+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Wednesday, 28 May 2014

Bertelingkah kerana coklat Cadbury

5/28/2014 11:19:00 pm

Share it Please
KITA biasa dengar pesanan sesetengah orang tua supaya mengelak daripada makan makanan yang dibuat oleh orang bukan Islam, walaupun halal.
 
Bagi golongan yang mendalami tasauf, hal yang seperti ini amat dititikberatkan. Sebab musababnya jelas. Mengikut hadis, hukum mengelak daripada perkara syubhah sama seperti menjaga agama dan kehormatan.
 
Dengan cara itu, kita juga berupaya melindungi diri daripada terlibat dengan kemungkinan seperti yang sedang berlaku - kes coklat Cadbury.
 
 
Sumber atau asal usul makanan sangat penting. Jika ilmu moden sekadar memberitahu maksud frasa 'diri kita adalah apa yang kita makan' hanya dari aspek fizikal tetapi dari perspektif Islam, maknanya turut menjurus kepada hal-hal yang bersangkutan dengan mental dan spiritual.
 
Sebab itulah dalam aspek pemakanan Islam, konsep halalan toiyyiba sangat penting. Makanan bukan sahaja perlu suci, halal atau bersih dari segi fizikal tetapi asal usulnya juga harus daripada usaha yang dibenarkan. Ini kerana makanan yang bersih sahaja tidak cukup jika dibeli dengan wang pendapatan hasil kerja haram.
 
Ya, ini semua orang pun tahu! Kelmarin, dalam satu sidang media oleh sebuah NGO, seorang lelaki sebak ketika bercakap mengenai isu coklat Cadbury yang diisytiharkan mengandungi unsur DNA babi.
 
Lelaki itu sebak kerana berasa dirinya kotor lantaran telah makan coklat itu yang tidak disedari mengandungi bahan daripada najis mughallazah. Dia juga menyesal kerana turut memberi anak-anaknya makan coklat itu.
 
Benar dari segi hukum, dia, juga anda dan saya tidak berdosa kerana selama ini kita tidak tahu akan hal itu selain bersandar pada tanda halal Jakim. Dan mengikut hukum juga, bahan haram yang telah dimakan, tidak ada arahan kepada kita untuk menyamak mulut atau menyamak perut. Ini jelas! Akan tetapi, mengapa saudara kita itu sampai sebak?
 
Saya tidak pasti tetapi melihat dari sudut pandang yang positif bahawa tahap keprihatinan kita terhadap sesuatu perkara adalah berbeza, saya yakin itulah puncanya. Bagi kebanyakan kita, apabila dihukum tidak berdosa, kita tidak berasa apa-apa, apa lagi untuk rasa bersalah sampai menitiskan air mata.
 
Namun bagi sesetengah orang yang begitu ambil berat hal itu, terutama mereka yang meyakini bahawa apa yang dimakan itulah yang jadi darah daging, membentuk akhlak, peri laku juga ada kaitan dengan iman, mereka sangat sensitif. Lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan anak-anak.
 
Justeru mempersendakan orang yang seperti itu, apa lagi dengan menuduhnya mengada-ada, itu bukan hak kita!
 
Selain itu, kita dapat lihat betapa ramai orang mengecam Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Penyelarasan Badan-Badan Bukan Kerajaan Islam (ACCIN), Sabariah Abdullah berhubung kenyataannya berkaitan dengan tuntutan kos tukar darah atau cuci darah orang Islam yang sudah termakan coklat Cadbury.
 
Pada hemat saya, kenyataan itu tidak ada salahnya jika kita faham maksud yang tersirat meskipun jika dinilai secara harfiah, mesejnya agak janggal dan boleh dianggap ekstrem. Namun saya cuba memahami bahawa Sabariah membuat kenyataan itu dalam suasana perang psikologi!
 
Ironinya, kenyataan Sabariah telah meletakkan dirinya sebagai sasaran kecaman hingga menenggelamkan mesej sebenar yang cuba diketengahkan bahawa orang Islam perlu bersatu mengambil tindakan yang paling tegas terhadap syarikat pengeluar Cadbury.
 
Sebaliknya yang ditimbulkan ialah betapa Sabariah begitu ekstrem. Mengapa perlu dimomokkan atau diperlekehkan kenyataan Sabariah sampai begitu sedangkan yang berkata demikian adalah orang bijak pandai yang saya yakin tidak mempunyai sebarang masalah untuk memahami maksud kata-kata tersirat?
 
Saya dengar berulang kali kenyataan Sabariah dan amat jelas kata-katanya bahawa "kalau boleh saya nak semua orang Islam, diri saya, keluarga saya cuci darah, tukar darah ..." 
 
Kata-kata 'kalau boleh ...' secara terang membawa maksud ia adalah sekadar harapan, bukan kenyataan. Berkaitan babi, dalam Syarah Sahih Muslim ada disebut bahawa Imam Nawawi berkata, kesan terkena babi tidak perlu samak atau dibasuh sampai tujuh kali.
 
Jadi begitu jauh tindakan pihak yang menempelak Sabariah seolah-olah pemimpin NGO itu cuba mempengaruhi orang yang telah termakan coklat Cadbury supaya menyamak mulut dan perut mereka. Biasanya golongan bijak pandai beramal dengan ketelitian tetapi malangnya dalam isu ini, mereka abaikan disiplin itu.
 
Sebaliknya yang perlu diberikan perhatian adalah mesej Sabariah supaya tindakan diambil ke atas Cadbury harus berupaya memberi pengajaran yang paling berkesan, bukan tindakan yang katanya setakat membersinkan syarikat itu.
 
Saya juga yakin kenyataan Sabariah merujuk hal cuci darah atau tukar darah adalah berkaitan dengan kesan psikologi orang Islam yang merasakan dirinya kotor kerana telah termakan bahan yang haram walaupun bukanlah hukum syarak menuntut penganutnya tukar atau cuci darah.
 
Membersihkan psikologi sememangnya sangat penting untuk kita berasa lebih yakin dalam mengerjakan ibadat, juga berhadapan dengan orang ramai.
 
Tanpa kaitan isu di atas, saya yang jahil ini ambil contoh kesan mandi junub yang diwajibkan ke atas kita. Mengapa perlu diratakan air seluruh badan, dengan niat yang tertentu dan dihukumkan wajib pula? Mengapa tidak hanya disuruh basuh pada bahagian  'tercemar' atau terkena kesan dari perbuatan itu tanpa perlu berniat atau mewajibkan seluruh anggota zahir kita kena air?
 
Sememangnya selepas berjunub, psikologi kita terjejas untuk terus masuk ke majlis atau bercampur gaul dengan orang lain. Dan inilah bagi saya membersihkan psikologi itu penting dan psikologi memang ada perkaitan dengan apa yang berlaku pada fizikal kita.
 
Justeru, sedih sekali apabila melihat ada bijak pandai kita yang seperti sengaja menyempitkan motif yang sudah jelas. Sepatutnya dalam isu ini kita bersatu tetapi biasalah, kalau tidak bertelingkah hatta dalam situasi yang seperti ini, bukan Melayulah namanya. Wallahua'lam!
 
 

* Oleh MUHAMAD MAT YAKIM, Sinar Harian, 29 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment