+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Sunday 22 September 2013

Mengurus harta mengikut syariah

9/22/2013 08:28:00 pm

Share it Please

Dari kiri, Naib Yang Dipertua I Persatuan Ulama Malaysia, Dr Fauzi Draman; Pengarah Urusan KMK, Datuk Hussamuddin Yaacob; Abdul Halim dan Timbalan Pengerusi KMK, Mohd Nasir Hamzah.


 

U

captama Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam seminar Maqasid Syariah, Isu-isu Kepenggunaan: Realiti dan Cabaran yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

 

Pengenalan Maqasid Al Syariah

S

ebelum membincangkan lebih lanjut mengenai perkara ini, kami bawakan pengenalan umum kepada maqasid al syariah itu sendiri supaya lebih jelas kepada kita. Para ulama terdahulu menyatakan maqasid al syariah dari sudut hasil dan tujuannya sahaja. Ini dapat dilihat seperti berikut:

  I.     Al Ghazzali menyatakan: ‘Matlamat syarak terhadap manusia ialah lima, iaitu penjagaan agama, diri, akal, keturunan dan harta.’

II.     Al Amidi menyatakan bahawa : ‘Matlamat dari pensyariatan hukum sama ada untuk mencapai kemaslahatan atau menolak kemudaratan ataupun kedua-duanya sekali.’

III.     Al Shatibi menyatakan bahawa: ‘Pentaklifan-pentaklifan syarak semuanya bertujuan memelihara matlamatnya terhadap manusia.’

 

Sesungguhnya maksud syarak terhadap sesuatu pensyariatan ialah mencapai kemaslahatan di akhirat dan di dunia.”

 

Maqasid al syariah terbahagi pula kepada dua iaitu masalah ammah dan masalah khassah. Masalah ammah terbahagi pula kepada lima yang utama, iaitu bertujuan untuk menjaga (al-hizf atau al-muhafazah) agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

 

ALLAH telah menyediakan segala-galanya di alam ini untuk kemudahan manusia mentadbir dan memakmurkannya, yang antara lain, berupa harta. Justeru, tergolong di dalam kelompok istilah harta juga termasuk produk dan perkhidmatan yang dapat memberikan manfaat kepenggunaan kepada manusia untuk penambahbaikan taraf hidup mereka. Sehubungan itu, manusia disuruh berusaha mendapatkannya dan menjaganya agar dibelanjakan ke arah memakmurkan kehidupan ini dalam acuan yang dikehendaki ALLAH SWT.

 

Firman ALLAH: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa ALLAH telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin?.” (Surah Luqman,31:20)

 

Kehidupan yang sempurna bagi seseorang manusia juga amat berkait rapat dengan pemilikan, penguasaan dan kepenggunaan terhadap harta. Islam mengakui kepemilikan individu atas harta dan menghargainya. Lantaran itu, Islam melarang memperoleh harta melainkan dengan cara dan transaksi yang sah, baik dan saling redha-meredhai.

 

ALLAH berfirman: “Dan janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan jalan yang batil.” (Surah al-Baqarah, 2:188)

 

Untuk menyempurnakan perintah-perintah tersebut, Islam mensyariatkan akad-akad yang membolehkan perpindahan harta dan hak milik dengan cara berniaga, bekerja dan mewarisi. Bagi memastikan harta diperoleh dan diuruskan dengan baik, maka Islam turut menggariskan perkara-perkara berhubung:

a)  Panduan mencari rezeki atau harta yang halal

b)  Cara menafkahkan harta pada jalan yang disyariatkan

c)  Hak-hak ALLAH terhadap harta yang perlu ditunaikan

d)  Larangan memanfaatkan (makan, minum atau menggunakan harta secara batil)

 

Pemilikan harta hendaklah diusahakan melalui cara dan pendekatan yang diharuskan. Misalnya, syariah Islam telah mengharuskan jual beli dan mengharamkan riba. Syariah Islam juga mengharamkan perjudian, rasuah dan penipuan dalam timbangan.

