+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Tuesday, 11 February 2014

Polemik hukum pelaburan ASB

2/11/2014 10:19:00 pm

Share it Please
SUDAH beberapa kali saya menulis artikel dan meletakkan status di Facebook mengenai hukum pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional (ASB/ASN).
 
Namun masih ramai yang bertanyakan penulis perihal status hukum pelaburan ASB dan ASN ini, memandangkan topik ini antara yang terhangat dibahaskan di alam siber.
 
Pertamanya perlu disebutkan bahawa penulis bukanlah orang yang berkelayakan untuk mengeluarkan fatwa. Sebagai orang awam kita harus sentiasa hormat kepada pihak yang diamanahkan kerajaan, terutama Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab melantik mufti untuk merungkaikan permasalahan umat mengenai hukum hakam agama.
 
Kegagalan menghormati dan mengiktiraf kedudukan pihak lebih berautoriti atau berkelayakan mengeluarkan fatwalah yang menyebabkan umat menjadi celaru kerana terlalu banyak 'ustaz'  yang sewenang-wenang mengeluarkan hukum halal-haram.
 
Berbalik kepada polemik ASB dan ASN ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah pun memutuskan skim pelaburan ASB dan ASN serta dividen atau bonus yang diterima pelabur adalah harus hukumnya.
 
Dalam muzakarah yang dihadiri Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang turut diwakili mufti-mufti seluruh Malaysia dan individu-individu berkepakaran dalam bidang fekah dan muamalah mengharuskannya atas hujah menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
 
Namun, polemik berkenaan dengan ASB dan ASN mula timbul semula apabila Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan fatwa yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011, memutuskan skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal kerana bertentangan dengan hukum syarak.
 
Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.
 
Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.
 
Untuk pengetahuan, di bawah Suruhanjaya Sekuriti terdapat resolusi syariah yang jelas mengenai pelaburan saham syarikat yang terdapat percampuran dalam aktiviti dan operasinya.
 
Sebagai contoh, sekiranya sebuah konsortium atau syarikat yang perniagaan utamanya patuh syariah seperti konsortium hartanah tetapi anak syarikatnya terlibat dengan aktiviti perjudian, maka pihak Suruhanjaya Sekuriti akan menilai status kewangannya terlebih dahulu.
 
Sekiranya, pendapatan daripada syarikat judi tersebut kurang daripada 5% berbanding pendapatan keseluruhan syarikat utama, maka kaunter saham syarikat tersebut masih dianggap patuh syariah.
 
Walau bagaimanapun, dalam kes pelaburan ASB/ASN, dana-dana ini dilaburkan dalam syarikat kewangan konvensional berasaskan riba iaitu Maybank melebihi paras 5% yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.
Persoalannya sekarang fatwa manakah yang hendak dituruti?
Bagi pandangan peribadi penulis, sebagai orang awam kita boleh memilih untuk mengambil pandangan atau fatwa yang dikemukakan, sama ada oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ataupun Pejabat Mufti Selangor. Kedua-duanya adalah badan berautoriti untuk mengeluarkan fatwa dan mempunyai hujah tersendiri. Dalam konteks ijtihad sebegini, tiada istilah siapa yang betul mahupun salah secara mutlak, sebagaimana hadis Nabi SAW:
 
"Apabila seorang hakim memutuskan sesuatu keputusan, maka dia berijtihad dan ijtihadnya betul, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berijtihad dan keputusannya salah, maka baginya satu pahala".
 
Walau bagaimanapun dalam konteks wara', seseorang digalakkan untuk meneliti secara terperinci setiap skim pelaburan ke mana dana-dana tersebut akan disalurkan. Yang dimaksudkan dengan wara' di sini ialah ketakwaan kita pada ALLAH hingga meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas atau samar-samar.
 
 

* Oleh DR ASYRAF WAJDI DUSUKI [ Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ], Sinar Harian, 12 Februari 2014
 

0 comments:

Post a Comment