disampaikannya bahawa dia memang tidak suka 'tembikai masak' saya. Maka saya pun terima hadiah itu dengan senang hati dan memakainya setiap hari. Sekarang saya hanya tunggu masa untuk dipanggil 'abang ketak'!
  
Berbalik kepada soal bohong yang diharuskan, hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ummu Kalsum RA bahawa berbohong diharuskan dalam tiga keadaan iaitu ketika berperang, mendamaikan dua pihak yang bermusuhan dan juga antara suami isteri untuk menjaga hati ataupun menggembirakan hati satu sama lain sekali gus memantapkan lagi kebahagiaan rumah tangga.
  
Seorang ustaz memberitahu saya, pembohongan seperti ini disebut kazbul beidh atau white lie kata orang putih. Istilah orang kita, bohong sunat tetapi saya tidak suka istilah itu kerana sunat dikaitkan dengan Rasulullah SAW sedangkan Nabi sifatnya siddiq, tidak pernah berbohong. Wallahua'lam.
 
 
 

* Oleh MUHAMAD MAT YAKIM, Sinar Harian, 14 Februari 2014
No comments

Kebahagian Seorang Suami

Seoarang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan, kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.
 
Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.
 
Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan ta'ziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan  mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.
Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata: " semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan ta'ziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini."
 
Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..
 
Si suami meneruskan kata-katanya: " Demi Allah yang tiada AIlah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.
 
Maha Suci Allah Ta'ala, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana ia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi (salla 'Llahu 'alayhi wa aalihi wa sallam);
 
"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redho kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."
 
Tatkala akan meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata: "Wahai Allah, Aku sesungguhnya redho kepadanya, maka redhoilah ia." Ku ulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku.
 
Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang ku rasakan ini.
 
Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan ta'ziah kepada ku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redho kepadanya.. Semoga Allah Ta'ala menerima isteriku dengan keredhoan-Nya. "
 

Masyaallah…alangkah bahagianya mendapat keredhaan suami macam nie… adakah kita mampu lakukan seperti yang dilakukan terhadap suaminya sehingga pemergiannya diredhai dan membahgiakan suaminya…. kebanyakkan sekarang nie ramai gak suami2 yg redha dan bahagia jika isteri mereka meninggal dunia. tetapi bahagia kerana boleh kawin lagi… hehehee
 
 
No comments

Cara-Cara Mandi Wajib/Junub Dengan Betul Dan Sempurna

Mandi wajib ini perlu dipandang serius kerana ini bukanlah sesuatu perkara yang patut dipandang remeh. Mandi wajib yang sah sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam terutama remaja yang baru baligh, perempuan yang datang haid, lelaki yang keluar air mani, wanita yang keluar darah nifas, suami isteri yang bersetubuh (jimak) dan sebagainya. Mandi wajib hendaklah dikerjakan menggunakan menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan, dan tidak sah jika menggunakan air yang bukannya air mutlak.
 
 
Cara-Cara Mandi Wajib/Junub Dengan Betul Dan Sempurna sekiranya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Berdasarkan hadis dari Aisyah ra.,
"Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), beliau membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya. Lantas berwuduk sebagaimana berwuduk untuk solat. Lalu beliau mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga beliau menganggap telah cukup, beliau tuangkan ke atas kepalanya sebanyak 3 kali tuangan. Setelah itu beliau guyur seluruh badannya. Kemudian beliau basuh kedua kakinya" (HR. Al Bukhari dan Muslim)
 
Sebab Perlu Mandi Wajib
Setiap apa yang terjadi mesti ada sebabnya. Begitu juga dengan mandi wajib ini, mandi wajib bukanlah kena buat selalu tetapi ada sebab yang memaksa kita untuk melakukannya.
  1. Bertemu dia khitan atau bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).
  2. Keluar mani walaupun sedikit.
  3. Mati melainkan mati syahid.
  4. Keluar haid bagi perempuan.
  5. Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).
  6. Wiladah atau melahirkan anak.
Rukun Mandi Wajib
Terdapat tiga mandi wajib. Cukup tiga rukun ini mandi wajib anda sah
  1. Niat
  2. Menghilangkan najis di badan sama ada yang jelas ('ayni) atau tidak jelas (hukmi)
  3. Menyampaikan air ke seluruh anggota badan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
Jenis Niat Mandi Wajib
1. Keluar mani atau keluar haid dan nifas
"Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala".
"Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala".
2. Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri
"Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala".
3. Mandi disebabkan keluarnya darah nifas
"Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala".
Bahasa Arab :
 
