+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Sunday, 19 January 2014

Maulid al-Rasul, fakta dan nilai yang hilang

Peristiwa hijrah mengajar kita erti pengorbanan dengan meninggalkan sesuatu yang buruk kepada baik.
 
TANGGAL 12 Rabiulawal menjadi tumpuan umat Islam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan pelbagai program bercorak keagamaan di merata tempat. Menjadi perbincangan hangat dalam kalangan sarjana dan pelajar ilmu dalam menentukan tarikh sebenar kelahiran Baginda SAW.
 
Walaupun ia adalah tarikh yang diterima dan dimaklumi umum, namun mungkin ramai masih tidak mengetahui tarikh 12 Rabiulawal berkemungkinan bukanlah pandangan yang terkuat dalam masalah ini.
 
Tarikh diperdebatkan
Dalam Kutub al-Sittah (6 kitab utama hadis) tiada satu pun riwayat dengan jelas menyebutkan tarikh kelahiran Baginda SAW melainkan pada Isnin. Daripada Abu Qatadah meriwayatkan pertanyaan seorang Badwi berkenaan puasa pada Isnin. Nabi Muhammad SAW menjawab:
"Ia adalah hari aku dilahirkan dan kali pertama wahyu diturunkan". (Riwayat Muslim)
Ibn Kathir (w.774), tokoh sejarawan Islam menyenaraikan pandangan berbeza ini. Beliau menulis majoriti sarjana Islam percaya Baginda dilahirkan pada Rabiulawal namun berbeza pada tarikh sebenar.
 
Bagi penulis sirah kontemporari seperti Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum, memilih 9 Rabiulawal sebagai tarikh tersebut berdasarkan kiraan Muhammad Sulaiman al-Mansur dan Mahmud Basha. (ms 54, Qatar: Idarah al-Awqaf wa al-Shu'un al-Islamiah).
 
12 Rabiulawal amat masyhur kalangan umat Islam mungkin disebabkan kemasyhuran nama Ibn Ishaq sebagai tokoh yang terawal menulis berkaitan sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW dan menjadi rujukan terpenting bab tersebut.
 
Kedua, tarikh ini dipilih oleh Kerajaan Fatimiyah Mesir padan 341-365 Hijrah sebagai tarikh sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ia adalah sambutan rasmi kerajaan pertama yang diadakan dalam sejarah Islam. Oleh demikian, ia menjadi ikutan zaman selepasnya, yang  membuatkan tarikh tersebut dikenali ramai.
 
Namun, Muhammad al-Ghazali (w.1416) dalam menilai perbezaan tarikh ini menganggap ia satu perkara yang agak sukar bagi menentukan tarikh yang sebenar. Beliau turut memberikan satu kesimpulan yang menarik dan perlu diambil perhatian: "(Usaha) penetapan hari kelahiran (Nabi SAW) tiada sebarang kaitan dari sudut pandang Islam. Maka, upacara sambutan yang diadakan adalah satu sambutan tuntutan keduniaan bukan galakan Syari'ah". (Fiqh al-Sirah. ms 60, Dar al-Kutub al-Hadithah).
 
Nilai semakin pupus
Kita selalu baca di surat khabar, melaporkan pelbagai institusi menunjukkan rasa kasih dan sayang ke atas Nabi Muhammad SAW dengan perarakan, sepanduk, perhimpunan yang besar malah penganugerahan bagi menggambarkan nilai kecintaan itu.
 
Ini merupakan amalan biasa dianjurkan saban tahun. Mengapa perlu dipersoalkan? Apakah ia benar-benar memenuhi tujuan rahmat yang dibawa Baginda SAW itu sendiri? Tatkala masyarakat kelas pertengahan dan bawahan bergelut dengan kenaikan bebanan hidup, ada si kecil yang mengumpul wang syiling bagi membayar yuran persekolahan, rakyat berbicara bebanan yang semakin meningkat dan senarai masalah yang bertimpa-timpa, perbelanjaan yang tidak kecil dikeluarkan bagi tujuan tersebut.
 
Anugerah Tokoh Maulid al-Rasul peringkat kebangsaan sahaja, secara keseluruhan menyediakan hadiah wang berjumlah melebihi dua ratus ribu ringgit Malaysia. Itu tidak termasuk perbelanjaan sampingan seperti persediaan majlis dan makan minum.
 
Sekiranya kita punyai hati nurani yang tulus, adakah wajar dengan seluruh isu bebanan orang fakir miskin itu, mengapa jumlah sebesar itu tidak 'disalurkan' pada mereka?
 
Golongan Sahabat RA apabila menyifatkan keperibadian Rasul SAW menggambarkan keseluruhan sifat yang baik seperti pemurah dan mengambil berat hal ehwal masyarakat sekeliling. Ibn 'Abbas RA menyatakan: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah orang paling pemurah dan puncak kemurahan baginda adalah sewaktu Ramadan. Baginda itu lebih pemurah daripada angin yang bertiup kencang". (Muttafaqun 'alaih)
 
Ini juga ditegaskan Khadijah RA dalam ucapannya: "Engkau (Nabi SAW) adalah orang yang menjaga silaturahim, suka membantu orang susah dan melarat, menjaga tetamu dengan baik..." (Riwayat Al-Bukhari).
 
Mungkin inilah yang ditakuti sebagai nilai yang makin pupus. Amatlah malang apabila kegembiraan dan keseronokan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, tanpa disedari nilai kemanusiaan yang diajarkan Baginda melalui kata-kata dan tindakan hanya tersimpan di balik helaian kitab hadis.
 
Cerita karut
Selain sambutan Maulidur Rasul yang tiada kaitan dengan agama, Muhammad al-Ghazali juga menafikan wujudnya cerita ajaib yang sama sekali tiada sumber dipercayai dalam periwayatan kisah tersebut.
 
Sehingga ada yang meriwayatkan cerita, terdapat seorang alim yang menziarahi kubur Baginda SAW dan memberikan salam lantas dijawab oleh Baginda. Lebih dahsyat daripada itu, Nabi Muhammad SAW menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.
 
