+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Sunday, 30 June 2013

Tenang nampak ular, panik hanya bahayakan diri

Anggota JPAM Rantau Panjang menangkap ular dari rumah penduduk, di Rantau Panjang.

 

RANTAU PANJANG, 1 Julai 2013 – Orang ramai disaran tidak panik sekiranya terserempak haiwan berbisa seperti ular bagi mengelak dipatuk haiwan yang mampu membawa maut itu.

 

Ketua Skuad Bravo Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang, Mohd Johar Daud berkata, kebiasaannya orang ramai akan melarikan diri sekiranya menemui haiwan berbisa tersebut kerana bimbang akan dipatuk.

 

Menurutnya, beliau menyarankan orang ramai supaya bertindak bijak dengan mengalih pandangan haiwan tersebut di samping mengurangkan pergerakan bagi mengelak dikejar haiwan itu.

 

“Sekiranya terserempak dengan ular, sebagai langkah keselamatan, elakkan banyak pergerakan kerana tindakan tersebut bakal menarik perhatian haiwan itu.

 

“Orang ramai juga boleh bertindak dengan mencari kain atau guni seterusnya menutup kepala ular dan fokus juga kepada ekornya kemudiannya mereka boleh menangkapnya untuk diserahkan kepada pihak bertanggung jawab,” katanya ketika ditemui selepas menangkap ular sawa daripada sebuah rumah penduduk.

 

Mohd Johar berkata, kebanyakan ular ditemui di kawasan paya, semak dan kawasan lembap.

 

Menurutnya, tahun ini sahaja pelbagai jenis ular ditangkap jabatan itu yang kebanyakan berada di sekitar kediaman penduduk dan tempat peliharaan ternakan.

 

“Tahun ini kita menerima banyak kes melibatkan pelbagai jenis ular sama ada yang berada dalam rumah mahu pun sekitar kediaman penduduk,” katanya.

No comments

Friday, 28 June 2013

Penjualan, penggunaan shisha haram: Jawatankuasa Fatwa Perlis

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis haramkan shisha

 

KANGAR, 28 Jun 2013 - Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

 

Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lalu membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

 

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.

 

Dr Juanda berkata, amalan menghisap shisha bukan saja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

 

Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.

 

Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.

 

Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.

 

"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.

 

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa. - Bernama

No comments

Hikmah diutus Rasul kalangan manusia

P

ara sahabat Nabi adalah generasi paling faham hadis Nabi SAW. Mereka beriman dan mematuhi apa sahaja yang dikhabarkan Nabi SAW tanpa sebarang soalan dan argumen. Mereka terus beriman tanpa tangguh. Bilakah kita hendak mencontohi mereka?

 

Kita asyik beri alasan, sahabat Nabi hidup zaman lain, kita hidup zaman lain. Mereka lain kita lain. Kalau begitu tidak perlulah kita mengambil apa pun daripada mereka. Untuk apa ALLAH menceritakan tentang kedudukan dan kemuliaan generasi ini.

 

Untuk apa ALLAH menceritakan bahawa Muhammad itu uswatun (suri tauladan) yang terbaik bagi kita. Untuk apa ALLAH menceritakan dalam al-Quran bahawa Muhammad itu manusia biasa, “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku ini hanya manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku.” (Surah Al Kahfi, 18: 110).

 

ALLAH menjadikan Muhammad daripada kalangan manusia biasa. Mengapa kalau bukan untuk memudahkan kita mengikutinya tanpa sebarang alasan. Kalau ALLAH memilih Rasul daripada kalangan malaikat, manusia akan mempunyai banyak alasan, ‘Dia malaikat, dia tidak mengantuk, tidak lapar, tidak kahwin, tidak ada nafsu. Kita lain.

Ada pula kalangan masyarakat kita yang mempelajari ilmu kebal. Sedangkan Nabi dan para sahabat pergi berperang ramai yang mati syahid, pecah-pecah muka Nabi, Baginda pengsan beberapa kali, patah gigi-gigi Nabi SAW. Sahabat ada yang terputus tangannya. Tidak pernah lagi kita dengar dalam hadis ada sahabat Nabi yang kebal dalam peperangan. Jadi mengapa kita hendak menuntut ilmu kebal?

