+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Thursday, 19 June 2014

Tahap Rasulullah SAW Berlapar dan Hikmahnya

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Tarmidzi dari Nu'man bin Basyir r.a bahawa ia berkata
"Bukankah kamu sekarang boleh hidup bermewah-mewah dengan makan dan minum, apa saja yang kamu mahu, kamu mendapatkannya. Aku pernah melihat Rasulullah Muhammad SAW hanya mendapat kurma yang buruk saja untuk mengisi perutnya!"
Atau ada kisah juga seperti berikut ini.
Pada suatu ketika Umar bin Khattab r.a menyebut apa-apa yang boleh dinikmati manusia sekarang ini dari dunia. Maka dia berkata
"Aku pernah melihat Rasulullah SAW seharian menanggung lapar, kerana tidak ada makanan, kemudian tidak ada yang didapatinya pula selain dari kurma yang buruk saja untuk mengisi perutnya."
Pernah juga kisah yang lain datang dari sahabat Abu Hurairah r.a , ia berkata
"Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW ketika dia sedang solat sambil duduk, maka akupun bertanya kepadanya: Ya Rasulullah! Mengapa aku melihatmu solat sambil duduk, apakah engkau sakit?  jawab beliau: Aku lapar, wahai Abu Hurairah! Mendengar jawaban beliau itu, aku terus menangis sedih melihatkan keadaan beliau itu. Beliau merasa kasihan melihat aku menangis, lalu berkata: Wahai Abu Hurairah! jangan menangis, kerana beratnya penghisaban nanti di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia."
Subhanallah, inilah teladan agung dari seorang pemimpin yang harus menjadi contoh bagi kita semua.
 
 

Nota :
Apa yang Rasulullah SAW lakukan akan membuktikan Baginda memiliki kedudukan tertinggi, tiada lagi insan yang lebih lapar dan bersabar demi menunaikan Perintah ALLAH SWT. Insan lain tidak boleh menjadikan alasan miskin dan susah sebagai batu loncatan untuk meninggalkan perintah ALLAH SWT seperti berpuasa kerana Rasulullah SAW lebih kuat kesabaran dan lapar tetapi tetap menjunjung Perintah ALLAH SWT.
 
Walaupun sedemikian kehidupan Rasulullah SAW, namun umat Baginda adalah juara makan, sehingga mengadakan pertandingan makan dan sebagainya.
 
Bayangkan jika Rasulullah SAW hidup seperti kita dan Rasulullah SAW memilih Al Khamr semasa ALLAH SWT meminta Rasulullah SAW memilih di antara Susu dan Al Khamr di saat Israk dan Mikraj. Al-Hamdulillah, Rasulullah SAW memilih Susu, tetapi kini umat Baginda lebih berani daripada Baginda dan telah menukar Susu kepada Arak (Al Khamr)  dan Lemak Khinzir  dalam makanan mereka seharian.
 
Nauzubillah Min Zalik.
 
 

* Sumber 2 dari Detik Islam
No comments

Selfie: Dunia kena lihat aku

SELFIE, iaitu mengambil gambar sendiri menggunakan telefon bimbit, telah dilarang oleh University of South Florida semasa konvo mengambil diploma. Kalau dibenarkan, sudah tentu setiap graduan akan asyik berselfie di atas pentas tanpa memikirkan graduan-graduan lain yang masih menunggu giliran naik pentas kerana DUNIA KENA LIHAT AKU.
 
Semasa menghadiri majlis jenazah Nelson Mandela, Obama berselfie dengan rakan-rakannya. Kelihatan Obama tersenyum riang dalam posenya sambil memegang telefon bimbit sendiri. Selfielogi bukan lagi satu seni kelakuan. Ia sudah menjadi satu ideologi, budaya dan ritual yang paling popular. Perkataan selfie adalah perkataan baru dimasukkan ke kamus bahasa Inggeris dan Oxford University Press telah menobatnya sebagai perkataan paling banyak digunakan pada tahun 2013.
 
