+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Wednesday, 22 May 2013

Kisah Saidina Uthman Beli Perigi Yahudi Haloba

S

aidina Uthman bin Affan seorang sahabat Nabi saw yang berasal daripada keluarga bangsawan, kaya dan berpengaruh namun sangat rendah hati, dermawan, penyabar malah taat serta khusyuk dalam beribadat.

 

Perangai dan keperibadiannya sangat terpuji , bahkan sebelum memeluk islam beliau terkenal dengan kejujuran dan keramahan. Keperibadian beliau benar-benar gambaran daripada akhlak yang baik menurut islam. Nabi mencintai beliau kerana akhlaknya. Mungkin kerana itu, juga Nabi mengizinkan dua puterinya menjadi isteri Uthman ra. Puteri pertama baginda Ruqayah meninggal dunia selepas Perang Badar.

 

Nabi saw sangat tersentuh kesedihan yang dialami Uthman ra sepeninggalan Ruqayah dan menasihatinya agar menikahi  seorang lagi puteri baginda, Ummu Kalthum.

 

Pernikahan Uthman ra dengan dua puteri baginda saw itu adalah suatu penghormatan yang besar, sehingga beliau dikenali dengan sebutan Zu Nurain (pemilik dua cahaya) .

 

Uthman ra memang terkenal dengan sifat dermawannya. Ketika bencana kekeringan (musim kemarau) melanda kota Madinah, kaum muslimin terpaksa menggunakan air perigi Rum, satu-satunya sumber mata air.

 

Malangnya perigi itu milik Yusuf, seorang Yahudi yang serakah. Untuk mengambil air perigi itu kaum muslimin mesti membayar mahal dengan harga yang telah ditetapkan Yahudi terbabit.

 

Melihat keadaan penduduk Madinah, Uthman ra segera datang berbincang, berunding dengan Yusuf.

 

Kata Uthman ra : "Wahai Yusuf mahukah engkau menjual perigi Rum ini kepadaku?"

 

Yahudi tua yang sedang mabuk wang itu segera menyambut permintaan Uthman ra. Dalam benaknya terfikir, Uthman ra adalah orang kaya, dia pasti mahu membeli periginya, walau berapa pun yang dia minta. Namun, dia juga tidak mahu kehilangan mata pencariannya itu begitu sahaja.

 

Selepas itu, Yusuf menjawab: "Saya bersedia menjual perigi ini. Berapa engkau sanggup membayarnya?"

 

Jawab Uthman ra: " 10 Ribu Dirham."

 

Si Yahudi tua itu tersenyum tajam. "Perigi ini hanya saya jual separuhnya. Kalau bersedia, sekarang juga engkau bayar 12 Ribu Dirham dan perigi itu kira bahagi dua. Sehari untukmu dan sehari untukku."

 

Selepas berfikir sejenak , Uthman ra menjawab: "Baiklah saya terima tawaranmu."

 

Selepas membayar harga dipersetujui, Uthman ra menyuruh pekerjanya mengistiharkan kepada penduduk mereka bebas mengambil air dari perigi itu tanpa sebarang bayaran.

 

Semenjak itu, penduduk Madinah bebas mengambil air sebanyak mungkin untuk keperluan mereka.

 

Lain halnya dengan Si Yahudi tua itu, kebingungan lantaran tiada seorang pun membeli airnya.

Malah ketika Uthman ra datang menemuinya untuk membeli separuh lagi baki sumber air periginya, dia tidak mampu menolak walaupun dengan harga yang sangat murah.

 


*Sumber : Petikan Bacaan BH oleh Mohd Selim Zainal  

 

No comments

Berkenalan dengan Al-Quran

R

AMAI daripada kita kini mempunyai hubungan yang amat akrab dengan Facebook. Kita menelusuri akaun Facebook berkali-kali setiap hari. Bahkan adakalanya ia merupakan antara perkara yang terakhir kita lakukan sebelum kita tidur dan mungkin juga perkara pertama yang kita lakukan ketika terjaga daripada tidur.

 

Adakalanya kita tidak perasan berapa lama waktu telah berlalu ketika kita asyik membelek halaman Facebook teman-teman.

 

Bagaimanakah dapat kita bina hubungan sedemikian juga dengan Al-Quran?

Ia merupakan satu kitab yang telah merubah kaum yang dahulunya penagih arak, penindas dan bahkan penanam bayi perempuan yang baru lahir kepada satu generasi yang menegakkan keadilan, mempertahankan yang lemah, berhati lembut dan berjiwa tawaduk serta tunduk kepada Tuhan sekalian alam. Jika Al-Quran telah membawa damai kepada hati-hati mereka serta membebaskan mereka daripada belenggu kemahuan nafsu semata ketika itu maka ia juga pasti boleh memberikan kesan yang sama kepada kita.

 

Al-Quran yang telah merubah mereka adalah Al-Quran yang sama berada di dalam milik kita kini. Potensi besar Al-Quran ini tidak akan dapat kita manfaatkan sepenuhnya jika kita tidak memulakan langkah pertama berkenalan dengannya.