Sunat Ketika Mandi Wajib
Sunat adalah perkara yang dituntut. Jika anda melakukannya anda mendapat pahala. Tetapi jika anda tidak melakukannya anda tidak mendapat apa-apa.
  • mengadap kiblat
  • membaca basmalah
  • membasuh dua tapak tangan
  • mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum mandi
  • menggosok seluruh anggota badan dengan tangan
  • berturut-turut (muwalat) tanpa putus-putus
  • tertib dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan
  • membasuh sebanyak tiga kali
Cara-Cara Mandi Wajib/Junub Dengan Betul Dan Sempurna
Cara mandi wajib ini sepatutnya anda memberi sedikit tumpuan agar akan memudahkan anda untuk faham. Jadi fokus jangan tak fokus.
  • Bersihkan tubuh dan hilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalangkan air sampai ke anggota badan semasa mandi hadas selepas ini.
  • Setelah selesai mandi biasa, di sunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.
  • Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan.
  • Niat dahulu sebelum mandi. (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas). Bagi sesiapa yang tidak pandai dalam bahasa arab boleh dalam bahasa melayu.
  • Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri.
  • Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardhu mandi.
  • Gosok atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkok, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan.
  • Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki.
 
Jika dia mandi dengan menggunakan "shower", tidak perlu tiga kali, memadai telah yakin air telah meratai seluruh badan dari kepala ke hujung jari.
 
Untuk wanita pula, oleh kerana rambut wanita lebih panjang, maka disunatkan diuraikan rambut.
Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul hendaklah dibuka untuk membolehkan air sampai.
 
Seseorang itu elok memakai kain hingga ke lutut seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. -
 
 

* Sumber 1 & 2
No comments

Wednesday 12 February 2014

Tempoh Hidup Di Dunia Ini Adalah Sangat Kritikal

Sekarang ini kita hidup di alam dunia. Satu alam yang paling kritikal dan mencabar. Inilah alam yang akan menentukan untung nasib kita untuk ke alam-alam seterusnya. Oleh kerana itulah ada penyair yang menyifatkan dunia ini sebagai, 'belantara kehidupan'.
 
Kehidupan ini menunjukkan seolah-olahnya kita kini sedang berada di dalam hutan belantara yang luas di mana ianya penuh dengan onak, duri dan jalan-jalan berliku. Kita hendaklah menghadapinya dengan penuh kesabaran.
Macam-macam ada di dalam hutan belantara. Daripada duri, paya, buah, hasil hutan, hinggalah binatang buas. Kita boleh sesat di dalam hutan belantara yang tebal ini kerana pandangan kita adalah terbatas. Kita cuma boleh nampak pokok-pokok besar dan semak-samun yang menghalang perjalanan kita untuk sampai ke suatu destinasi. Kita juga boleh hilang arah dalam situasi yang tidak biasa kita hadapi ini. Bukan sembarangan orang boleh meredah hutan belantara ini.
 
Maka begitulah keadaannya dalam 'belantara kehidupan' dunia. Ramai orang yang tersesat dalam hutan, tetapi lebih ramai yang tersesat dalam kehidupan. Di dalam hutan ada haiwan yang ganas, di dalam kehidupan ada manusia yang lebih ganas daripada haiwan. Malah manusia juga adakalanya mengamalkan hukum rimba, 'might is right' yang bermaksud, 'siapa kuat dia berkuasa'. Di sini ada pahala, ada dosa, ada kawan, ada lawan, ada malaikat, ada syaitan dan sebagainya. Bagaimana kita hendak selamat?
 
Alat yang paling penting untuk dibawa bersama ke dalam hutan ialah kompas. Dengan kompas, kita tidak akan kehilangan arah dan sentiasa mendapat petunjuk yang tepat. Di dalam hutan, membawa kompas adalah lebih penting daripada membawa makanan. Percaya atau tidak?
 
Sila bertanya kepada komando yang terlibat dalam operasi di dalam hutan. Makan dan minum boleh dicari, tetapi jika terlupa membawa kompas, maka buruklah padahnya. Tanpa kompas, operasi akan mengambil masa yang lebih lama daripada yang ditetapkan. Atau boleh jadi, operasi tersebut gagal terus.
 
