+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Tuesday 10 June 2014

Berhadapan Ramadan paling panas

6/10/2014 06:17:00 pm

Share it Please
Umat Islam yang menunaikan ibadah umrah berehat ketika menunggu waktu berbuka puasa pada musim Ramadan di Makkah tahun lalu. Suhu ketika itu ialah 43 darjah Celsius.
 
JEDDAH, 10 Jun - Umat Islam di Arab Saudi diingatkan untuk bersiap sedia berhadapan dengan cuaca panas sehingga 50 darjah Celsius dan waktu siang yang panjang selama 15 jam ketika berpuasa di bulan Ramadan tahun ini.
 
Suhu ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan sejak 25 tahun lalu, iaitu pada musim Ramadan 1989 iaitu 49.8 darjah Celsius.
 
Bagaimanapun tempoh berkenaan akan berkurangan kepada 14 jam 40 minit ketika penghujung bulan suci berkenaan, lapor Arab News, semalam.
 
Makkah, Madinah, Yanbu, Riyadh dan Dammam dijangka mencatatkan rekod panas paling tinggi tahun ini.
 
Jurucakap Jabatan Meteorologi dan Alam Sekitar, Hussain Al-Qahtani memberitahu Arab News bahawa suhu ketika Ramadan akan terus tinggi berikutan tekanan rendah di Semenanjung Arab dan keadaan cuaca panas di seluruh Asia Barat.
 
Al-Qahtani berkata "Suhu dijangkakan antara 45 hingga 50 darjah Celsius di Makkah, 42 hingga 47 di Madinah, 44 hingga 47 di Riyadh dan Wilayah Tengah," katanya.
 
Sementara itu suhu sehingga 50 darjah Celsius diramalkan melanda Wilayah Timur, 39 hingga 45 darjah Celsius di Wilayah Sempadan Utara dan 42 hingga 46 darjah Celsius di Wilayah Selatan.
 
Beliau berkata Makkah mencatatkan suhu 49.8 darjah Celsius pada 1 Julai 1989, Madinah 49 darjah pada 20 Julai 2005, Riyadh 48 darjah Celsius pada 25 Julai 1987 dan Dammam 50 darjah pada 28 Julai 2007.
 
Ramadan adalah bulan ke sembilan di dalam kalendar Islam yang berasaskan kepada pusingan bulan lunar. Bulan suci berlaku kira-kira 11 hari lebih awal setiap tahun mengikut kalendar Gregorian.
 
Kitaran bagi setiap musim mengambil masa sembilan tahun. Ramadan akan berlaku dalam musim panas sekali lagi pada 2017. – Agensi

0 comments:

Post a Comment