Untuk menjadi penganut selfielogi, AKU kena fikir bahawa DUNIA KENA LIHAT AKU. Akulah hero dunia.
 
Walaupun suasana sekeliling meratapi kematian Nelson Mandela, DUNIA KENA LIHAT AKU. Walaupun graduan-graduan menunggu giliran mengambil diploma, sekarang adalah giliran AKU di pentas. DUNIA KENA LIHAT AKU. Biar mereka yang lain tunggu lama, yang paling utama ialah gambar selfie AKU.
 
Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pada tahun 2013, sepasang suami isteri bercerai setiap 10 minit. Sebab cerai? AKU adalah suami. AKU adalah isteri. DUNIA KENA LIHAT AKU, dengar AKU, tekan like pada Instagram AKU. Keluar makan bersama dengan keluarga maknanya ialah setiap ahli keluarga bersama-sama asyik melayari internet dengan telefon bimbit masing-masing. Seorang ahli keluarga mungkin terpaksa berWhatsapp dengan ahli keluarga yang lain walaupun mereka duduk semeja!
 
Seorang agamawan memberitahu pengikut-pengikutnya, "Bersalamanlah dengan orang yang bersalaman dengan Nabi, nescaya kamu masuk syurga. Maka, bersalamanlah dengan AKU. Dunia kena bersalaman dengan AKU. DUNIA KENA LIHAT AKU."
 
Seorang agamawan yang lain pula giat memperjuangkan konsep wala'. Pengikut yang beriman mesti wala' pada pemimpin agama. Kebetulan agamawan ini adalah seorang pemimpin agama. Wala'lah pada AKU. DUNIA KENA LIHAT AKU.
 
Terdengar suara segolongan kecil ustaz, "Apa jasa kau kepada negara sehingga kau pula yang layak mendapat keistimewaan-keistimewaan yang begitu banyak, sehingga kau jadi kaya-raya? Kau bukan beragama Islam pun. Aku beragama Islam. DUNIA KENA LIHAT AKU. Dunia kena iktiraf jasa-jasa AKU. Dunia kena hormati AKU."
 
Terdengar juga suara-suara yang tak puas hati dengan kenyataan ustaz-ustaz di atas, "AKU bayar cukai. Kau bayar dengan air liur sahaja. DUNIA KENA LIHAT AKU. AKU bayar kau untuk iktiraf jasa-jasa AKU."
 
Mengapa perlu mengetengahkan isu hudud sekarang? Kerana AKU dah bersedia untuk melaksanakannya sekarang. Sama ada kau faham atau tidak, sama ada kau bersedia atau tidak, kita boleh berbincang kemudian.
 
Yang lebih penting ialah AKU nak berselfie sekarang. DUNIA KENA LIHAT AKU. Hudud adalah undang-undang Tuhan. AKUlah pembelanya dan inilah perspektif AKU, pelan AKU, keyakinan AKU, draf undang-undang AKU.
 
AKU post, kau tekan like je! Jangan banyak soal."
 
Hudud bertentangan dengan Malaysian Dream. Apa itu Malaysian Dream? Itu mimpi AKU. AKU bermimpi bahawa semua agama adalah benar seolah-olah AKU pula yang menjadi tuhan kerana hanya AKU layak menghukum apa yang benar dan apa yang salah.
 
Kalau kamu kata hanya satu agama yang benar, AKU hukum kamu salah. Kalau kamu kata semua agama adalah benar, AKU hukum kamu benar. Itulah sebab DUNIA KENA LIHAT AKU, dengar AKU, iktiraf mimpi AKU. Malaysia hanya mampu menjadi negara maju jika mimpi AKU menjadi 'rukun iman' semua.
 
Seorang lelaki berselfie dan sambil melihat dirinya, dia berkata, "AKU terperangkap dalam jasad ini. Perasaan AKU adalah wanita. AKU adalah gay kerana AKU rasa AKU adalah gay walaupun tuhan sudah menciptakan AKU sebagai lelaki. Tetapi hakikatnya apabila AKU berselfie, AKU tak nampak tuhan. AKU hanya nampak AKU."
 