 

Ini bezanya kedudukan kita dengan mereka. Kita tidak mencontohi dan mengikuti suri tauladan yang ALLAH perintahkan untuk kita ikuti. Memang kita tidak akan dapat mencapai kesempurnaan Nabi, tetapi setidak-tidaknya, jejak yang Nabi tinggalkan wajib kita ikuti. Kita wajib berusaha untuk memastikan berada di atas jalan Baginda.

 

Kita juga dituntut merujuk sahabat-sahabat Baginda yang berada di sekeliling Baginda. Mereka adalah orang-orang yang perlu kita jadikan ikon, kerana mereka inilah orang yang konsisten mengikut Nabi.

 

Adapun manusia zaman kita hari ini, dia cakap begini, pada masa lain dia cakap lain. Mulutnya kata begitu, perbuatannya tidak seperti apa dia ucapkan. Tidak konsisten. Sedangkan dalam beragama kita kena konsisten. Dalam beragama kita kena pastikan bahawasanya kita bersama-sama dengan Nabi dan para sahabat.

 

Apabila Nabi menjelaskan dalam hadis masyhur, hadis Abu Hurairah dan yang lainnya, “Akan berpecah umatku menjadi 73 kelompok. Semuanya di dalam neraka kecuali satu.” Sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang satu) wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad).

 

Dalam riwayat lain Baginda ditanya, siapakah satu golongan yang selamat itu? Baginda menjawab: Al-Jamaah. (Riwayat Ibnu Majah). Al-Quran menjelaskan keutamaan mengikuti petunjuk Nabi dan para sahabatnya.

 

Firman ALLAH maksudnya, “Dan barang siapa yang menentang/memusuhi Rasul sesudah nyata baginya al-hidayah (kebenaran) dan dia mengikuti selain jalannya orang-orang mukmin, niscaya akan Kami palingkan (sesatkan) dia ke mana dia berpaling (tersesat) dan akan Kami masukkan dia ke dalam Jahannam dan (Jahannam) itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali.” (An-Nisa’ : 115).

 

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah di muqaddimah kitabnya “Naqdlul Mantiq” menafsirkan ayat “jalannya orang-orang mukmin” (bahawa) mereka adalah para sahabat.

 

Maksudnya bahawa ALLAH menegaskan barang siapa yang memusuhi atau menentang Rasul dan mengikuti selain jalannya para sahabat sesudah nyata baginya kebenaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah dan didakwahkan dan diamalkan oleh Rasulullah bersama para sahabatnya, maka ALLAH akan menyesatkannya ke mana dia tersesat (yakni dia terumbang-ambing dalam kesesatan).

 

Ayat yang mulia ini merupakan sebesar-besar ayat dan dalil yang paling tegas dan terang tentang kewajiban besar bagi kita untuk mengikuti “jalannya orang-orang mukmin” iaitu para sahabat. Yakni cara beragamanya para sahabat atau manhaj mereka berdasarkan nash al-Kitab dan as-Sunnah di antaranya ayat di atas.

 


*Sinar Harian, 23 Jun 2013

No comments

Thursday, 27 June 2013

Penapis rokok dari darah babi

Banjarmasin, 27 Jun 2013 - Ketua Suruhanjaya Pengendalian Tembakau Nasional berkata, penapis rokok yang digunakan secara meluas di Indonesia mengandungi bahan berasal daripada darah babi.

 

Dr Hakim Sarimuda Pohan berkata, hemoglobin atau protein darah babi digunakan dalam penapis rokok untuk menyaring racun kimia agar tidak masuk ke dalam paru-paru perokok.

 

Bercakap pada dialog mengenai bahaya merokok di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, semalam, Hakim berkata, beliau yakin penapis yang diimport untuk digunakan pada rokok di Indonesia adalah komponen daripada darah babi.

Katanya, perkara itu diketahui apabila ia didedahkan oleh Profesor Kesihatan Masyarakat dari Universiti Sydney, Simon Chapman.

 

Chapman dilaporkan mengingatkan perkara itu kepada golongan agama tertentu dengan merujuk kajian yang dilakukan di Belanda yang mendedahkan bahawa 185 syarikat menggunakan hemoglobin babi sebagai bahan membuat penapis rokok.

 

Hakim berkata, sudah sepatutnya umat Islam di Indonesia menjauhi barang yang jelas haram di sisi agama. - Agensi

 

No comments

Wednesday, 26 June 2013

Mustahaknya ilmu mengurus sistem

I

SLAM adalah agama yang tidak saja memberikan manusia asas kepercayaan (system of belief) tetapi juga sebagai Suatu Cara Hidup (A way of Life). Sistem kekhalifahan dalam al-Quran sangat luas maksudnya. Ia tidak saja merujuk kepada daya kepimpinan diri tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara.