Wallahua'lam.
 
 
 
 

* malaysiaberih.blogspot.com & nukeufo89.blogspot.com
No comments

Kesan hudud di Brunei dinilai selepas 3 tahun

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2014 - Keberkesanan pelaksanaan hukum hudud di Brunei hanya boleh dinilai dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi, kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
 
Abdul Hamid yang turut menjadi penasihat dalam perangkaan undang-undang hudud di Brunei berkata dalam tempoh itu para pengkaji dan negara yang ingin mengikut jejak langkah Brunei boleh menilai sama ada pelaksanaan hukuman itu mampu mengurangkan kadar jenayah atau sebaliknya.
 
"Kita belum boleh membuat penilaian mengenai pelaksanaan undang-undang itu di Brunei kerana ia belum dilaksanakan. Mungkin dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi kita boleh melihat bagaimana pelaksanaan sebenar dan kesannya.
 
"Adakah negara Brunei, yang sudah pun aman tenteram itu, akan menjadi lebih aman dan tenteram? Setakat ini negara-negara yang melaksanakan hukuman hudud, seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan nampaknya masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara yang tidak melaksanakan hukuman hadud seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark dan Jepun," katanya ketika berucap dalam ceramah awam bertajuk 'Kesan Hudud di Brunei: Perbezaan Antara Brunei dan Malaysia' di International Institute Of Advance Studies (IAIS), di sini.
 
Brunei akan menguatkuasakan hudud secara berperingkat-peringkat, bermula dengan kesalahan-kesalahan ta'zir (seperti kesalahan khalwat dan perbuatan tidak sopan) April ini.
 
"Peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan akan berjalan seperti biasa dan kes-kes itu akan terus dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Ini kerana kerja-kerja mengemaskini undang-undang berkaitan seperti acara jenayah, undang-undang keterangan dan lain-lain masih belum selesai," katanya.
 
Abdul Hamid berkata sekiranya hudud hendak dikenakan di negara ini, bagi kesalahan jenayah, ia hanya boleh dilakukan sekiranya dipinda sebagai undang-undang persekutuan dan bukan kesalahan terhadap suruhan agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.
Katanya Perlembagaan tidak menghalang untuk pelaksanaan sedemikian dan Parlimen boleh memilih apa-apa hukuman kepada kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syariah.
 
"Dengan cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam (undang-undang persekutuan). Sebagai undang-undang jenayah ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan bukan Islam.
 
"Sekiranya Parlimen Malaysia hendak membuat undang-undang seperti itu, tidak ada pindaan perlembagaan yang perlu dibuat dan rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan majoriti.
 
"Jika ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, ia akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana itu adalah satu diskriminasi atas alasan agama dan oleh itu tak berperlembagaan, tak sah dan batal," katanya.
 
Abdul Hamid turut menegaskan bahawa perbezaan penetapan undang-undang antara negara ini dan Brunei juga menjadi faktor kesukaran untuk mengikut jejak langkah melaksanakan hudud.
 
Katanya Brunei memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk menggubal dan meminda perundangan tetapi Malaysia adalah negara Persekutuan yang mempunyai bidang kuasa tertentu termasuk kerajaan negeri.
 
"Mungkin Brunei akan membuktikan sesuatu kelak. Kita tunggu dan lihat.
 
Sekurang-kurangnya di Brunei ada satu perbezaan. Di Brunei pelaksanaannya bukanlah kerana survival politik atau untuk memenangi pilihan raya yang terdekat. Kerja-kerja ke arahnya (pengkajian hudud) telah berjalan kira-kira 30 tahun dan masih belum selesai," katanya.
 
Ditanya pemberita berhubung pendapatnya sama ada hudud sesuai dilaksanakan di Malaysia, Abdul Hamid berkata: "Saya memberi pendapat berasaskan undang-undang. Kajilah kesannya." - Bernama
No comments

Tuesday 11 February 2014

Peringkat-Peringkat Isteri Dalam Memberi Ketaatan dan Meminta Nafkah

Isteri Siddiqin
Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan  adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong  suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin.
 
Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.
Isteri Muqarrobin
Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak  ada, dia tetap sabar. Namaun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin.
 
Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.
Isteri Solehin
Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa  sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah.
 
Itulah dia golongan orang yang soleh.
Isteri Fasik
Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga.
 
Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami,apatah lagi dengan Tuhan.
 
 
No comments

Polemik hukum pelaburan ASB

SUDAH beberapa kali saya menulis artikel dan meletakkan status di Facebook mengenai hukum pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional (ASB/ASN).
 
Namun masih ramai yang bertanyakan penulis perihal status hukum pelaburan ASB dan ASN ini, memandangkan topik ini antara yang terhangat dibahaskan di alam siber.
 
Pertamanya perlu disebutkan bahawa penulis bukanlah orang yang berkelayakan untuk mengeluarkan fatwa. Sebagai orang awam kita harus sentiasa hormat kepada pihak yang diamanahkan kerajaan, terutama Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab melantik mufti untuk merungkaikan permasalahan umat mengenai hukum hakam agama.
 
Kegagalan menghormati dan mengiktiraf kedudukan pihak lebih berautoriti atau berkelayakan mengeluarkan fatwalah yang menyebabkan umat menjadi celaru kerana terlalu banyak 'ustaz'  yang sewenang-wenang mengeluarkan hukum halal-haram.
 
Berbalik kepada polemik ASB dan ASN ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah pun memutuskan skim pelaburan ASB dan ASN serta dividen atau bonus yang diterima pelabur adalah harus hukumnya.
 
Dalam muzakarah yang dihadiri Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang turut diwakili mufti-mufti seluruh Malaysia dan individu-individu berkepakaran dalam bidang fekah dan muamalah mengharuskannya atas hujah menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
 
Namun, polemik berkenaan dengan ASB dan ASN mula timbul semula apabila Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan fatwa yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011, memutuskan skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal kerana bertentangan dengan hukum syarak.
 
Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.
 
Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.
 
Untuk pengetahuan, di bawah Suruhanjaya Sekuriti terdapat resolusi syariah yang jelas mengenai pelaburan saham syarikat yang terdapat percampuran dalam aktiviti dan operasinya.
 
Sebagai contoh, sekiranya sebuah konsortium atau syarikat yang perniagaan utamanya patuh syariah seperti konsortium hartanah tetapi anak syarikatnya terlibat dengan aktiviti perjudian, maka pihak Suruhanjaya Sekuriti akan menilai status kewangannya terlebih dahulu.
 
Sekiranya, pendapatan daripada syarikat judi tersebut kurang daripada 5% berbanding pendapatan keseluruhan syarikat utama, maka kaunter saham syarikat tersebut masih dianggap patuh syariah.
 
Walau bagaimanapun, dalam kes pelaburan ASB/ASN, dana-dana ini dilaburkan dalam syarikat kewangan konvensional berasaskan riba iaitu Maybank melebihi paras 5% yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
Persoalannya sekarang fatwa manakah yang hendak dituruti?
Bagi pandangan peribadi penulis, sebagai orang awam kita boleh memilih untuk mengambil pandangan atau fatwa yang dikemukakan, sama ada oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ataupun Pejabat Mufti Selangor. Kedua-duanya adalah badan berautoriti untuk mengeluarkan fatwa dan mempunyai hujah tersendiri. Dalam konteks ijtihad sebegini, tiada istilah siapa yang betul mahupun salah secara mutlak, sebagaimana hadis Nabi SAW:
 
"Apabila seorang hakim memutuskan sesuatu keputusan, maka dia berijtihad dan ijtihadnya betul, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berijtihad dan keputusannya salah, maka baginya satu pahala".
 
Walau bagaimanapun dalam konteks wara', seseorang digalakkan untuk meneliti secara terperinci setiap skim pelaburan ke mana dana-dana tersebut akan disalurkan. Yang dimaksudkan dengan wara' di sini ialah ketakwaan kita pada ALLAH hingga meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas atau samar-samar.
 
 

* Oleh DR ASYRAF WAJDI DUSUKI [ Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ], Sinar Harian, 12 Februari 2014
 
No comments

Monday 10 February 2014

Bedah plastik dari perspektif Islam

PEMBEDAHAN kosmetik atau pembedahan plastik terbahagi kepada dua:
  1. Merawat rupa luaran manusia disebabkan kecacatan semula jadi.
  2. Mengubah atau menambahkan kecantikan luaran atas kehendak nafsu.
Hukum prosedur pembedahan plastik bergantung kepada niat dan tujuan ia dilakukan.
 
