Mengingati Baginda SAW bukan dengan sekadar berselawat.
UMAT Islam di Malaysia secara khususnya boleh dikatakan sangat beruntung. Walaupun sedang diuji dengan banyaknya ancaman dari segi akidah, kekurangan sistem syariah dan kebejatan akhlak, namun masih disinari dengan nur Nabi Muhammad SAW.
Itulah nur kelahiran Baginda SAW yang sentiasa ditunggu dan disambut saban tahun setiap 17 Rabiulawal. Tidak dinafikan, masih ada lagi yang menyambutnya dengan sekadar sambutan.
Sekurang-kurangnya, masih lagi menjadi penyelamat bagi umat Islam di akhir zaman ini. Dengan harapan semakin tahun semakin ramai berpeluang mengingati dirinya adalah hamba ALLAH SWT yang beragama Islam maka sudah semestinya perlu mencintai Rasulullah SAW.
Hayatilah firman ALLAH yang bermaksud,
"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan kedatangan hari kiamat serta dia banyak menyebut ALLAH." (Surah al-Ahzab: 21)
Mengapa Nabi SAW diutuskan?
Pendakwah bebas dan juga penulis buku berbentuk islamik, Ustaz Amly Asenar menjelaskan, untuk meningkatkan penghayatan dan kefahaman dalam sambutan Maulidur Rasul maka perlu mengetahui mengapakah Rasulullah SAW diutuskan kepada kita?
Memang benar, kita mencintai dan memperlihatkan kecintaan tersebut namun nilai cinta itu akan hambar dan hanya omongan kosong tanpa mengetahui sebab Baginda SAW diutuskan.
"Rasulullah SAW diutuskan sebagai membawa perutusan daripada ALLAH. Apakah perutusan itu? ALLAH berfirman yang bermaksud:
"Dialah (ALLAH) yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jumuah: 2)
"Baginda SAW membawa utusan untuk menyampaikan ayat-ayat ALLAH kepada manusia. Apakah ayat-ayat itu? Syeikh Abdul Halim Mahmud seorang ulama besar Al-Azhar mengatakan, "Ayat-ayat ALLAH ialah segala ajaran-Nya, hukum-Nya dan taklif-Nya kepada semua manusia.
Sesungguhnya ALLAH tidak mahu meninggalkan manusia tanpa pertunjuk dalam urusan menguruskan kehidupan dengan tujuan membina satu masyarakat yang bertunjangkan akidah, akhlak dan syariat. Oleh sebab itu, ALLAH mengutuskan kepada penduduk bumi satu perlembagaan yang perlu diikuti".
"Lihatlah betapa besar tanggungjawab Baginda SAW! Maka tidak hairan apabila kita membaca riwayat hidupnya, pasti penuh dengan pengorbanan tanpa sedikit pun agenda mengaut keuntungan dunia dan menikmati kemewahan hidup," katanya kepada Halaqah.
Menurutnya, sewajarnya sambutan ini dimaknakan dengan tranformasi diri seperti yang dikehendaki oleh ALLAH dan Rasul-Nya. Cari dan galilah setiap sudut kehidupan Baginda SAW yang ada persamaan dengan diri kita nescaya akan ada panduan dan pertunjuk daripada Baginda SAW yang boleh dijadikan manfaat.
Positifnya Baginda SAW
Sebagai contoh, kehidupan Rasulullah SAW yang membesar tanpa kasih sayang daripada ayah dan ibunya. Begitu ramai anak-anak yatim di luar sana yang senasib dengan Baginda SAW. Malangnya, anak-anak yatim ini lebih senang menyalahkan takdir dan orang-orang yang berada di samping mereka. Mereka memberontak, menyalahkan, merosakkan diri.
Jika anak-anak ini membaca catatan hidup Baginda SAW maka sudah pasti hati mereka akan menjadi tenang. Betapa berharganya nilai diri seorang anak yatim walaupun tidak mendapatkan kasih sayang ibu bapa namun mereka mendapat kasih ALLAH dan Rasul sebagai ganti. Andainya mereka tahu!
"Rasulullah SAW membesar menjadi insan yang begitu pengasih kerana Baginda SAW tahu harga dan nilai kasih sayang itu. Sering mengusap kepala anak-anak yatim malah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang mengikut cara Baginda SAW. Peringatan yang berat diberikan kepada mereka yang suka makan harta anak yatim. Semua ini menggambarkan betapa lembutnya hati mereka yang mendapat kasih sayang ALLAH.
"Ketika kecil pula, Baginda SAW tidak menunjukkan sikap yang pasif atau kekurangan kerana tiada ayah dan ibu. Malah Baginda SAW lebih berdikari dan berterima kasih kepada semua ahli keluarga Baginda SAW seperti pakciknya Abu Talib yang sudi menjaga dan membesarkannya," katanya.
Ustaz Amly berkata lagi, bagi membahaskan kisah hidup Baginda SAW dalam konteks anak yatim sahaja mampu memberikan pelbagai pengajaran dan petunjuk. Oleh itu, bagi memaknakan sambutan dan selawat maka kenalilah diri dan carilah pertunjuk daripada kehidupan Baginda SAW.
Adakah anda seorang pemimpin? Pendidik? Pekerja? Suami? Isteri? Ibu? Ayah? Apa jua posisi anda maka anda berkewajipan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan.
Kenali Baginda SAW
Generasi hari ini perlu didekatkan dengan Rasulullah SAW dengan cara yang lebih menarik lagi. Bentuk penceritaan dan pembacaan mesti dibantu dengan kecanggihan teknologi yang ada. Dunia filem, kartun dan rancangan televisyen perlu bergerak sepenuhnya ke arah ini.
Dengan inilah anak-anak cucu mampu mengenali sedalamnya siapakah dia Nabi akhir zaman. Alangkah indahnya jika watak upin dan ipin yang begitu diminati kanak-kanak diselitkan sepenuhnya ajaran dan akhlak Rasulullah SAW daripada dimasukkan elemen Melayu sahaja.
Selain itu, membuka ruang yang luas kepada kanak-kanak dan remaja untuk menterjemahkan keperibadian Baginda SAW dalam apa jua bentuk daripada penumpuan diberikan kepada acara tarian dan nyanyian semata-mata. Apa yang disebutkan hanyalah pengamatan peribadi dan saya berkeyakinan apabila peluang diberikan maka ramai akan tampil memberikan idea dan tenaga.
Kemanisan sambutan dan selawat akan lebih dirasai dan bermakna apabila keperibadian Rasulullah SAW berada dalam diri setiap orang Islam. Bermula dengan pemimpin yang takutkan ALLAH dan seterusnya rakyat yang bekerja dengan jati diri seorang Muslim. Buktikan sambutan bukan sekadar berselawat!
* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014
0 comments:
Post a Comment