Exco Tugas-tugas Khas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Syahrir Azfar Saleh (kanan) memberi penerangan mengenai keaadan pergolakan di negara Syira sempena pelancaran Kempen Kemanusiaan Syria di Kuala Lumpur hari ini. Turut kelihatan Naib Presiden Antarabangsa ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 4 Februari 2014 - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bersama enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini melancarkan kempen 'I Need You' untuk mengumpul dana membantu umat Islam di Syria yang menjadi mangsa konflik peperangan.
Naib Presiden Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, kempen berkenaan menyasarkan RM250,000 hasil kutipan bagi membantu rakyat Syria yang ketika ini dilanda musim sejuk.
"Antara bantuan yang diperlukan ialah selimut, jaket musim sejuk, pemanas untuk rumah dan bekalan makanan untuk mereka mengharungi musim sejuk yang berbaki kira-kira dua bulan lagi," katanya kepada pemberita di pejabat Sekretariat ABIM pusat di sini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line For Syria, Syahrir Azfar Saleh serta wakil lima NGO berkenaan iaitu Global Peace Mission; Wadah Pencerdasan Umat Islam Malaysia (Wadah); Future Global Network (FGN); Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Yayasan Takmir Pendidikan Malaysia.
Konflik di Syria kini masuk tahun keempat apabila rakyat negara itu bangkit menentang kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad yang mengakibatkan banyak jiwa terkorban dan berjuta-juta rakyat menjadi pelarian.
Mohamad Raimi berkata, setakat ini konflik di Syria meragut hampir 150,000 nyawa manakala lebih 6.5 juta rakyat negara itu menjadi pelarian di tanah air sendiri.
"Keadaan diburukkan lagi apabila mangsa konflik perang di sana terutama kanak-kanak, wanita dan warga tua terpaksa berjuang meneruskan hidup dalam musim sejuk kali ini," katanya.
Sementara itu, Syahrir Azfar berkata, pihaknya bercadang menghantar bantuan yang akan dikumpul melalui kempen 'I Need You' kepada rakyat Syria pada hujung Mac.
"Kempen I Need You akan digerakkan selama dua bulan sebagai platform untuk rakyat Malaysia yang prihatin menyalurkan bantuan dan semoga sumbangan ini nanti dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat Syria yang sedang mengalami kesusahan," katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank 5622-1820-7666 atas nama Gabungan Salam Syria atau menghubungi talian 03-41416732 atau 013-2226057. - Bernama
0 comments:
Post a Comment