 

ALLAH tidak saja mencipta manusia sebagai khalifahnya di muka bumi tetapi mencipta rahmah dan nikmah yang banyak untuk manfaat manusia juga. ALLAH ciptakan udara dan air, pohon-pohon dan gunung-ganang bermaksud mengajak manusia berfikir tentang-Nya dan hikmah diciptakan alam ini.

 

ALLAH ciptakan sumber-sumber dalam perut bumi seperti minyak, gas, air bawah tanah, uranium, thorium dan banyak lagi bagi sumber tenaga dan minuman. Semuanya ini adalah khazanah ALLAH yang perlu dimanfaatkan dengan ilmu.

 

Di sinilah pentingnya ilmu mengurus sistem kerana sumber rahmah dan nikmah itu adalah baik untuk perjalanan sistem. Sejarah silam yang mampu membangun tamadun umat Islam tidak saja memberi fokus dalam bidang diniah atau ilmu mengurus diri tetapi juga ilmu mengurus sistem yang sifatnya ketamadunan.

 

Antara faktor menyebabkan tamadun Andalusia lahir ialah terjadinya sinergi dan integrasi antara ilmu mengurus diri dan sistem di kalangan ilmuwannya.

 

Ibn Sina tidak saja hafaz al-Quran pada umur yang awal tetapi memahami inti sari al-Quran, menguasai ilmu-ilmu lain seperti muzik, mantik falsafah dan sains, menguasai pelbagai bahasa, ilmu perubatan dan menghasilkan ratusan kitab sains dan perubatan yang tinggi nilainya.

 

Abu Qasim az Zahrawi juga hafiz al-Quran waktu umur yang awal, memahami inti sari al-Quran, menekuni ilmu sains dan perubatan serta pakar dalam ilmu bedah atau surgeri.

 

Beliau menghasilkan banyak peralatan ilmu bedah yang digunakan di Eropah dan tempat-tempat lain di dunia.

 

Contoh di atas memberikan asas bagaimana fokus ilmuwan Islam tidak saja dalam bidang diniah atau agama, tetapi menjadikan Islam sebagai landasan bagaimana sistem diurus. Kekuatan ini menyebabkan lahir tamadun Islam yang mampu menjadi contoh dan sumber ikutan orang lain.

 

Tetapi faktor diniah harus mampu diterjemahkan supaya perkembangan faktor sains dan teknologi menjadi usaha penting dengan dipedoman oleh al-Quran dan as-Sunnah.

 

Etika dan nilai yang berasaskan al-Quran menjadikan manusia lebih manusiawi dalam aplikasi. Ia bakal mengangkat akal-budi insan.

 

Kalau tidak aplikasinya bercorak nafsu-nafsi yang bakal membentuk watak haiwani. Pertimbangan aplikasi sains dan teknologi yang mengambil pertimbangan ALLAH menyebabkan kecenderungan salah guna tidak berlaku.

 

Usaha pengklonan umpamanya semakin maju kini. Tetapi ia memerlukan etika yang baik supaya ia tidak bercanggah dengan pedoman asas al-Quran iaitu faktor aplikasi dan penggunaan yang boleh memberi kesan terhadap faktor kesejahteraan manusia mengikut acuan yang fitrah.

Justeru, amat penting umat Islam menguasai bidang ilmu mengurus sistem yang sifatnya dalam acuan fitrah dan mendukung risalah mensejahterakan umat manusia.

 

Hikmah kejadian dan ciptaan ALLAH hendaklah dikaji sebaik mungkin supaya ia tidak tergelincir dari maksud memahami kebesaran ALLAH itu sendiri dan meyakini kewujudan dan upaya penciptaanNya.

 

Sudan sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber alamnya tidak memberi fokus kepada penampilan ilmu mengurus sistem dalam sistem madrasahnya. Kekayaan di perut buminya diteroka dan menjadi bahan eksploitasi oleh pihak luar dan akhirnya menjadikan Sudan negara tidak membangun.