 

Syariah Islam turut menetapkan kaedah tersendiri membelanjakan harta seperti mewajibkan zakat kepada harta tertentu dan menggalakkan sedekah serta pemberian hadiah dalam keadaan tertentu.

 

Maqasid Syariah dan Kepenggunaan (harta)

K

epenggunaan dalam masyarakat Islam menjadi lebih cantik jika realitinya dapat dipakejkan bersama dengan mengawal aspek pengendalian dan pengurusan kewangan – sama ada berbentuk peribadi atau keluarga – bagi mewujudkan suasana kehidupan yang menepati maksud maqasid syariah, yang bukan saja berlegar dalam skop halal living tetapi juga dalam ufuk kehidupan lestari. Beberapa kriteria kepenggunaan yang perlu diteliti daripada perspektif Islam:

 

i)    Konsep pengguna

Hakikat kejadian manusia yang memiliki jasad, roh, hati, nafsu dan akal tidak boleh dinafikan. Justeru, jasmani dan kebendaan seperti harga dan kos barangan, serta perkhidmatan dan kehendak kerohanian seperti kebebasan, ketenangan dan keharmonian perlu diseimbangkan. Hanya kehendak yang tidak bertentangan dengan syarak dan memenuhi maqasid syariah wajar dituruti.

 

ii)    Konsep kepenggunaan dalam Islam

Kepenggunaan dalam Islam difahami sebagai aktiviti penggunaan barangan atau perkhidmatan bagi memenuhi kehendak dan keperluan manusia yang disyariatkan. Ia meliputi dua skop utama, iaitu penggunaan secara hakiki dan maknawi. Penggunaan secara hakiki merujuk kepada aktiviti mengguna fizikal barang secara langsung, sama ada secara pakai habis atau berterusan. Manakala, penggunaan secara maknawi pula merujuk aktiviti mengguna secara tidak langsung. Ia mampu mendedahkan seseorang kepada ancaman jika tidak dilindungi dan dibendung.

 

Kepenggunaan juga merujuk kepada sesuatu usaha menjamin kepentingan pengguna melalui pergerakan pengguna, penggubalan undang-undang, program pendidikan dan lain-lain.

 

Sejajar itu, perlindungan pengguna dalam Islam juga mencakupi dua bentuk perlindungan iaitu hakiki dan maknawi. Perlindungan hakiki menyentuh perihal melindungi pengguna daripada ancaman kerosakan, keselamatan dan penipuan daripada barangan dan perkhidmatan yang diperolehi. Perlindungan maknawi pula melindungi pelanggan daripada kesan penggunaan barangan dan perkhidmatan secara visual atau intelektual.

 

iii)    Falsafah kepenggunaan dalam Islam

Kepenggunaan dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan individu saja tetapi lebih kepada memenuhi tanggungjawab diri untuk beribadat kepada ALLAH SWT. Dalam konteks ini, falsafah tauhid dalam kepenggunaan perlu mencakupi tiga dimensi utama iaitu:

§  Aqidah, syariah dan akhlak

§  Hubungan menegak dan mendatar

§  Kawalan dalaman dan luaran

 

iv)    Tingkat kepenggunaan dalam Islam

Kepenggunaan barangan dan perkhidmatan dalam kalangan pengguna Islam mempunyai tingkat tertentu yang ditetapkan iaitu:

o   Dharuriyyat (asas) iaitu keperluan asas manusia

o   Hajiyyat (keperluan) iaitu keperluan manusia bagi menghilangkan kesulitan

o   Tahsiniyyat (pelengkap) iaitu kemudahan yang memberi keselesaan dan memenuhi keperluan yang terdesak

 

v)    Matlamat kepenggunaan dalam Islam

Matlamat untuk mencapai kebaikan dan mengelak kerosakan di dunia dan akhirat. Selain itu, matlamatnya juga untuk mencapai kepuasan kerohanian yang seterusnya membawa keredhaan ALLAH.

 

vi)    Manhaj kepenggunaan dalam Islam

Tiga manhaj yang perlu dijadikan keutamaan sepanjang aktiviti penggunaan iaitu kepenggunaan sebagai ibadah, peraturan dalam kepenggunaan serta kepenggunaan dan kezuhudan.

