Dubai, 15 Mac - Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengharamkan penggunaan 50 nama termasuk nama 'asing', mempunyai kaitan dengan keluarga diraja dan yang dianggap menghina Tuhan.
Rakyat negara itu tidak boleh memberikan anak mereka nama seperti Amir (putera), Linda atau Abdul Nabi (hamba Nabi) selepas jabatan hal ehwal awam di kementerian itu mengeluarkan senarai berkenaan.
Nama menyalahi budaya, agama
Ia mewajarkan larangan itu dengan mengatakan nama berkenaan menyalahi budaya atau agama di negara berkenaan, atau bahasa asing atau tidak sesuai.
Nama itu termasuk sekurang-kurangnya dalam tiga kategori iaitu dianggap menghina agama, berkaitan dengan keluarga diraja dan tidak berunsurkan Arab atau Islam.
Sebilangannya tidak termasuk di dalam mana-mana kategori dan tidak jelas mengapa ia diharamkan. Nama seperti Abdul Naser dan Binyamin tidak menunjukkan penghinaan kepada Islam malah Binyamin ialah anak lelaki kepada Nabi Yaacob dan saudara kandung kepada Nabi Yusuf. Namun ia juga nama Perdana Menteri Israel.
Abdul Naser serupa dengan nama pemerintah nasionalis MesiR, yang tidak sependapat dengan Arab Saudi.
Nama seperti Abdul Nabi dan Abdul Hussain, biasa di kalangan puak Syiah dan sebahagian Arab Sunnah, menimbulkan kontroversi kerana boleh diterjemahkan pelbagai cara.
Abdul dalam bahasa Arab bermaksud pemuja atau hamba manakala Nabi bermakna nabi dan Rasul adalah pesuruh. Mereka yang menentang penggunaan nama itu berkata Abdul bermakna pemuja dan ia dilarang kerana cuma Tuhan yang boleh dipuja.
Kebanyakan nama Islam yang bermula dengan Abdul diiringi salah satu daripada 99 nama Tuhan.
Nama lain yang diharamkan termasuk ada kaitan dengan keluarga diraja, terutama gelaran seperti Sumuw (tuanku), Malek (Raja), dan Malika (Ratu) dan perkataan diraja lain seperti Al Mamlaka (kerajaan). – Agensi
0 comments:
Post a Comment