Cerita karut sebegini bukan sahaja mampu merubah fokus asal memahami pengutusan Baginda SAW oleh ALLAH SWT kepada manusia, malah memburukkan wajah Islam di mata dunia. Sepatutnya, apabila menyebutkan kisah bersangkutan dengan Nabi Muhammad SAW, keabsahan rujukan adalah perkara yang amat dititikberatkan ulama Islam.
 
Apa yang ada dalam al-Quran dan Sunnah mencukupi untuk menggambarkan ketinggian Baginda di sisi ALLAH dan manusia. Islam hadir memerangi kebodohan dan kejahilan, tetapi ada kelompok yang tegar menggunakan kisah sebegini semata-mata untuk menarik perhatian pendengarnya.
 
Masyarakat Islam di Malaysia hari ini tidak lagi berasa gusar dengan bilangan ustaz dan orang agama bagi menerangkan agama dan bercerita susuk keperibadian Nabi Muhammad SAW. Tetapi, mereka kekurangan contoh realistik orang dan pengurusan agama Islam dalam mengikuti jejak langkah Rasul SAW.
 
Wakil Islam dalam mana-mana institusi masih lemah dan tidak aktif dalam membawa nilai yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Dalam mendepani isu kontroversi misalnya, kita lebih berminat menggunakan kuasa berbanding tampil menawarkan ruang dialog/debat bagi menyelesaikan isu keagamaan.
 
Bukan sedikit Nabi Muhammad SAW tampil menjawab dan berdebat dengan Yahudi Madinah dan Baginda berjaya mematahkan hujah mereka apabila cuba ingin merubah fakta.
 
Nilai yang sama sekali berbeza dengan realiti akhlak dan amalan Nabi Muhammad SAW dan kehidupan masyarakat Muslim kita pada hakikatnya melemahkan kita sendiri.
 
Sesungguhnya, ancaman di luar agama tidaklah sehebat seperti yang disangka, tetapi kegagalan kita mengkoreksi diri dan menjadikan nilai sebenar Rasul sebagai utusan ALLAH memandu urusan dunia dan akhirat telah membuatkan kita tidak bermaya.
 
 
 

* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014
No comments

Muhasabah diri dengan istidraj

ALLAH SWT Maha Pemurah dalam memberi segala kenikmatan untuk setiap makhluk ciptaanNya, Islam atau kafir Dia sentiasa memberikan limpahan kemewahan yang merangkumi rezeki, kesihatan, kekayaan dan sebagainya.
 
Namun, pemberianNya kadangkala disalah ertikan ciptaanNya, sehinggakan ada yang sombong, takbur dan tidak menjalani hidup seperti yang disuruhNya. Manusia semakin alpa dan tenggelam dengan nikmat kurniaan Ilahi.
 
Kesilapan besar
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Shahrizal Nasir berkata, Setiap manusia di dunia ini merasai nikmat dalam kehidupan masing-masing.
 
Dengan sifat ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, setiap manusia merasai nikmat daripadaNya sama ada mereka beriman atau sebaliknya. Malah dari satu sudut, kadang kala kita melihat golongan hambaNya yang taat, masih lagi berada dalam keadaan kesusahan dan kesempitan hidup. Manakala golongan satu lagi yang bergelumang dengan dosa dan noda, terus memperoleh nikmat kesenangan hidup yang banyak.
 
"Inilah yang dinamakan istidraj iaitu pemberian nikmat ALLAH kepada manusia yang mana pemberian itu sebenarnya tidak diredai olehNya.
 
Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh bermacam kenikmatan dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan dan sanjungan, namun kesemua itu tidak menjadikan mereka hambaNya yang bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada ALLAH. Mereka sangka ALLAH telah memberi mereka segalanya meski pun mereka ingkar kepadaNya.
 
Sebenarnya, mereka telah melakukan satu kesilapan yang amat besar.
"Ketahuilah ALLAH berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Firman ALLAH bermaksud: "Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!", maka jadilah sesuatu itu," (Surah Yasin: 82).
Kerana itu, sebagai hambaNya yang taat dan beriman, setiap ketentuan ALLAH pastinya diterima dengan penuh reda. Kewajipan sebagai seorang Muslim mesti diteruskan meskipun masih terdapat harapan dan impian yang masih belum dimakbulkan ALLAH," katanya kepada Halaqah.
 
Menurutnya, istidraj boleh berlaku melibatkan apa juga nikmat dunia yang diterima meliputi nikmat harta, kekayaan, pangkat, darjat, sanjungan, kejayaan dan sebagainya. Jika semua ini diterima sedangkan diri semakin jauh daripada ALLAH, maka mungkin ia adalah istidraj.
 
Perlu kita fahami terdapat dalam kalangan hamba ALLAH yang sedang diuji dengan pemberian nikmat olehNya. Nikmat yang melimpah ruah diperoleh sedangkan diri terus bergelumang dengan maksiat serta melanggar perintah ALLAH. Hakikatnya golongan ini sedang menempah azab ALLAH yang pasti akan tiba sekiranya mereka tidak bertaubat.
 
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat ALLAH memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu telah menerima istidraj daripada ALLAH." (Riwayat Ahmad, at-Tabrani & Baihaqi)
 
Sentiasa bersabar
Sebagai seorang manusia, pasti terdetik di hati ini perasaan tidak puas hati apabila melihat kekayaan, kesenangan dan kemewahan individu lain padahal dia bukanlah Muslim atau sungguhpun dia Muslim tetapi tidak menjalani kehidupan yang dituntut Islam.
 
"Ramai yang mengajukan persoalan itu kepada saya, jawapannya mudah. Memang benar ALLAH memberikan mereka kesenangan tetapi dalam keadaan bagaimanakah Dia memberikannya? Fahami maksud istidraj.
 
Kita umat Islam harus berusaha dan bersabar kerana itulah yang akan mengukur tahap keimanan kepadaNya. Keyakinan bahawa ALLAH sentiasa mendengar permohonan hambaNya perlu disemat dalam hati agar diri tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH.
 