 

 

Realiti Mewujudkan Kehidupan Lestari Mengikut Maqasid Syariah Tanpa Bebanan Hutang

 

i)    Perbankan menggalakkan hidup berhutang?

S

enario hari ini menunjukkan ramai umat Islam di Malaysia melibatkan diri dengan perkhidmatan kewangan yang dibekalkan oleh bank-bank Islam, terutama dalam perkara pinjaman atau berhutang. Persoalan yang timbul adakah kebajikan Islam dan umatnya dalam keadaan yang lebih baik akibat daripada pertumbuhan pesat sektor perbankan Islam dalam memudahkan urusan pinjam meminjam. Di samping bahaya berlakunya krisis kewangan akibat tahap hutang yang tinggi, banyak gejala sosial yang berlaku juga berkait rapat dengan masalah kadar hutang yang tinggi.

 

ii)  Hutang dari perspektif Islam

P

erspektif Islam berkenaan hutang dapat difahami dengan jelas jika kita merujuk hadis-hadis Rasulullah SAW. Antaranya hadis Rasulullah SAW bermaksud:

“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim, 6/28)

 

Di dalam satu lagi hadis Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, ALLAH akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamkannya dengan niat ingin merugikannya, ALLAH pun akan merugikannya” (Riwayat al-Bukhari, 2/83)

 

Islam juga melihat hutang sebagai sesuatu yang membahayakan individu dan umat Islam. Ini dapat dilihat dari doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:

 

“Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” (Riwayat al-Bukhari, 1/214)

 

Di dalam satu hadis yang lain pula Rasulullah SAW bersabda:

Ertinya: Ya ALLAH, aku berlindung dari kekufuran dan hutang. Mendengar itu seseorang bertanya, “Apakah tuan menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?, “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat an-Nasaie, 2/316, Ahmad, 3/38, al-Hakim berkata sahih dan disepakati oleh az-Zahabi, menurut Albani: Dhaif)

 

Aktiviti berhutang dari perspektif Islam adalah aktiviti yang tidak baik dan perlu dijauhi kecuali dalam keadaan tersangat kesempitan. Namun, sekarang kita dapati industri perbankan amat menggalakkan budaya berhutang. Termasuk sektor perbankan Islam. Akibat aktiviti mereka yang ingin berkembang, tahap hutang masyarakat telah bertambah.

 

iii) Peningkatan hutang isi rumah di Malaysia

D

ata menunjukkan tahap dan tren hutang isi rumah di Malaysia sedang meningkat dari setahun ke setahun. Menurut laporan Bank Negara, hutang isi rumah di negara kita telah meningkat selama 10 tahun berturut-turut pada kadar tahunan sebanyak 12.5 peratus pada Disember 2011. Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar negara adalah 76.6 peratus.

 

Malah, hampir 50 peratus daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membiayai bebanan hutang. Berbanding negara lain, Malaysia mempunyai nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan bersih yang tertinggi.

 

Maka, tidak hairanlah jika fenomena permasalahan hutang akan meningkat dalam kalangan orang Islam walaupun mereka peka berkenaan isu halal dan haram. Meskipun sebenarnya hutang mereka adalah halal, namun ianya tetap hutang dan jika bertambah, bahayanya tidak jauh berbeza dengan keadaan hutang haram.

 

Jika masyarakat kita mempunyai sikap konsumerisme yang tinggi, ia akan lebih mudah bagi sektor perbankan Islam mencapai strategi perniagaan untuk menambah jumlah masyarakat yang berhutang. Ini sudah tentu bertentangan dengan matlamat dakwah dan tarbiah Islam.

 

iv)  Fenomena kahwin lambat

P

erkahwinan adalah antara aspek yang melibatkan kebendaan dan kepenggunaan. Soalnya, fenomena kahwin lambat ini berlaku kerana maqasid syariah yang sewajarnya tidak diutamakan.