 
 

* Oleh Xifu Naser (Abdul Naser Abdul Rahman) ialah tokoh pendakwah Perak, Sinar Harian, 20 Jun 2014
No comments

Thursday, 12 June 2014

Salah guna logo halal: Denda RM1 juta- RM5 juta

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2014 - Individu yang didapati menyalahgunakan logo halal pada produk mereka berdepan dengan denda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda tidak kurang RM5 juta.
 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata perkara itu diperuntuk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
 
"Sebenarnya yang tetapkan barangan halal ataupun tidak halal itu tanggungjawab Jakim (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia), namun jika produk itu tidak halal tetapi dicetak logo halal pada pembungkusannya maka pengeluar akan didakwa menurut Akta Perihal Dagangan 2011," katanya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai produk 'Bihun Istimewa Cap Masjid' keluaran sebuah kilang di sini yang mengguna pakai logo halal pada pembungkusannnya sedangkan syarikat tidak mempunyai pensijilan halal Jakim.
 
Isu itu terbongkar susulan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun yang dibuat dalam keadaan kotor dan jijik menerusi laman sosial.
 
Sementara itu, mengulas barangan kawalan sempena Aidilfitri, Hasan berkata pihaknya sedang meneliti senarai barangan yang berkenaan.
 
"Kami akan umumkan secepat mungkin selepas senarai dimuktamadkan," katanya yang ditemui selepas  melancarkan buku 'Patent Drafting Manual for Beginners' yang diterbitkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). - Bernama
 
No comments

Wednesday, 11 June 2014

Selamatkan Lidahmu

Suatu  hari  seorang  lelaki  datang  kepada Rasulullah SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah!  Sungguh  si fulanah  itu terkenal  banyak sembahyang,  puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya. ".
 
Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, "Sungguh ia termasuk ahli neraka".
 
Kemudian lelaki itu berkata lagi, "Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah  menyakiti tetangganya."
 
Maka Rasulullah SAW berkata, " Sungguh ia termasuk ahli syurga . "
(HR.Muslim) .
 

Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Walaupun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad - amalannya tersebut sia-sia.
 
Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi media taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan menasihati, lidah juga berubah  seperti  layaknya  penyalaan  api.  Memfitnah,  bersaksi  palsu, ghibah, namimah, dan memecah  belah  umat.  Jika  seperti  ini  seberapa  banyak  pun  ibadah  kita tak ada gunanya, semuanya gugur gara-gara lidah yang lancang.  
 
Rasulullah  SAW  memberi  amaran, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling beliau khuatirkan. Sebabnya, semua amal akan berguguran jika lidah kita jahat.
 

Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, katakan kepadaku  tentang  satu  perkara  yang  aku  akan  berpegang   dengannya!" 
 
Beliau  menjawab: "Katakanlah,  Tuhanku   adalah   Allah , lalu  istiqomahlah". 
 
Aku  berkata:  " Wahai  Rasulullah, apakah  yang  paling  anda  khuatirkan  atasku? ".
 
Beliau  memegang  lidah  beliau  sendiri, lalu bersabda: " Ini . "
(HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

 
Antara kejahatan lidah adalah lidah yang banyak bicara dengan kebatilan. Jenayah lidah memang boleh  setajam  pedang.  Jika  kita tidak berhati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga lidah itu menjadikan 'api' yang membakar semakin besar.
 
Imam Abu 'Ali Ad-Daqqaq pernah mengatakan: "Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu."
 
Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka.  Menjadi hamba  yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis (muflis).
 
Rasulullah SAW bersabda:
" Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain . "
(HR.Muslim)
Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum  mendapatkan  jawapan  dari  ahlu  dzikri (orang yang ahli/mengetahui). Jika tidak, ucapan kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh menyesatkan.
 
