+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Tuesday 8 July 2014

Kenapa minum dengan tangan kanan!

SAYA tabik seorang pensyarah yang berani membuat pengakuan kepada umum dari atas pentas betapa beliau rasa malu apabila ditegur seorang kanak-kanak 10 tahun kenapa beliau minum dengan tangan kiri.
 
"Budak lelaki itu hampiri saya. Dia macam takut-takut. Suaranya terketar-ketar," cerita pensyarah yang berusia dalam lingkungan 50-an itu, ketika menjadi panel pada satu ceramah.
 
Pensyarah itu menjelaskan beliau minum dengan tangan kiri kerana jari-jari tangan kanannya ada kesan makanan, tetapi terlupa dalam keadaan demikian, beliau sepatutnya boleh pegang gelas dengan tangan kiri dan ampu dengan tangan kanan.
 
Kes demikian bukan sedikit. Malangnya, setengah daripada kita banyak terlepas peluang mendapat ganjaran melalui sunnah dalam hidup kita, sama ada kerana tidak tahu atau tahu tapi terlupa.
 
Ambil contoh mengenai adab masuk dan keluar masjid, surau serta rumah. Mengikut sunnah, masuk tempat-tempat ini sepatutnya dengan kaki kanan (sebab ia tempat baik) dan keluar dengan kaki kiri (sebab di luar banyak pancaroba), tetapi berapa ramai amalkan secara istiqamah?
 
Berapa kali kita lupa baca doa selepas makan dan doa ketika bangun tidur?
Saya ingin berkongsi kisah seorang kanak-kanak lelaki dari seberang bernama Musa Hanafi.
 
Ceritanya, dia diperkenalkan oleh ibu bapanya dengan alif, ba ta pada usia dua tahun. Pada usia empat tahun, dia sudah mampu hafal 10 juz al-Quran dan apabila mencapai umur 5 tahun 10 bulan, sudah hafal 29 juz. Dalam masa sama, dia belajar bahasa Arab dan Inggeris. Masya-ALLAH!

Di Nigeria pula, seorang kanak-kanak perempuan, Rukkayatu Fatahu Umar pula menghafal seluruh 30 juz al-Quran awal tahun lalu pada usia tiga tahun lapan bulan. Subhanallah!.
Ini hanya dua kisah luar biasa tentang kebesaran ALLAH. Tentu ada lagi peristiwa-peristiwa menakjubkan seperti itu yang saya tidak tahu.
 
Moral daripada cerita pencapaian cemerlang kanak-kanak ini ialah betapa hebatnya potensi yang ALLAH letakkan dalam otak manusia hingga kanak-kanak berusia serendah itu mampu menghafal seluruh al-Quran.
 
Kalau potensi itu terus dibajai, bayangkan betapa bertambah geliganya otak kanak-kanak berkenaan apabila mereka menjadi remaja.
 
Saya cuba memikirkan betapa banyaknya nikmat dan ganjaran yang boleh kita dapat apabila masa dan peluang digunakan sebaiknya.
 
Kita ambil contoh masa dan peluang yang kita ada kita memandu, umpamanya.
 
Katakan kita ambil dua jam setiap hari memandu. Daripada biarkan fikiran melayang tanpa tujuan, daripada sakitkan tekak memarahi pengguna jalan raya, daripada membiarkan stres menguasai perasaan, adalah lebih baik digunakan masa itu menghafal ayat-ayat al-Quran.
 
Kalau kita mampu hafal satu ayat sahaja setiap dua hari, maka kita sudah hafal kira-kira 180 ayat dalam setahun. Kalau 10 tahun? Masya-ALLAH!
 
Kadangkala kita lupa hikmah di sebalik pengisian masa dengan menghafal ayat-ayat al-Quran, umpamanya. Kalau menyebut satu huruf, ALLAH hadiahkan banyak ganjaran, bayangkan berapa banyak ganjaran kita dapat apabila kita mengulangi ayat-ayat al-Quran dalam proses menghafalnya.
 
Dalam masa sama, kita berjaya menjauhkan diri daripada cenderung bercakap perkara sia-sia atau memikirkan benda yang menimbulkan stres.  
 
Pembaca budiman pun lebih maklum, perhitungan ALLAH tidak sama dengan perhitungan makhluk-Nya.
 
Satu contoh lagi; kalau kita buat satu kebaikan, ALLAH beri kita 10 ganjaran, tetapi jika kita buat satu keburukan, ALLAH beri satu dosa sahaja.
 
Kalau kita berniat mahu buat satu kebaikan, kita dapat satu pahala dan kalau berniat mahu buat satu keburukan, ALLAH tidak ambil kira sehinggalah keburukan itu dilakukan. Betapa Pemurahnya ALLAH!
 
Untuk renungan bersama:
Rasulullah SAW bersabda:
"Jika kamu hendak makan, makanlah dengan tangan kanan dan apabila ingin minum, minumlah dengan tangan kanan. Sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya." (Riwayat Muslim) 
 
Selamat berpuasa.
 
 

* Oleh FARUSH KHAN, Sinar Harian, 9 Julai 2014
No comments

Gesa henti ambil gambar di Masjidil Haram

Riyadh, 8 Julai 2014 : Ulama terkemuka Sheikh Saleh Al-Fozan menegaskan mengambil gambar ketika berada di dalam Masjidil Haram adalah perbuatan yang tidak boleh diterima.
 
Beliau berkata, mereka yang berbuat demikian seharusnya berhenti daripada meneruskan perbuatan berkenaan.
 
Menurutnya, ada jemaah yang masuk ke dalam masjid dengan membawa kamera untuk merakamkan gambar mereka di masjid itu sedangkan tujuan utama mereka ke Tanah Suci itu adalah untuk beribadah.
 
 
Tambahnya, pihak berkuasa sepatutnya merampas dan memusnahkan kamera itu kerana ia mengganggu jemaah lain.
 
Sumber berkata, membawa kamera masuk ke masjid tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran rasmi. - Agensi
No comments

Monday 7 July 2014

Makanan sunnah ganti vitamin?

NABI Muhammad SAW bersabda: "Perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit". (Hadis Riwayat Muslim).
Sehubungan itu, sewajarnya kita mengambil berat jenis makanan yang diambil dalam kehidupan seharian. Dalam hal ini, Rasulullah sebagai teladan yang terulung dan paling agung, apa yang diamalkan Baginda seharusnya dijadikan ikutan. Ini termasuk dalam hal pemakanan dan makan apa yang Rasulullah makan itulah dipanggil makanan sunnah. Sebagai rasul utusan ALLAH, sudah tentu apa yang diamalkan oleh Baginda itulah yang terbaik dan harus jadi teladan.
 
Mengenai pemakanan, ahli fiqh menyebut, "berubatlah dengan makanan sebelum kamu berubat dengan ubat."
 
Mutakhir ini, pengambilan makanan tambahan sudah jadi trend masyarakat hinggakan muncul pelbagai jenis produk yang kononnya mampu menyembuhkan penyakit kronik. Tinjauan mendapati kebanyakan produk makanan tambahan di pasaran adalah berasaskan makanan sunnah seperti madu, habbatus sauda, kurma, delima, zaitun, kismis, zaf'aran dan buah tin. Sesungguhnya disebut dalam al-Quran akan lapan kebaikan makanan yang jadi amalan Rasullullah SAW.
 
Ikuti kupasan lanjut daripada laporan yang disediakan oleh Wartawan Sinar Harian (NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK, SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR & ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD).
 
Tidak kira di pasar raya, jualan langsung ataupun pemasaran dalam talian, begitu banyak produk makanan tambahan ditawarkan kepada orang ramai pada masa ini. Makanan tambahan seakan sudah jadi budaya dalam hidup masyarakat moden. Daripada produk multi vitamin, makjun dan jamu mahupun yang berasaskan makanan sunah, terserah kepada kecenderungan masing-masing untuk memilih.
 
Namun, dalam keghairahan masyarakat membeli makanan tambahan, mungkin ramai yang masih tidak tahu apakah fungsi sebenar makanan jenis itu kepada kesihatan.
 
Adakah menjadi satu keperluan untuk individu mengamalkan pengambilan makanan tambahan dalam diet seharian?
 
Bersesuaian dengan perkataan 'tambahan' di belakangnya, juru runding dan pendidik nutrisi, Dr Bahrain Samah memberitahu, makanan tambahan bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan keutamaan.
 
Sebaliknya beliau berkata,  ia hanya diambil apabila ada keperluan tertentu.
 
"Kebiasaannya makanan tambahan diambil apabila seseorang merasakan pemuliharaan kesihatannya tidak dapat dicapai dalam sesuatu tempoh. Makanan tambahan juga memainkan peranan untuk mencegah dan merawat sesuatu penyakit.
 
"Selain itu, suplemen tambahan juga hanya diperlukan apabila kita dapati kandungan tertentu dalam makanan tidak mencukupi," katanya.
 
Makanan sunnah lebih baik
Dengan pelbagai pilihan yang ada di pasaran, pasti ada kelebihan dan perbezaan bagi setiap produk.
 
Jelas Bahrain, makanan sunnah ataupun merujuk kepada makanan yang diamalkan Rasulullah SAW tentunya memiliki kebaikan yang lebih berbanding yang lain.
 
"Ini kerana ALLAH SWT telah menjelaskan khasiatnya dalam al-Quran. Malah, makanan sunnah juga dah dibuktikan dari segi sains ada banyak kebaikan dari pelbagai segi.
 
"Sama ada makanan sunnah atau suplemen lebih baik, saya tetap katakan makanan lebih baik sebab yang masuk dalam badan, yang kita ambil adalah dalam bentuk natural. Suplemen seperti multi vitamin mungkin ada semua khasiat, tetapi masih jauh berbeza dengan apa yang kita makan," katanya.
 
Menurutnya dari aspek pemuliharaan kesihatan dan penyembuhan penyakit, makanan sunah jika diamalkan dengan betul memang dapat membantu.
 
"Contohnya macam minyak zaitun dan habbatus sauda ada fungsi tersendiri untuk menjaga kesihatan. Yang penting ialah kita memilih jenis makanan yang betul dan ikut keperluan," katanya.
 
Bagaimanapun, beliau tetap tidak menidakkan kepentingan makanan tambahan lain bagi tujuan pengimbangan sekiranya sesuatu kandungan dalam makanan sunnah tidak mencukupi.
 
"Misalnya jika seseorang itu memerlukan vitamin C untuk tujuan perubatan. Kurma basah mengandungi banyak vitamin C tapi mungkin tak cukup.
 
"Jadi kita boleh mendapatkannya melalui vitamin C yang dijual di pasaran," katanya.
 
Perlu tahu kandungan makanan
Namun, tidak ada guna jika seseorang hanya mengamalkan makanan sunnah tanpa mengetahui kandungan nutrisi di dalamnya.
 
Kalau seseorang itu faham kandungan dalam makanan dan fungsinya pada kesihatan secara holistik sama ada melalui kajian sendiri atau pembacaan, ia akan membuatkan pengambilan makanan tersebut lebih berkesan.
 
"Misalnya setiap pagi saya amalkan makan vitamin C, suplemen zink, garam gunung, cuka dan minyak zaitun. Sebahagiannya adalah makanan sunnah dan saya tahu kandungan setiap jenis makanan dan caranya bekerja.
 
"Oleh itu, sebagai pengguna kita perlu didik diri kita dengan membaca atau menyertai bengkel dan sebagainya untuk meluaskan pandangan mengenai makanan," katanya. - 8 Julai 2014
 
 
No comments

Elak ambil makanan pedas sepanjang Ramadan

Kuala Lumpur, 7 Julai - Umat Islam disaran mengamalkan pemakanan sihat sepanjang Ramadan ini, iaitu dengan makanan yang manis serta mudah hadam sebaik berbuka puasa.
 
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata makanan yang manis serta mudah dihadam seperti kurma, buah-buahan atau jus dapat memberi tenaga segera kepada tubuh.
"Masyarakat juga dinasihatkan melewatkan waktu bersahur, sekurang-kurangnya setengah jam sebelum imsak dengan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti mil penuh atau oat supaya berasa kenyang dalam tempoh masa lebih lama," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
 
Beliau berkata kewujudan pelbagai juadah yang tersedia sepanjang Ramadan boleh mempengaruhi masyarakat untuk melupakan seketika amalan makan secara sihat.
 
"Antara amalan baik yang boleh dilakukan adalah menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktu Maghrib," katanya.
 
Dr Noor Hisham berkata, selain mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh membekalkan serat, elakkan daripada makan masakan pedas dan berempah yang boleh mengakibatkan ketidakselesaan perut ketika berpuasa.
 
Elakkan juga makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak kerana kedua-dua jenis makanan ini segera dihadam dan menyebabkan cepat berasa lapar, katanya.
 
Beliau berkata masyarakat juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam yang tinggi untuk mengurangkan rasa haus dan minuman berkafein seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
 
Beliau berkata pilihlah snek yang ringkas semasa moreh, seperti sandwic, yogurt, roti dan biskut yang dimakan bersama segelas susu dan minum air kosong enam hingga lapan gelas sehari.
 
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai amalan makan secara sihat, sila layari laman sesawang bahagian pemakanan di nutrition.moh.gov.my atau portal MyHEALTH di www.myhealth.gov.my. - Bernama
No comments

Wednesday 2 July 2014

Debat Iblis dengan Firaun

INI ada satu cerita, Iblis terkutuk berdebat dengan Firaun durjana. Tiada yang baik antara keduanya, namun ada yang teruk macam mereka.
 
Kononnya, pada suatu malam, Iblis pergi ke istana Firaun ketika 'sahabatnya' itu hendak tidur. Tiba sahaja di hadapan kamar Firaun, Iblis pun mengetuk pintu lalu memanggil Firaun keluar.
 
Firaun berang tidak terkira kerana ada yang berani mengganggunya ketika dia mahu melelapkan mata.
 
"Siapa yang berani ketuk pintu bilik tidur aku?," tanya Firaun yang sombong itu dengan suara bengis.
 
"Hai! Bukankah engkau sentiasa dakwa diri engkau tuhan, tapi aku ada di sebalik pintu depan engkau pun engkau sudah tidak tahu. Tapi tidak apalah. Sebenarnya aku Iblis. Keluarlah sekarang kerana aku mahu berbincang dengan engkau," jawab Iblis selamba.
 
Dia menyeringai, puas hati kerana awal-awal lagi dia sudah berjaya memperlekehkan Firaun, seorang raja negara besar yang digeruni ramai.
 
Maka, setelah Firaun membuka pintu dan melihat Iblis tercegat bercekak pinggang di hadapannya, dia jadi bertambah marah.
 
"Engkau memang makhluk tidak berguna. Dengan makhluk lain, bahkan Nabi Adam, engkau bersikap biadab. Dengan aku pun engkau mahu tunjuk keras kepala?," sergah Firaun.
 
Iblis senyum. "Anggapan engkau salah. Sebenarnya engkau lebih teruk daripada aku," jelas Iblis yang tidak terkesan pun dengan kemarahan Firaun.
 
"Kenapa engkau kata begitu?," tanya Firaun, api kemarahannya semakin membara.
 
"Cuba engkau fikir. Aku lebih tua, lebih cerdas dan lebih kuat daripada engkau. Tapi aku tidak seberani engkau. Aku hanya tidak mahu tunduk pada Nabi Adam apabila diperintah ALLAH kerana aku lebih hebat.
 
"Aku dijadikan daripada api, sedangkan Adam (manusia) dijadikan daripada tanah. Mana boleh aku tunduk padanya! Bagaimanapun, aku tidak pernah tolak keesaan ALLAH.
 
"Tetapi engkau; walaupun hanya manusia biasa, tiada kelebihan apa pun, namun engkau berani mengaku kononnya engkau tuhan," kata Iblis.
 
Firaun sedar kelemahannya. Dia teringat betapa dia cuba menghalang ancaman terhadap diri dan kekuasaannya dengan mengeluarkan perintah supaya semua bayi lelaki dibunuh, tetapi dengan kuasa ALLAH, Nabi Musa AS membesar di istana sebagai anak angkatnya sendiri dan akhirnya menjadi apa yang dianggap sebagai musuh yang akhirnya menyebabkan seluruh tentera serta dirinya tenggelam di lautan.
 
