BAGINDA SAW diutuskan kepada umat manusia untuk menyampaikan risalah Islam dengan kadar pemikiran yang mereka fahami. Baginda SAW sentiasa bercakap dengan mereka dalam tahap bahasa dan pemikiran yang mudah difahami mereka.
Diriwayatkan dalam Kashf al-Khafa' oleh al-Ajluni - walaupun ada perbahasan berhubung dengan status hadith ini namun dari segi maknanya ia benar, yang menyebut akan sabda Baginda SAW bahawa
"aku diperintahkan untuk berbicara dengan manusia mengikut kadar akal mereka".
Lantaran kerana itu kita dapati para ulama muktabar ketika mengarang kitab-kitab mereka, mereka sudah pun meletakkan siapakah sasaran pembacanya. Imam al-Ghazali ra. sebagai contoh ketika mengarang Bidayatul Hidayah atau Ihya' Ulum al-Din, ia ditujukan kepada orang awam manakala kitab-kitab seperti al-Mustasfa min ilm al-usul atau Ma'arij al-Quds fi Madarij Ma'rifat al-Nafs, ia ditujukan khusus kepada ilmuwan dan para ulama.
Inilah juga sepatutnya pendekatan dakwah apabila tidak semua orang boleh kita sama ratakan tahap pemikiran dan akal mereka, atau penghayatan mereka terhadap ajaran agama Islam. Ada dalam kalangan masyarakat awam kita yang jahil murakkab atau digelar juga "jahil totok" dalam erti kata mereka ini tidak pernah sembahyang, tidak menutup aurat dan membuat segala jenis maksiat dan dosa tanpa sedikit pun merasa bersalah. Ada sekelompok lagi ialah golongan yang kadang-kadang taat, dan lebih banyak masa melakukan maksiat dan dosa namun ada perasaan menyesal, manakala kelompok yang terakhir ialah mereka yang lebih banyak melakukan ketaatan dengan sekali sekala terjerumus dalam maksiat dan dosa.
Untuk kategori manusia peringkat pertama dan kedua, mereka perlu didekati melalui pendekatan dakwah yang agak santai dan bersahaja agar mereka ini berminat untuk berada dalam majlis-majlis agama dan tidak merasakan diri mereka ini terasing, atau sudah tiada harapan untuk kembali ke pangkal jalan dan hanya menunggu masa untuk ke neraka sahaja.
Radio IKIM.fm baru-baru ini mengambil pendekatan santai sebegini apabila dalam Kembara IKIM.fm Sarawak di Kuching bulan lepas kami telah membuat persembahan di kawasan lalu-lalang orang ramai di Waterfront Kuching dan Alhamdulillah dengan taufiq dan hidayah ALLAH SWT, seorang wanita telah mengucap dua kalimah syahadah. Tidak kurang juga sambutan daripada mat-mat rock yang didekati dan dikenalkan dengan radio Islam IKIMfm.
Begitu juga usaha-usaha mengadakan Selawat Perdana dan majlis-majlis selawat seperti itu sepatutnya dipuji dan digalakkan kerana walaupun dari satu segi ia dilihat seolah-olah sekadar majlis hiburan, tetapi sebenarnya ianya lebih daripada itu dengan pengisian peringatan yang mampu melunakkan hati-hati yang berdosa dan keras untuk mula berjinak-jinak dengan Islam. Walau apa pun kritikan terhadap majlis tersebut, sekurang-kurangnya ianya suatu yang baik dan ma'ruf, dan bukannya mungkar seperti majlis K-Pop atau Future Music Asia Festival 2014 baru-baru ini!
Penulis turut dimaklumkan oleh seorang sahabat bagaimana seorang yang sudah lama tidak Solat dan jauh dari penghayatan Islam dalam hidupnya, sebaik selepas Selawat Perdana telah bertanya-tanya di mana majlis-majlis ilmu untuk dia belajar kerana ingin kembali menghayati Islam setelah mula bertaubat.
Ya, memang benar masyarakat tidak memadai sekadar didendangkan dengan majlis-majlis berselawat sahaja. Hakikatnya, selepas daripada itu masih banyak tugasan-tugasan besar menanti. Majlis-majlis sebegitu diharapkan dapat melunakkan hati-hati yang keras yang jauh dari ALLAH SWT, manakala mampu terus membakar semangat kepada jiwa-jiwa yang telah jinak untuk semakin gigih beribadah, dan tekun menuntut ilmu agar kecemerlangan diri dapat dicapai dan seterusnya membangun ummah membina peradaban Islam.
* Oleh DR NIK ROSKIMAN, Sinar Harian, 16 April 2014
0 comments:
Post a Comment