+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Tuesday, 21 May 2013

Maaf, tidak semesti melupakan

5/21/2013 01:59:00 am

Share it Please

A

LLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada ALLAH dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri.” (Surah An-Nisa' : 36)

 

Pendakwah dan penceramah, Ustaz Mohd Ashrof Zaki Yaakob berkata, "apa juga keadaan ibu atau bapa, baik atau buruk ia tetap tidak memutuskan tanggungjawab anak kepada mereka.

 

"Begitulah juga halnya keadaan seorang anak yang telah dianiaya atau diabaikan ibu atau ayah. Walaupun, ketika kecil si anak tidak mendapat haknya sewajarnya, ia bukanlah alasan untuk dia mengabaikan tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa setelah dewasa. Kerana, ibu dan ayah mempunyai hak mereka," katanya.

 

Mengulas lanjut, pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (Citu) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, anak tiada hak menghukum ibu bapa walau apa juga keadaan, kerana menunaikan tanggungjawab kepada ibu ayah adalah perintah ALLAH SWT.

Menjawab pertanyaan adakah telah berlaku dosa sekiranya seorang anak tidak menyayangi dan mengasihi ibu bapanya akibat sejarah lampau.

 

Mohd Ashrof Zaki berkata, "soal hati, kasih, dan sayang adalah anugerah ALLAH. Bagaimanapun, menunaikan tanggungjawab dengan perasaan adalah sesuatu berbeza. Oleh itu dalam Islam, ALLAH menyuruh hamba-Nya memaafkan.

 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sebagaimana disebut dalam Hadis Riwayat Muslim, "Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah ALLAH menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri kerana ALLAH melainkan ALLAH meninggikan darjatnya.” (Riwayat Muslim)

 

"Islam menyeru umatnya mempunyai sifat pemaaf tetapi tidak pula disebut melupakan. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Abiduyya dan Baihaqi juga menyebut, "Orang yang paling sabar antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya."

 

Dalam hadis ini juga sebut memaafkan tidak disebut melupakan. Memang fitrah manusia selalu melakukan kesilapan dan tidak mempunyai satu jiwa yang sempurna", kata Mohd Ashrof.

 

"Bukan mudah untuk melupakan penganiayaan atau pengabaian yang dilakukan orang lain terhadap diri kita. Begitulah juga halnya dengan kesalahan dan kesilapan ibu ayah yang dilakukan terhadap anak semasa mereka kecil.

 

"Tidak mustahil, seorang anak yang diabaikan atau disakiti ketika kecil menaruh dendam atau benci kepada ibu ayahnya. Bagaimanapun, seorang manusia bergelar anak yang meyakini nikmat ALLAH itu melebihi segalanya sudah pasti memaafkan itu adalah pilihan paling indah untuk dipilih.

 

"Namun, setiap pengalaman pahit apatah lagi yang melukakan hati tidak mudah dilupakan, tetapi belajar memaafkan adalah hadiah paling indah untuk ketenteraman jiwa sendiri. Tidak boleh lupa itu perkara lain tetapi memaafkan adalah perkara yang dituntut dalam Islam. Moga-moga selepas memaafkan, sesuatu yang lebih baik bakal menyusul, Insya-ALLAH," katanya.

 

Mohd Ashrof Zaki berkata, "seseorang anak yang tidak mampu menyayangi atau mengasihi ibu ayahnya kerana peristiwa lampau tetapi masih melaksanakan tanggungjawab sebagai anak dan menunaikan hak ibu bapanya, urusan selainnya terserah kepada ALLAH.

 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: : Memetik ayat 40 Surah al-Syura bermaksud, berkata, "Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; Dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh ALLAH (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (Surah Al-Syura : 40)

 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka memaafkan serta berlapang dadalah; tidakkah kamu suka supaya ALLAH mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."   (Surah An-Nur : 22)

 


*Sumber dari Sinar Harian, 20 Mei 2013

0 comments:

Post a Comment