 

Peristiwa Dharfor yang menyayat hati tidak sewajarnya berlaku sekiranya kurikulum dalam sistem pendidikan mengambil pertimbangan menekuni penghasilan ilmu mengurus sistem yang memberi fokus kepada pengkhususan ilmu kejuruteraan petroleum, gas, air bawah tanah, uranium dan thorium supaya sumber tenaga galian dan pertanian ini dapat membangunkan Sudan menjadi sebuah negara yang maju.

 

ALLAH kurniakan hampir di semua negara-negara umat Islam dengan kekayaan sumber-sumber yang sama. Sekiranya ilmu mengurus sistem dalam sistem pendidikan dibangunkan seiring dengan ilmu diniah manifestasinya akan menghasilkan sumber daya atau modal insan yang lebih seimbang dan menyeluruh dan holistik sifatnya. Ia bakal menjadikan umat Islam maju dan tampil memimpin zaman dan perubahan lebih bermakna.

 


*Oleh CIKGU SIDEK BABA, Sinar Harian, 27 Jun 2013

No comments

Tuesday, 25 June 2013

Jangan ambil mudah fatwa haram merokok

KUCHING, 25 Jun 2013 - Masih ramai umat Islam di negara ini mengambil mudah mengenai fatwa "merokok adalah haram" yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam pada 1995.

 

Justeru, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Abdul Rahman meminta umat Islam, khususnya di negeri itu memahami maksud tersirat di sebalik pengharaman berkenaan.

 

"Kita tidak mahu kehidupan kita dibelenggu dengan perbuatan yang diharamkan oleh Islam serta memudaratkan kesihatan kita," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2013, di sini hari ini.

"Keputusan muzakarah yang diputuskan banyak berkait rapat dengan kepentingan nasional dan masyarakat awam yang perlu diberi perhatian dan dipatuhi.

 

Program seperti ini merupakan wadah yang amat baik bagi menyebar luas keputusan-keputusan fatwa yang telah dibincang bagi pengetahuan kefahaman masyarakat  awam," katanya.

 

Seminar hari ini menumpukan tiga isu penting iaitu rokok, pelalian, dan pengguguran bayi dengan penekanan kepada isu kesihatan yang telah dikenal pasti bagi mendidik masyarakat Islam tentang pandangan agama dan hukum mengenai isu berkenaan.  - Bernama

No comments

Amerika, China dan pendidikan

S

AYA sering ditanya ibu bapa yang gelisah tentang tempat terbaik untuk hantar anak mereka ke sekolah dan universiti.

 

Sebagai siswa universiti di Britain, ramai beranggapan saya akan mempromosikan institusi pengajian di UK. Anggapan ini mungkin benar buat masa lampau, namun saya semakin kurang yakin semenjak kebelakangan ini.

 

Malah, ibu bapa di Malaysia yang bijak pandai sudah menjangkakan perubahan pola ini dan menghantar anak mereka ke Amerika Syarikat (AS), terutamanya institusi-institusi di Pantai Timur dan kolej ‘Ivy League’.

 

Pada masa sama, hampir kesemua anak muda Malaysia berbangsa Cina daripada keluarga berada  kini ke Beijing selama sekurang-kurangnya setahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin mereka. Malah sesetengahnya mengikuti kursus di universiti terkemuka bandar itu, Universiti Peking.

 

Pada saya, ini merupakan kombinasi yang bagus: membuka mata anak muda tentang kehidupan di dua negara paling berkuasa dan dinamik di dunia.

 

Ini tidak bermakna graduan dari AS (termasuk ‘Ivy League’) lebih pandai daripada mereka yang menuntut di Britain. Namun, mereka memang lebih bijak.

 

Bagaimanapun kualiti ini selalunya lesap apabila pendapat mereka diterjemahkan di atas kertas. Sememangnya, saya tidak memahami nilai yang dibawa ujian aneka pilihan yang amat sebati dengan sistem pendidikan AS. Apakah faktor di sebalik pola ini?

 

Yang pasti, universiti-universiti di AS mempunyai kelebihan dari segi wang ringgit dan persatuan pelajar yang penuh kepelbagaian. Ini kemudiannya menjurus kepada rangkaian yang cukup berpengaruh untuk masa depan pelajar-pelajar lain.

 


Pada masa sama,  salah seorang siswa terkemuka yang baru menamatkan pelajaran di Britain adalah Bo GuaGua, anak  bekas pemimpin Parti Komunis yang kini ditahan, Bo Xilai. GuaGua belajar di sekolah  elit di Britain, Harrow diikuti Kolej Balliol di Universiti Oxford.