Rasulullah SAW bersabda:
" Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam . "
(HR. Bukhari Muslim).
Lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Firman Allah SWT :
"Janganlah kamu bersikap terhadap sesuatu yang kamu tidak ketahui."
(al-Isra ': 36).
"Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang paling jelek akhlaknya, orang yang banyak bicara, orang yang bercakap dengan mulut yang dibuat-buat (mereka-reka cerita) dan orang yang sombong . "
(Jami 'al-Shaghir).
 
Kesimpulannya, berhati-hatilah semoga Allah selamatkan lidah dan jari jemari kita daripada segala fitnah di luar sana.
 
Amin.
 
 

From: Fairlady Shania [ fairlady.shania@yahoo.com / fairlady.shania@gmail.com ]
Sent: Monday, July 11, 2011 12:47 AM
Subject: [Mahligai] ~~~Selamatkan Lidah~~~
 
No comments

Bashar al-Assad dahului senarai penjenayah perang

GENEVA, 11 Jun - Presiden Syria, Bashar al-Assad menduduki tempat teratas dalam satu senarai 20 individu yang akan didakwa terbabit dengan jenayah perang melibatkan pegawai kerajaan dan pemberontak yang dirangka pakar pendakwaan, kata seorang bekas pendakwa raya jenayah perang antarabangsa, semalam.
Senarai itu telah dihantar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menyebut setiap kejadian membabitkan pencabulan secara khusus piagam Rom di mana seseorang suspek itu boleh didakwa di ICC, menurut David Crane, seorang bekas ketua pendakwa raya Mahkamah Khas bagi Sierra Leone dan kini mengetuai Projek Akauntabiliti bagi Syria.
 
Satu pasukan penyiasat berasingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyediakan empat senarai sulit suspek jenayah perang daripada semua pihak di Syria, namun enggan mendedahkan nama mereka yang terlibat.
 
Crane berkata, senarai itu disusun oleh kumpulannya yang terdiri daripada mereka yang pakar termasuk beberapa anggota tentera Syria dan anggota politik elit serta kumpulan pemberontak Islam ISIS dan barisan al-Nusra, walaupun dia tidak memberikan nama lain selain Assad.
 
"Kita mempunyai kira-kira 20 dakwaan membabitkan mereka yang paling bertanggungjawab. Ini merupakan satu usaha berkecuali. Kami bukan hanya mengejar Assad dan orang kanannya, kami sebenarnya mendokumenkan semua kejadian jenayah perang daripada kedua-dua pihak," kata Crane kepada Reuters.
 
Crane berkata demikian selepas mengambil bahagian dalam satu perbincangan panel mengenai penderaan dan jenayah lain yang dilakukan di pusat-pusat tahanan semasa perang saudara di Syria yang bermula dengan demonstrasi aman anti-Assad pada Mac 2011.
 
Beberapa imej yang dirakamkan oleh seorang jurugambar polis tentera Syria yang diterbitkan pada Januari lalu menunjukkan berlaku penyeksaan yang sistematik dan pembunuhan kira-kira 11,000 tahanan yang menyamai kem maut Nazi, kata beberapa bekas pendakwa raya termasuk Crane.
 
Crane yang merupakan seorang profesor di Kolej Universiti Undang-Undang Syracuse di New York, Amerika Syarikat, melancarkan Projek Akauntabiliti bagi Syria pada 2011 untuk mendokumenkan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh semua pihak dalam konflik di Syria.
 
Ia kini mempunyai 1,400 muka surat membabitkan dakwaan yang boleh dipercayai, dengan tarikh, tempat dan jumlah mereka yang disyaki terlibat melakukan jenayah, katanya. - Reuters
 
 
No comments

Ireland negara paling Islamik

LONDON, 11 Jun - Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Keislaman berbanding negara-negara Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) lain berdasarkan kajian yang dijalankan oleh dua ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.
 
Kajian yang mengambil kira faktor negara-negara yang berpegang teguh kepada nilai-nilai ajaran al-Quran itu meletakkan Malaysia di tangga ke-33 berbanding negara-negara OIC lain seperti Arab Saudi dan Qatar, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-93 dan ke-111.
 