"Benar apa yang kamu katakan. Kalau begitu aku mahu bertaubatlah," kata Firaun kepada Iblis.
 
Iblis, yang sentiasa penuh dengan tipu-helah itu menjawab: "Jangan. Penduduk Mesir sudah menerima engkau sebagai tuhan. Bila kamu cabut taraf ketuhanan daripada dirimu itu, mereka akan berpaling daripadamu, akan memusuhimu dan memporak-perandakan kekuasaanmu. Akhirnya kamu akan menjadi orang yang hina-dina."
 
"Benar juga kata-kata engkau. Tetapi, aku mahu tahu adakah di dunia ini ada makhluk lain yang jahat selain aku?," tanya Firaun.
 
"Ada," kata Iblis.
 
"Orang yang tidak sudi menerima permohonan maaf," kata Iblis, sebelum beredar.
 
ALLAH yang Maha Berkuasa pun sentiasa mengalu-alukan hambaNya memohon ampun daripadaNya dan ALLAH bersedia mengampunkan hambaNya walaupun dosa mereka banyak.
 
Rasulullah SAW mengajarkannya kepada isteri Baginda, Aisyah, ketika Aisyah bertanya kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, andainya aku berjumpa lailatul qadar, apa yang perlu aku katakan?."
 
Baginda bersabda: "Katakanlah: Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau cintakan kemaafan, maka maafkanlah kami."
 
ALLAH berfirman (Sohih Muslim) yang maksud: Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal Aku akan mendekatinya sehasta. Sesiapa yang menghampiriKu sehasta aku akan menghampirinya sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan Aku akan pergi kepada dalam keadaan bersegera.
 
Dan sesiapa menemuiKu (selepas mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu, nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu.
 
Wallahualam. Selamat berpuasa.
 
 
 

* Oleh Farush Khan, Sinar Harian, 2 Julai 2014
No comments

Zalim

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا
لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
 
Maksudnya :
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim (tidak berkehendak kepada aturan yg telah ditetapkan oleh Allah) yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan."
(Surah Hud ayat 113)
 
وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي
الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
 
Maksudnya :
"Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim."
(Surah al-Maa-idah ayat 51)
Untuk lebih memahamkan firman-firman Allah di atas, sayugialah kita memerhatikan dialog di antara si tukang jahit dengan seorang ulamak silam yang terkenal iaitu Sufyan at Thauri.
 

Suatu ketika datang seorang lelaki bertanya kepada Sufyan at Thauri , dia berkata : "Aku ini penjahit pakaian untuk seorang raja (pemerintah yang zalim); adakah aku tergolong dalam kalangan penyokongnya?
 
Sufyan at Thauri menjawab : "Engkau bukan daripada kalangan penyokong tetapi engkau adalah golongan penzalim itu sendiri. Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada engkau jarum dan benang (untuk menjahit)."
(Kitab al Mu'jam al Kabir)
No comments

Peringatan : Tanah Runtuh di Kuala Lumpur

PETALING JAYA, 2 Jun : Perkhidmatan KL Monorail dari Stesen Hang Tuah ke Stesen Imbi dihentikan sementara berikutan keretakan tanah berdekatan tiang monorel di persimpangan empat lampu isyarat di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.
 
Terowong bawah tanah yang masih dalam pembinaan runtuh manakala laluan di Jalan Imbi jerlus pada kira-kira pukul 10.40 pagi.
 
Pasukan bomba dan penyelamat sedang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan.
 
Menurut laporan Bernama, jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur memberitahu bahawa keadaan trafik di kawasan tanah mendap di persimpangan empat lampu isyarat di Jalan Imbi terkawal.
 
 
 
 
Kala bumi mula berbicara..
ia tidak mengenali sesiapa lagi kecuali Rabbnya..
agar manusia mengerti, betapa alam ini masih ada pencipta..
bukan lagi di China, dan bukan lagi di luar negara, hanya di jalan hang Tuah sahaja..
sudah cukup untuk mencelikkan mata, bagi mereka yang masih lena..
apakah kalian menunggu saat ia menerpa dihadapan mata?..
belajarlah dari kesilapan dosa...
agar kita kembali bertuhankan Allah yg esa..
 
 
__._,_.___
 
* Copy from Posted by: "-:eSpAcE9808:-" <rienacom@yahoo.com.sg> 
No comments

Tuesday 1 July 2014

Senarai agensi halal antarabangsa diiktiraf Jakim

Australia
1. Adelaide Mosque Islamic Society of South Australia, Australia.
 
2. Islamic Association of Geraldton Geraldton Mosque Australia.
 
3. Islamic Association of Katanning Inc Western Australia.
 
4. Islamic Co-Ordinating Council of Victoria (ICCV) Australia
 
5. Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) Australia
 
6. The Perth Mosque of Western Australia Incorporated Perth.
 
7. Australian Halal Authority & Advisers (AHAA) Perth.
 
8. Al-Iman Islamic Society Australia.
 
9. Islamic Information and Documentation Center Austria.
Argentina
10. The Halal Catering Argentina Halal Slaughtering & Halal Argentina.
 
11. Islamic Centre of The Argentine Republic (Centro Islamico de La Republica Argentina) Argentina.
Bangladesh
12. Islamic Foundation Bangladesh  (Baitul Moqarram National Mosque) Bangladesh
Belgium
13. Halal Food Council of Europe (HFCE), Belgium
Brazil
14. Federation of Muslims Associations in Brazil Rua Tejupa Sao Paulo SP Brazil
 
15. Centro de Divulga ãodo Islam Para América Latina (CDIAL) / Islam  Brazil.
Canada
16. Halal Montreal Certification Authority Canada
China
17. Shandong Islamic Association Shandong Province,China
 
18. China Islamic Association Beijing P R China
 
19. Islamic Association of Henan Henan, China
 
20. ARA Halal Development Henan China, 450000 Chile
 
21. Centro Islamico De Chile Santiago, Chile
Perancis
22. Ritual Association of Lyon's Great Mosque (Association Ritualle de la Grande Mosquee de Lyon) Perancis
Germany
23. HALAL CONTROL e.K. (EU) Pruef-und Zertifizierungsstelle fuer Halal-Lebensmittel European Inspection-and Certification Body for Halal Ruesselsheim, Germany
India
24. Halal Committee-Jamiat-Ulama-E-Maharashtra  Imam Bada Compound Mumbai
 
25. Jamiat Ulama – l - Hind Halal Trust 1, Bahadur Shah Zafar Marg, New Delhi
 
26. Halal India PVT LTD Chennai, India.
Indonesia
27. The Indonesian Council of Ulama (MUI), Lembaga Pengkajian Pangan Obat-obatan dan Kosmetika, Gedung Majelis Ulama Indonesia.
Itali
28. Halal International Authority (HIA) Milan – Italy
Jepun
29. Japan Muslim Association  Japan
Kenya
31. Kenya Bureau of Halal Certification (KBHC) Nairobi, Kenya Korea
32. Korean Muslim Federation (KMF) Hannam dong Yongsan-ku
 
 

** Dikemaskini 7 Februari 2014 ( Sinar Harian, 2 Julai 2014 )
No comments

Thursday 19 June 2014

Kajian Terbaru: Hafal Al-Quran Mencegah Pelbagai Penyakit

Sebuah kajian terbaru membuktikan semakin seseorang menghafal Al-Quran Al-Karim, maka semakin bertambah baik kesihatan. Dr. Soleh Bin Ibrahim As-Shani', pensyarah psikologi di Universiti Al-Imam bin Saud Al-Islamiyyah, Riyadh, meneliti dua kumpulan responden iaitu mahasiswa Universiti King Abdul Abdul Aziz yang jumlahnya 170 responden, dan kumpulan mahasis Al-Imam Asy -Syathibi yang juga berjumlah 170 responden.
 
 
Penyelidik mendefinisikan kesihatan psikologi sebagai keadaan di mana berlaku keselarasan psikologi individu daripada tiga faktor utama: agama, spiritual, sosiologis dan jasmani. Untuk mengukurnya, penyelidik menggunakan parameter kesihatan psikologinya Sulaiman Duwairiat, yang terdiri daripada 60 unit.
 
Kajian ini mendapati adanya korelasi positif antara peningkatan kadar hafalan dengan tahap kesihatan psikologi dan mahasiswa yang unggul di bidang hafalan Al-Quran itu mempunyai tahap kesihatan psikologi dengan perbezaan yang sangat jelas.
 