"Terdapat contoh-contoh yang jelas dalam al-Quran bagaimana ALLAH menguji hambaNya dengan nikmat dunia yang menjadikannya jauh daripada rahmat dan kasih sayangNya. Peristiwa benar tersebut perlu dijadikan iktibar.
 
Istidraj bukan sahaja boleh berlaku kepada hambaNya yang tidak beriman dengan ALLAH, malah ia boleh terjadi kepada golongan yang jauh daripada ALLAH dan tidak berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya," kata Ustaz Mohd Shahrizal.
 
ALLAH menyatakan kepada Rasulullah SAW menerusi firmanNya yang bermaksud:
"Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (kejurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya." (Surah al-Qalam: 44)
Menurutnya, menjadi kewajipan kepada kita untuk mensyukuri segala nikmat yang kita peroleh selama ini. Jangan sia-siakan setiap nikmat diterima dengan perlakuan yang mengundang kemurkaan ALLAH.
Dekati ALLAH melalui nikmatNya
 
ALLAH datangkan nikmat dalam bentuk yang pelbagai sama ada harta, kesihatan, rezeki dan juga anak. Anak adalah anugerah kepada ibu bapa merangkap nikmat daripadaNya, justeru ibu bapa perlu menjaga sebaiknya nikmat itu bagi mencapai reda ALLAH.
 
Ustaz Mohd Shahrizal menjelaskan, Islam meletakkan tatacara dalam membesarkan anak. Ia tidak bermula selepas anak itu dilahirkan sebaliknya sejak si lelaki memilih wanita yang ingin dikahwininya, semasa saat kehamilannya, proses kelahirannya, memilihkan nama terbaik sehinggalah kepada mendidiknya dengan ilmu agama yang sempurna.
 
"Sekiranya ibu bapa tidak menjaga sebaik mungkin nikmat ALLAH ini, jangan berkeluh resah jika suatu hari nanti anaknya membesar menjadi seorang manusia yang buruk akhlaknya. Apa yang lebih parah, apabila ibu bapa dipertanggungjawabkan di atas kesalahan yang dilakukan oleh anak yang tidak dididik dengan betul.
 
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya." (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Anak soleh dan solehah adalah saham akhirat untuk ibu bapa, doa merekalah yang akan membantu mengurangkan azab di sana nanti."
 
"Setiap nikmat perlu disyukuri dengan memperbanyakkan zikrullah, mengurus nikmat atau harta dengan baik dan menginfakkan nikmat tersebut kepada golongan yang memerlukan. Pendek kata, untuk menjaga diri daripada istidraj, setiap nikmat mesti dijadikan antara sebab untuk diri lebih dekat dengan ALLAH," katanya.
 
Selain menjadikan istidraj untuk memuhasabah diri, ia juga adalah penjelasan ALLAH kepada Muslim agar sentiasa bersangka baik denganNya. Jangan ada yang beranggapan bahawa Islam menzalimi umatnya, meskipun orang kafir tidak beriman namun masih menerima nikmat yang banyak daripadaNya.
 
Hakikatnya semua nikmat itu adalah istidraj daripada ALLAH. Selagi mereka kufur, mereka akan termasuk dalam kalangan hambaNya yang rugi. Hal ini kerana, nikmat yang diperolehi di dunia hanyalah sementara, nikmat syurga di akhirat sana yang kekal selamanya.
 
 

* Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA, Sinar Harian, 10 Januari 2014
No comments

Wednesday, 15 January 2014

Umat Islam dimomokkan dengan Wahabi

RATA-RATA masyarakat Islam sedunia dimomokkan, dipermainkan dan ditipu dengan istilah Wahabi.
Sesiapa mengajak kepada al-Quran dan sunnah mengikut pemahaman sahabat Nabi Muhammad SAW, mengajak kepada akidah mentauhidkan ALLAH dan menjauhi syirik dan khurafat, beramal mengikut sunnah dan meninggalkan amalan bidaah yang meresap dalam masyarakat, mereka ini tidak akan terlepas daripada digelar Wahabi.
 
Perkataan Wahabi itu mereka sandarkan kepada Al-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Al-Tamimi rahimahullah. Siapakah Syaikh Muhammad ini dan apakah sejarah beliau?
Ringkasnya, beliau boleh dikatakan bapa kemerdekaan Saudi di mana hasil kerjasama beliau dengan Su'ud berjaya membentuk negara Saudi dengan menjadikan Mazhab Hanbali sebagai mazhab utama dalam negara tersebut. Mazhab Hanbali ialah sandaran kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, murid kepada Imam Al-Syafi'i.
 
Syaikh Muhammad banyak menulis dan hampir kesemuanya berkaitan akidah, anti-syirik, anti-sihir, anti-tangkal.
 
Perkara yang mencacatkan akidah adalah paling banyak ditulis beliau. Antara tulisannya yang terkenal dan luas tersebar adalah Kitab Al-Tauhid dan Usul Al-Tsalatsah (Tiga Dasar Agama) yang ditulis berdasarkan hadis daripada Abdullah ibn Mas'ud RA, "Barang siapa yang reda ALLAH sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Nabi, maka layaklah baginya syurga." (Riwayat Muslim)
 
Daripada hadis itu beliau mengarang kitab Usul Al-Tsalatsah yang membahas bagaimana mengenal ALLAH, mengenal Rasul, dan mengenal Islam.
 
Beliau juga menulis kitab berjudul Kasyfu Al-Syubuhat (Pembongkaran Syubhat-syubhat) yang membongkar kristianisasi dan triniti, hak wanita, dan turut memfokus pada isu dalaman akidah dan seumpamanya. Oleh kerana ini, beliau dimusuhi golongan anti-tauhid.
 
Ikon perpaduan Arab Saudi
Syaikh Muhammad memiliki ramai musuh kerana apabila terbentuknya negara Saudi, sudah pasti berlaku banyak pertembungan dan peperangan, termasuk juga peperangan di antara ahli mazhab. Beliau bermazhab Hanbali manakala ada yang lain bermazhab Syafii, Hanafi dan Maliki.
 