Tidak ada sebuah pun negara yang majoriti penduduknya beragama Islam berada pada kedudukan 50 teratas, melainkan Malaysia serta Kuwait yang berada di tangga ke-42.
 
Malah yang menarik perhatian tentang Indeks Keislaman itu, Israel berada di tangga ke-27, manakala Singapura di tangga ke-8.
 
Menurut BBC, kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari dan rakannya, Scheherazade S. Rehman itu mengesan bagaimana negara-negara di dunia mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.
 
Hossein yang merupakan ahli akademik kelahiran Iran berkata, Indeks Keislaman itu meletakkan Ireland pada kedudukan pertama negara paling berpegang teguh kepada ajaran al-Quran, diikuti Denmark, Sweden dan United Kingdom.
 
"Kami melihat sama ada benar atau tidak negara-negara itu buat apa yang sepatutnya mereka buat. Kami turut melihat pada faktor tadbir urus, politik dan hak asasi manusia serta hubungan antarabangsa, katanya.
 
Hossein berkata, faktor utama negara-negara Islam mendapat kedudukan terendah dalam indeks itu adalah disebabkan tadbir urus negara-negara berkenaan yang menjadikan agama sebagai alat untuk berkuasa.
 
Al-Quran mengajar kemakmuran ekonomi adalah perkara yang baik untuk masyarakat, namun laporan Hossein mendapati, kemakmuran tidak menjadi perkara yang diutamakan oleh kebanyakan negara Islam.
 
Pada November lalu, Hossein berkata, perlu diberi penekanan bahawa kebanyakan negara yang mengaku mengamalkan ajaran Islam dan digelar sebagai negara Islam tidak melaksanakan keadilan, mengamalkan rasuah, serta mundur dan pada hakikatnya tidak sebenar-benar mengamalkan Islam. – AFP
 
 

 
London, 11 Jun - Seorang ahli akademik Amerika Syarikat kelahiran Iran menganggap Ireland negara paling Islamik di dunia.
 
Dalam wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) baru-baru ini, Profesor Perdagangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari itu berkata, Denmark, Sweden dan United Kingdom menyusuli Ireland.
 
Menurut Hossein, kajian yang dilakukan bersama rakannya Dr Scheherazde S Rehman juga mendapati Israel berada di tangga ke-27 senarai negara yang melaksanakan nilai yang terdapat dalam al-Quran, berbanding negara yang ramai penduduk Islam.
 
Tidak ada satu pun negara yang mempunyai majoriti penganut Islam berada di 25 tempat teratas senarai itu dan tidak ada negara Arab termasuk dalam senarai 50 teratas.
 
Katanya, apabila 'indeks keislaman' mereka diguna pakai, hanya Malaysia (33) dan Kuwait (42) sebagai negara Islam tersenarai dalam 50 negara teratas.
 
Amerika Syarikat menduduki tangga ke-15, Belanda juga di tempat ke-15 dan Perancis, 17.
 
Saudi berada di kedudukan ke-91 dan Qatar, 111.
 
Dalam menjalankan kajian itu, kedua-dua penyelidik mengguna pakai kesempurnaan dalam Islam terhadap pencapaian ekonomi masyarakat, pentadbiran, hak asasi manusia dan politik serta hubungan antarabangsa sesebuah negara.
 
"Dalam indeks itu, pencapaian negara Islam amat buruk," katanya sambil menuduh negara berkenaan mengguna agama sebagai alat untuk berkuasa.
 
Hossein berkata: "Kami perlu menegaskan bahawa kebanyakan negara yang mendakwa Islam dan digelar Islam tidak bersikap adil, rasuah dan tidak membangun. Mereka pada hakikatnya tidak 'Islamik' dalam semua perkara.
 