 

Ketika kejatuhan ibu bapa beliau dari singgahsana, pilihan pendidikan GuaGua jelas menjadi bukti - ibu bapanya ketinggalan zaman dan kurang berhati-hati.

 

Dengan China kini  ada jumlah tertinggi bagi pelajar yang belajar di luar negara (mengatasi India), pengalaman GuaGua di UK mungkin menjadi pengaruh paling besar untuk menghalang ibu bapa lain di Beijing dan Shanghai.

 

1 juta pelajar China kini belajar di luar negara di penghujung 2006, dan pada 2011 sahaja, 340,000 pelajar telah pergi ke luar negara.

 

Perubahan ini mungkin memakan masa kerana London masih lagi sebuah hab kewangan yang penting walaupun kuasa diplomatik mereka kian merosot.

 

Namun, persaingan hebat di antara kuasa-kuasa besar merentasi Lautan Pasifik ini bermakna US punya tarikan kuat untuk ibu bapa dari China yang ingin menyediakan anak mereka untuk zaman mendatang.

 

Anak-anak golongan kaya di China kini belajar di institusi seperti Akademi Phillips Andover (ditubuhkan pada 1778 dan alma mater Presiden George W Bush), pesaingnya Phillips Exeter (1781) dan Groton School (1884 - tempat persekolahan Presiden Franklin Delano Roosevelt).

 

Institusi-institusi ini menarik perhatian ibu bapa di China kerana ia memberikan anak-anak mereka kelebihan untuk diterima masuk ke universiti ‘Ivy League’ seperti Harvard atau Yale. Malah Bo GuaGua sendiri menuntut di Harvard Kennedy School (HKS) untuk kursus polisi awam selepas tamat belajar di Oxford.

 

Statistik dari US Department of Homeland Security menunjukkan terdapat 6,725 pelajar dari China di sekolah menengah pada 2011, berbanding hanya 65 pada tahun 2006. Secara keseluruhan, lebih 157,000 pelajar dari China belajar di AS pada tahun itu -  22 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar asing.

 

China sekali lagi melangkaui India sebagai sumber terbesar bagi pelajar asing di AS pada 2010. Sebaliknya, Malaysia hanya menghantar 6,190 pelajar ke AS pada tahun itu.


Ini mungkin menunjukkan  rakyat Malaysia masih mendambakan institusi pendidikan Britain - walaupun ia mungkin menjadi kelemahan kita.

 

Ketika artikel ini ditulis, minda paling bijak dan pintar daripada dua kuasa besar dunia sedang membina persahabatan di dewan kuliah dan halaman sekolah di AS dan juga semakin hari, di China.

 

Mungkin, pertembungan di antara China dan Barat yang amat dikhuatiri tidak akan berlaku apabila anak-anak muda dari negara-negara itu sendiri sedang sibuk bersaing sesama sendiri di dalam institusi-institusi elit masing-masing.

 


*Oleh KARIM RASLAN, Sinar Harian, 25 Jun 2013

No comments

Friday, 21 June 2013

Kencing Berdiri

Umumnya membuang air kencing sambil berdiri bagi seseorang lelaki tidak haram, malah dibenarkan dalam beberapa keadaan. 

Perkara ini pernah berlaku pada Rasulullah SAW. Menurut Hudhaifah RA: “
Suatu ketika Nabi SAW pernah singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, baginda membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi baginda malah berkata: “Mendekatlah ke mari.” Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khaufnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Dengan kata lain, kencing berdiri dibenarkan apabila dapat menjaga pakaian dan diri daripada terkena najis. Ia pula sesuai dengan tempat tertentu. Lebih-lebih lagi apabila ada tandas khusus dan sebagainya. Ia sudah tentu tidak menyerupai syaitan. 

Bagaimanapun, pada kebiasaannya, Rasulullah SAW buang air kecil sambil duduk (mencangkung). Cara kencing sambil duduk lebih baik berbanding kencing sambil berdiri kerana seseorang dapat menjaga kebersihan secara lebih sempurna kerana air kencing tidak terpercik jauh. 

Selain itu, cara kencing sambil duduk juga dapat memastikan air kencing keluar habis.