Di sini ingin kami kongsikan beberapa tip mudah sebagai langkah permulaan berkenalan dengan Al-Quran:

 

1. Mulakan pengenalan melalui kisah-kisah yang terdapat di dalam Al-Quran.

T

erlalu sering antara yang menghambat kita daripada mengenali Al-Quran adalah kerana ia kelihatan terlalu ganjil. Bukan sahaja kerana bahasanya yang mungkin tidak kita fahami bahkan penyusunannya yang belum kita hargai juga menyumbang kepada pandangan sedemikian. Ini sekali gus menjadikan kita teragak-agak menghargai nilai Al-Quran sebenar yang tersurat di sebalik lembaran kertasnya.

 

Sebagai permulaan, untuk dapat menghargai hikmah dan pengajaran yang amat banyak di dalam Al-Quran, kita boleh dapatkan buku-buku karangan ulama yang telah menghimpunkan kisah-kisah para Nabi mahupun kisah-kisah lain yang terkandung di dalam Al-Quran. Melalui kitab-kitab himpunan seperti yang dikarang oleh Imam Ibnu Kathir, kita akan dapat membaca kisah-kisah Al-Quran yang banyak bertaburan di merata Al-Quran. Melalui kitab-kitab himpunan ini juga, kita akan dapati Al-Quran menjelma ke dalam kehidupan. Ternyata Al-Quran menyajikan pelbagai genre kisah perjuangan, kasih sayang, pengorbanan dan lain-lain lagi.

 

Dengan mendekati Al-Quran melalui cara ini juga, informasi yang dahulunya kelihatan rumit akan menjadi mudah untuk kita fahami melalui penulisan dan penjelasan ulama kita. Dengan demikian, kita tidak lagi melihat Al-Quran hanya sebagai kitab usang yang rumit dibaca.

 

Bahkan musim cuti ini merupakan satu masa yang baik untuk mendedahkan anak kita kepada kisah para Nabi serta banyak lagi cerita menarik di dalam Al-Quran.

 

Sebagaimana kita mungkin terbiasa membacakan mereka kisah-kisah dongeng tentang puteri mahupun kesatria sakti, kita juga boleh sebagai alternatif membacakan mereka kisah perjuangan dan riwayat hidup para Nabi di dalam Al-Quran sebelum tidur. Diharapkan dengan pendedahan demikian anak-anak kita bukan sahaja mengenali para Nabi dengan lebih mesra, bahkan menjadikan para Nabi sebagai super hero mereka. Dengan demikian mereka juga dapat menghargai Al-Quran sebagai kitab panduan yang relevan untuk sekeluarga.

 

2. Mengenal Al-Quran melalui tema-temanya

S

elain daripada mengenal Al-Quran melalui kisah-kisahnya, para ulama kontemporari juga telah berusaha mempermudahkan proses penghargaan Al-Quran melalui pendekatan menghimpun tema-tema Al-Quran yang pelbagai.

 

Sarjana seperti Professor Quraish Shihab di dalam bukunya Wawasan Al-Quran telah mengambil pendekatan ini di mana beliau membincangkan intipati Al-Quran melalui tema-tema umum seperti keluarga, wanita, ekonomi, kerohanian, akhlak etika dan sebagainya.

 

Pendekatan ini memudahkan kita untuk dapat mengenal sepintas lalu pelbagai tema Al-Quran yang relevan dan dapat kita gunakan sebagai panduan hidup harian kita.

 

Jadi, apabila kita ingin mencari panduan berkenaan isu keluarga yang mungkin sedang kita hadapi sebagai contoh, kitab ini membantu kita untuk langsung merujuk kepada tema keluarga. Diharapkan ini membantu kita untuk menghayati firman Allah swt di dalam surah Al-Isra ayat 82: “Dan kami turunkan Al-Quran sebagai penawar dan rahmah bagi yang beriman”.

 

3. Al-Quran sebagai kitab dialog yang berbicara dengan kita.

P

erlu kita semaikan di dalam diri kita kesedaran dan penghargaan bahawa Al-Quran ini bukanlah kitab satu hala yang merupakan hanya suruhan dan aturan hukum.

 

Bahkan ia sebenarnya kitab dialog yang mana Allah swt banyak mengajak kita untuk berfikir dengan dalam akan kewujudan kuasa Allah swt, sebagai contoh di dalam Surah Al-Mulk ayat 3-4, Allah swt mengajak kita mengarahkan pandangan ke langit dan awan dan cuba mencari jika ada cacat atau cela pada bentuk rekaan awan dan langit?

 

Allah kemudian mengulang undangannya untuk kita melihat dua dan tiga kali nescaya kita tidak mampu menunjukkan kekurangan pada ciptaan langit dan ini menunjukkan bahawa adanya Tuhan yang menciptanya yang Maha Bijaksana dan Perkasa sehinggakan tidak ada akal manusia yang dapat mencela ciptaan-Nya.

 

Ini benar kerana dalam pelajaran geografi sebagai contoh, manusia mengkaji bentuk-bentuk awan, tetapi tidak mampu mengkritik dan menunjukkan kekurangan pada bentuk ciptaannya.