"Melihat kepada indeks Keislaman Ekonomi atau bagaimanapun hubungan rapat antara dasar dan pencapaian sesebuah negara menggambarkan ajaran ekonomi Islam - Ireland, Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapura, Finland, Norway dan Belgium menduduki tempat 10 teratas.
 
"Dalam 'Indeks Keislaman Menyeluruh,' ukuran yang meliputi undang-undang dan pentadbiran, hak asasi manusia dan politik, hubungan antarabangsa serta faktor ekonomi, senarai itu tidak banyak berubah dengan New Zealand, Luxembourg, Ireland, Iceland, Finland, Denmark, Kanada, United Kingdom, Australia dan Belanda berada di 10 tempat teratas.
 
Dan sekali lagi, hanya Malaysia (38) dan Kuwait (48) menduduki kelompok 50 teratas dalam kalangan negara Islam. - Agensi
 
 

2x5 ::
Malaysia berbangga dengan kedudukan di OIC, tetapi di mata dunia???
No comments

Tuesday, 10 June 2014

Mutiara Kata : MATI & Hakikat

Daripada Abu Said al-Khudri R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda,
"Apabila jenazah diletakkan (di dalam keranda) dan ditanggung oleh orang-orang lelaki di bahu mereka, jika dia seorang yang soleh dia berkata, 'Cepatkan aku, cepatkan aku'. Jika dia tidak beramal soleh nescaya dia berkata, 'Alangkah malangnya aku, ke manakah kamu semua akan membawaku?' Semua makhluk mendengar suaranya melainkan manusia. Sekiranya didengar oleh manusia nescaya dia akan pengsan (kerana terperanjat dengan suara tersebut)."
 
No comments

Raikan perbezaan jauhi cercaan

SEJAK akhir-akhir ini begitu banyak perdebatan di media sosial berkenaan dengan hukum-hakam agama. Kebanyakan perbahasan yang diperhatikan penulis berkisar seputar isu ranting atau cabang agama.
 
Malangnya perbezaan tersebut tidak ditangani secara bijaksana, adab dan penuh terhormat. Sebaliknya, cercaan, makian dan tuduhan menjadi fenomena lumrah, bagaikan membudaya dalam diri apabila sesuatu pendapat itu tidak seiring dengan pendiriannya. 
 
Hakikat harus difahami, perselisihan atau bahasa Arabnya disebut khilaf terutamanya dalam isu fikah adalah suatu yang bersifat tabii, malahan tidak terpisah daripada isu ijtihadi.
 
Dimaksudkan ijtihad sebagaimana takrifan Al-Shirazi dalam kitabnya Al-Luma' ialah "mengerahkan segala keupayaan dan menyerahkan segala daya upaya dalam mendapatkan hukum syarak".
 
Ijtihad dalam perbahasan hukum fikah amat relevan terutamanya dalam kes yang memerlukan keputusan hukum dan tidak kedapatan nas yang jelas daripada al-Quran dan As-sunnah. Contoh dalam isu terkini melibatkan perbahasan mengenai istihalah iaitu suatu keadaan yang merubah sifat sesuatu bahan kepada bahan yang lain.
 
Ulama tersohor Sheikh Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut istihalah adalah "proses perubahan sesuatu benda yang najis (`aynnajasah) kepada sesuatu yang suci sama ada secara tabie atau melalui perantaraan."
 
Beliau membawa contoh: "perubahan darah kijang menjadi kasturi, arak yang berubah menjadi cuka dengan secara tabie atau perantaraan sesuatu (yang mempercepatkan proses pemeraman), bangkai binatang atau anjing yang menjadi garam kerana jatuh dalam garam, atau tahi yang menjadi abu kerana dibakar, lelemak najis yang dijadikan sabun, tanah parit (yang mengalirkan benda najis) yang telah kering dan hilang kesan najisnya, atau najis yang ditanam di dalam tanah dan telah hilang kesan najisnya setelah beberapa lama." (Wahbah al-Zuhayli, 1997: 1:100).
 
