+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Thursday, 26 September 2013

Beza ramai-ramai dan sendiri-sendiri

9/26/2013 09:27:00 pm

Share it Please

D

ALAM hidup ini, terdapat banyak situasi di mana kita bersendirian, meskipun berada di tengah-tengah ramai manusia. Misalnya, ketika dalam kedukaan, segala keriuhan manusia di sekeliling tidak akan kita hiraukan. Bahkan, kita berasa kesunyian di dalam kebisingan.

 

§  Saat kita memandu juga adalah waktu di mana kita bersendirian meskipun di hadapan, belakang dan di kiri kanan kita dipenuhi dengan kenderaan lain. Andainya berlaku kerosakan kenderaan atau kemalangan (nauzubillah), hanya kita seoranglah yang berdepan dengan keadaan itu.

 

§  Tatkala kita sakit seperti pening, meskipun kita mengadu kepada teman, dia hanya boleh memicit kepala dan memberi ubat. Tetapi rasa berat seperti batu di dalam kepala itu kita tanggung bersendirian. Pasangan tidak boleh hilangkan pening itu. Kita sendiri mesti menanti kesan ubat yang ditelan itu untuk menghilangkan sakit.

 

B

anyak lagi keadaan dan situasi di mana kita bersendirian. Tatkala kita menjawab soalan di dewan peperiksaan, memasuki pertandingan nyanyian, memasak, bersukan mahupun beribadah, kita  lakukannya dengan bersendirian.

 

Sebenarnya, kita mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam menghadapi hampir semua aktiviti mahupun situasi yang kita hadapi secara bersendirian itu. Ditinggalkan orang yang disayangi, memandu, menghadapi kesakitan, duduk di dalam dewan peperiksaan, memasuki pertandingan, memasak, bersukan mahupun beribadah tentu sekali sudah kita alami sebelum ini.

 

Jika tidak pun, kita sudah punyai pengetahuan melalui tontonan di televisyen mahupun dari bahan bacaan. Misalnya, andainya kita tidak pernah mengalami keadaan ditinggal kekasih, kita peroleh pengetahuan bagaimana bereaksi melalui tontonan drama televisyen atau kuliah ringkas menangani putus cinta di youtube.

 

Betapa pun, biarpun kita punyai pengalaman mahupun pengetahuan menangani sesuatu secara bersendirian, kita sukar mengendali emosi meskipun bila berdepan lagi dengan keadaan yang sama pada waktu yang lain.

 

Misalnya, walaupun kita pernah menduduki peperiksaan sebelum ini, perasaan stres, dada berdebar-debar, panik takut masa habis, rasa waswas dengan jawapan yang diberi, bimbang terlalu over-confident hingga memberi jawapan yang salah, akan kita alami walaupun kita telah menghadapi pelbagai peperiksaan PMR, SPM, mahupun peperiksaan di universiti sebelum ini.

o   Mengapa ini terjadi?

      Bukankah apa yang telah dialami sebelum ini boleh menjadi pengajaran agar kita lebih bersedia, berhati-hati dan tenang?

 

S

ebenarnya, kita akan emotif kembali walaupun bila menghadapi keadaan yang sama kerana ia dihadapi sendirian.

 

Ini berbeza dengan keadaan jikalau kita lakukan sesuatu secara berkumpulan. Aktiviti bergotong-royong, berkoir, bertahlil, menyokong pasukan sukan yang bertanding, menyokong parti politik yang bertanding, boleh kita lakukan dengan perasaan yang lebih relaks kerana ia dilakukan secara beramai-ramai.

 

Malah, kita berani tonjolkan diri kerana kita tahu yang kita punyai ramai rakan-rakan di belakang yang turut bersama kita. Mereka akan membantu kita andainya kita melakukan kesilapan. Namun, apabila tiba dalam situasi seorang demi seorang atau one-to-one, segala keberanian itu akan hilang. Malah, kita akan lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk kita.

 

Dari segi aktiviti politik contohnya, kita begitu berani berhujah, berdebat dan mengkritik dengan lantang bila kita berada di dalam kumpulan kerana kita tahu ramai yang akan menyokong pendapat kita. Bagaimana pun, tatkala berdiri di petak undi untuk memangkah, di waktu itulah kita akan bersendirian. 

 

Meskipun segala input melalui akhbar, televisyen, media baru, ceramah, risalah dan seumpamanya sudah kita peroleh dan kita sudah memutuskan untuk memilih siapa yang kita mahu, suasana di tempat itu tidak semestinya sama meskipun kita sudah mengundi lebih 10 kali sebelum ini.

 

Lebih-lebih lagi pada kali ini, jari akan dicalit dan alat tulis yang disediakan adalah pen dan bukannya pencil, apabila melangkah ke bilik mengundi, menghulur kad pengenalan hingga kita berdiri di petak undi, kita sudah tidak teringat suara-suara dan wajah-wajah calon dan parti yang kita ingini.

 

Mengapa? Kerana kita bersendirian di saat itu. Di sana, kita berseorangan bersama dengan kertas undi yang mempunyai lambang parti dan nama calon. Meskipun kita tahu apa yang kita hendak pilih, kita akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu terpangkah calon yang kita tidak pilih.

 

Seperti memilih hidup atau mati, segala perasaan ketika itu kita tanggung sendiri. Di saat itu, pengetahuan kognitif dan asosiatif akan diterjemahkan secara automatik yang lebih bersifat emotif. Pertimbangan baru boleh sahaja muncul di minda pada saat itu.

 

Dan, kita boleh sahaja bertindak berbeza dengan apa yang kita telah putuskan.

 


*Oleh NORDEN MOHAMED, Sinar Harian, 24 April 2013

0 comments:

Post a Comment