"MASUK Islam maksudnya masuk Melayu kan…?""Tak boleh ke orang bukan Islam pegang al-Quran?""Nama jer Islam, tapi perangainya teruk!""Jangan cakap soal agama. Ini isu sensitif"
Persoalan di atas menunjukkan betapa dangkalnya ilmu dan pemahaman sebilangan masyarakat Muslim mahupun bukan Islam di negara ini terhadap Islam. Apabila ini terjadi, maka timbullah salah faham dan berprasangka buruk sehingga mengeruhkan keharmonian rakyat beragama di negara ini.
Bak kata orang 'tak kenal maka tak cinta'. Dalami ilmu dan sebarkan ayat-ayat cinta ALLAH mungkin inilah antara langkah memberi pencerahan dan kefahaman dalam masyarakat umum terhadap persoalan seumpama itu.
Apabila ditanya mengenai kemelut Islam masa kini, pendakwah bebas, Ustaz Hussain Yee berkata, Islam itu sama di mana-mana, hanya amalan Muslim agak berbeza dari satu tempat ke tempat lain.
"Agama jika hanya dengar dan ikut tanpa banyak tanya, ini bermakna amal tanpa ilmu. Ajaran Islam perlu berasaskan dalil al-Quran dan Sunnah.
"Tapi kebanyakan amalan kita bergantung kepada kefahaman guru tertentu yang kadangkala tidak berasaskan dalil yang jelas. Akhirnya Islam yang sempurna itu apabila ditokok tambah sehingga tidak dapat bezakan antara agama dan adat," katanya.
Pada zaman digital ini masyarakat terdedah dengan pelbagai maklumat dari dunia tanpa sempadan melalui internet seperti YouTube dan Facebook. Generasi baru lebih akrab dengan dunia teknologi maklumat (IT).
Sikap mereka yang suka bertanya dan berfikiran kritikal menyebabkan ada yang tak mudah mengikut agama nenek-moyangnya.
"Untuk mendekati golongan tersebut, perlu ada hikmah dan sampaikan kebenaran serta meyakinkan mereka mengenai kesempurnaan Islam. Islam adalah agama hak ALLAH. Dalam soal agama tidak boleh main-main. Perlu ada penjelasan rasional," katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa mengadakan pertemuan secara tertutup dengan ahli ilmu untuk membincangkan isu semasa dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan majlis agama. Inisiatif tersebut sangat penting supaya kita dapat satu keputusan dan rumusan yang rasional, praktikal dan logikal untuk disampaikan masyarakat.
"Cukuplah tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, kata-mengata dan serang menyerang sesama kita melalui media massa demi kebaikan agama dan diri kita.
"Jika ada masalah, mestilah duduk berbincang dengan ilmu, bukan emosi supaya fitnah terhadap Islam dan umat Islam dapat diatasi dengan baik," katanya.
Tertarik kisah Umar RA
Hussain Yee berdakwah sejak 1970an, telah lama tidak muncul di kaca televisyen, media cetak dan elektronik di tanah air untuk perkongsian ilmu agama. Apabila ditanya hal ini,beliau sendiri lupa bila kali terakhir bertemu pihak media. Namun, beliau sering menerima jemputan di luar negara dan ceramahnya boleh diikuti melalui YouTube.
Menyingkap latar belakang dirinya, anak kelahiran Kedah ini berasal daripada keluarga yang beragama Buddha. Ketika berumur 14 tahun, dia mendambakan dirinya di kuil.
"Setelah mendalami agama itu, saya dapati ada yang tak sesuai dengan fitrah saya seperti tak boleh makan daging dan pakaian ringkas. Sedangkan saya fikir masa tu hidup ini hanya sekali perlu berseronok.
"Suatu hari saya ke rumah kakak saya yang beragama Kristian. Saya anuti agama itu kerana tertarik amalannya lebih praktikal. Saya sempat belajar di sekolah mubaligh di Pulau Pinang
"Apabila mendalami Bible, saya rasa ragu-ragu terhadap konsep Trinity. Selepas itu saya baca buku mengenai Islam. Pada masa itu tak ada seorang pun rakan Muslim bercerita mengenai Islam. Malah mereka tak kisah pun soal dakwah," katanya ketika ditanya dalam sesi temu ramah di Peace TV yang boleh ditonton melalui YouTube.
Hussain Yee tertarik terhadap Islam setelah membaca buku kisah Sahabat Rasulullah SAW, Umar bin Al-Khatab RA yang bengis dan kejam tetapi tersentuh hatinya setelah membaca ayat al-Quran (Surah Toha: 1- 5).
"Ini menunjukkan betapa penting al-Quran itu ditunjukkan dan dikongsi dengan orang lain untuk mengetahui mukjizatnya yang mampu membuka hati seseorang kembali ke jalan benar," katanya yang giat menyebarkan ayat-ayat cinta ALLAH di merata tempat.
Hussain Yee berhijrah kepada Islam pada 1968. Pada awal keislamannya, beliau tidak terlepas daripada dugaan apabila ibunya menentang kerana menyangka anaknya masuk Melayu. Namun setelah diberi penjelasan dan melihat perubahan diri Hussain Yee yang lebih positif, barulah ibunya menerimanya dengan hati terbuka.
"Pengalaman buruk saya ketika mula masuk Islam dan tinggal di masjid, pernah dihalau dan barang dicampak ke luar.
"Mereka kata saya pengacau. Sedangkan saya menjaga masjid dan membersihkan tandas. Tapi syukur ada penduduk mengajak saya tinggal bersamanya," ujar bapa dua anak ini.
Perkenalan Hussain Yee dengan dua saudara Islam dari Jerman membuatkan beliau mengambil keputusan untuk mengikuti mereka dan mempelajari pengajian Islam di Universiti Madinah.
Beliau pernah aktif jalankan dakwah, mengikut kumpulan tabligh sebelum bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 1980. Hussain Yee kemudian mengasaskan Pertubuhan Al-Khaadem, Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya 1984 dan didaftarkan secara rasmi pada 1992.
"Al-Khadeem berslogankan Serving Mankind bertujuan berkhidmat kepada semua kaum tanpa mengira agama. Aktiviti dijalankan seperti lawatan ke rumah orang miskin dan perhimpunan keluarga, selain kelas agama serta kursus saudara baru.
"Aktiviti tersebut secara langsung dapat menunjukkan keperibadian Muslim. Kami menyampaikan dakwah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris," katanya yang juga pengasas Rumah Harapan Al-Khadeem.
* Oleh FOUZIAH AMIR, Sinar harian, 14 Februari 2014
0 comments:
Post a Comment