Apabila berhadapan isu baru seperti istihalah yang diperdebatkan kini, ulama fikah daripada empat mazhab utama berijtihad dan cuba menangani pelbagai permasalahan berbangkit lantaran tiada nas yang jelas mengenainya.
 
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
"Jika seorang hakim berijtihad kemudian dia tepat dalam ijtihadnya, maka dia mendapat dua pahala. Dan jika dia berijtihad kemudian dia silap dalam ijtihadnya, maka dia mendapat satu pahala". (Shahih Muslim)
Adalah mustahil memastikan semua imam dan ulam mazhab bersepakat dalam hal tiada kejelasan hukum berpandukan nas syariat. Bahkan Nabi Muhammad SAW tidak menyekat sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan sahabatnya.
 
Ibn Hazm menyatakan: "Adalah suatu yang mustahil untuk mereka kesemuanya bersepakat ke atas mewajibkan satu-satu hukum dengan pandangan mereka, kerana wujud perselisihan dakwaan dan perbezaan mazhab antara mereka".
 
Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyebutkan: "Aku tidak suka kalau sahabat-sahabat Nabi SAW tidak berselisih pendapat. Kerana jika hanya terdapat satu pendapat sahaja, nescaya manusia berada dalam kesempitan".
 
Sebab itulah Nabi Muhammad SAW meraikan perbezaan pandangan dalam kalangan sahabatnya sebagaimana kisah pertanyaan Baginda SAW kepada dua sahabat besar iaitu Abu Bakar RA dan Umar RA mengenai bilakah waktu mereka menunaikan solat witir.
Bertanya Nabi SAW kepada Abu Bakar, "Bilakah kamu melakukan solat witir?"
Jawab Abu Bakar, "Aku berwitir pada permulaan malam".
Baginda bertanya Umar, "Bilakah kamu melakukan solat witir?"
Jawab Umar, "Di akhir malam".
Baginda berkata kepada Abu Bakar, "Orang ini mengambil langkah berjaga-jaga".
Dan Baginda SAW berkata kepada Umar, "Orang ini mengambil langkah yang kuat teguh".
(Sunan Abi Daud)
Sesungguhnya perbezaan pandangan terutamanya dalam isu khilafiyyah dan ijtihadiyyah adalah suatu rahmat ALLAH bagi memberi keluasan kepada umat dalam menjalani kehidupan duniawi.
 
Raikan kepelbagaian pendapat yang wujud dan bukannya terjerumus dalam perlakuan mencerca, mengutuk mahupun melabel seseorang yang tidak bersependapat dengan kita. Dosa tohmah, fitnah dan makian jauh lebih besar berbanding dengan perbezaan ijtihad yang masih belum kepastian antara betul dan salah.
 
Tiba masanya dilakukan penjernihan sikap terhadap budaya perbezaan pendapat yang ada. Nilai kasih sayang, saling menghormati, toleransi, berlapang dada mesti dipasakkan dalam diri setiap individu agar mampu mengurus perselisihan yang melanda.
 
 

* Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Sinar Harian, 11 Jun 2014
No comments

Berhadapan Ramadan paling panas

Umat Islam yang menunaikan ibadah umrah berehat ketika menunggu waktu berbuka puasa pada musim Ramadan di Makkah tahun lalu. Suhu ketika itu ialah 43 darjah Celsius.
 
JEDDAH, 10 Jun - Umat Islam di Arab Saudi diingatkan untuk bersiap sedia berhadapan dengan cuaca panas sehingga 50 darjah Celsius dan waktu siang yang panjang selama 15 jam ketika berpuasa di bulan Ramadan tahun ini.
 
Suhu ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan sejak 25 tahun lalu, iaitu pada musim Ramadan 1989 iaitu 49.8 darjah Celsius.
 
Bagaimanapun tempoh berkenaan akan berkurangan kepada 14 jam 40 minit ketika penghujung bulan suci berkenaan, lapor Arab News, semalam.
 
Makkah, Madinah, Yanbu, Riyadh dan Dammam dijangka mencatatkan rekod panas paling tinggi tahun ini.
 