Ada lebih dari tujuh puluh kajian, baik Islam atau barat, semuanya menegaskan kepentingan agama dalam meningkatkan kesihatan psikologi seseorang, kematangan dan ketenangannya. Sebagaimana kajian-kajian yang telah dibuat di Arab Saudi dan hasilnya menunjukkan peranan Al-Quran Al-Karim dapat meningkatkan kemahiran asas pelajar-pelajar sekolah rendah dan pengaruh yang positif dari hafalan Al-Quran untuk mencapai IP yang tinggi bagi mahasiswa.
 
Kajian tersebut memberi gambaran yang jelas tentang hubungan antara keberagamaan dengan pelbagai bentuknya terutama menghafal Al-Quran Al-Karim dan pengaruh-pengaruhnya terhadap kesihatan fizikal individu dan keperibadian berbanding dengan individu-individu yang tidak disiplin dengan ajaran-ajaran agama atau tidak menghafal Al-Quran, sedikit atau seluruhnya.
 
 
Komen terhadap Kajian:
Setiap orang yang menghafal sebahagian dari Al-Quran dan mendengar bacaan Al-Quran secara berterusan itu pasti merasakan perubahan yang besar dalam hidupnya. Hafalan Al-Quran juga berpengaruh pada kesihatan fizikalnya. Melalui pengalaman dan pengamatan, dapat dipastikan bahawa hafalan Al-Quran dapat meningkatkan sistem imun tubuh pada seseorang dan membantu melindungi dari pelbagai penyakit.
 
Berikut adalah manfaat-manfaat hafalan Al-Quran,
  1. Fikiran yang jernih.
  2. Kekuatan memori.
  3. Ketenangan dan kestabilan psikologi.
  4. Senang dan bahagia.
  5. Bebas dari perasaan takut, sedih dan cemas.
  6. Mampu bercakap di depan awam.
  7. Mampu membina hubungan sosial yang lebih baik dan memperoleh kepercayaan dari orang lain.
  8. Terbebas dari penyakit akut (acute illness).
  9. Dapat meningkatkan IQ.
  10. Memiliki kekuatan dan ketenangan psikilogis.
Kerana itu Allah berfirman,
"Sebenarnya, Al Qur'an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim. " (QS Al-'Ankabut [29]: 49)
Ini adalah sebahagian dari manfaat di dunia. Ada manfaat-manfaat yang jauh lebih besar di akhirat, iaitu kebahagiaan ketika berjumpa dengan Allah, memperolehi keredhaan dan nikmat yang abadi, mendapatkan tempat dekat kekasih mulia Muhammad Saw.
 
 

* Sumber diambil dari Detik Islam yang diterjemahkan dari sumber eramuslim.com
No comments

LELAKI UCAP MAAF DAPAT BUAT JANTUNG PEREMPUAN SIHAT

Walau marah macam mana kita dekat seseorang itu, kita jangan pernah melupakan 2 kata ajaib iaitu "terima kasih" dan "maaf". Mungkin bagi kalian perkataan ini tidak membawa maksud apa-apa, tapi tahukah kalian bahawa hanya dengan meminta maaf kepada perempuan dengan iklas dapat membantu memanjangkan usianya.
 
Mengucapkan 'maaf' mungkin sangat susah dilafaskan kebanyakkan orang terutama lelaki. Akan tetapi, kajian ilmuwan dari Massachusetts University membuktikan, meminta maaf yang ditujukan pada seorang perempuan boleh meningkatkan kesihatannya terutama jantung.
 
Perempuan yang mempunyai sifat kelakuan kasar atau menyakitkan dari orang lain boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah yang dapat memacu risiko serangan jantung atau stroke. Namun ketika mendengarkan kata 'maaf' dapat menurunkan tekanan darahnya dan secara automatiknya dapat kembali normal sekitar 20% lebih cepat.
 
 
Sebaliknya tekanan darah laki-laki akan 20% lebih lama untuk pulih setelah mendengar permintaan maaf kerana mendapat perlakuan tak tenang. Hal ini menunjukkan seseorang lelaki cenderung bekerja lebih keras setelah mendengar pengakuan bersalah.
 
Kajian ini dilakukan ilmuwan di University of Massachusetts Medical School di Worcester, AS. Kajian mengukur tekanan di astolik dari 29 orang lelaki dan 59 perempuan.
 
Tekanan darah yang diukur dalam kajian ini adalah tekanan darah di astolik, iaitu tekanan dalam darah antara detik jantung atau tekanan dalam arteri-arteri ketika jantung istirehat setelah penat 'bekerja'. Jika tekanan terlalu tinggi, ia dapat meningkatkan kemungkinan stroke atau serangan jantung pada orang tersebut.
 
Jadi, sayangilah pasangan kalian. Jangan lupa berterima kasih dan meminta maaf.
No comments

Tahap Rasulullah SAW Berlapar dan Hikmahnya

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Tarmidzi dari Nu'man bin Basyir r.a bahawa ia berkata
"Bukankah kamu sekarang boleh hidup bermewah-mewah dengan makan dan minum, apa saja yang kamu mahu, kamu mendapatkannya. Aku pernah melihat Rasulullah Muhammad SAW hanya mendapat kurma yang buruk saja untuk mengisi perutnya!"
Atau ada kisah juga seperti berikut ini.
Pada suatu ketika Umar bin Khattab r.a menyebut apa-apa yang boleh dinikmati manusia sekarang ini dari dunia. Maka dia berkata
"Aku pernah melihat Rasulullah SAW seharian menanggung lapar, kerana tidak ada makanan, kemudian tidak ada yang didapatinya pula selain dari kurma yang buruk saja untuk mengisi perutnya."
Pernah juga kisah yang lain datang dari sahabat Abu Hurairah r.a , ia berkata
"Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW ketika dia sedang solat sambil duduk, maka akupun bertanya kepadanya: Ya Rasulullah! Mengapa aku melihatmu solat sambil duduk, apakah engkau sakit?  jawab beliau: Aku lapar, wahai Abu Hurairah! Mendengar jawaban beliau itu, aku terus menangis sedih melihatkan keadaan beliau itu. Beliau merasa kasihan melihat aku menangis, lalu berkata: Wahai Abu Hurairah! jangan menangis, kerana beratnya penghisaban nanti di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia."
Subhanallah, inilah teladan agung dari seorang pemimpin yang harus menjadi contoh bagi kita semua.
 
 

Nota :
Apa yang Rasulullah SAW lakukan akan membuktikan Baginda memiliki kedudukan tertinggi, tiada lagi insan yang lebih lapar dan bersabar demi menunaikan Perintah ALLAH SWT. Insan lain tidak boleh menjadikan alasan miskin dan susah sebagai batu loncatan untuk meninggalkan perintah ALLAH SWT seperti berpuasa kerana Rasulullah SAW lebih kuat kesabaran dan lapar tetapi tetap menjunjung Perintah ALLAH SWT.
 
Walaupun sedemikian kehidupan Rasulullah SAW, namun umat Baginda adalah juara makan, sehingga mengadakan pertandingan makan dan sebagainya.
 
Bayangkan jika Rasulullah SAW hidup seperti kita dan Rasulullah SAW memilih Al Khamr semasa ALLAH SWT meminta Rasulullah SAW memilih di antara Susu dan Al Khamr di saat Israk dan Mikraj. Al-Hamdulillah, Rasulullah SAW memilih Susu, tetapi kini umat Baginda lebih berani daripada Baginda dan telah menukar Susu kepada Arak (Al Khamr)  dan Lemak Khinzir  dalam makanan mereka seharian.
 
Nauzubillah Min Zalik.
 
 

* Sumber 2 dari Detik Islam
No comments

Selfie: Dunia kena lihat aku

SELFIE, iaitu mengambil gambar sendiri menggunakan telefon bimbit, telah dilarang oleh University of South Florida semasa konvo mengambil diploma. Kalau dibenarkan, sudah tentu setiap graduan akan asyik berselfie di atas pentas tanpa memikirkan graduan-graduan lain yang masih menunggu giliran naik pentas kerana DUNIA KENA LIHAT AKU.
 
