+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Sunday, 19 January 2014

Maulid al-Rasul, fakta dan nilai yang hilang

1/19/2014 08:54:00 pm

Share it Please
Peristiwa hijrah mengajar kita erti pengorbanan dengan meninggalkan sesuatu yang buruk kepada baik.
 
TANGGAL 12 Rabiulawal menjadi tumpuan umat Islam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan pelbagai program bercorak keagamaan di merata tempat. Menjadi perbincangan hangat dalam kalangan sarjana dan pelajar ilmu dalam menentukan tarikh sebenar kelahiran Baginda SAW.
 
Walaupun ia adalah tarikh yang diterima dan dimaklumi umum, namun mungkin ramai masih tidak mengetahui tarikh 12 Rabiulawal berkemungkinan bukanlah pandangan yang terkuat dalam masalah ini.
 
Tarikh diperdebatkan
Dalam Kutub al-Sittah (6 kitab utama hadis) tiada satu pun riwayat dengan jelas menyebutkan tarikh kelahiran Baginda SAW melainkan pada Isnin. Daripada Abu Qatadah meriwayatkan pertanyaan seorang Badwi berkenaan puasa pada Isnin. Nabi Muhammad SAW menjawab:
"Ia adalah hari aku dilahirkan dan kali pertama wahyu diturunkan". (Riwayat Muslim)
Ibn Kathir (w.774), tokoh sejarawan Islam menyenaraikan pandangan berbeza ini. Beliau menulis majoriti sarjana Islam percaya Baginda dilahirkan pada Rabiulawal namun berbeza pada tarikh sebenar.
 
Bagi penulis sirah kontemporari seperti Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum, memilih 9 Rabiulawal sebagai tarikh tersebut berdasarkan kiraan Muhammad Sulaiman al-Mansur dan Mahmud Basha. (ms 54, Qatar: Idarah al-Awqaf wa al-Shu'un al-Islamiah).
 
12 Rabiulawal amat masyhur kalangan umat Islam mungkin disebabkan kemasyhuran nama Ibn Ishaq sebagai tokoh yang terawal menulis berkaitan sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW dan menjadi rujukan terpenting bab tersebut.
 
Kedua, tarikh ini dipilih oleh Kerajaan Fatimiyah Mesir padan 341-365 Hijrah sebagai tarikh sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ia adalah sambutan rasmi kerajaan pertama yang diadakan dalam sejarah Islam. Oleh demikian, ia menjadi ikutan zaman selepasnya, yang  membuatkan tarikh tersebut dikenali ramai.
 
Namun, Muhammad al-Ghazali (w.1416) dalam menilai perbezaan tarikh ini menganggap ia satu perkara yang agak sukar bagi menentukan tarikh yang sebenar. Beliau turut memberikan satu kesimpulan yang menarik dan perlu diambil perhatian: "(Usaha) penetapan hari kelahiran (Nabi SAW) tiada sebarang kaitan dari sudut pandang Islam. Maka, upacara sambutan yang diadakan adalah satu sambutan tuntutan keduniaan bukan galakan Syari'ah". (Fiqh al-Sirah. ms 60, Dar al-Kutub al-Hadithah).
 
Nilai semakin pupus
Kita selalu baca di surat khabar, melaporkan pelbagai institusi menunjukkan rasa kasih dan sayang ke atas Nabi Muhammad SAW dengan perarakan, sepanduk, perhimpunan yang besar malah penganugerahan bagi menggambarkan nilai kecintaan itu.
 
Ini merupakan amalan biasa dianjurkan saban tahun. Mengapa perlu dipersoalkan? Apakah ia benar-benar memenuhi tujuan rahmat yang dibawa Baginda SAW itu sendiri? Tatkala masyarakat kelas pertengahan dan bawahan bergelut dengan kenaikan bebanan hidup, ada si kecil yang mengumpul wang syiling bagi membayar yuran persekolahan, rakyat berbicara bebanan yang semakin meningkat dan senarai masalah yang bertimpa-timpa, perbelanjaan yang tidak kecil dikeluarkan bagi tujuan tersebut.
 