Jurucakap Jabatan Meteorologi dan Alam Sekitar, Hussain Al-Qahtani memberitahu Arab News bahawa suhu ketika Ramadan akan terus tinggi berikutan tekanan rendah di Semenanjung Arab dan keadaan cuaca panas di seluruh Asia Barat.
 
Al-Qahtani berkata "Suhu dijangkakan antara 45 hingga 50 darjah Celsius di Makkah, 42 hingga 47 di Madinah, 44 hingga 47 di Riyadh dan Wilayah Tengah," katanya.
 
Sementara itu suhu sehingga 50 darjah Celsius diramalkan melanda Wilayah Timur, 39 hingga 45 darjah Celsius di Wilayah Sempadan Utara dan 42 hingga 46 darjah Celsius di Wilayah Selatan.
 
Beliau berkata Makkah mencatatkan suhu 49.8 darjah Celsius pada 1 Julai 1989, Madinah 49 darjah pada 20 Julai 2005, Riyadh 48 darjah Celsius pada 25 Julai 1987 dan Dammam 50 darjah pada 28 Julai 2007.
 
Ramadan adalah bulan ke sembilan di dalam kalendar Islam yang berasaskan kepada pusingan bulan lunar. Bulan suci berlaku kira-kira 11 hari lebih awal setiap tahun mengikut kalendar Gregorian.
 
Kitaran bagi setiap musim mengambil masa sembilan tahun. Ramadan akan berlaku dalam musim panas sekali lagi pada 2017. – Agensi
No comments

Teknik menipu terkini di TESCO

Apa punya PESEN la org la nie nak cari DUIT mudah..!!!
 
 
Petang kemarin ketika keluaqkan duit dari Mesin ATM di TESCO extra selayang, ada satu brader Melayu. awai 50an. sawa matang. tinggi dlm 1.60 m. pakai smart. minta tolong pasai kad ATM dia telan dlm mesin ATM. Dia kata dia "cikgu" dari Syah Alam. Bini nak operate ptg ni kat HKL.
 
Simpati dgn dia aku cuba tolong la apa yg boleh. Dia minta no acc aku. nak suruh kawan dia sorang "USTAZ" bank in duit dlm acc aku. aku ambik no phone "cikgu" 0175334878 utk sent no acc aku .
 
Plan dia cukup menarik.. tengah2 dok cerita pasai masalah dia ni, tot2 call in dari bank katanya, aku tengok sendiri no yg call in tu start 03 . percaya la aku dari bank. no office. Dia suruh cut off ATM acc sebab kat dlm tu ada balance RM16K. fuyyooo .
 
lps tu ada call lain masuk kat hp dia yg lg 1. (Loaded juga "cikgu" ni ada 2 hand phone. ) USTAZ call lambat sikit nak transfer. suruh aku tunggu 1/2 jam.
 
"cikgu" ni merayu kat aku nak pakai duit dulu dlm 8 ratus sebelum USTAZ transfer RM1K kat acc aku.. kalau aku ada duit pun aku x bagi sebanyak tu,
 
dia tanya berapa aku boleh bagi dulu kat dia, sebab ada Staff dia stuck kat Cashier . pehhhhhh membelit nya cerita dia..
 
aku cakap kat "cikgu" tu, duit aku boleh bagi , tapi mai IC dia utk aku Snap gambaq guna hand phone ..
 
Dia cuba merayu , yang dia tak kan tipu ....tapi bila aku berkeras minta IC dia lari pi kot lain.
 
Tak mau ada org lain juga ditipu dgn CARA yang sama , pagi tadi aku pi Report Polis kat balai Batu caves, rupanya dah ghamai yang report terTIPU dgn teknik mcm "CikGu" ni....
 
DONIA OH DONIA!!!!
 
Nukilan Sahabat FB
 
Sent: Monday, June 09, 2014 12:19 AM
Subject: RG2011... Fw: Teknik menipu terkini di TESCO
No comments