Semasa menghadiri majlis jenazah Nelson Mandela, Obama berselfie dengan rakan-rakannya. Kelihatan Obama tersenyum riang dalam posenya sambil memegang telefon bimbit sendiri. Selfielogi bukan lagi satu seni kelakuan. Ia sudah menjadi satu ideologi, budaya dan ritual yang paling popular. Perkataan selfie adalah perkataan baru dimasukkan ke kamus bahasa Inggeris dan Oxford University Press telah menobatnya sebagai perkataan paling banyak digunakan pada tahun 2013.
 
Untuk menjadi penganut selfielogi, AKU kena fikir bahawa DUNIA KENA LIHAT AKU. Akulah hero dunia.
 
Walaupun suasana sekeliling meratapi kematian Nelson Mandela, DUNIA KENA LIHAT AKU. Walaupun graduan-graduan menunggu giliran mengambil diploma, sekarang adalah giliran AKU di pentas. DUNIA KENA LIHAT AKU. Biar mereka yang lain tunggu lama, yang paling utama ialah gambar selfie AKU.
 
Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pada tahun 2013, sepasang suami isteri bercerai setiap 10 minit. Sebab cerai? AKU adalah suami. AKU adalah isteri. DUNIA KENA LIHAT AKU, dengar AKU, tekan like pada Instagram AKU. Keluar makan bersama dengan keluarga maknanya ialah setiap ahli keluarga bersama-sama asyik melayari internet dengan telefon bimbit masing-masing. Seorang ahli keluarga mungkin terpaksa berWhatsapp dengan ahli keluarga yang lain walaupun mereka duduk semeja!
 
Seorang agamawan memberitahu pengikut-pengikutnya, "Bersalamanlah dengan orang yang bersalaman dengan Nabi, nescaya kamu masuk syurga. Maka, bersalamanlah dengan AKU. Dunia kena bersalaman dengan AKU. DUNIA KENA LIHAT AKU."
 
Seorang agamawan yang lain pula giat memperjuangkan konsep wala'. Pengikut yang beriman mesti wala' pada pemimpin agama. Kebetulan agamawan ini adalah seorang pemimpin agama. Wala'lah pada AKU. DUNIA KENA LIHAT AKU.
 
Terdengar suara segolongan kecil ustaz, "Apa jasa kau kepada negara sehingga kau pula yang layak mendapat keistimewaan-keistimewaan yang begitu banyak, sehingga kau jadi kaya-raya? Kau bukan beragama Islam pun. Aku beragama Islam. DUNIA KENA LIHAT AKU. Dunia kena iktiraf jasa-jasa AKU. Dunia kena hormati AKU."
 
Terdengar juga suara-suara yang tak puas hati dengan kenyataan ustaz-ustaz di atas, "AKU bayar cukai. Kau bayar dengan air liur sahaja. DUNIA KENA LIHAT AKU. AKU bayar kau untuk iktiraf jasa-jasa AKU."
 
Mengapa perlu mengetengahkan isu hudud sekarang? Kerana AKU dah bersedia untuk melaksanakannya sekarang. Sama ada kau faham atau tidak, sama ada kau bersedia atau tidak, kita boleh berbincang kemudian.
 
Yang lebih penting ialah AKU nak berselfie sekarang. DUNIA KENA LIHAT AKU. Hudud adalah undang-undang Tuhan. AKUlah pembelanya dan inilah perspektif AKU, pelan AKU, keyakinan AKU, draf undang-undang AKU.
 
AKU post, kau tekan like je! Jangan banyak soal."
 
Hudud bertentangan dengan Malaysian Dream. Apa itu Malaysian Dream? Itu mimpi AKU. AKU bermimpi bahawa semua agama adalah benar seolah-olah AKU pula yang menjadi tuhan kerana hanya AKU layak menghukum apa yang benar dan apa yang salah.
 
Kalau kamu kata hanya satu agama yang benar, AKU hukum kamu salah. Kalau kamu kata semua agama adalah benar, AKU hukum kamu benar. Itulah sebab DUNIA KENA LIHAT AKU, dengar AKU, iktiraf mimpi AKU. Malaysia hanya mampu menjadi negara maju jika mimpi AKU menjadi 'rukun iman' semua.
 
Seorang lelaki berselfie dan sambil melihat dirinya, dia berkata, "AKU terperangkap dalam jasad ini. Perasaan AKU adalah wanita. AKU adalah gay kerana AKU rasa AKU adalah gay walaupun tuhan sudah menciptakan AKU sebagai lelaki. Tetapi hakikatnya apabila AKU berselfie, AKU tak nampak tuhan. AKU hanya nampak AKU."
 
 
 

* Oleh Xifu Naser (Abdul Naser Abdul Rahman) ialah tokoh pendakwah Perak, Sinar Harian, 20 Jun 2014
No comments

Thursday 12 June 2014

Salah guna logo halal: Denda RM1 juta- RM5 juta

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2014 - Individu yang didapati menyalahgunakan logo halal pada produk mereka berdepan dengan denda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda tidak kurang RM5 juta.
 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata perkara itu diperuntuk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
 
"Sebenarnya yang tetapkan barangan halal ataupun tidak halal itu tanggungjawab Jakim (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia), namun jika produk itu tidak halal tetapi dicetak logo halal pada pembungkusannya maka pengeluar akan didakwa menurut Akta Perihal Dagangan 2011," katanya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai produk 'Bihun Istimewa Cap Masjid' keluaran sebuah kilang di sini yang mengguna pakai logo halal pada pembungkusannnya sedangkan syarikat tidak mempunyai pensijilan halal Jakim.
 
Isu itu terbongkar susulan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun yang dibuat dalam keadaan kotor dan jijik menerusi laman sosial.
 
Sementara itu, mengulas barangan kawalan sempena Aidilfitri, Hasan berkata pihaknya sedang meneliti senarai barangan yang berkenaan.
 
"Kami akan umumkan secepat mungkin selepas senarai dimuktamadkan," katanya yang ditemui selepas  melancarkan buku 'Patent Drafting Manual for Beginners' yang diterbitkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). - Bernama
 
No comments

Wednesday 11 June 2014

Selamatkan Lidahmu

Suatu  hari  seorang  lelaki  datang  kepada Rasulullah SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah!  Sungguh  si fulanah  itu terkenal  banyak sembahyang,  puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya. ".
 
Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, "Sungguh ia termasuk ahli neraka".
 
Kemudian lelaki itu berkata lagi, "Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah  menyakiti tetangganya."
 
Maka Rasulullah SAW berkata, " Sungguh ia termasuk ahli syurga . "
(HR.Muslim) .
 

Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Walaupun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad - amalannya tersebut sia-sia.
 
Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi media taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan menasihati, lidah juga berubah  seperti  layaknya  penyalaan  api.  Memfitnah,  bersaksi  palsu, ghibah, namimah, dan memecah  belah  umat.  Jika  seperti  ini  seberapa  banyak  pun  ibadah  kita tak ada gunanya, semuanya gugur gara-gara lidah yang lancang.  
 
Rasulullah  SAW  memberi  amaran, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling beliau khuatirkan. Sebabnya, semua amal akan berguguran jika lidah kita jahat.
 

Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, katakan kepadaku  tentang  satu  perkara  yang  aku  akan  berpegang   dengannya!" 
 
Beliau  menjawab: "Katakanlah,  Tuhanku   adalah   Allah , lalu  istiqomahlah". 
 
Aku  berkata:  " Wahai  Rasulullah, apakah  yang  paling  anda  khuatirkan  atasku? ".
 
Beliau  memegang  lidah  beliau  sendiri, lalu bersabda: " Ini . "
(HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

 
Antara kejahatan lidah adalah lidah yang banyak bicara dengan kebatilan. Jenayah lidah memang boleh  setajam  pedang.  Jika  kita tidak berhati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga lidah itu menjadikan 'api' yang membakar semakin besar.
 
Imam Abu 'Ali Ad-Daqqaq pernah mengatakan: "Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu."
 
Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka.  Menjadi hamba  yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis (muflis).
 
Rasulullah SAW bersabda:
" Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain . "
(HR.Muslim)
Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum  mendapatkan  jawapan  dari  ahlu  dzikri (orang yang ahli/mengetahui). Jika tidak, ucapan kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh menyesatkan.
 