Dahulu di empat penjuru Kaabah, umat Islam berpecah kepada empat jemaah solat mengikut mazhab masing-masing. Syaikh Muhammad melihat semua jemaah ini perlu disatukan, maka beliau menetapkan Mazhab Hanbali sebagai mazhab rasmi negara.
 
Antara perjuangan utama beliau ialah merobohkan dan meratakan kubur yang dibina melebihi tinggi asas binaan yang dibenar dalam syariat Islam. Beliau bukan membongkar kubur sebagaimana ditohmah golongan membenci dakwah dan seruan tauhid.
 
Bahkan apa yang dilakukannya adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang mengatakan tinggi kubur hanya sejengkal dari tanah dan diletakkan pada kepala kubur itu seketul batu sahaja sebagai tanda.
 
Nabi SAW mengutus Ali bin Abi Thalib RA dan Ali pula mengutus Abul Hayyaj Al-Asadi untuk merobohkan mana-mana kubur yang tingginya melebihi sejengkal. Namun pada zaman Syeikh Muhammad, kubur dibina dengan tinggi dan dihias, malah disembah dan dijadikan tempat ibadah seperti iktikaf, solat, tawaf, zikir dan berdoa.
 
Dakwah dan usaha beliau ini menyebabkan berlaku pertembungan yang serius dengan golongan Sufi, penyembah kubur dan pemuja kubur. Walhal beliau melaksanakan seperti apa yang diperintahkan Nabi SAW dalam hadis sahih.
Selain isu akidah, beliau turut menyeru supaya mentaati pemerintah Islam yang sah, kerana itu beliau mempertahankan kerajaan Su'ud. Dakwah ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang memerintahkan supaya umat Islam bersatu dengan mentaati pemimpin Islam.
 
Disebabkan isu politik juga mereka menghentam dan mengeluarkan kata-kata dusta terhadap Syaikh Muhammad.
 
Di Malaysia beberapa tahun dahulu, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) pernah merobohkan kubur di Pulau Besar. Adakah Jaim Wahabi kerana merobohkan kubur? Apabila Jais dan umat Islam Malaysia memerangi Syiah, adakah mereka ini semua Wahabi?
 
Gerakan Syaikh Muhammad, juga kerajaan Saudi yang dikatakan Wahabi pada hari ini adalah gerakan yang melawan Syiah habis-habisan.
 
Oleh itu Arab Saudi dikatakan sebagai negara Wahabi. Ini hanya momokan musuh kalangan kafir Barat dan juga Syiah yang cukup benci kepada Arab Saudi kerana ia satu-satunya negara yang menegakkan al-Quran dan al-sunnah serta benar-benar memberi perhatian dalam mempertahankan kesucian tauhid di atas muka bumi ini.
 
Kini tiada lagi kubur ditinggikan, atau kesyirikan tersebar di Arab Saudi kesan daripada dakwah Syeikh Muhammad 200 tahun dahulu.
 
Alhamdulillah, pemerintah Arab Saudi prihatin dalam memelihara agama ALLAH, walau tidak dinafikan di mana-mana pemerintahan pasti ada kekurangan. Namun ia terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan sumbangan mereka dalam mempertahankan kesucian agama ALLAH.
 
Ini menyebabkan musuh Islam cukup benci dengan Arab Saudi dan cuba memburuk-burukkannya.
 
Fikirkanlah, masihkah ada negara Islam mana yang menegakkan al-Quran dan Sunnah lebih baik dari Arab Saudi? Sudah tentu hal ini sangat dicemburui musuh yang tidak mahu melihat tauhid ditegakkan.
Tidak hairanlah Arab Saudi dan siapa saja mengajak tauhid ini dikatakan Wahabi.
 
Padahal tidak ada satu orang pun yang menamakan dirinya Wahabi. Tidak ada pertubuhan atau gerakan yang menggelar gerakan mereka sebagai Wahabi. Ia hanya label yang diberikan pihak lain semata-mata bertujuan memburukkan ahli sunnah, sekali gus menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam sebenar.
 
Bahkan Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah, guru kepada Imam Ibnul Qayyim dan Imam Ibnu Kathir rahimahumullah, adalah tokoh yang paling banyak menulis kritikan terhadap Syiah. Tulisan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berjudul Minhaju Al-Sunnah Al-Nabawiyah adalah rujukan utama yang dipakai sepanjang zaman.
 
Ini adalah kitab yang menjadi rujukan paling kuat untuk menentang Syiah. Bahkan orang yang tidak suka Ibnu Taimiyah pun akan merujuk kitab Ibnu Taimiyah apabila hendak menentang Syiah.
Maka sudah tentu Ibnu Taimiyyah juga dikatakan sebagai tokoh besar Wahabi.
 
Sedangkan Ibnu Taimiyyah yang hidup sekitar tahun 661H – 728H itu telah pun wafat jauh sebelum lahirnya Syaikh Muhammad pada tahun 1115H. Bagaimana mungkin dia dikatakan tokoh Wahabi?
 
Ternyata siapa saja yang mengkritik Syiah, yang melawan ajaran sesat akan dituduh Wahabi. Ini kerana dakwah tauhid dan menghapuskan syirik adalah modus operandi yang dilakukan Syaikh Muhammad ketika melakukan dakwah tauhid di Saudi dahulu. Sehingga hari ini, kesan dakwahnya terus subur ke seluruh pelosok dunia walau pelbagai tohmahan telah dilemparkan.
 
Nabi Muhammad SAW bersabda,
"Sentiasa akan ada sekelompok dari kalangan umatku yang akan terzahir membela kebenaran. Tidak memudaratkan mereka orang-orang yang menghinanya sehinggalah datang keputusan ALLAH (Kiamat) dan mereka masih tetap dalam keadaan seperti itu" (Riwayat Bukhari & Muslim)
 
Perselisihan mazhab
Selain fiqah, fokus dakwah Syaikh Muhammad adalah pada akidah. Adapun masalah fikah, hanya khilaf yang berlaku antara mazhab, seperti Maliki, Hanbali, Syafii dan Hanafi.
 