No comments

Thursday, 20 June 2013

Beberapa tips dan langkah menegur orang

B

agaimana nak tegur kesalahan seseorang dengan baik? Kita selalu tersilap langkah ketika menegur kesalahan orang lain.

 

Dekat dalam dunia ni ada orang yang boleh menerima pendapat orang lain dan ada kerjanya nak membangkang orang saje. Tapi bergantung jugak bagaimana cara kita menegurnya. Bila ada yang terasa mulalah hidup rasa tak tenang, hilang kawan, ada musuh, disisihkan dan sebagainya.

 

 

Mengkritik atau menegur kesilapan orang tidak semudah disangka. Hubungan baik perlu dijaga supaya matlamat sampai dan tiada orang yang terluka. Jangan sesekali menegur seseorang bila dia dalam keadaan yang tidak okay, pasti anda akan terkena tempias. Nak menegur orang pun ada caranya, walau dengan kenalan rapat anda. Jangan main terjah je!. Jadi nak tahu macam mana agaknya cara nak menegur seseorang dengan baik :)

 

1)    Perhatikan Mood, sebelum menegur tentukan anda peka dengan keadaan emosinya. Pastikan dirinya dalam keadaan tenang, tidak sedih atau terlalu gembira.

 

2)    Anda dinasihatkan tidak menegur mereka pada saat mereka sedang gembira, kerana silap hari bulan moodnya boleh berubah sekelip mata.

 

3)    Tiada Orang Sekeliling, pastikan juga anda menegur ketika dia berseorangan. Jangan menegurnya di hadapan orang ramai khususnya sewaktu dia bersama teman-teman rapat. Jika di tempat awam pula tentukan suasananya tidak terlalu bising atau sesak dengan orang ramai.

 

4)    Mulakan Dengan Pujian, manusia memang suka dipuji, oleh kerana itu sebelum memberi komen apa kata anda berikan sedikit puji-pujian. Namun biarlah pujian tersebut berasas dan kedengaran ikhlas. Dan mestilah berpada-pada dan kena dengan tempat juga.

 

5)    Perlu Ada Penyelesaian, pabila menegur tentukan anda mempunyai penyelesaian kepada kritikan atau teguran. Janganlah tahu menegur kesilapan orang semata tetapi anda tiada cadangan atau buah fikiran untuk memperbaiki atau menyelesaikan masalah. Teguran tanpa penyelesaian boleh dianggap sebagai kritikan tidak berasas atau bahasa mudahnya ‘kondem’.

 


* Sumber

No comments

Jangan dayus wahai lelaki

S

OALAN: Ramai  lelaki kurang faham erti dayus dengan jelas. Apakah makna perkataan dan perbuatan yang menjuruskan perlakuan tersebut?

 

J

awapan: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang ALLAH tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.” (Riwayat Ahmad dan Al-Nasaie)

 

Dayus disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu daripada Ammar bin Yasir berkata, dia mendengar daripada Rasulullah SAW berkata: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?” Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Riwayat Al-Tabrani: Majma az-Zawaid, 4/327)

 

      Daripada hadis di atas, maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dengan siapa isteri dan anaknya bersama dan bertemu. Malah, ada yang membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang lelaki lain.

 

Soalan yang sama daripada sahabat mengenai siapakah dayus? Lalu jawab Nabi SAW, maksudnya: “Apakah dayus itu wahai Rasulullah?” Jawab Nabi: “Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, membuka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi).

 

      Tafsiran golongan ulama berkenaan istilah dayus adalah “Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

 

Imam Al-‘Aini berkata: “Cemburu lawannya dayus.”

Berkata pula Al-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya daripada ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram."

 

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir, maksudnya: “Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) apabila dia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya dia tidak mengubahnya.”

 

Al-Munawi mencatatkan kata-kata Imam Ibn Qayyim berkenaan dayus: "Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barang siapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga jauh daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali." (Faidhul Qadir, Al-Munawi, 3/430)

 

Dayus adalah dosa besar

U

lama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar, maksudnya: “ALLAH telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya)."

 

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang dipakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki. Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrif golongan ulama mengenai erti dayus dan istilah yang hampir dengannya, maksudnya: “Al-Qawwad (istilah yang disamakan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah ’orang tengah’ kepada zina.”

 

Imam al-Zahabi berkata, maksudnya: "Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan dia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat.” (Al-kabair, 1/45)

 

Cemburu dituntut Islam

A

da isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Sebenarnya, kita perlu fahami bahawa ia adalah tuntutan Islam dan menunjukkan suami yang bertanggungjawab.