Rasulullah SAW bersabda:
" Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam . "
(HR. Bukhari Muslim).
Lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Firman Allah SWT :
"Janganlah kamu bersikap terhadap sesuatu yang kamu tidak ketahui."
(al-Isra ': 36).
"Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang paling jelek akhlaknya, orang yang banyak bicara, orang yang bercakap dengan mulut yang dibuat-buat (mereka-reka cerita) dan orang yang sombong . "
(Jami 'al-Shaghir).
 
Kesimpulannya, berhati-hatilah semoga Allah selamatkan lidah dan jari jemari kita daripada segala fitnah di luar sana.
 
Amin.
 
 

From: Fairlady Shania [ fairlady.shania@yahoo.com / fairlady.shania@gmail.com ]
Sent: Monday, July 11, 2011 12:47 AM
Subject: [Mahligai] ~~~Selamatkan Lidah~~~
 
No comments

Bashar al-Assad dahului senarai penjenayah perang

GENEVA, 11 Jun - Presiden Syria, Bashar al-Assad menduduki tempat teratas dalam satu senarai 20 individu yang akan didakwa terbabit dengan jenayah perang melibatkan pegawai kerajaan dan pemberontak yang dirangka pakar pendakwaan, kata seorang bekas pendakwa raya jenayah perang antarabangsa, semalam.
Senarai itu telah dihantar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menyebut setiap kejadian membabitkan pencabulan secara khusus piagam Rom di mana seseorang suspek itu boleh didakwa di ICC, menurut David Crane, seorang bekas ketua pendakwa raya Mahkamah Khas bagi Sierra Leone dan kini mengetuai Projek Akauntabiliti bagi Syria.
 
Satu pasukan penyiasat berasingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyediakan empat senarai sulit suspek jenayah perang daripada semua pihak di Syria, namun enggan mendedahkan nama mereka yang terlibat.
 
Crane berkata, senarai itu disusun oleh kumpulannya yang terdiri daripada mereka yang pakar termasuk beberapa anggota tentera Syria dan anggota politik elit serta kumpulan pemberontak Islam ISIS dan barisan al-Nusra, walaupun dia tidak memberikan nama lain selain Assad.
 
"Kita mempunyai kira-kira 20 dakwaan membabitkan mereka yang paling bertanggungjawab. Ini merupakan satu usaha berkecuali. Kami bukan hanya mengejar Assad dan orang kanannya, kami sebenarnya mendokumenkan semua kejadian jenayah perang daripada kedua-dua pihak," kata Crane kepada Reuters.
 
Crane berkata demikian selepas mengambil bahagian dalam satu perbincangan panel mengenai penderaan dan jenayah lain yang dilakukan di pusat-pusat tahanan semasa perang saudara di Syria yang bermula dengan demonstrasi aman anti-Assad pada Mac 2011.
 
Beberapa imej yang dirakamkan oleh seorang jurugambar polis tentera Syria yang diterbitkan pada Januari lalu menunjukkan berlaku penyeksaan yang sistematik dan pembunuhan kira-kira 11,000 tahanan yang menyamai kem maut Nazi, kata beberapa bekas pendakwa raya termasuk Crane.
 
Crane yang merupakan seorang profesor di Kolej Universiti Undang-Undang Syracuse di New York, Amerika Syarikat, melancarkan Projek Akauntabiliti bagi Syria pada 2011 untuk mendokumenkan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh semua pihak dalam konflik di Syria.
 
Ia kini mempunyai 1,400 muka surat membabitkan dakwaan yang boleh dipercayai, dengan tarikh, tempat dan jumlah mereka yang disyaki terlibat melakukan jenayah, katanya. - Reuters
 
 
No comments

Ireland negara paling Islamik

LONDON, 11 Jun - Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Keislaman berbanding negara-negara Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) lain berdasarkan kajian yang dijalankan oleh dua ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.
 
Kajian yang mengambil kira faktor negara-negara yang berpegang teguh kepada nilai-nilai ajaran al-Quran itu meletakkan Malaysia di tangga ke-33 berbanding negara-negara OIC lain seperti Arab Saudi dan Qatar, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-93 dan ke-111.
 
Tidak ada sebuah pun negara yang majoriti penduduknya beragama Islam berada pada kedudukan 50 teratas, melainkan Malaysia serta Kuwait yang berada di tangga ke-42.
 
Malah yang menarik perhatian tentang Indeks Keislaman itu, Israel berada di tangga ke-27, manakala Singapura di tangga ke-8.
 
Menurut BBC, kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari dan rakannya, Scheherazade S. Rehman itu mengesan bagaimana negara-negara di dunia mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.
 
Hossein yang merupakan ahli akademik kelahiran Iran berkata, Indeks Keislaman itu meletakkan Ireland pada kedudukan pertama negara paling berpegang teguh kepada ajaran al-Quran, diikuti Denmark, Sweden dan United Kingdom.
 
"Kami melihat sama ada benar atau tidak negara-negara itu buat apa yang sepatutnya mereka buat. Kami turut melihat pada faktor tadbir urus, politik dan hak asasi manusia serta hubungan antarabangsa, katanya.
 
Hossein berkata, faktor utama negara-negara Islam mendapat kedudukan terendah dalam indeks itu adalah disebabkan tadbir urus negara-negara berkenaan yang menjadikan agama sebagai alat untuk berkuasa.
 
Al-Quran mengajar kemakmuran ekonomi adalah perkara yang baik untuk masyarakat, namun laporan Hossein mendapati, kemakmuran tidak menjadi perkara yang diutamakan oleh kebanyakan negara Islam.
 
Pada November lalu, Hossein berkata, perlu diberi penekanan bahawa kebanyakan negara yang mengaku mengamalkan ajaran Islam dan digelar sebagai negara Islam tidak melaksanakan keadilan, mengamalkan rasuah, serta mundur dan pada hakikatnya tidak sebenar-benar mengamalkan Islam. – AFP
 
 

 
London, 11 Jun - Seorang ahli akademik Amerika Syarikat kelahiran Iran menganggap Ireland negara paling Islamik di dunia.
 
Dalam wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) baru-baru ini, Profesor Perdagangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari itu berkata, Denmark, Sweden dan United Kingdom menyusuli Ireland.
 
Menurut Hossein, kajian yang dilakukan bersama rakannya Dr Scheherazde S Rehman juga mendapati Israel berada di tangga ke-27 senarai negara yang melaksanakan nilai yang terdapat dalam al-Quran, berbanding negara yang ramai penduduk Islam.
 
Tidak ada satu pun negara yang mempunyai majoriti penganut Islam berada di 25 tempat teratas senarai itu dan tidak ada negara Arab termasuk dalam senarai 50 teratas.
 
Katanya, apabila 'indeks keislaman' mereka diguna pakai, hanya Malaysia (33) dan Kuwait (42) sebagai negara Islam tersenarai dalam 50 negara teratas.
 
Amerika Syarikat menduduki tangga ke-15, Belanda juga di tempat ke-15 dan Perancis, 17.
 
Saudi berada di kedudukan ke-91 dan Qatar, 111.
 
Dalam menjalankan kajian itu, kedua-dua penyelidik mengguna pakai kesempurnaan dalam Islam terhadap pencapaian ekonomi masyarakat, pentadbiran, hak asasi manusia dan politik serta hubungan antarabangsa sesebuah negara.
 
"Dalam indeks itu, pencapaian negara Islam amat buruk," katanya sambil menuduh negara berkenaan mengguna agama sebagai alat untuk berkuasa.
 
Hossein berkata: "Kami perlu menegaskan bahawa kebanyakan negara yang mendakwa Islam dan digelar Islam tidak bersikap adil, rasuah dan tidak membangun. Mereka pada hakikatnya tidak 'Islamik' dalam semua perkara.
 
"Melihat kepada indeks Keislaman Ekonomi atau bagaimanapun hubungan rapat antara dasar dan pencapaian sesebuah negara menggambarkan ajaran ekonomi Islam - Ireland, Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapura, Finland, Norway dan Belgium menduduki tempat 10 teratas.
 
"Dalam 'Indeks Keislaman Menyeluruh,' ukuran yang meliputi undang-undang dan pentadbiran, hak asasi manusia dan politik, hubungan antarabangsa serta faktor ekonomi, senarai itu tidak banyak berubah dengan New Zealand, Luxembourg, Ireland, Iceland, Finland, Denmark, Kanada, United Kingdom, Australia dan Belanda berada di 10 tempat teratas.
 