 

Terdapat di dalam Al-Quran banyak lagi ayat sedemikian yang mengajak manusia berfikir dan melontarkan persoalan yang pelbagai seolah-olah mengajak manusia untuk berbicara dengan Allah swt mencari jawapannya.

 

Jika kita dapat merasakan kemuliaan dan kebanggaan yang amat sangat jika seorang Ketua Negara mengajak kita untuk berdialog bersamanya, maka tentunya lebih dalam lagi penghargaan dan keseronokan apabila Allah swt Tuhan sekalian alam mengajak kita untuk berbicara dengan-Nya.

 

4. Membina hubungan yang berterusan dengan Al-Quran

D

engan kemudahan telefon bijak serta aplikasi (apps) yang pelbagai berkaitan dengan Al-Quran, kita hanya satu klik daripada dapat menatap dan membaca Al-Quran.

 

Di sinilah teknologi telah mempermudahkan untuk kita dapat membaca Al-Quran setiap kali kita mempunyai kelapangan.

 

Untuk membina hubungan yang mesra, akrab dan bermanfaat, kita perlu memastikan bahawa setiap hari kita mengkhususkan sedikit masa untuk Al-Quran.

 

Tidak kiralah walaupun hanya satu ayat sehari, pastikan mata, hati dan jiwa kita disentuh oleh Al-Quran setiap hari.

 

Dengan aplikasi ini juga kita dapat menarik perhatian anak-anak kita dan memaparkan kepada mereka bahawa Al-Quran adalah kitab yang segar dan relevan serta sesuai dengan kehidupan serba canggih mereka.

 


 

* Oleh USTAZ IRWAN HADI MD SUHAIMY, Ketua Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

No comments

Tuesday, 21 May 2013

Wadi us-Salaam : Tanah Perkuburan Islam Terbesar Di Dunia

 

W

adi us-Salaam, yang bermaksud Lembah Damai, adalah tanah perkuburan Islam yang terletak di kota suci Najaf, Iraq.

 

Tanah perkuburan meliputi kawasan seluas 1.485,5 ekar dan mengandungi berjuta-juta jasad, menjadikannya salah satu daripada pesaing kuat untuk gelaran tanah perkuburan terbesar di dunia. Najaf sendiri adalah salah satu daripada bandar-bandar Iraq terbesar, dengan jumlah penduduk hampir 600,000. Tetapi bandar bersebelahan yang mati mempunyai  berjuta-juta jasad, yang menjangkau sehingga 10km di sepanjang lembah.

 

Wadi Al-Salam juga satu-satunya tanah perkuburan di dunia di mana proses pengebumian masih berterusan hingga ke hari sejak lebih 1,400 tahun.

Tanah perkuburan memegang kepentingan dalam kepercayaan orang islam , tidak kira di mana badan-badan mereka telah dikebumikan. Ramai nabi, raja-raja, dan sultan berada di tanah perkuburan ini termasuk Nabi Hud, Nabi Saleh, dan Ayatullah Sayyid Muhammad Baqir al-Sadr, serta mayat putera faithfuls, Ali Ibn Abi Talib.

 

 

sumber: dairishare.blogspot.com & amekaw.com

No comments

Makanan Haram

 

“W

ahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik. Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang baik (HR. Muslim).

 

Karana berhadapan setiap hari, makanan kedengarannya hal biasa, meskipun nampaknya luar biasa.  Meskipun kelihatan mengenyangkan, misalnya, memakan makanan haram sama dengan mencelakakan diri.

 

Menurut Rasulullah SAW, di antara kecelakaan besar yang menimpa manusia akibat memakan makanan haram ialah tidak diterimanya doa oleh Allah.  

 

Sebagaimana kisah yang diceritakan Nabi SAW tentang ‘seorang laki-laki yang telah menempuh perjalanan jauh, sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Ia mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.”

Padahal makanannya dari barang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?’ (HR. Muslim).

K

ebanyakan orang tak ingin menelusuri dari mana makanan haram itu berasal, hingga sampai ke atas meja makan.  Padahal boleh saja muncul dari suatu kelemahan diri yang sudah menjadi kebiasaan. 

 

Seperti melalui binatang ternak yang dibiarkan bebas berkeliaran, sehingga memakan hak orang lain atau menimbulkan kehancuran harta tetangga.  Lantas, binatang itu dijual, dan wangnya digunakan untuk beramal atau menafkahi keluarga.  Disadari atau tidak, sebahagian dari makanan yang dimasukkan ke mulut sendiri, isteri, dan anak-anak, adalah makanan haram atau telah berproses melalui jalan haram.

No comments

Maaf, tidak semesti melupakan

A

LLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada ALLAH dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri.” (Surah An-Nisa' : 36)

 

Pendakwah dan penceramah, Ustaz Mohd Ashrof Zaki Yaakob berkata, "apa juga keadaan ibu atau bapa, baik atau buruk ia tetap tidak memutuskan tanggungjawab anak kepada mereka.

