Istanbul, 26 Nov. - Sebuah biara usang dan terbiar yang dibina pada kurun kelima di Istanbul dilaporkan bakal diubah suai untuk dijadikan masjid tahun depan.
Rancangan mengubah fungsi biara itu yang dibina sebagai penghargaan kepada paderi St John dan dianggap paling penting dalam tamadun Constantinople didedahkan sebuah akhbar harian tempatan semalam.
Pihak berkuasa Islam di Istanbul tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan laporan berkenaan tetapi kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan menjadi sasaran kritikan pengikut sekular kerana semakin gigih menerapkan nilai Islam di negara berkenaan.
Menurut laporan akhbar tempatan, biara berkenaan sebelum ini runtuh akibat kebakaran serta gempa bumi tetapi akan diubah suai tahun depan sebelum dijadikan masjid.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc membangkitkan kemarahan Greece apabila menyatakan monumen Hagia Sofia yang berusia lebih 1,500 tahun juga dipertimbangkan untuk dijadikan masjid.
Bangunan itu pernah dijadikan masjid ketika zaman Uthmaniyah pada abad ke-15 sebelum diubah menjadi muzium oleh tokoh sekular agung negara berkenaan, Mustafa Kamal Ataturk.
Dua bekas gereja di bandar lain di Turki baru-baru ini juga telah ditukar fungsinya menjadi masjid. - AFP
0 comments:
Post a Comment