Keempat-empat imam mazhab tidak menyuruh pengikutnya taksub kepada mereka sehingga menyesatkan orang yang mengikuti mazhab lain.
 
Perselisihan mazhab ini masalah kecil jika dibandingkan dengan masalah akidah.
 
Contohnya, imam mazhab selain Imam Al-Syafii tidak membaca qunut Subuh, mereka tidak membacanya bukan kerana suka-suka, tapi mereka berhujah dan berdalilkan al-Quran dan hadis. Sahabat Nabi SAW juga tidak membacanya.
 
Adakah mereka ini Wahabi? Adakah dikatakan solat Imam Ahmad, Imam Malik yang merupakan guru kepada Imam Al-Syafii, Imam Abu Hanifah ini tidak sah kerana tidak membaca qunut Subuh, atau adakah mereka ini sesat? Sudah tentu tidak.
 
Oleh itu janganlah kita mudah memberi label apabila menghadapi perselisihan seperti ini. Bagaimanapun berdepan dengannya, kita hendaklah luruskan perselisihan tersebut agar tidak membawa kepada perpecahan yang menjadi suatu yang dibenci dan dilarang dalam syariat.
 
Cara meluruskan perselisihan dalam agama adalah dengan kembali kepada al-Quran dan al-sunnah sejajar pemahaman Salaf Al-Soleh.
 
Firman ALLAH:
"Maka sekiranya kamu berselisih dalam suatu urusan, maka hendaklah kamu kembalikan kepada ALLAH dan RasulNya (yakni al-Quran dan al-sunnah)." (Surah Al-Nisa: 59)
 
 
 

* Oleh PENASIHAT EKSEKUTIF ILMUAN MALAYSIA, 10 Januari 2014
No comments

Syurga dan calon penghuninya

SYURGA dan neraka bukan hanya diyakini Muslimin, malah Yahudi dan Nasrani yang menganut agama samawi turut mempercayainya. Satu daripada rukun iman adalah percaya kepada hari akhirat, termasuk di dalamnya adalah beriman kepada syurga dan neraka.
 
Daripada Ubadah bin Samit, Rasulullah SAW bersabda,
"Sesiapa  bersaksi tidak ada Ilah (yang berhak disembah) selain ALLAH, tidak ada sekutu baginya, dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya, Isa adalah hamba ALLAH dan utusanNya serta kalimatNya yang ALLAH titipkan kepada Maryam dan roh yang ALLAH ciptakan daripadaNya, dan bersaksi bahawa syurga itu benar dan neraka itu benar maka ALLAH akan memasukkannya ke dalam syurga betapa pun amal yang dilakukannya." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Keyakinan adanya syurga dan neraka adalah satu daripada cabang iman. Wajib kita meyakini ALLAH menciptakan syurga dan kenikmatan di dalamnya, dan syurga adalah tempat ALLAH memuliakan hamba yang mentaatinya. Juga meyakini ALLAH menciptakan neraka, tempat ALLAH menunjukkan siksaNya.
 
Sahabat Rasulullah SAW sangat memberi perhatian apabila Baginda membicarakan syurga dan neraka, kerana amat penting dalam hidup manusia untuk masuk syurga.
 
Tidak seperti keyakinan orang sufi yang mengatakan mereka beribadah tapi tidak menginginkan syurga. Padahal di akhirat nanti tidak ada tempat bagi manusia selain syurga atau neraka.
 
Mereka mengatakan sesiapa beribadah kerana menginginkan syurga, itu akan mencacatkan keikhlasan. Sedangkan ALLAH SWT memerintahkan hambaNya meminta syurga, bahkan malaikat dan Rasul serta orang yang dijamin syurga semua meminta syurga daripada ALLAH, dan mereka adalah seutama-utama wali ALLAH.
 
Nabi Ibrahim kekasih ALLAH berdoa,
"Jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mewarisi syurga yang penuh kenikmatan" (Surah Al-Syu'ara: 85).
Asiah isteri Firaun, calon ahli syurga, ketika diseksa dia berdoa seperti yang diceritakan,
"ALLAH membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang beriman, ketika dia berkata, "Ya Rabbku, binakanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di syurga" (Surah Al-Tahrim: 11).
 
Syurga sangat mahal
Rasulullah SAW juga banyak berdoa meminta syurga. Golongan Sahabat sangat termotivasi apabila Baginda AS menceritakan syurga dan kenikmatannya, sehingga amal soleh mereka meningkat. Mereka juga sangat takut apabila diceritakan neraka dan azabnya, sehingga mereka menjauhi segala yang dimurkai ALLAH.
 
Rasulullah SAW bersabda,
"Jika kamu meminta kepada ALLAH, mintalah Syurga Firdaus Al-A'la (yang tertinggi)." (Sahih Al-Bukhari)
Syurga ALLAH sangat mahal dan tidak dapat dibeli dengan amal ibadah. Rasulullah SAW mengatakan tidak ada seorang pun masuk syurga dengan amal ibadahnya, tidak juga Baginda SAW. Sebaliknya seseorang masuk syurga kerana kurnia dan rahmat ALLAH.
 
Kita tidak tahu dengan amal apa kita akan diberi rahmat ALLAH untuk masuk ke syurgaNya.
 
Apa yang pasti, tidak akan masuk syurga kecuali nafsun Muslimah iaitu jiwa yang bertauhid. ALLAH SWT memasukkan jiwa bertauhid ini ke syurga dengan sebab-sebab dan kita tidak tahu amal apa bakal terpilih menjadi ahlinya.
 
Diceritakan dalam riwayat sahih, ada yang masuk syurga kerana memberi minum anjing kehausan dan menyingkir pohon yang melintang di tengah jalan.
 
Janganlah kita pandang kecil pada satu kebaikan. Apa yang pasti, jagalah tauhid kerana itu adalah kunci ke syurga. Ini kerana ALLAH  mengharamkan syurga kepada orang yang berbuat syirik.
 
Apa pun dosa yang dilakukan seseorang, maksiat daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, menjadi prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah yakni selama mana dosa itu tidak sampai kepada syirik, orang itu layak masuk syurga. ALLAH SWT berfirman:
"Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan orang yang menyekutukanNya, dan Dia mengampuni selain itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Nisa: 48)
Prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah bagi pelaku dosa besar selama tidak mensyirikkan ALLAH, mereka di akhirat kembali kepada kehendak ALLAH. Barangkali ALLAH mengampunkan dan memasukkan ke syurga dengan rahmat kurniaNya, dan barangkali ALLAH memasukkan ke neraka atas dosa-dosa yang mereka lakukan.
 
Namun akhirnya dengan kelebihan tauhid, akhirnya mereka akan masuk juga ke syurga, terselamat dari kekal dalam neraka seperti orang yang menyekutukan ALLAH.
 
Berbeza dengan prinsip kumpulan bidaah iaitu Khawarij dan Muktazilah, mereka melihat pelaku dosa besar ini sama seperti golongan musyrik yang kekal di neraka.
 
Berbeza dengan golongan murji'ah yang mengatakan dosa tidak menggugat keimanan, bahkan mereka mengatakan pelaku dosa adalah beriman dan layak terus masuk ke syurga.
 
Mereka menganggap iman dan amal tidak ada kaitan. Kedua-dua pegangan ini menyalahi al-Quran dan Sunnah.
 
Golongan selamat
Pada masa sama, ada golongan yang akan selamat dari neraka dan terus masuk ke syurga.
 
Rasulullah SAW bersabda,
"Diperlihatkan kepadaku umat terdahulu, dan aku melihat seorang Nabi bersama dengan pengikutnya, dan aku melihat seorang Nabi itu bersama seorang pengikut dan dua orang pengikut, dan aku melihat seorang Nabi itu tidak ada seorang pun pengikut, lalu diperlihatkan kepadaku di sebelah ufuk sebilangan manusia yang ramai, maka aku menyangka inilah umatku, diperkatakan kepadaku, ini adalah Nabi Musa bersama kaumnya.
Lalu diperlihatkan kepadaku sejumlah manusia yang lebih ramai di sebelah ufuk, dan diperkatakan kepadaku, ini adalah umatmu... Dalam kalangan mereka ada 70,000 orang yang akan terus masuk ke syurga tanpa dihisab.
 
Mereka itu orang yang tidak meminta supaya diruqyah, tidak berubat dengan besi panas, dan tidak tathayyur (percaya kepada sial dan khurafat). Mereka ini bertawakal kepada Tuhan mereka." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Secara umumnya, ada umat Islam  akan selamat dari neraka, mereka tidak akan singgah ke neraka kerana dosa-dosa mereka, sebaliknya akan terus ke syurga. Mereka adalah Al-Firqah Al-Najiyah (golongan yang selamat).
 
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya umat Bani Israil yang terdahulu terpecah kepada 72, dan umatku ini akan berpecah kepada 73 kumpulan, 72 daripadanya masuk neraka, hanya satu yang selamat. Ditanya kepada Baginda siapa mereka, Baginda menjawab Al-Jamaah.
Dalam riwayat Al-Tirmizi, Nabi menjelaskan Al-Jamaah adalah "apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya."
 
Untuk selamat dari neraka, pastikan kedudukan kita bertepatan dengan apa yang menjadi kedudukan Rasulullah SAW dan apa yang menjadi pegangan sahabat, atau disimpulkan sebagai Salaf Al-Soleh.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya" (Bukhari & Muslim). Rasulullah SAW berhenti di situ.
Dengan berpegang al-Quran dan sunnah, jangan jadi seperti rata-rata umat Islam yang berbeza-beza aliran dalam kefahaman akidah, praktik ibadah dan akhlak. Apabila ditanya apa pegangan mereka, mereka mengatakan al-Quran dan Sunnah.
 
Golongan Syiah yang melaknat sahabat pun mendakwa mereka berpegang dengan al-Quran dan sunnah.
 
Jadi apakah bezanya? Jawapannya adalah haruslah kita fahami al-Quran dan sunnah yang menepati apa yang menjadi pegangan, kefahaman, dan amalan golongan sahabat RA dan kefahaman Salaf Al-Soleh secara umumnya.
 
Semoga kita termasuk dalam golongan Al-Firqatun Najiyah, selamat dari masuk neraka dan akan terus masuk ke syurga.
 
 

* Oleh USTAZ IDRIS SULAIMAN, AHLI SYURA ILMUAN MALAYSIA, 10 Januari 2014
No comments

Tuesday, 14 January 2014

MAZA : Antara hakikat dan hiasan - ISLAM

APAKAH jenis Islam yang kita inginkan ataupun pentingkan? Islam yang hakiki yang berteraskan kepada inti pati ataupun tujuan syariat Islam itu diturunkan oleh ALLAH?
 
Ataupun Islam hiasan yang kelihatan pada luaran kulitnya atau cosmetic adjustments padahal inti pati (essence) tidak memenuhi tujuan asal Islam itu sendiri?
 
Dahulu Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (w. 505H) menulis kitabnya yang terkenal Ihya 'Ulum al-Din bagi menangani penghayatan Islam tanpa roh yang sebenar.
 
Tujuan beliau menangani perbahasan fiqah yang kontang tanpa isi kerohanian dalam menghayati ibadah. Al-Imam Abu Ishaq Al-Syatibi (w. 790) menulis al-Muwafaqat membahaskan Maqasid al-Syariah (The Highest Objectives and intents of Islamic Law) bagi menjelaskan apakah tujuan utama di sebalik syariah yang kita lihat dan amalkan.
Dalam Radical Reform, Prof Tariq Ramadan menolak apa yang dinamakan Islamic economy, Islamic politic, Islamic medicine dan seumpamanya.
 
Beliau menolak istilah ini. Beliau menyatakan tiada sama sekali apa yang dinamakan islamic economy sebaliknya yang ada hanyalah garis panduan umum serta falsafah bagi tujuan ekonomi yang ditetapkan oleh Islam. Bagi beliau tiada yang dinamakan islamic economy, sebaliknya yang ada ialah etika Islam dalam ekonomi.
 