 

"Begitulah juga halnya keadaan seorang anak yang telah dianiaya atau diabaikan ibu atau ayah. Walaupun, ketika kecil si anak tidak mendapat haknya sewajarnya, ia bukanlah alasan untuk dia mengabaikan tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa setelah dewasa. Kerana, ibu dan ayah mempunyai hak mereka," katanya.

 

Mengulas lanjut, pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (Citu) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, anak tiada hak menghukum ibu bapa walau apa juga keadaan, kerana menunaikan tanggungjawab kepada ibu ayah adalah perintah ALLAH SWT.

Menjawab pertanyaan adakah telah berlaku dosa sekiranya seorang anak tidak menyayangi dan mengasihi ibu bapanya akibat sejarah lampau.

 

Mohd Ashrof Zaki berkata, "soal hati, kasih, dan sayang adalah anugerah ALLAH. Bagaimanapun, menunaikan tanggungjawab dengan perasaan adalah sesuatu berbeza. Oleh itu dalam Islam, ALLAH menyuruh hamba-Nya memaafkan.

 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sebagaimana disebut dalam Hadis Riwayat Muslim, "Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah ALLAH menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri kerana ALLAH melainkan ALLAH meninggikan darjatnya.” (Riwayat Muslim)

 

"Islam menyeru umatnya mempunyai sifat pemaaf tetapi tidak pula disebut melupakan. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Abiduyya dan Baihaqi juga menyebut, "Orang yang paling sabar antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya."

 

Dalam hadis ini juga sebut memaafkan tidak disebut melupakan. Memang fitrah manusia selalu melakukan kesilapan dan tidak mempunyai satu jiwa yang sempurna", kata Mohd Ashrof.

 

"Bukan mudah untuk melupakan penganiayaan atau pengabaian yang dilakukan orang lain terhadap diri kita. Begitulah juga halnya dengan kesalahan dan kesilapan ibu ayah yang dilakukan terhadap anak semasa mereka kecil.

 

"Tidak mustahil, seorang anak yang diabaikan atau disakiti ketika kecil menaruh dendam atau benci kepada ibu ayahnya. Bagaimanapun, seorang manusia bergelar anak yang meyakini nikmat ALLAH itu melebihi segalanya sudah pasti memaafkan itu adalah pilihan paling indah untuk dipilih.

 

"Namun, setiap pengalaman pahit apatah lagi yang melukakan hati tidak mudah dilupakan, tetapi belajar memaafkan adalah hadiah paling indah untuk ketenteraman jiwa sendiri. Tidak boleh lupa itu perkara lain tetapi memaafkan adalah perkara yang dituntut dalam Islam. Moga-moga selepas memaafkan, sesuatu yang lebih baik bakal menyusul, Insya-ALLAH," katanya.

 

Mohd Ashrof Zaki berkata, "seseorang anak yang tidak mampu menyayangi atau mengasihi ibu ayahnya kerana peristiwa lampau tetapi masih melaksanakan tanggungjawab sebagai anak dan menunaikan hak ibu bapanya, urusan selainnya terserah kepada ALLAH.

 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: : Memetik ayat 40 Surah al-Syura bermaksud, berkata, "Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; Dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh ALLAH (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (Surah Al-Syura : 40)

 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka memaafkan serta berlapang dadalah; tidakkah kamu suka supaya ALLAH mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."   (Surah An-Nur : 22)

 


*Sumber dari Sinar Harian, 20 Mei 2013

No comments

Makanan Haram

“W

ahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik. Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang baik (HR. Muslim).

 

Karana berhadapan setiap hari, makanan kedengarannya hal biasa, meskipun nampaknya luar biasa.  Meskipun kelihatan mengenyangkan, misalnya, memakan makanan haram sama dengan mencelakakan diri.

 

Menurut Rasulullah SAW, di antara kecelakaan besar yang menimpa manusia akibat memakan makanan haram ialah tidak diterimanya doa oleh Allah.  

 

Sebagaimana kisah yang diceritakan Nabi SAW tentang ‘seorang laki-laki yang telah menempuh perjalanan jauh, sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Ia mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.”

Padahal makanannya dari barang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?’ (HR. Muslim).

K

ebanyakan orang tak ingin menelusuri dari mana makanan haram itu berasal, hingga sampai ke atas meja makan.  Padahal boleh saja muncul dari suatu kelemahan diri yang sudah menjadi kebiasaan. 

 

Seperti melalui binatang ternak yang dibiarkan bebas berkeliaran, sehingga memakan hak orang lain atau menimbulkan kehancuran harta tetangga.  Lantas, binatang itu dijual, dan wangnya digunakan untuk beramal atau menafkahi keluarga.  Disadari atau tidak, sebahagian dari makanan yang dimasukkan ke mulut sendiri, isteri, dan anak-anak, adalah makanan haram atau telah berproses melalui jalan haram.

No comments

Monday, 20 May 2013

Sikap ibu bapa punca anak derhaka

Setiap anak dilahirkan fitrah, bersih, dan suci. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu dan ayah mendidiknya.

