ALLAH SWT Maha Pemurah dalam memberi segala kenikmatan untuk setiap makhluk ciptaanNya, Islam atau kafir Dia sentiasa memberikan limpahan kemewahan yang merangkumi rezeki, kesihatan, kekayaan dan sebagainya.
Namun, pemberianNya kadangkala disalah ertikan ciptaanNya, sehinggakan ada yang sombong, takbur dan tidak menjalani hidup seperti yang disuruhNya. Manusia semakin alpa dan tenggelam dengan nikmat kurniaan Ilahi.
Kesilapan besar
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Shahrizal Nasir berkata, Setiap manusia di dunia ini merasai nikmat dalam kehidupan masing-masing.
Dengan sifat ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, setiap manusia merasai nikmat daripadaNya sama ada mereka beriman atau sebaliknya. Malah dari satu sudut, kadang kala kita melihat golongan hambaNya yang taat, masih lagi berada dalam keadaan kesusahan dan kesempitan hidup. Manakala golongan satu lagi yang bergelumang dengan dosa dan noda, terus memperoleh nikmat kesenangan hidup yang banyak.
"Inilah yang dinamakan istidraj iaitu pemberian nikmat ALLAH kepada manusia yang mana pemberian itu sebenarnya tidak diredai olehNya.
Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh bermacam kenikmatan dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan dan sanjungan, namun kesemua itu tidak menjadikan mereka hambaNya yang bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada ALLAH. Mereka sangka ALLAH telah memberi mereka segalanya meski pun mereka ingkar kepadaNya.
Sebenarnya, mereka telah melakukan satu kesilapan yang amat besar.
"Ketahuilah ALLAH berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Firman ALLAH bermaksud: "Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!", maka jadilah sesuatu itu," (Surah Yasin: 82).
Kerana itu, sebagai hambaNya yang taat dan beriman, setiap ketentuan ALLAH pastinya diterima dengan penuh reda. Kewajipan sebagai seorang Muslim mesti diteruskan meskipun masih terdapat harapan dan impian yang masih belum dimakbulkan ALLAH," katanya kepada Halaqah.
Menurutnya, istidraj boleh berlaku melibatkan apa juga nikmat dunia yang diterima meliputi nikmat harta, kekayaan, pangkat, darjat, sanjungan, kejayaan dan sebagainya. Jika semua ini diterima sedangkan diri semakin jauh daripada ALLAH, maka mungkin ia adalah istidraj.
Perlu kita fahami terdapat dalam kalangan hamba ALLAH yang sedang diuji dengan pemberian nikmat olehNya. Nikmat yang melimpah ruah diperoleh sedangkan diri terus bergelumang dengan maksiat serta melanggar perintah ALLAH. Hakikatnya golongan ini sedang menempah azab ALLAH yang pasti akan tiba sekiranya mereka tidak bertaubat.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat ALLAH memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu telah menerima istidraj daripada ALLAH." (Riwayat Ahmad, at-Tabrani & Baihaqi)
Sentiasa bersabar
Sebagai seorang manusia, pasti terdetik di hati ini perasaan tidak puas hati apabila melihat kekayaan, kesenangan dan kemewahan individu lain padahal dia bukanlah Muslim atau sungguhpun dia Muslim tetapi tidak menjalani kehidupan yang dituntut Islam.
"Ramai yang mengajukan persoalan itu kepada saya, jawapannya mudah. Memang benar ALLAH memberikan mereka kesenangan tetapi dalam keadaan bagaimanakah Dia memberikannya? Fahami maksud istidraj.
Kita umat Islam harus berusaha dan bersabar kerana itulah yang akan mengukur tahap keimanan kepadaNya. Keyakinan bahawa ALLAH sentiasa mendengar permohonan hambaNya perlu disemat dalam hati agar diri tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH.
"Terdapat contoh-contoh yang jelas dalam al-Quran bagaimana ALLAH menguji hambaNya dengan nikmat dunia yang menjadikannya jauh daripada rahmat dan kasih sayangNya. Peristiwa benar tersebut perlu dijadikan iktibar.
Istidraj bukan sahaja boleh berlaku kepada hambaNya yang tidak beriman dengan ALLAH, malah ia boleh terjadi kepada golongan yang jauh daripada ALLAH dan tidak berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya," kata Ustaz Mohd Shahrizal.
ALLAH menyatakan kepada Rasulullah SAW menerusi firmanNya yang bermaksud:
"Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (kejurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya." (Surah al-Qalam: 44)
Menurutnya, menjadi kewajipan kepada kita untuk mensyukuri segala nikmat yang kita peroleh selama ini. Jangan sia-siakan setiap nikmat diterima dengan perlakuan yang mengundang kemurkaan ALLAH.
Dekati ALLAH melalui nikmatNya
ALLAH datangkan nikmat dalam bentuk yang pelbagai sama ada harta, kesihatan, rezeki dan juga anak. Anak adalah anugerah kepada ibu bapa merangkap nikmat daripadaNya, justeru ibu bapa perlu menjaga sebaiknya nikmat itu bagi mencapai reda ALLAH.
Ustaz Mohd Shahrizal menjelaskan, Islam meletakkan tatacara dalam membesarkan anak. Ia tidak bermula selepas anak itu dilahirkan sebaliknya sejak si lelaki memilih wanita yang ingin dikahwininya, semasa saat kehamilannya, proses kelahirannya, memilihkan nama terbaik sehinggalah kepada mendidiknya dengan ilmu agama yang sempurna.
"Sekiranya ibu bapa tidak menjaga sebaik mungkin nikmat ALLAH ini, jangan berkeluh resah jika suatu hari nanti anaknya membesar menjadi seorang manusia yang buruk akhlaknya. Apa yang lebih parah, apabila ibu bapa dipertanggungjawabkan di atas kesalahan yang dilakukan oleh anak yang tidak dididik dengan betul.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya." (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Anak soleh dan solehah adalah saham akhirat untuk ibu bapa, doa merekalah yang akan membantu mengurangkan azab di sana nanti."
"Setiap nikmat perlu disyukuri dengan memperbanyakkan zikrullah, mengurus nikmat atau harta dengan baik dan menginfakkan nikmat tersebut kepada golongan yang memerlukan. Pendek kata, untuk menjaga diri daripada istidraj, setiap nikmat mesti dijadikan antara sebab untuk diri lebih dekat dengan ALLAH," katanya.
Selain menjadikan istidraj untuk memuhasabah diri, ia juga adalah penjelasan ALLAH kepada Muslim agar sentiasa bersangka baik denganNya. Jangan ada yang beranggapan bahawa Islam menzalimi umatnya, meskipun orang kafir tidak beriman namun masih menerima nikmat yang banyak daripadaNya.
Hakikatnya semua nikmat itu adalah istidraj daripada ALLAH. Selagi mereka kufur, mereka akan termasuk dalam kalangan hambaNya yang rugi. Hal ini kerana, nikmat yang diperolehi di dunia hanyalah sementara, nikmat syurga di akhirat sana yang kekal selamanya.
* Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA, Sinar Harian, 10 Januari 2014
0 comments:
Post a Comment