Pernahkah pembaca terfikir kenapa manusia diberikan ujian di dunia oleh Tuhan?
Apabila Tuhan menguji manusia dengan kesenangan, kadang-kadang manusia alpa dengan kesenangan yang Dia berikan. Tetapi apabila Tuhan menguji manusia dengan kesusahan, kesakitan, kita merasakan bahawa Tuhan itu kejam dan tidak sayangkan kita.
Dalam surah Al-Anam ayat 32 bermaksud :
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
Jadi disebabkan dunia ini hanya sementara, ia merupakan tempat ujian untuk menyiapkan kita menuju ke tempat abadi kita. Dunia ini ibarat dewan peperiksaan untuk manusia dan Tuhan itu merupakan pengawas peperiksaan. Jadi ingin dikongsikan sedikit sebanyak sebab mengapa manusia ini diuji.
1. Tahap Keimanan
Contohnya apabila kita belajar di sekolah, setiap akhir semester sudah pasti akan diadakan peperiksaan untuk menguji sejauh mana pemahaman kita di dalam subjek yang kita pelajari. Jadi mekanisme nya sama dengan tahap keimanan kita. Jika Tuhan tidak berikan ujian kepada kita, adakah kita tahu sejauh mana tingginya tahap keimanan kita? Adakah kita tahu jika Tuhan berikan kita ujian kesenangan kita tidak akan lalai dalam melakukan segala suruhannya? Atau jika diberikan ujian dalam bentuk kesusahan, adakah kita akan membelakangi Tuhan?
2. Kedudukan di sisi Tuhan
Kadang-kadang bagi seorang Islam yang sentiasa beramal dan meninggalkan laranganNya, dia akan cuba untuk meninggikan kedudukannya lebih tinggi di sisi Tuhan. Semakin banyak ujian yang diberikan oleh Allah swt, semakin tinggi kedudukan kita disisi Nya. Tuhan tidak pernah melihat rupa paras dan harta kita kerana itu semua milikNya, tetapi Dia melihat amal dan akhlak kita sebagai hambaNya di dunia.
3. Ajaran dari Tuhan
Ujian yang diberikan oleh Tuhan boleh dijadikan pedoman dan iktibar buat diri kita dan juga orang disekeliling kita. Memang susah sebenarnya untuk menghadapi sesetengah ujian yang diberikan oleh Tuhan. Tetapi sentiasa berfikiran positif, misalnya, cuba kita fikir, "Kalaulah Tuhan tak beri ujian seperti ini pada aku, nescaya aku akan lupa diri dan mungkin benda lebih buruk bakal terjadi kepadaku atau keluargaku." atau "Ujian Allah ini menunjukkan yang Allah swt sayangkan aku dan ingin aku segera bertaubat padanya dan ingat padaNya."
Surah Al-Ankabut [ 2-3 ]
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
4. Pedoman buat manusia
Seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini, Tuhan memberikan ujian pada kita supaya kita lebih beriman dan bersedia untuk menghadapi hari akhirat yang abadi. Selain itu juga, seperti kata Rasulullah saw, dunia itu bagaikan penjara bagi orang yang beriman tetapi syurga bagi orang yang kafir. Jadi diberikan ujian untuk membuatkan orang yang beriman itu tidak sabar menanti alam syurga yang kekal abadi.Tetapi anda harus ingat, Tuhan itu tidak kejam malah Allah swt itu maha adil dan maha penyayang. Dia tidak akan menurunkan ujian jika hambanya tidak mampu memikul beban ujian itu.
Surah Al-Baqarah [ 286 ]
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. a mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
* Sumber
0 comments:
Post a Comment