 

Bergembiralah si suami yang memperoleh isteri solehah. Ini kerana, tanpa sebarang campur tangan dan nasihat daripada sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada tanda kebahagiaan anak Adam adalah memperoleh wanita solehah (isteri dan anak).” (Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168)

 

      Jika seorang bapa mengetahui perbuatan ‘ringan-ringan’ anak perempuan atau lelaki mereka dan membiarkannya, maka dia adalah dayus.

 

Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau terlanjur sebelum kahwin dan tanpa taubat yang sebenar-benarnya, sudah pastilah rumah tangga mereka akan goyah.

 

Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan perbuatan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain. Hanya dengan bertaubat nasuha dapat menghalang aktiviti mungkar itu daripada melepasi alam rumah tangga mereka.

 

Jika hal ini dibiarkan, ia akan merebak pula kepada anak mereka, seterusnya kepada zuriat mereka. Awas! Dalam hal ini, semua suami dan bapa perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka daripada dianggap sebagai dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak telefon bimbit dan beg isteri untuk memastikan tiada yang diragui.

 

Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka, demi menjaga maruah dan kehormatan isteri serta anaknya.

 

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, maksudnya: "Berkata Ubadah bin Somit RA: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteri ku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedang ku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi memberi jawapan: “Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad?

 

Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu daripada ku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji  yang ternyata dan tersembunyi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

 

Lihat betapa ALLAH SWT dan rasul-NYA menginginkan golongan suami dan ayah mempunyai sifat pelindung kepada ahli keluarga daripada melakukan sebarang perkara keji dan mungkar.

 

Lelaki menjadi dayus apabila:

1.    Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain selama mereka bekerja atau di luar rumah.

 

2.    Membiarkan isterinya pulang lewat, serta tidak diketahui bersama siapa, serta apa yang dibuatnya ketika dia bekerja.

 

3.    Membiarkan aurat isteri dan anak perempuan dewasanya terdedah (terselak kain) ketika menaiki apa jua kenderaan.

 

4.    Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya.

 

5.    Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahramnya di rumah. Kononnya, ibu bapa mereka sporting dan memahami.

 

6.    Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.

 

7.    Membiarkan anak perempuan menyertai akademi hiburan yang boleh mempamerkan kecantikan mereka kepada jutaan manusia bukan mahram.

 

8.    Membiarkan isteri atau anaknya menjadi pelakon dan membiarkan mereka berpelukan dengan lelaki lain. Kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon, nafsu seorang lelaki itu akan hilang? Tidak sekali-sekali!

 

9.    Membiarkan isteri bekerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

 

RAsulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid.” (Riwayat Ahmad)

 


*Sumber Sinar Harian, 20 Mei 2013

No comments

Ganjaran berselawat

S

ELAWAT berasal daripada bahasa Arab, ia diambil daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

 

Selawat ALLAH SWT ialah pujianNya di sisi para malaikat, selawat malaikat ialah doa memohon gandaan pahala dan selawat Mukmin ialah berdoa memohon supaya ALLAH melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan dan kepujian kepada kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

 

Makna selawat daripada ALLAH kepada hambaNya pula adalah limpahan rahmat, kemuliaan dan keberkatan dariNya. (Kitab Zadul Masir)

 

Saban hari, kita membasahkan lidah dengan pujian kepada Rasulullah SAW sama ada dalam solat atau ketika melakukan apa-apa pekerjaan.

 

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: 56)

 

Semua ini menjadi bukti yang kukuh bahawa Muhammad memiliki kedudukan yang istimewa di sisi ALLAH, makhluk-makhluk di langit dan di bumi. Ia secara automatik membatalkan hujah golongan anti hadis yang menyatakan

 

Muhammad hanyalah manusia biasa yang membawa al-Quran sepertimana seorang posmen yang membawa surat. Seandainya Baginda seorang manusia biasa, sudah tentu ALLAH tidak akan menurunkan firmanNya.

 

Mudahnya cara untuk berselawat di zaman moden ini.

 

Bagaimana cara berselawat?

M

erujuk kepada pengertian di atas, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai cara berselawat kepada Baginda.