 

Disebabkan terikut-ikut dengan budaya semasa dan sikap bermegah dalam mengatur majlis perkahwinan menyebabkan kos majlis menjadi terlalu mahal dan membebankan. Ini termasuklah nilai hantaran yang melambung tinggi dan belanja perkahwinan yang melampaui kadar munasabah menyebabkan maqasid syariah untuk mencapai tujuan perkahwinan itu disyariatkan tidak tercapai. Sebagai jalan mudah untuk keluar dari masalah ini ialah dengan berhutang.

 

Antara faktor utama menyumbang kepada kahwin lambat ialah kestabilan. Selain itu, faktor kepentingan kerjaya yang berkait rapat dengan kebendaan turut mempengaruhi kahwin lewat. Sementara itu, 30 peratus daripada mereka yang belum berkahwin berpendapat kerjaya adalah segala-galanya.

 

Sedangkan dalam tuntutan perkahwinan, antara maqasid syariah yang dapat dikenal pasti ialah untuk mengelakkan gejala sosial selain membina zuriat Muslim bagi kelangsungan umat. Jika kahwin lambat jadi tren, pasti sukar memenuhi tujuan syarak tentang perkahwinan.

 

 

Cabaran Mewujudkan Kehidupan Halal Living

R

ealisasi mewujudkan halal living menuntut komitmen besar semua pihak. Perkara yang perlu diberi perhatian dalam usaha mewujudkan halal living:

 

§  Menyempurnakan misi kehambaan dan kekhalifahan sepanjang aktiviti kepenggunaan

§  Menjadikan aktiviti kepenggunaan sehari-hari sebagai ibadah

§  Memanfaatkan sumber kepenggunaan sebaik mungkin

§  Menjalani gaya hidup sihat berdasarkan tingkat keperluan dan kemampuan

§  Mengutamakan matlamat kepenggunaan jangka panjang berbanding jangka pendek

§  Menggiatkan promosi halal living melalui proses bimbingan dan pendidikan

§  Menggubal undang-undang mesra pengguna

§  Menguatkuasakan akta dan undang-undang sedia ada

 

Rumusan dan Kesimpulan

 

a.    Di peringkat pengguna: Pengguna berhak diberi perlindungan berikut:

v    Melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan keselamatan

v    Melindungi kepentingan ekonomi pengguna

v    Menyalurkan maklumat dan penerangan yang mencukupi agar pengguna dapat buat keputusan secara bertanggungjawab

v    Memperoleh ganti rugi yang murah, efektif dan cepat

v    Mendidik pengguna secara meluas dalam isu kepenggunaan

v    Memelihara alam sekeliling pengguna

v    Memberi kebebasan dan kesejahteraan kepada pengguna

 

b.    Di peringkat agensi:

ü  Penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan pemantauan ketat Bank Negara terhadap institusi kewangan dalam soal pemberian pinjaman

ü  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) harus berperanan lebih agresif dalam meningkatkan khidmat nasihat kewangan dan bantuan penstrukturan semula hutang dalam usaha menggalakkan pengurusan kewangan berhemat dan meningkatkan tahap celik kewangan.

ü  AKPK juga perlu meneruskan usaha menganjurkan taklimat dan pameran di seluruh negara bagi pelbagai kumpulan sasar.

ü  AKPK perlu lebih dinamik dalam memberikan kaunseling kewangan kepada individu dan membantu penstrukturan bayaran balik hutang melalui Program Pengurusan Hutang.

 

c.    Lain-lainnya:

      Usaha perlu digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam, khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.

      Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan.

 

Sebagai kesimpulan, kami ingin menyebutkan langkah utama ke arah memperkasakan masyarakat Islam dalam bidang ekonomi tidak seharusnya dilihat semata-mata dengan memperkukuhkan sektor perbankan Islam. Sebaliknya, kita juga harus menekankan aspek untuk merubah nilai masyarakat Islam supaya tidak terlampau mengejar kebendaan tetapi mengejar kejayaan akhirat dengan menambahkan ketakwaan mereka.

 


*Oleh Wartawan Sinar Harian, 22 September 2013

0 comments:

Post a Comment