 

"

SIAPA kata tiada istilah ibu ayah menderhaka kepada anak? Memang wujud dan berlaku keadaan di mana seorang ibu atau ayah itu menderhaka kepada anaknya," kata Mohd Ashrof Zaki.

 

Memetik satu kisah berlaku pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA, Mohd Ashrof Zaki berkata, seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab RA mengadukan hal kederhakaan anaknya.

 

Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak bapanya.

 

Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?”

Umar menjawab: “Ya.”

Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?”

Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”

 

Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam.

 

Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran. "

 

Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anak mu, walhal kamulah yang telah menderhakainya.

 

Kamulah yang telah berlaku buruk dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadap mu.”

 

Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.


 

M

ohd Ashrof berkata, kisah ini jelas menunjukkan ibu bapa yang inginkan anaknya tidak menderhakai mereka perlu terlebih dahulu menunaikan hak anak. Ibu bapa harus mempersiapkan diri supaya menjadi baik jika mahu anak baik.

 

Kadang-kala berlaku keadaan di mana si anak menengking atau meninggikan suara kepada ibu bapa, jika dilihat balik barangkali ibu atau ayahnya juga sering meninggikan suara atau menengkingnya.

 

Menurutnya, walaupun, hendak memarahi anak perlu dilakukan mengikut saranan Nabi SAW.

 

"Marah dan tegurlah dengan iman dan hemah, bukannya marah mengikut cara yang tidak diajar dalam Islam.

 

"Jika berlaku anak menderhaka, ibu bapa harus periksa kembali di mana silapnya dalam mendidik. Namun, setelah berusaha melakukan semua yang baik seperti yang disuruh dalam Islam tetapi masih berlaku anak menderhaka, maka janganlah berputus asa, kerana sesungguhnya ia adalah ujian ALLAH," kata Mohd Ashrof.

 

 


*Sumber dari Sinar Harian, 20 Mei 2013

No comments

Friday, 17 May 2013

Khutbah, kuliah diterjemah dalam bahasa Inggeris

Makkah, 17 Mei 2013 - Khutbah dan kuliah yang disampaikan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan diterjemah ke bahasa Inggeris tidak lama lagi bagi membolehkan ia dimanfaatkan berjuta-juta orang Islam di seluruh dunia.

 

Langkah itu dapat dilaksanakan hasil kerjasama pentadbir kedua-dua masjid berkenaan dengan Universiti Islam Imam Muhammad Saud (IMIU).

 

Perjanjian itu ditandatangani ketua pentadbir badan itu, Sheikh Abdul Rahman al-Sudais dan Pengarah IMIU, Suleiman Abdullah Aba al-Khail.

 

Menurut perjanjian itu, IMUI akan menyelia penterjemahan khutbah serta kuliah yang disampaikan di kedua-dua masjid berkenaan. Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa Dan Penterjemahan IMIU berkata, sebanyak 76 khutbah dikumpulkan setakat ini membabitkan 1,027 halaman. - AP

 

No comments

Tunggu seru taubat

      Usah duduk mengenang dosa dan terus mengharapkan keampunan ALLAH SWT tanpa melakukan sebarang perubahan.

 

D

ALAM satu kisah teladan, Nabi Muhammad SAW ternampak Abu Mas’ud (bukan Ibnu Mas’ud) memukul hambanya yang melakukan kesalahan. Nabi SAW pun menegur, “Ya, Abu Mas’ud, sesungguhnya ALLAH SWT lebih memberi hukuman berbanding kamu”.

 

Mendengar kata-kata itu, Abu Mas’ud pun berasa bersalah lalu membebaskan hamba tersebut. Abu Mas’ud tidak cuba mencari alasan atau justifikasi untuk membela perbuatannya itu.

 

Kemudian Nabi SAW pun berkata jika dia tidak membebaskan hamba itu tadi, ada kemungkinan satu pintu neraka akan dibuka untuknya juga.

 

Oleh itu sebagai pengajaran kepada kita, jika tersilap atau melakukan dosa dengan manusia, segera minta maaf pada mereka. Kemudian, boleh dirikan solat sunat taubat sebagai penyempurna taubat.

 

Jika kesalahan pada ALLAH SWT, barulah kita solat sunat taubat kepada ALLAH SWT.

Segera bertaubat

 

H

ari ini, berapa antara kita yang pernah melihat bahan pornografi, namun tidak pernah rasa malu atau menangis di hadapan ALLAH SWT. Hari ini berapa ramai juga daripada kita malu apabila membuat kemaksiatan dan kejahatan.

 

Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dalam ceramahnya mengajak kita bersama muhasabah diri dan menurutnya, tidak boleh meminta orang lain bertaubat bagi pihak kita, contohnya meminta bantuan ustaz atau alim ulama untuk memohon keampunan akibat kesilapan kita kepada ALLAH Taala.

 

Oleh itu, bersegeralah kita semua dalam bertaubat sebagai mengikut teladan yang ditunjukkan pada sahabat Nabi SAW. ALLAH SWT berfirman dan menyatakan kepentingan untuk segera bertaubat: surah An-Nisa’, ayat 17

 

Jika ada orang kafir yang tertarik dengan Islam, ketahuilah bahawa segala dosa yang kamu pernah lakukan akan diampunkan sebaik kamu memeluk Islam. Bayangkan betapa hebatnya ALLAH SWT, Dia Maha Pemberi Keampunan,” katanya.