 

Lalu Baginda menjawab dengan mengajar cara bacaan selawat. Bacaan itu adalah apa yang selalu kita baca ketika duduk tasyahud dalam solat setiap hari. (Sahih Bukhari)

 

Di dalamnya terkandung ucapan salam kepada Rasulullah: “Assalamu ‘alaika aiyyuhan Nabi, waRahmatullahi waBarakatuh.” Terkandung juga ucapan selawat kepada Rasulullah SAW, iaitu apa yang dimulai dengan “Allahumma sholli ‘ala Muhammad…” hinggalah “…innaka hamidun majdi”.

 

Pendakwah bebas, Kapten Hafiz Firdaus Abdullah berkata, perlu diingatkan bahawa apa yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah sebaik-baik selawat ke atas Baginda.

 

“Terdapat dua perkara yang ingin saya gariskan. Pertama, hendaklah kita mengulang kaji bacaan selawat kita dan menyemaknya bagi memastikan ia bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda yang sahih. Apa yang dipelajari dan dihafal pada zaman sekolah lama dulu tidak mencukupi kerana mungkin tanpa disedari kita telah mengurangi atau menambahi sesuatu lafaz atau kalimah.

 

Kedua, tidak ada selawat yang lebih baik, lebih utama dan lebih bernilai berbanding apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah penjelas al-Quran dan Baginda telah menjelaskan apa yang diperintahkan oleh ayat 56 surah al-Ahzab di atas.

 

Perkara kedua ini saya gariskan kerana terdapat banyak selawat lain yang dibuat-buat oleh manusia, di mana mereka mendakwa ia adalah lebih baik.

 

Menurutnya, antara selawat yang dibuat-buat manusia adalah Selawat Munjiyat, Selawat Syifa dan Selawat Nur.

 

Mereka membuat selawat-selawat atas dakwaan ingin membuktikan kecintaan yang lebih kepada Rasulullah SAW.

 

Ini adalah tujuan yang betul tetapi dengan cara yang salah.

 

Membahagiakan yang dicintai

S

ebagai umat Nabi SAW, kita hendaklah melakukan perkara yang disukai Baginda. Kita mengaku mencintai Baginda tetapi tetap melakukan yang berlainan dengan amalannya.

 

“Bukti mencintai seseorang ialah melakukan apa yang disukai oleh orang yang dicintai, bukan apa yang disukai oleh orang yang mencintai. Yang terakhir hanyalah bukti bahawa orang itu mencintai dirinya sendiri dan bukan orang yang dia dakwa dicintainya.

 

“Ada juga yang mendakwa selawat-selawat tersebut memiliki kemujaraban tertentu. Selawat Syifa’ umpamanya, didakwa boleh menyembuhkan penyakit.

 

Padahal apa yang diajar oleh Rasulullah ketika sakit ialah berdoa kepada ALLAH, jumpa doktor untuk berubat dan bersabar, bukan berselawat kepada Baginda kerana Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan,” kata Hafiz Firdaus lagi.

 

Beliau yang juga kolumnis majalah dan penulis buku keagamaan berkata, oleh itu ketepikanlah pelbagai selawat buatan manusia dan ayuh kita kembali kepada selawat yang diajar oleh Rasulullah SAW sahaja.

 

Anjuran berselawat

S

esiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW dengan ikhlas dan betul akan menerima ganjaran yang besar. Maksud ikhlas ialah berselawat semata-mata kerana melaksanakan firman ALLAH dalam ayat 56 surah al-Ahzab dan bukan kerana sesuatu hajat umpama sembuh daripada penyakit.

 

Maksud betul ialah berselawat sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW, tanpa tambahan umpama “saidina” atau dengan selawat buatan manusia.

 

Antara ganjaran yang bakal diterima ialah sebagaimana sabda Baginda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Sahih Muslim)

 

Dalam hadis lain juga ada menyebut: “Sesiapa dalam kalangan umatku yang berselawat kepadaku dengan ikhlas dari dalam hatinya, maka dengan (selawat itu) ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali, mengangkat baginya sepuluh darjat, mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan baginya sepuluh keburukan.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

 

Jika orang yang berselawat mendapat ganjaran yang besar, maka orang yang enggan berselawat akan mendapat balasan sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan: “Orang yang kedekut ialah sesiapa yang apabila aku disebut di sisinya, dia tidak berselawat ke atasku.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

 


*Oleh SYAHIDATU L AKMAL DUN YA, Sinar Harian, 21 Jun 2013

No comments