Diwajibkan
Prosedur untuk menutup luka, memperbaiki bekas luka parah atau menampal kulit kesan terbakar pada wajah dan bahagian anggota yang boleh dilihat.
 
Diharuskan
Bertujuan menyempurnakan atau mengembalikan fungsi tubuh sebagaimana yang sepatutnya dan membaik pulih kecacatan anggota tubuh.
 
Diharamkan
Mengubah ciptaan ALLAH SWT seperti menukar alat kelamin, warna kulit, bentuk wajah dan sebagainya.
 
Nas mengharamkan pembedahan plastik bertujuan selain kesihatan adalah berdasarkan firman ALLAH SWT:
"Apa yang mereka sembah selain dari ALLAH itu, hanyalah berhalaberhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan, yang dilaknat ALLAH dan yang telah mengatakan:
"Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku).
 
"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka dan sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan ALLAH".
 
Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari ALLAH, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata." (Surah Al-Nisa, Ayat 117 hingga 119)
 
Terdapat juga hadis menyebut:
"Rasulullah melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya." (Hadis Riwayat al-Tabrani)
 

* Oleh MARLISSA MOHAMMAD KAMAL, Sinar Harian, 11 Februari 2014
No comments

Bagaimana Tanggungjawab Anak Lelaki Dan Perempuan Selepas Berkahwin ?

Assalamualaikum, Alhamdulilah syukur kerana masih lagi dapat hidup di bumi Allah sementara ini dan jom berselawat ke atas nabi junjungan besar nabi muhammad saw.
 
Dalam hidup kita ini, orang yang paling penting adalah kedua ibu bapa kita. Merekalah tempat kita bergantung hidup, berkasih sayang dan menjadi rujukan jika kita ada masalah. Mereka akan selalu ada untuk kita. Mereka yang menjaga kita dari kecil hingga ke besar.
Dalam hidup kamu, kamu paling rapat dengan siapa ?Adakah dengan mak atau ayah ?
Ada satu kenyataan yang di katakan bahawa anak lelaki lebih rapat dengan ibunya. Manakala anak perempuan pula rapat dengan bapanya. Betul ke ? ataupon kamu rapat kepada kedua-duanya ?
 
Kenyataan itu tak timbulkan apa-apa masalah pun kerananya semuanya adalah mengikut keselesaan anak  dan keakraban anak tersebut masa kita tinggal bersama dengan mereka (Masa kita bujang)
 
Bagaimana pula tanggungjawab kalau lelaki dan perempuan itu kalau dah kawin ?
Apabila seorang lelaki Muslim berkahwin ia bertanggungjawab memberi nafkah dan segala keperluan kepada isterinya. Samaada nafkah zahir dan batin dan asas pendidikan Islam. Dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami. Bila dah ada anak-anak maka tanggungjawabnya akan bertambah kerana telah menjadi ayah untuk menyara segala keperluan nafkah dan pendidikan anak-anaknya pula.
 
Walaubagaimana pun ia telah memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut.
 
Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya :
"Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?"
Jawab Nabi "Ibu kamu"
"Selepas itu?"
"Ibu kamu"
"Selepas itu?"
"Ibu kamu"
Kali ke 4 lelaki itu bertanya, "Selepas itu?"
Jawab Nabi "Ayah kamu"
Ahh Tengoklah  betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya.
 

Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu."
 
Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu."
 
Manakala untuk seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini terlah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya.
 
Bagaimana pandangan Islam kedudukan wanita tersebuat terhadap ibu bapanya?
Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita kena mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan ia ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.
 
Pihak suami perlu ingat bahawa setelah ia mengawini wanita tersebut ibu bapa mertuanya adalah telah menjadi mahramnya dan sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Perlulah diberi kasih sayang dan segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan .
 
Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tua nya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga.
 

Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya. Jadi tidak menjadi masalah, marilah kita balas jasa mereka dan membahagiakan mereka selagi mereka hidup. Kepada ibu bapa yang telah tiada, maka selalulah mendoakan mereka kerana anak doa anak soleh dan solehah di perlukan.
 
 
No comments