 

Beliau berkata, dewasa ini, ramai umat Islam yang bertindak seakan mempermainkan taubat. Bagi mereka taubat itu bila-bila masa sahaja atau dalam erti kata lain bertaubat apabila sampai seru.

 

Adakah apabila nyawa sudah sampai ke hujung tanduk baru kita terjaga lalu merintih meminta keampunan ALLAH SWT? Ketika itu segalanya sudah tidak berguna lagi. Teladanilah kisah Qarun dan usah biarkan diri kita menjadi sebahagian daripada mereka.

 

Dosa kecil usah dipandang ringan

 

U

staz Zaharuddin berkata, bertaubat perlu dilihat keadaannya, jika hubungan rapat tidak melibatkan perbuatan dosa kepada ALLAH SWT, tidak mengapa kerana akhlak baik adalah lebih utama daripada kata-kata yang baik.

 

Jika begitu, dosa ini masuk dalam dosa kecil. Walaupun kecil, jangan dipandang enteng kerana kita perlu melihat kepada siapa dosa itu dilakukan (iaitu ALLAH SWT Yang Maha Besar).

 

“Dosa-dosa kecil akan terhapus dengan kita mendirikan solat lima waktu. Walaupun begitu, dalam bergaul kita perlu menjaga pandangan mata agar tidak menaikkan nafsu syahwat sepertimana firman ALLAH SWT yang mengarahkan supaya orang Mukmin menundukkan pandangan mata yakni menjaga daripada memandang sesuatu yang boleh menaikkan syahwat,” katanya.

 

Teladani kisah ini untuk mengetahui sama ada ia dikira bertaubat, jika kita beristighfar selepas melakukan kesalahan. Cuba lihat bagaimana kefahaman para sahabat. Dalam satu kisah disebutkan bahawa Saidina Abu Bakar lalu di hadapan tiga sahabat iaitu Bilal bin Rabah, Sulaiman dan Suhaib Ar-Rumi.

 

Tiga sahabat ini melihat Abu Suffian (yang belum memeluk Islam ketika itu dan menjadi ketua orang kafir) dan berkata, “Alangkah baiknya jika kami dapat meletak pedang di lebernya”.

 

Abu Bakar terdengar perkataan itu dan menegur kerana hari itu merupakan hari gencatan senjata, dan perkataan tersebut boleh menimbulkan provokasi.

 

Cerita itu sampai kepada Rasulullah SAW, dan Baginda berkata kepada Abu Bakar, “Abu Bakar, kamu mungkin telah menyebabkan sahabat kamu marah dan kamu telah menyebabkan Tuhan kamu marah kepada kamu”.

 

Mendengarkan itu, Abu Bakar segera pergi berjumpa sahabat yang tiga orang tadi dan memohon maaf daripada mereka. Dia bertanya jika perkataannya menyebabkan mereka marah kepadanya.

 

Daripada kisah ini dapat dipelajari bahawa sahabat tidak menunggu untuk berwuduk atau solat sebelum meminta maaf kepada orang yang disakiti atau diambil haknya itu.

 

Berazam tidak lakukan dosa

 

U

staz Zaharuddin berkata, ramai antara kita yang salah faham tentang konsep Taubat Nasuha. Dalam satu hadis, ada diceritakan kisah seorang yang bertaubat dan mengulangi kesalahannya sehingga tiga kali dan ALLAH SWT katakan buatlah apa yang kamu perlukan, Aku telah mengampunkan kamu.

 

Oleh itu, takut mengulangi dosa tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bertaubat. Kita mesti bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi dosa itu. Jika terulang juga kesalahan itu, bertaubatlah lagi.

 

Sebagai contoh, si anak boleh bertaubat jika dosa ibu bapa melibatkan mengambil hak orang lain dengan memulangkan hak tersebut. Seterusnya, kita boleh bersedekah bagi pihak ibu bapa dengan harapan pahala itu akan dapat mengatasi dosa yang ibu bapa lakukan.

 

“Begitu juga, jika ibu bapa ada melakukan kesalahan kepada orang lain, sebagai anak, kita boleh pergi berjumpa dan meminta maaf bagi pihak ibu bapa kepada mereka yang pernah dizalimi.

 

Puasa yang ditinggalkan boleh diganti oleh anak dan dibayar dengan fidyah, tetapi solat yang ditinggalkan tidak boleh diganti oleh orang lain,” katanya.

 


*Oleh SYAHIDATU L AKMA L DUNYA, Sinar Harian, 17 Mei 2013

No comments

Wednesday, 15 May 2013

Abdul Khalid, Nik Aziz kekal ikon 2 negeri PR

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2013 - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menjadi dua individu penting yang menjadi faktor utama  Pakatan Rakyat (PR) mampu mempertahankan Selangor dan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

 

Demikian dapatan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang dikongsi pengarahnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, hari ini.