Kata beliau "There is no Islamic economy, therefore, but an Islamic ethics of the economy".
 
Ia mungkin soal pengistilahan, tetapi yang hendak ditekankan, apakah faedahnya meletakkan nama Islam untuk ekonomi, perubatan dan seumpamanya, padahal ia hanya satu hiasan luaran bukan hakikat yang hendak dicapai oleh syariat Islam itu sendiri.
 
Jika dinamakan perbankan Islam, tapi unsur penindasannya sama dengan yang tidak bernama Islam, hanya sekadar istilah Arab dan syariah sahaja yang dipentingkan, apalah maknanya? ALLAH tidak memerlukan harta kita, ALLAH mahu kita tidak zalim dan tidak menindas antara satu sama lain.
 
Matlamat syariat islam
Pakaian, istilah, hiasan, corak dan bahasa yang dikaitkan dengan Islam tidak memberi erti jika tidak memenuhi tujuan asal ataupun matlamat syariat Islam dalam perkara yang berkaitan.
 
Saya berikan satu contoh di sini, sebuah kedai makan yang bersih dan selamat makanannya tanpa memperlihatkan ciri-ciri zahir agama lebih memenuhi tuntutan Islam dibandingkan sebuah kedai makan yang peniaganya berkopiah dan dindingnya bergantungan ayat al-Quran tetapi tidak bersih dan kualiti makanannya di tahap yang rendah.
 
Bagi seorang peniaga makanan, menyediakan makanan yang bersih dan selamat adalah satu kewajiban. Itulah inti pati tanggungjawab seorang peniaga makanan. Sementara memakai kopiah dan menggantung ayat al-Quran di dinding bukanlah satu tuntutan. Ia satu pilihan. Bahkan kadangkala ia boleh menjadi satu cara penipuan jika ada tujuan yang tidak jujur.
 
Sabda Nabi SAW:
"Muslim saudara Muslim. Tidak halal seorang Muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan" (Riwayat Ahmad, Ibn Majah). Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).
Apabila kita membaca hadis Nabi SAW yang bersabda:
"Sesungguhnya golongan peniaga dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertakwa, berbuat kebaikan dan benar" (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak) . Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi) kita tahu yang jahat ialah sesiapa yang menipu pelanggan.
Dalam konteks kedai makan penipuan adalah makanan yang kotor dan tidak selamat.
 
Tidak dikatakan penipu orang yang tidak memakai kopiah ataupun tidak menghiasi kedainya dengan ayat al-Quran. Memakai kopiah dan menggantungkan ayat al-Quran itu adalah hak peniaga atas premisnya.
 
Namun jika itu semua dilakukan untuk menarik pelanggan supaya merasa kedai makannya mengikut ajaran Islam sedangkan hakikat tidak, maka itu satu penipuan.
 
Lebih baik dia jangan meletakkan ayat Tuhan di dinding jika itu sekadar mengelirukan pelanggan. Dia bagaikan menjual ayat ALLAH dengan harga yang murah. Mungkin bagi Muslim mereka dapat bezakan antara perangai orang yang tidak ikut ajaran Islam dengan kesucian ayat yang digantung.  Namun bagi bukan Muslim mungkin mereka akan salah sangka dengan Islam.
 
Suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan Baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda: "Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?
 
Dia menjawab: "Terkena hujan, wahai Rasulullah!".
Baginda bersabda:
"Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku." (Riwayat Muslim)
Kemaslahatan umum
Demikian juga Islam tidak pernah menetapkan jenis masakan. Bukanlah masakan Arab itu lebih disukai ALLAH dibandingkan masakan Barat. "
 
Seseorang yang suka makanan Arab tidak bererti dia lebih soleh daripada yang suka makanan Melayu ataupun Barat. Apa yang ALLAH sebut dalam al-Quran:
"Dan makan dan minumlah, tapi jangan berlebihan, sesungguhnya ALLAH tidak suka orang yang berlebihan". (Surah al-A'raf: 31)
Jika kita lihat dalam urusan pentadbiran, apakah yang menjadi tujuan pengurusan pentadbiran dalam Islam? Islam tidak pernah mendetilkan rupa paras politik Islam, sebaliknya hanya memberikan garis panduan umum sahaja.
 
Pentadbiran dan politik dalam Islam sama ada hendak dinamakan etika Islam dalam politik ataupun politik Islam, terpulang. Namun perkara yang menjadi tujuan Islam dalam politik adalah kemaslahatan negara.
 
Bukan kemaslahatan pemimpin ataupun parti tertentu sahaja, sebaliknya ialah kemaslahatan umum untuk semua negara. Pengurusan pentadbiran dalam Islam berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah ataupun efficiency and accountability.
 
Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam erti kata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan pentadbiran politik dalam Islam. Firman ALLAH:
"Sesungguhnya orang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." (Surah al-Qasas:26)
Bagaimanakah reka bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam mencapai maksud amanah dan cekap itu, Islam tidak tetapkan.  Asalkan ia adil, tidak zalim atau tidak mencanggahi prinsip umum Islam maka segala pendekatan dan cara boleh diambil.
 
Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar mullah ataupun ustaz ataupun ulama. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah.
 
Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampung, pejabat ditukar kepada istilah Arab. Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran maka mereka dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka dilantik.
 
Apa yang al-Quran tegaskan (maksudnya):
"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu." (Surah an-Nisa': 58)
Dalam minat yang tinggi rakyat kita untuk kembali kepada Islam, mereka hendaklah dapat membezakan antara hakikat dan hiasan.
 
Bukan hiasan itu tidak perlu, tetapi hiasan itu hendaklah menggambarkan hakikat. Jika hiasan itu tidak menggambarkan hakikat maka itu penipuan dan ia bukan tujuan asal Islam yang Tuhan kehendaki.
 
