+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Monday, 10 June 2013

Berzakat bawa keberkatan hidup

6/10/2013 12:26:00 am

Share it Please

S

OALAN : Dalam sebuah ceramah, seorang ustaz menekankan konsep keberkatan dalam kehidupan. Saya ingin bertanya, bagaimanakah keberkatan ini dapat dikaitkan dengan amalan zakat? Bukankah zakat satu kewajipan, jika tidak dilaksanakan maka kita berdosa. Jika dilakukan pula, mendapat pahala. Boleh dihuraikan perkara ini?

 

J

AWAPAN : Dalam sejarah Islam, sejak zakat diwahyukan pada tahun kedua Hijrah, ia menjadi satu kefarduan yang diterima dengan senang hati umat Islam (kecuali golongan munafik).

 

Apatah lagi, zakat dari sudut sosial adalah satu bentuk kebajikan. Ia adalah satu sifat kasihan belas yang mendatangkan ihsan hingga akhirnya disuburkan lagi oleh agama Islam dengan dijadikan satu daripada Rukun Islam.

 

Banyak kisah menarik pada tahap awal Islam yang mempamerkan betapa Nabi Muhammad SAW dan golongan sahabat Radiallahuanhum Ajmain adalah pelopor kepada sifat kasihan belas dan suka berderma ini.

 

Nabi Muhammad SAW sendiri digambarkan sebagai pemuda al-amin (yang amat dipercayai) yang amat menyantuni golongan miskin dan melarat. Digambarkan pada Zaman Jahiliah dan pra-Islam, golongan kaya di Kota Makkah sering kali mengeksploitasi golongan daif. Di antara keluarga miskin yang ditindas ialah keluarga Ammar bin Yasser.

 

Muhammad al-amin telah menzahirkan rasa kasih sayangnya apabila Baginda sering memberi makanan kepada orang miskin, membantu anak yatim dan memelihara kebajikan ibu tunggal. Bahkan, sifat kasihan belas Nabi menjangkau kepada semua makhluk ALLAH, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

 

Baginda SAW sendiri bertuah kerana disokong dan diperteguhkan lagi dengan kehadiran isteri tercinta, Khadijah Al-Khuwalaid RA yang terbukti di dalam sejarah memanfaatkan harta kekayaannya demi perjuangan Islam.

 

Sifat dermawan

S

ahabat nabi seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf adalah golongan yang banyak bersedekah dan menderma. Abu Bakar sendiri menebus Bilal bin Rabah apabila Bilal diseksa oleh tuannya dengan harga beratus dinar.

 

Justeru itu, apabila zakat diturunkan sebagai syariat, umat Islam menerimanya dengan lapang hati. ALLAH SWT memberikan petunjuk bahawa keberkatan itu lahir daripada amalan murni yang dinamakan zakat.

 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan DIA menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.” (Surah Maryam: 31)

 

Jadi, kenapakah dan bagaimanakah zakat melahirkan keberkatan? Jawapan mudah, ia adalah anugerah ALLAH. Apabila ALLAH SWT mengarahkan sesuatu syariat dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan.

 

Hikmah bersolat misalnya menatijahkan kejayaan dari aspek disiplin diri. Hikmah haji melahirkan kesatuan ummah dan integrasi antarabangsa. Hikmah berpuasa pula menumbuhkan ketaatan dan kesabaran kepada ALLAH SWT. Maka, hikmah zakat pula menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama.

Tanda berkat

B

erkat itu hakikatnya adalah subjektif. Ia tidak nampak dek mata namun dapat dirasai oleh mereka yang dipilih-Nya. Namun, kehadiran berkat dapat disaksikan oleh mata. Sebagai contoh, apabila rumah tangga yang dibina aman damai, isteri menghormati suami, anak mematuhi ibu ayah dan suami sendiri menjadi suami mithali, maka itulah petanda  keberkatan.

 

Petunjuk lain adalah apabila rezeki dikurniakan ALLAH sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan dan urusan seharian dimudahkan ALLAH juga adalah indikator keberkatan hidup yang mungkin telah dikurniakan ALLAH SWT.

 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah: 274)

 

Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan... dengan hanya memperuntukkan 2.5 peratus daripada rezeki atau pendapatan bulanan sebagai zakat, sudah memadai untuk memperoleh berkat-Nya.

 

ALLAH SWT sebenarnya Maha Tahu bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah minyak petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada-Nya.

 

Ekstrem berharta

T

ernyata, dunia ini dan kita semua adalah milik ALLAH. Maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang-Nya dan dalam masa sama mencari jalan menghindari perkara yang mendatangkan kebencian-Nya.

 

Oleh itu, antara perkara yang dibenci ALLAH ialah kita terlalu menumpukan kekayaan sehingga mengabaikan hak yang wujud pada harta tersebut. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrem dalam berharta.

 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih- lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak mengasihani orang yang berlebihan.” (Surah Al-A’raf: 31)

 

Sebaliknya, ALLAH SWT amat menyukai orang yang sentiasa berkasih sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam.

 

Firman-NYA lagi, “Belanjakanlah harta mu pada jalan ALLAH dan janganlah kamu mencampakkan diri mu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah: 195)

 

Kesimpulannya, zakat adalah satu jalan dari pelbagai alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkatnya sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya.

 

Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian dan di akhirat kelak nanti terhindar daripada seksaan neraka? Ingatlah... memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak badan kita yang perlu ditunaikan.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jasad kamu mempunyai hak, maka adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak tersebut.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan akhirat nanti. Wallahua’lam.

 


* Oleh WARTAWAN SINAR HARIAN, 10 Jun 2013

 

0 comments:

Post a Comment