+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Thursday, 20 June 2013

Ganjaran berselawat

6/20/2013 08:47:00 pm

Share it Please

S

ELAWAT berasal daripada bahasa Arab, ia diambil daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

 

Selawat ALLAH SWT ialah pujianNya di sisi para malaikat, selawat malaikat ialah doa memohon gandaan pahala dan selawat Mukmin ialah berdoa memohon supaya ALLAH melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan dan kepujian kepada kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

 

Makna selawat daripada ALLAH kepada hambaNya pula adalah limpahan rahmat, kemuliaan dan keberkatan dariNya. (Kitab Zadul Masir)

 

Saban hari, kita membasahkan lidah dengan pujian kepada Rasulullah SAW sama ada dalam solat atau ketika melakukan apa-apa pekerjaan.

 

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: 56)

 

Semua ini menjadi bukti yang kukuh bahawa Muhammad memiliki kedudukan yang istimewa di sisi ALLAH, makhluk-makhluk di langit dan di bumi. Ia secara automatik membatalkan hujah golongan anti hadis yang menyatakan

 

Muhammad hanyalah manusia biasa yang membawa al-Quran sepertimana seorang posmen yang membawa surat. Seandainya Baginda seorang manusia biasa, sudah tentu ALLAH tidak akan menurunkan firmanNya.

 

Mudahnya cara untuk berselawat di zaman moden ini.

 

Bagaimana cara berselawat?

M

erujuk kepada pengertian di atas, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai cara berselawat kepada Baginda.

 

Lalu Baginda menjawab dengan mengajar cara bacaan selawat. Bacaan itu adalah apa yang selalu kita baca ketika duduk tasyahud dalam solat setiap hari. (Sahih Bukhari)

 

Di dalamnya terkandung ucapan salam kepada Rasulullah: “Assalamu ‘alaika aiyyuhan Nabi, waRahmatullahi waBarakatuh.” Terkandung juga ucapan selawat kepada Rasulullah SAW, iaitu apa yang dimulai dengan “Allahumma sholli ‘ala Muhammad…” hinggalah “…innaka hamidun majdi”.

 

Pendakwah bebas, Kapten Hafiz Firdaus Abdullah berkata, perlu diingatkan bahawa apa yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah sebaik-baik selawat ke atas Baginda.

 

“Terdapat dua perkara yang ingin saya gariskan. Pertama, hendaklah kita mengulang kaji bacaan selawat kita dan menyemaknya bagi memastikan ia bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda yang sahih. Apa yang dipelajari dan dihafal pada zaman sekolah lama dulu tidak mencukupi kerana mungkin tanpa disedari kita telah mengurangi atau menambahi sesuatu lafaz atau kalimah.

 

Kedua, tidak ada selawat yang lebih baik, lebih utama dan lebih bernilai berbanding apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah penjelas al-Quran dan Baginda telah menjelaskan apa yang diperintahkan oleh ayat 56 surah al-Ahzab di atas.

 

Perkara kedua ini saya gariskan kerana terdapat banyak selawat lain yang dibuat-buat oleh manusia, di mana mereka mendakwa ia adalah lebih baik.

 

Menurutnya, antara selawat yang dibuat-buat manusia adalah Selawat Munjiyat, Selawat Syifa dan Selawat Nur.

 

Mereka membuat selawat-selawat atas dakwaan ingin membuktikan kecintaan yang lebih kepada Rasulullah SAW.

 

Ini adalah tujuan yang betul tetapi dengan cara yang salah.

 

Membahagiakan yang dicintai

S

ebagai umat Nabi SAW, kita hendaklah melakukan perkara yang disukai Baginda. Kita mengaku mencintai Baginda tetapi tetap melakukan yang berlainan dengan amalannya.

 

“Bukti mencintai seseorang ialah melakukan apa yang disukai oleh orang yang dicintai, bukan apa yang disukai oleh orang yang mencintai. Yang terakhir hanyalah bukti bahawa orang itu mencintai dirinya sendiri dan bukan orang yang dia dakwa dicintainya.

 

“Ada juga yang mendakwa selawat-selawat tersebut memiliki kemujaraban tertentu. Selawat Syifa’ umpamanya, didakwa boleh menyembuhkan penyakit.

 

Padahal apa yang diajar oleh Rasulullah ketika sakit ialah berdoa kepada ALLAH, jumpa doktor untuk berubat dan bersabar, bukan berselawat kepada Baginda kerana Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan,” kata Hafiz Firdaus lagi.

 

Beliau yang juga kolumnis majalah dan penulis buku keagamaan berkata, oleh itu ketepikanlah pelbagai selawat buatan manusia dan ayuh kita kembali kepada selawat yang diajar oleh Rasulullah SAW sahaja.

 

Anjuran berselawat

S

esiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW dengan ikhlas dan betul akan menerima ganjaran yang besar. Maksud ikhlas ialah berselawat semata-mata kerana melaksanakan firman ALLAH dalam ayat 56 surah al-Ahzab dan bukan kerana sesuatu hajat umpama sembuh daripada penyakit.

 

Maksud betul ialah berselawat sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW, tanpa tambahan umpama “saidina” atau dengan selawat buatan manusia.

 

Antara ganjaran yang bakal diterima ialah sebagaimana sabda Baginda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Sahih Muslim)

 

Dalam hadis lain juga ada menyebut: “Sesiapa dalam kalangan umatku yang berselawat kepadaku dengan ikhlas dari dalam hatinya, maka dengan (selawat itu) ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali, mengangkat baginya sepuluh darjat, mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan baginya sepuluh keburukan.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

 

Jika orang yang berselawat mendapat ganjaran yang besar, maka orang yang enggan berselawat akan mendapat balasan sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan: “Orang yang kedekut ialah sesiapa yang apabila aku disebut di sisinya, dia tidak berselawat ke atasku.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

 


*Oleh SYAHIDATU L AKMAL DUN YA, Sinar Harian, 21 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment