+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Friday, 13 September 2013

Pensyarah cipta kaedah kuasai Al-Quran dalam tujuh jam

9/13/2013 12:43:00 am

Share it Please

BESUT: Seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh (IPGKI) Perak, mencipta satu kaedah menguasai bacaan Al-Quran bagi mereka yang tidak pernah membaca kitab suci itu sebelumnya, hanya dalam masa tujuh jam sahaja.

 

Zakaria Din @ Nasiruddin mengambil masa sebulan mencipta Kaedah Haraki Membaca Al-Quran Tujuh Jam itu yang dipersembahkannya dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Awal Kanak-Kanak (iCON) 2013 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) Besut di sini dan meraih satu daripada tiga Anugerah Emas semalam.

 

Kaedah yang dicipta sendiri oleh pensyarah agama IPGKI itu belum pernah didedahkan kepada umum dan memberi manfaat bagi semua peringkat usia yang ingin mempelajari Al-Quran termasuk orang bukan Islam yang tidak menguasai tulisan Jawi.

 

Zakaria ketika ditemui Bernama di IPGKSM hari ini berkata kaedah itu dicipta hasil kajian dan pemerhatian terhadap kanak-kanak di awal umur dan pelajarnya yang masih belum menguasai pembacaan Al-Quran sejak awal tahun ini.

 

Katanya, ia bermula apabila seorang daripada pelajarnya yang baru memeluk agama Islam meminta beliau mengajarnya membaca Al-Quran, Februari lalu.

 

Zakaria berkata, oleh kerana sentiasa sibuk dengan tugasan harian sebagai pensyarah, beliau mencuba kaedah itu dengan mengajar anaknya Ahmad Mukhlis, 7, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Bukit Jana Kamunting, Ipoh, Perak, menggunakan alat bantuan mengajar seperti buah dadu dan kad imbasan selain melakukan gerak tangan mengikut kaedah haraki .

"Sebagai contoh bila bacaan harakat pendek, saya gunakan teknik mengetuk pipi manakala harakat yang panjang dengan cara mendepakan tangan dan dapat mengajar anak saya membaca Al-Quran secara bertajwid," katanya.

 

"Syukur kaedah yang saya gunakan itu telah mampu membolehkan pelajar saya dari kalangan orang Asli itu menguasai bacaan Al-Quran dalam tempoh 7 jam dengan mengajarnya dalam tempoh sejam sehari dalam masa 7 hari sahaja," katanya.

 

Berikutan kejayaan itu, beliau telah menggunakan kaedah yang diciptanya itu kepada golongan dewasa, orang-orang kampung dari pelbagai latar belakang termasuk kanak-kanak prasekolah yang masih tidak menguasai pembacaan Al-Quran dan hasilnya mengagumkan.

 

Katanya membaca Al-Quran dengan kaedah haraki ini adalah suatu ringkasan dan inovasi kaedah terkini yang mengambil inspirasi daripada teknik-teknik membaca Al-Quran yang lain sehingga membolehkan sesiapa sahaja yang belum menguasai bacaan Al-Quran secara bertajwid, mampu berbuat demikian dalam tempoh singkat.

 

"Kaedah Haraki bukan sahaja cepat, berinovatif, mudah difahami, menepati hukum Tajwid dan kurang menggunakan peralatan lain tetapi juga menarik serta menyeronokkan," katanya.

 

Mereka yang berminat boleh mengikuti kaedah itu di laman blognya di kelasquran7.blogspot.com. - Bernama

0 comments:

Post a Comment