Dan sekali lagi, hanya Malaysia (38) dan Kuwait (48) menduduki kelompok 50 teratas dalam kalangan negara Islam. - Agensi
 
 

2x5 ::
Malaysia berbangga dengan kedudukan di OIC, tetapi di mata dunia???
No comments

Tuesday 10 June 2014

Mutiara Kata : MATI & Hakikat

Daripada Abu Said al-Khudri R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda,
"Apabila jenazah diletakkan (di dalam keranda) dan ditanggung oleh orang-orang lelaki di bahu mereka, jika dia seorang yang soleh dia berkata, 'Cepatkan aku, cepatkan aku'. Jika dia tidak beramal soleh nescaya dia berkata, 'Alangkah malangnya aku, ke manakah kamu semua akan membawaku?' Semua makhluk mendengar suaranya melainkan manusia. Sekiranya didengar oleh manusia nescaya dia akan pengsan (kerana terperanjat dengan suara tersebut)."
 
No comments

Raikan perbezaan jauhi cercaan

SEJAK akhir-akhir ini begitu banyak perdebatan di media sosial berkenaan dengan hukum-hakam agama. Kebanyakan perbahasan yang diperhatikan penulis berkisar seputar isu ranting atau cabang agama.
 
Malangnya perbezaan tersebut tidak ditangani secara bijaksana, adab dan penuh terhormat. Sebaliknya, cercaan, makian dan tuduhan menjadi fenomena lumrah, bagaikan membudaya dalam diri apabila sesuatu pendapat itu tidak seiring dengan pendiriannya. 
 
Hakikat harus difahami, perselisihan atau bahasa Arabnya disebut khilaf terutamanya dalam isu fikah adalah suatu yang bersifat tabii, malahan tidak terpisah daripada isu ijtihadi.
 
Dimaksudkan ijtihad sebagaimana takrifan Al-Shirazi dalam kitabnya Al-Luma' ialah "mengerahkan segala keupayaan dan menyerahkan segala daya upaya dalam mendapatkan hukum syarak".
 
Ijtihad dalam perbahasan hukum fikah amat relevan terutamanya dalam kes yang memerlukan keputusan hukum dan tidak kedapatan nas yang jelas daripada al-Quran dan As-sunnah. Contoh dalam isu terkini melibatkan perbahasan mengenai istihalah iaitu suatu keadaan yang merubah sifat sesuatu bahan kepada bahan yang lain.
 
Ulama tersohor Sheikh Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut istihalah adalah "proses perubahan sesuatu benda yang najis (`aynnajasah) kepada sesuatu yang suci sama ada secara tabie atau melalui perantaraan."
 
Beliau membawa contoh: "perubahan darah kijang menjadi kasturi, arak yang berubah menjadi cuka dengan secara tabie atau perantaraan sesuatu (yang mempercepatkan proses pemeraman), bangkai binatang atau anjing yang menjadi garam kerana jatuh dalam garam, atau tahi yang menjadi abu kerana dibakar, lelemak najis yang dijadikan sabun, tanah parit (yang mengalirkan benda najis) yang telah kering dan hilang kesan najisnya, atau najis yang ditanam di dalam tanah dan telah hilang kesan najisnya setelah beberapa lama." (Wahbah al-Zuhayli, 1997: 1:100).
 
Apabila berhadapan isu baru seperti istihalah yang diperdebatkan kini, ulama fikah daripada empat mazhab utama berijtihad dan cuba menangani pelbagai permasalahan berbangkit lantaran tiada nas yang jelas mengenainya.
 
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
"Jika seorang hakim berijtihad kemudian dia tepat dalam ijtihadnya, maka dia mendapat dua pahala. Dan jika dia berijtihad kemudian dia silap dalam ijtihadnya, maka dia mendapat satu pahala". (Shahih Muslim)
Adalah mustahil memastikan semua imam dan ulam mazhab bersepakat dalam hal tiada kejelasan hukum berpandukan nas syariat. Bahkan Nabi Muhammad SAW tidak menyekat sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan sahabatnya.
 
Ibn Hazm menyatakan: "Adalah suatu yang mustahil untuk mereka kesemuanya bersepakat ke atas mewajibkan satu-satu hukum dengan pandangan mereka, kerana wujud perselisihan dakwaan dan perbezaan mazhab antara mereka".
 
Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyebutkan: "Aku tidak suka kalau sahabat-sahabat Nabi SAW tidak berselisih pendapat. Kerana jika hanya terdapat satu pendapat sahaja, nescaya manusia berada dalam kesempitan".
 
Sebab itulah Nabi Muhammad SAW meraikan perbezaan pandangan dalam kalangan sahabatnya sebagaimana kisah pertanyaan Baginda SAW kepada dua sahabat besar iaitu Abu Bakar RA dan Umar RA mengenai bilakah waktu mereka menunaikan solat witir.
Bertanya Nabi SAW kepada Abu Bakar, "Bilakah kamu melakukan solat witir?"
Jawab Abu Bakar, "Aku berwitir pada permulaan malam".
Baginda bertanya Umar, "Bilakah kamu melakukan solat witir?"
Jawab Umar, "Di akhir malam".
Baginda berkata kepada Abu Bakar, "Orang ini mengambil langkah berjaga-jaga".
Dan Baginda SAW berkata kepada Umar, "Orang ini mengambil langkah yang kuat teguh".
(Sunan Abi Daud)
Sesungguhnya perbezaan pandangan terutamanya dalam isu khilafiyyah dan ijtihadiyyah adalah suatu rahmat ALLAH bagi memberi keluasan kepada umat dalam menjalani kehidupan duniawi.
 
Raikan kepelbagaian pendapat yang wujud dan bukannya terjerumus dalam perlakuan mencerca, mengutuk mahupun melabel seseorang yang tidak bersependapat dengan kita. Dosa tohmah, fitnah dan makian jauh lebih besar berbanding dengan perbezaan ijtihad yang masih belum kepastian antara betul dan salah.
 
Tiba masanya dilakukan penjernihan sikap terhadap budaya perbezaan pendapat yang ada. Nilai kasih sayang, saling menghormati, toleransi, berlapang dada mesti dipasakkan dalam diri setiap individu agar mampu mengurus perselisihan yang melanda.
 
 

* Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Sinar Harian, 11 Jun 2014
No comments

Berhadapan Ramadan paling panas

Umat Islam yang menunaikan ibadah umrah berehat ketika menunggu waktu berbuka puasa pada musim Ramadan di Makkah tahun lalu. Suhu ketika itu ialah 43 darjah Celsius.
 
JEDDAH, 10 Jun - Umat Islam di Arab Saudi diingatkan untuk bersiap sedia berhadapan dengan cuaca panas sehingga 50 darjah Celsius dan waktu siang yang panjang selama 15 jam ketika berpuasa di bulan Ramadan tahun ini.
 
Suhu ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan sejak 25 tahun lalu, iaitu pada musim Ramadan 1989 iaitu 49.8 darjah Celsius.
 
Bagaimanapun tempoh berkenaan akan berkurangan kepada 14 jam 40 minit ketika penghujung bulan suci berkenaan, lapor Arab News, semalam.
 
Makkah, Madinah, Yanbu, Riyadh dan Dammam dijangka mencatatkan rekod panas paling tinggi tahun ini.
 
Jurucakap Jabatan Meteorologi dan Alam Sekitar, Hussain Al-Qahtani memberitahu Arab News bahawa suhu ketika Ramadan akan terus tinggi berikutan tekanan rendah di Semenanjung Arab dan keadaan cuaca panas di seluruh Asia Barat.
 
Al-Qahtani berkata "Suhu dijangkakan antara 45 hingga 50 darjah Celsius di Makkah, 42 hingga 47 di Madinah, 44 hingga 47 di Riyadh dan Wilayah Tengah," katanya.
 
Sementara itu suhu sehingga 50 darjah Celsius diramalkan melanda Wilayah Timur, 39 hingga 45 darjah Celsius di Wilayah Sempadan Utara dan 42 hingga 46 darjah Celsius di Wilayah Selatan.
 
