+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Thursday 29 May 2014

Solat, sabar ubat ujian

5/29/2014 01:56:00 am

Share it Please
Sabar kekuatan dalaman sementara solat yang dilakukan dengan sepenuh jiwa raga mampu mencegah diri daripada kemungkaran dan kemaksiatan
 
"Dalam kehidupan kita di Singapura, kita dibentuk menjadi orang yang perkasa, tetapi jangan putuskan hubungan kita dengan Allah."
- Mufti Negara Singapura, Dr Mohd Fatris Bakaram.
HIDUP banyak ujian dan cabaran, tetapi kita telah diberi ubat untuk mengatasinya iaitu dengan dua 'S' - sabar dan solat.
 
Sabar adalah kekuatan dalaman yang membuat kita tabah tetapi tidak sekadar diam, sebaliknya bertindak melakukan sesuatu.
 
Solat pula menjadi talian antara hamba dengan Tuhannya bagi mendapatkan kekuatan.
 
Demikian dijelaskan oleh Mufti Singapura, Dr Mohd Fatris Bakaram, ketika menyampaikan syarahan sempena Israk Mikraj bertajuk Talian Khas Kepada Pencipta Alam di Masjid Al-Iman, Sabtu lalu.
Menurutnya, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Antaranya:
  • Ia menunjukkan kasih sayang Allah - mengurangkan solat daripada 50 kepada hanya lima kali sehari (diskaun besar, lebih daripada Jualan Raksasa Singapura) tanpa mengurangkan pahalanya.
  • Menggambarkan nikmat syurga dan seksaan neraka.
  • Menceritakan kisah Nabi Muhammad saw bertemu dengan para nabi dan mengimamkan solat bersama mereka.
  • Menunjukkan kekuasaan Allah.
  • Ia menunjukkan bahawa syariat Allah berkait antara satu dengan yang lain. Sebelum puasa, kita diingatkan tentang solat - yang diwajibkan menerusi peristiwa Israk dan Mikraj - sebulan sebelum puasa.
Menurut beliau lagi, peristiwa tersebut boleh dilihat menerusi pelbagai cara.
 
Antaranya ialah untuk menghiburkan hati nabi, sekali gus memberi kekuatan dan tenaga baru kepadanya. Sebelum peritiwa itu, Nabi kematian dua yang dikasihi dan menjadi tulang belakangnya dalam berdakwah - isterinya, Sayidatina Khadijah, dan pak ciknya, Abu Talib. Beliau juga mendapat tentangan dan dilempari batu hingga tercedera ketika berdakwah ke Taif.
 
Peristiwa itu menunjukkan kepada Nabi dan umatnya bahawa kita tetap akan menghadapi kesulitan, tetapi kita ada talian pertolongan dengan Allah.
 
"Allah memberi taliannya iaitu menerusi solat," kata beliau sambil merujuk surah Al-Baqarah (ayat 45 dan 153). Dalam kededua ayat itu, Allah menyeru kepada hamba-hamba-Nya yang beriman supaya meminta pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.
 
"Ini ubat kuat kita, ini saluran kita - cari kekuatan daripada Allah untuk membantu kita dalam kehidupan, meminta dengan dua 'S' - iaitu sabar dan solat," kata beliau.
 
SABAR
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Fatris berkata sabar adalah kekuatan dalaman, kekuatan jiwa.
 
"Sabar tidak bermakna diam dan tidak berbuat apa-apa.
 
"Sabar ertinya gagah dan berani untuk maju ke hadapan," ujarnya.
 
Hati manusia tidak harus menjadi seperti bol lampu (pecah ketika terhempas) dan tidak juga seperi kayu (tak berubah walau terhempas), sebaliknya harus menjadi bak bola tenis (menganjal dan memantul; lebih kuat dihentak, lebih kuat juga reaksi pantulannya).
 
Sabar juga ada beberapa jenis - sabar ketika ditimpa musibah dan sabar ketika menerima nikmat. Hamba yang sabar tidak menjauhkan diri ketika diuji (musibah atau nikmat) sebaliknya semakin tawaduk dan bersyukur menerusi amal ibadahnya.
 
Melakukan amal ibadah dan ketaatan, meninggalkan maksiat, berusaha untuk maju (dengan atasi kelemahan dan melakukan perubahan dalam masyarakat) - semua memerlukan kesabaran.
 
 
SOLAT
"Namun sekuat mana pun, kita tetap manusia dengan tahap kesabaran boleh tergugat.
 
"Maka itu, kita perlukan satu lagi 'S' iaitu solat - hubungan kita dengan Allah, untuk perkukuh diri.
 
"Jika kurang satu, kita tidak akan ke mana.
 
"Dalam kehidupan kita di Singapura, kita dibentuk menjadi orang yang perkasa, tetapi jangan putuskan hubungan kita dengan Allah," kata beliau.
 
Dr Fatris menceritakan bagaimana suatu hari beliau menjadi risau semasa memandu sebaik menyedari bahawa beliau tertinggal telefon bimbit kerana ia merupakan talian penting dengan banyak pihak.
 
Beliau juga menyedari bahawa ramai yang berperasaan serupa.
 
"Apabila tertinggal atau hilang talian itu, kita cemas dan bimbang.
 
"Apakah kita tidak bimbang akan talian kita dengan Allah iaitu solat?
 
"Pagi-pagi lagi kita sudah disuruh menyambung talian kita dengan Allah.
 
"Allah sudah siapkan talian, tapi kita yang putuskan," kata beliau kepada jemaah yang penuh sesak di masjid.
 
Dr Fatris menekankan bahawa Allah tidak minta banyak daripada kita, tidak meminta membayar balik terhadap pelbagai nikmat (panca indera, rezeki, umur, tidur dan sebagainya) yang diberikan kepada kita, sekadar memerintahkan kita supaya mendirikan solat lima kali sehari sebagai tanda ingat dan syukur kepada-Nya.
 
Nabi sendiri solat hingga bengkak kaki sebagai cara melahirkan kesyukurannya.
 
"Nabi mengajar kita solat bukan untuk bayar balik, bukan untuk elak daripada neraka, tetapi juga untuk berterima kasih di atas pelbagai nikmat yang diberi kepada kita," jelas beliau.
 
Dalam ceramah itu, beliau juga mengingatkan perintah Allah supaya solat dan membaca Al-Quran sebagai peringatan, dengan memetik surah Al-Ankabut: ayat 45, bermaksud:
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu iaitu al-kitab (Al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadah lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."
 
Beliau menjelaskan perbezaan antara solat dan mendirikan solat.
 
Solat, ujarnya, ialah sekadar bersembahyang yang mudah dilakukan, tetapi 'mendirikan solat' bermakna melakukan dengan penuh kefahaman, khusyuk dan sepenuh jiwa raga, berasa diri rendah dan sedar akan keagungan Allah - jiwai solat. Solat begini yang dapat mencegah diri daripada kemungkaran dan kemaksiatan," jelasnya.
 
Merumuskan, Mufti berkata bahawa banyak pengajaran boleh ditimba daripada peristiwa Israk dan Mikraj.
 
"Hidup banyak ujian dan kita boleh mengatasinya dengan sabar dan solat.
 
"Mari kita jadikan mikraj juga wujud dalam diri kita. Kita mikraj sekurang-kurangnya lima kali setiap hari - mengakui kelemahan kita dan berharap Allah memberi kekuatan kepada kita.
 
"Tidak ada orang yang beriman yang bertenang jika hubungannya dengan Allah terputus. Oleh itu, jaga solat kita," kata beliau lagi.

0 comments:

Post a Comment