 

"Walaupun orang itu kata beliau layak, ini kata layak tetapi hakikatnya Abdul Khalid yang menyumbang kepada kemenangan PR di Selangor," katanya dalam Seminar Pasca PRU13 : Ke Arah Mana Politik Malaysia.

 

Dalam bancian yang dilakukan Umcedel, Khalid menerima undian lebih 60 peratus selepas September 2012 yang merumuskan personaliti beliau menyebabkan rakyat Selangor terus memilih PR untuk mentadbir Selangor.

 

Baru-baru ini timbul konflik sebelum Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal yang kedua pada Selasa lalu.

 

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Adun PKR Selangor secara terbuka menyatakan bantahan terhadap pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini.

 

Bagaimanapun, pucuk pimpinan PR sudah memutuskan, Abdul Khalid perlu terus menjawat jawatan itu.

 

Secara keseluruhannya keputusan PRU13 menyaksikan PR Selangor memenangi lapan kerusi Dun tambahan menjadikan 44 kerusi Dun di Selangor, berbanding 36 kerusi yang dimenangi pada PRU12, 2008.

   

Bilangan kerusi Dun yang dimenangi oleh BN pula berkurang menjadi 12 berbanding 20 kerusi yang dimenangi pada 2008.

 

Sementara di Kelantan pula, personaliti Nik Aziz itu menjadi faktor utama kemenangan Pas di negeri itu walaupun BN memberikan saingan yang sengit.

 

"Walaupun Pas merosot di Kelantan tetapi faktor Nik Aziz sehingga 86 peratus," katanya.

No comments

Kisah Bekas Axion di Kantin Sekolah

I

ni bukan cerita pasal axion boleh membersih dakwat kekal. Bukan nak berkempen pasal sabun pencuci pinggan mangkuk... tapi kisah yang cukup menyedihkan.

Kisah ini diceritakan oleh seorang ibu melalui facebook untuk dikongsikan bersama... Begini kisahnya..

 

W

aktu rehat di sekolah anak saya akan makan bekal yang dibawa dari rumah, makan bersama-sama kawannya Amira (bukan nama sebenar) di kantin sekolah. Anak saya selalunya akan bawa nasi goreng dan Amira selalunya bawak roti kosong 2 keping yang dibungkus dalam plastik. Roti itu dia akan cicah dengan air sirap yang dia bawa dari rumah.

 

Itulah rutin bekalan harian yang di bawa oleh Amira setiap hari. Anak saya pun selalunya memang bawa nasi goreng ler coz itu memang pemberet dia.. Amira memang suka sangat makan nasi goreng tu dan anak saya tak kisah untuk berkongsi nasi tu.. dia memang hari-hari bagi Amira makan nasi goreng tu.. Mungkin Amira dah jemu agaknya coz hari2 bawak roti kosong jer cicah air sirap...

 

S

uatu hari.. anak saya bersuara kepada Amira.. "Mira.. aku teringin nak makan nasi goreng ko.. ko asyik bawak roti jer. .apa kata esok kita bawak nasi goreng sama-sama nak.. Nanti kita makan tukar-tukar kat kantin.."

 

Amira termenung.. nampak muka dia macam tak sedap..  "Alahh.. tak nak lah.. nasi goreng aku tak sedap lah.. ko mesti tak nak makan nanti.."

 

"Alahhh.. ko bawak jer.. ko belum bawak, ko dah kata nasi goreng ko tak sedap.. ko bawak je lah.. mesti sedap punya.."

 

"Ok lah.. ko punya pasal.. esok aku bawak ya.. aku bawak nasi goreng special utk ko.."

 

"Yeeaaahhh.." anak saya suka sangat coz Amira setuju nak bawak nasi goreng esok..

 

Sampai di rumah.. malam hari sebelum tidor.. Amira cakap kat mak dia yang esok dia nak bawak bekal nasi goreng.. dia tak mahu bawak roti kosong 2 keping tu.. "Makkk.. boleh tak esok Mira nak bawak bekal nasi goreng..??"

 

Mak Mira terkejut.. "apa sayang..??"

"Esok Mira nak bawak nasi goreng..?"

"Kenapa? Esok Mira ada jamuan ker..??"

 

"Nasi goreng apa yang mak nak buat? Tak ada rencah untuk mak buat nasi goreng esok.. Mira bawak roti je lah..

"Alahh.. mak.. boleh lah.. tak payah bubuh rencah pun tak apa.. mak taruk telur je pun dah ok.."

 

"Ya lah.. baik lah.. esok mak buat nasi goreng untuk Mira ya.. telur pun tinggal sebijik jer tau.. dah malam-malam buta ni mana nak carik telur.. bawang pun dah habis tu.. tak per lah.. mana yang ada je lah.."

 

K

eesokkannya dalam dalam kelas.. anak saya tanya Mira.. "Mira ko bawak nasik goreng tak..?"

"Aku bawak ni.." Mira senyum..

 

"Ko bawak tak Mira..?"

"Bawak ler... aku bawak.. kan semalam dah janji.."

 

"Ok.. cayalah.. tak sabar nak makan nasi goreng ko Mira oiii.."