Anugerah Tokoh Maulid al-Rasul peringkat kebangsaan sahaja, secara keseluruhan menyediakan hadiah wang berjumlah melebihi dua ratus ribu ringgit Malaysia. Itu tidak termasuk perbelanjaan sampingan seperti persediaan majlis dan makan minum.
 
Sekiranya kita punyai hati nurani yang tulus, adakah wajar dengan seluruh isu bebanan orang fakir miskin itu, mengapa jumlah sebesar itu tidak 'disalurkan' pada mereka?
 
Golongan Sahabat RA apabila menyifatkan keperibadian Rasul SAW menggambarkan keseluruhan sifat yang baik seperti pemurah dan mengambil berat hal ehwal masyarakat sekeliling. Ibn 'Abbas RA menyatakan: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah orang paling pemurah dan puncak kemurahan baginda adalah sewaktu Ramadan. Baginda itu lebih pemurah daripada angin yang bertiup kencang". (Muttafaqun 'alaih)
 
Ini juga ditegaskan Khadijah RA dalam ucapannya: "Engkau (Nabi SAW) adalah orang yang menjaga silaturahim, suka membantu orang susah dan melarat, menjaga tetamu dengan baik..." (Riwayat Al-Bukhari).
 
Mungkin inilah yang ditakuti sebagai nilai yang makin pupus. Amatlah malang apabila kegembiraan dan keseronokan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, tanpa disedari nilai kemanusiaan yang diajarkan Baginda melalui kata-kata dan tindakan hanya tersimpan di balik helaian kitab hadis.
 
Cerita karut
Selain sambutan Maulidur Rasul yang tiada kaitan dengan agama, Muhammad al-Ghazali juga menafikan wujudnya cerita ajaib yang sama sekali tiada sumber dipercayai dalam periwayatan kisah tersebut.
 
Sehingga ada yang meriwayatkan cerita, terdapat seorang alim yang menziarahi kubur Baginda SAW dan memberikan salam lantas dijawab oleh Baginda. Lebih dahsyat daripada itu, Nabi Muhammad SAW menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.
 
Cerita karut sebegini bukan sahaja mampu merubah fokus asal memahami pengutusan Baginda SAW oleh ALLAH SWT kepada manusia, malah memburukkan wajah Islam di mata dunia. Sepatutnya, apabila menyebutkan kisah bersangkutan dengan Nabi Muhammad SAW, keabsahan rujukan adalah perkara yang amat dititikberatkan ulama Islam.
 
Apa yang ada dalam al-Quran dan Sunnah mencukupi untuk menggambarkan ketinggian Baginda di sisi ALLAH dan manusia. Islam hadir memerangi kebodohan dan kejahilan, tetapi ada kelompok yang tegar menggunakan kisah sebegini semata-mata untuk menarik perhatian pendengarnya.
 
Masyarakat Islam di Malaysia hari ini tidak lagi berasa gusar dengan bilangan ustaz dan orang agama bagi menerangkan agama dan bercerita susuk keperibadian Nabi Muhammad SAW. Tetapi, mereka kekurangan contoh realistik orang dan pengurusan agama Islam dalam mengikuti jejak langkah Rasul SAW.
 
Wakil Islam dalam mana-mana institusi masih lemah dan tidak aktif dalam membawa nilai yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Dalam mendepani isu kontroversi misalnya, kita lebih berminat menggunakan kuasa berbanding tampil menawarkan ruang dialog/debat bagi menyelesaikan isu keagamaan.
 
Bukan sedikit Nabi Muhammad SAW tampil menjawab dan berdebat dengan Yahudi Madinah dan Baginda berjaya mematahkan hujah mereka apabila cuba ingin merubah fakta.
 
Nilai yang sama sekali berbeza dengan realiti akhlak dan amalan Nabi Muhammad SAW dan kehidupan masyarakat Muslim kita pada hakikatnya melemahkan kita sendiri.
 
Sesungguhnya, ancaman di luar agama tidaklah sehebat seperti yang disangka, tetapi kegagalan kita mengkoreksi diri dan menjadikan nilai sebenar Rasul sebagai utusan ALLAH memandu urusan dunia dan akhirat telah membuatkan kita tidak bermaya.
 
 
 

* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014

0 comments:

Post a Comment