Beliau berkata Makkah mencatatkan suhu 49.8 darjah Celsius pada 1 Julai 1989, Madinah 49 darjah pada 20 Julai 2005, Riyadh 48 darjah Celsius pada 25 Julai 1987 dan Dammam 50 darjah pada 28 Julai 2007.
 
Ramadan adalah bulan ke sembilan di dalam kalendar Islam yang berasaskan kepada pusingan bulan lunar. Bulan suci berlaku kira-kira 11 hari lebih awal setiap tahun mengikut kalendar Gregorian.
 
Kitaran bagi setiap musim mengambil masa sembilan tahun. Ramadan akan berlaku dalam musim panas sekali lagi pada 2017. – Agensi
No comments

Teknik menipu terkini di TESCO

Apa punya PESEN la org la nie nak cari DUIT mudah..!!!
 
 
Petang kemarin ketika keluaqkan duit dari Mesin ATM di TESCO extra selayang, ada satu brader Melayu. awai 50an. sawa matang. tinggi dlm 1.60 m. pakai smart. minta tolong pasai kad ATM dia telan dlm mesin ATM. Dia kata dia "cikgu" dari Syah Alam. Bini nak operate ptg ni kat HKL.
 
Simpati dgn dia aku cuba tolong la apa yg boleh. Dia minta no acc aku. nak suruh kawan dia sorang "USTAZ" bank in duit dlm acc aku. aku ambik no phone "cikgu" 0175334878 utk sent no acc aku .
 
Plan dia cukup menarik.. tengah2 dok cerita pasai masalah dia ni, tot2 call in dari bank katanya, aku tengok sendiri no yg call in tu start 03 . percaya la aku dari bank. no office. Dia suruh cut off ATM acc sebab kat dlm tu ada balance RM16K. fuyyooo .
 
lps tu ada call lain masuk kat hp dia yg lg 1. (Loaded juga "cikgu" ni ada 2 hand phone. ) USTAZ call lambat sikit nak transfer. suruh aku tunggu 1/2 jam.
 
"cikgu" ni merayu kat aku nak pakai duit dulu dlm 8 ratus sebelum USTAZ transfer RM1K kat acc aku.. kalau aku ada duit pun aku x bagi sebanyak tu,
 
dia tanya berapa aku boleh bagi dulu kat dia, sebab ada Staff dia stuck kat Cashier . pehhhhhh membelit nya cerita dia..
 
aku cakap kat "cikgu" tu, duit aku boleh bagi , tapi mai IC dia utk aku Snap gambaq guna hand phone ..
 
Dia cuba merayu , yang dia tak kan tipu ....tapi bila aku berkeras minta IC dia lari pi kot lain.
 
Tak mau ada org lain juga ditipu dgn CARA yang sama , pagi tadi aku pi Report Polis kat balai Batu caves, rupanya dah ghamai yang report terTIPU dgn teknik mcm "CikGu" ni....
 
DONIA OH DONIA!!!!
 
Nukilan Sahabat FB
 
Sent: Monday, June 09, 2014 12:19 AM
Subject: RG2011... Fw: Teknik menipu terkini di TESCO
No comments

Dr MAZA :: Bahan berubah sifat boleh jadi halal jika diproses

Gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
 
Bekas mufti Perlis mengulas pandangan ulama tersohor, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang berpendapat gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan.
"Saya berpandangan isu ini tidak adalah satu masalah besar kerana di kalangan ulama Islam sendiri tidak ada konsensus mengenai topik ini.
 
"Mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini," katanya kepada Astro AWANI.
 
Dr Mohd Asri menegaskan bahawa setiap orang Islam mempunyai hak untuk membaca, mendengar, menilai dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri berdasarkan kepada hujah-hujah yang dibentangkan.
 
"Islam adalah agama yang berfikiran terbuka yang sentiasa mengiktiraf fakta dan kebenaran.
 
"Kemudian, orang Islam juga perlu berfikir tentang bagaimana untuk menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah di akhirat, bukan hanya bertindak balas secara emosi," katanya.
 
Mengulas lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu yang dianggap haram boleh menjadi halal sebenarnya jika menggunakan konsep 'istihalah'.
 
Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.
 
"Apabila sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah," kata beliau sambil menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.
 
"Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah," katanya.
 
Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.
 
"Buah pisang halal dimakan. Tidak dikatakan buah pisang itu bernajis sebab subur dengan baja najis," tulis beliau.
 
Beliau juga menggemukakan contoh arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.
 
Dr Asri berkata Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain juga memberikan pandangan mereka tentang DNA babi yang terdapat secara meluas dalam makanan dan barangan di dunia ini sekarang.
 
Sebelum ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury dikesan mengandungi DNA babi.
 
Bagaimanapun, ujian oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan dua produk coklat tersebut tiada unsur DNA babi dan sekaligus halal untuk dimakan.
 
 
No comments

Kajian Saintis - Kebaikan berpuasa

LOS ANGELES, 9 Jun - Satu kajian baru mendapati, amalan berpuasa selama dua hari atau lebih dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh manusia.
 
Saintis dari California yang menjalankan kajian tersebut menyatakan, pesakit kanser merupakan individu yang paling banyak mendapat manfaat daripada berpuasa kerana amalan itu boleh membantu sistem imunisasi yang terjejas akibat rawatan kemoterapi.
 
Menurut akhbar Daily Mail yang melaporkan penemuan tersebut, apabila sistem imunisasi manusia pulih, keadaan itu boleh menggalakkan badan menggantikan sel-sel lama yang telah rosak.
 
Pakar jangka hayat dari Universiti Southern California, Profesor Valter Longo berkata, apabila lapar, sistem badan cuba menjimatkan tenaga dan satu perkara yang dilakukan adalah mengitar semula sebanyak mungkin sel-sel imunisasi yang tidak diperlukan, terutamanya yang rosak.
 
Pasukan penyelidiknya juga mendapati, amalan berpuasa selama dua hingga empat hari setiap enam bulan membolehkan badan menggunakan simpanan lemak dan gula serta menghapuskan sel-sel rosak.
 
"Badan kemudian bertindak balas dengan menghantar isyarat memberitahu sel-sel stem untuk menjana dan membina semula keseluruhan sistem badan.
 
"Jika satu sistem itu telah rosak teruk setelah melakukan rawatan kemoterapi dan akibat penuaan, berpuasa secara perlahan-lahan dapat menjana sistem imunisasi badan yang baru," kata Longo.
Kajian yang dilakukan mendapati, sebelum melakukan rawatan kemoterapi, seseorang pesakit barah akan hilang sedikit sel-sel darah putih jika mereka berpuasa selama 72 jam.
 
Puasa juga mengurangkan kesan-kesan kurang sihat dan kematian dalam tikus yang terdedah kepada ubat-ubatan kemoterapi dan meningkatkan imunisasi bagi tikus yang tua.
 
No comments

Monday 9 June 2014

Puisi :: Hidayah Ilahi

Sedari dulu hati inipun merindu
akan ketenangan jiwa ketenteraman hidup
Dimana lagi aku temukan erti sebuah hidup
Kemana lagi kudapati cinta yang hakiki
 
Ternyata datangnya sinaran
seiring kesungguhan mencari jalan
kebenaran jalan keredhaan
 
Akan selalu kusyukuri nikmat yang telah diberi
petunjuk hidayat suci Ilahi Robbi
Akan selalu kusyukuri nikmat yang telah diberi
petunjuk hidayah suci Ilahi
hamba kan mengabdi
 
Sedari dulu hati inipun merindu
akan ketenangan jiwa ketenteraman hidup
Dimana lagi aku temukanerti sebuah hidup
Kemana lagi kudapati cinta yang hakiki
 
Ternyata datangnya sinaran
seiring kesungguhan mencari jalan
kebenaran jalan keredhaan
 
Akan selalu kusyukuri nikmat yang telah diberi
petunjuk hidayah suci Ilahi Robbi
Akan selalu kusyukuri nikmat yang telah diberi
petunjuk hidayah suci Illahi
hamba kan mengabdi
 
 

* Sumber di ambil di SINI
 

From:
Naim Qlate
Sent: Monday, July 11, 2011 7:09 PM
To: undisclosed recipients:
Subject: (INGATAN) Hidayah Ilahi
 
 
No comments