 

Kul 10.00 pagi loceng rehat bunyi.. mereka berdua berlari ke kantin.. nak tukar-tukar nasi goreng..

Sampai di kantin.. "Mira ko nak air tak? Hari ni aku belanja ko air.. ko nak air apa? Aku belikan.."

 

"Alah.. tak kisah.. air apa-apa pun tak apa.. aku minum jer.."

 

"Alahhh.. Mira.. kenapa ko tak buka bekal lagi ni.. ko duk diam jer kat situ apasal?"

"ya lah.. aku tunggu ko datang bawak air ler.. kita buka bekal sama-sama.."

 

"ooo.. ya ker.. jom jom kita buka bekal.."

 

Amira pun keluarkan 'bekas' nasi goreng dia dari dalam beg plastik.. Mata anak saya tidak berkelip..

 

"Amira mana nasi goreng ko? Ko bawa apa ni..?"

"Ni lah nasi goreng aku.. ko buka je lah.."

 

Tuan/Puan nak tau..? Nasi Goreng tu diletakkan dalam bekas sabun Axion pencuci pinggan cap Lemon.. warna kuning bekas tu..

 

"Amira.. kenapa ko letak nasi goreng dalam bekas Axion ni..? Mak ko tak marah ker..? Tak rasa sabun ke nanti..?"

 

"Tak lah.. mak yang bubuh dalam bekas tu.. kat rumah aku mana ada tupperware macam ko.. memang kami pakai balik bekas sabun tu... standard lah.. kami memang dah biasa macam ni.."

Air mata anak saya mula bergenang.. tunggu masa untuk tumpah..

 

"Mira.. kenapa ko tak cakap yang ko tak der bekas untuk bawak nasi ni.. aku boleh bagi ko bekas.. kenapa ko tak cerita dengan aku Mira.. ko ni kan.."

 

Mira tunduk.. "tolong jangan nangis boleh tak..? Semalam ko yang cakap ko nak makan sangat nasi goreng aku kan? Sekarang aku dah bawak apasal ko nangis plak..?? Makan je lah.."

 

"Mira.. aku rasa bersalah sangat coz menyusahkan ko.. tak pe lah Mira jom kita makan.. ko makan nasik goreng aku ya.. aku nak rasa nasi goreng ko.."

 

"Ehhh.. tak per.. tak per.. ko makan jer nasik goreng ko.. nasi goreng aku tak sedap.. bubuh dalam bekas sabun plak tu.."

 

"Mira.. jgn ckp mcm tu.. bak sini aku rasa nasi goreng ko.."

"ya.. lah.. rasa sesudu jer.. kompom tak sedap tu.."

 

Anak saya pun makan rasa sesudu.. memang betul pun.. tak sedap.. nasi goreng Amira putih meleset.. tak der rencah.. tak der rasa pun.. tawar jer.. tapi anak saya tak kisah.. dia tak komplen pun..

 

Cuma masa Mira suap nasi goreng tu.. air mata dia plak berlinang.. anak saya tanya "knp ko nangis.."

"dia cakap tak ada aper.. tak per lah.. kita makan je lah.."

 

S

emasa anak saya cerita kisah ini kepada saya.. saya menangis.. tapi saya tidak menagis semasa itu.. saya tidak mahu menangis di depan anak saya.. Saya kuatkan semangat untuk mendengar cerita dia sampai habis..

 

Selesai anak saya bercerita.. saya cakap kat anak saya.. esok bawak bekas tupperware kat dapur tu.. bagi kat Amira ya.. cakap kat Amira bekas ni hadiah dari keluarga kita..

 

Then saya bangun terus keluar tengok-tengok kereta.. sebenarnya bukan saya tengok kereta.. saya menangis semahunya kat tepi keta tu.. tak sangka sangat.. di zaman moden ni.. masih ada lagi anak-anak kita yang hidup menderita.. sedih dan sayu hati ni..

 

Kepada orang kaya di luar sana..ingatlah..dalam kemewahan yang kamu kecapi sekarang ni..ada saudara kita yang hidup dalam keadaan memilukan..

 

Saya berdoa kepada Allah.. agar semua orang yang tidak berkemampuan ini di murahkan rezeki oleh Allah dan ditabahkan hati mereka dalam menghadapi segala dugaan.. Aminnn..

 

Semoga kisah ini boleh celik kan mata kita..

 

Terima kasih..

 



Admin : Sama-samalah kita menolong mereka yang berada dalam kesusahan. Sesiapa yang mengenali kanak-kanak yang senasib seperti Amira, bantulah mereka. Hulurkanlah tangan kasih sayang biarpun bantuan kita itu tidak mampu menghilangkan beban mereka. Sekurang-kurangnya.. dengan sedikit perhatian yang kita berikan itu, mereka kan lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan, bersungguh dalam pelajaran seterusnya keluar dari kepompong kefakiran.

 

P/S : Mereka yang pernah merasai betapa peritnya hidup dalam kefakiran, akan mempunyai jiwa yang kental untuk menempa kejayaan. Go Amira Go !! Fighting !! 

 


*Sumber

No comments