 

* Oleh PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, Minda Tajdid, 10 Januari 2014
No comments

Friday, 10 January 2014

Hidup adalah anugerah

Ada seorang gadis buta yang membenci dirinya sendiri karena kebutaannya itu. Tidak hanya terhadap dirinya sendiri, tetapi dia juga membenci semua orang kecuali kekasihnya. Kekasihnya selalu ada disampingnya untuk menemani dan menghiburnya. Dia berkata akan menikahi kekasihnya hanya jika dia bisa melihat dunia.
 
Suatu hari, ada seseorang yang mendonorkan sepasang mata kepadanya sehingga dia bisa melihat semua hal, termasuk kekasihnya. Kekasihnya bertanya, "Sekarang kamu bisa melihat dunia. Apakah kamu mau menikah denganku?" Gadis itu terguncang saat melihat bahwa kekasihnya ternyata buta. Dia menolak untuk menikah dengannya.
 
Kekasihnya pergi dengan air mata mengalir, dan kemudian menulis sepucuk surat singkat kepada gadis itu, "Sayangku, tolong jaga baik-baik mata saya."
 
* * * * *

Kisah di atas memperlihatkan bagaimana pikiran manusia berubah saat status dalam hidupnya berubah. Hanya sedikit orang yang ingat bagaimana keadaan hidup sebelumnya dan lebih sedikit lagi yang ingat terhadap siapa harus berterima kasih karena telah menyertai dan menopang bahkan di saat yang paling menyakitkan.
 
Hidup adalah anugerah.
  • Hari ini sebelum engkau berpikir untuk mengucapkan kata- kata kasar Ingatlah akan seseorang yang tidak bisa berbicara.
  • Sebelum engkau mengeluh mengenai cita rasa makananmu, Ingatlah akan seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.
  • Sebelum engkau mengeluh tentang suami atau isterimu, Ingatlah akan seseorang yang menangis kepada Tuhan meminta pasangan hidup.
  • Hari ini sebelum engkau mengeluh tentang hidupmu, Ingatlah akan seseorang yang begitu cepat pergi ke surga.
  • Sebelum engkau mengeluh tentang anak-anakmu Ingatlah akan seseorang yang begitu mengharapkan kehadiran seorang anak, tetapi tidak mendapatnya.
  • Sebelum engkau bertengkar karena rumahmu yang kotor, dan tidak ada yang membersihkan atau menyapu lantai, Ingatlah akan orang gelandangan yang tinggal di jalanan.
  • Sebelum merengek karena harus menyopir terlalu jauh, Ingatlah akan sesorang yang harus berjalan kaki untuk menempuh jarak yang sama.
  • Dan ketika engkau lelah dan mengeluh tentang pekerjaanmu Ingatlah akan para penganguran, orang cacat dan mereka yang menginginkan pekerjaanmu.
  • Sebelum engkau menuding atau menyalahkan orang lain, Ingatlah bahwa tidak ada seorang pun yang tidak berdosa dan kita harus menghadap pengadilan Tuhan.
  • Dan ketika beban hidup tampaknya akan menjatuhkanmu, pasanglah senyuman di wajahmu dan berterima kasihlah pada Tuhan karena engkau masih hidup dan ada di dunia ini.
 
Hidup adalah anugerah, jalanilah, nikmatilah, rayakan dan isilah itu.
 

NIKMATILAH SETIAP SAAT DALAM HIDUPMU, KARENA MUNGKIN ITU TIDAK AKAN TERULANG LAGI!!!
 
 
No comments

Bukan Bulan yang Bercahaya

Matahari adalah sebuah bintang daripada berjuta-juta bintang yang membentuk galaksi alam semesta. Dalam sistem solar  mataharilah menjadi paksi kepada kisaran semua komet, asteroid, dan planet.
 
 
Kedudukan matahari dalam sistem solar amat penting terutama kepada manusia. Ia seperti nadi kehidupan kerana hampir kesemua jenis hidupan di bumi memerlukannya. Semua manusia semenjak zaman dahulu kala mengetahui bahawa matahari membekalkan cahaya dan tenaga kepada bumi. Matahari diibaratkan seperti sebuah lampu yang paling terang menyuluhi dan menerangi bumi. Maka tidak hairanlah manusia dahulu kala ada yang menjadikannya sebagai Tuhan untuk disembah.
Mengikut ilmu sains moden, matahari adalah sebuah bola gas yang sangat besar. Ia dibina hasil daripada gumpalan gas-gas yang amat panas. Tenaga yang muncul dari perut matahari hasil daripada proses tindakbalas bahan-bahan nuklear akan mencari jalan menuju permukaan matahari melalui jalan yang berliku-liku dan kemudian memancarkannya ke ruang angkasa. Jika tidak suhu matahari akan meningkat tinggi yang akan mengakibatkan matahari akan pecah.
Mengikut perkiraan ahli astronomi kuasa sinaran tenaga cahaya yang dikeluarkan oleh matahari menyamai 4 trilion trilion lampu yang mempunyai kuasa 100 watt!.
Ini membuktikan bahwa matahari tidak ubah seperti sebuah lampu yang membakar mengeluarkan cahaya dengan sendiri hasil daripada tindakbalas kimia pada sumbunya.
Sebaliknya bulan, walaupun kelihatan nampak bercahaya, tetapi sebetulnya cahaya itu bukanlah daripada dirinya sendiri.
Hakikatnya, bulan menerima cahaya daripada matahari, kemudian memantulkannya kembali ke bumi, sehingga mata melihatnya seperti bercahaya sendiri.
Ini adalah kerana bulan bukan terbina daripada gas-gas. Malah strukturnya terdiri daripada jasad pejal.
Ahli astronomi dan angkasawan yang menjejak kaki ke bulan mendapati bahawa permukaan bulan terdiri daripada batu batan dan debu-debu yang mengandungi berbagai jenis galian yang dinamakan sebagai regolith.
Material-material yang memenuhi permukaan bulan ini berupaya memantulkan cahaya matahari. Namun tidak semua cahaya matahari yang sampai ke bulan akan dipantulkan ke bumi. Jika ini berlaku sudah tentu bumi akan berada dalam keadaan terlalu panas. Oleh kerana keadaan bulan penuh dengan debu-debu maka ia boleh menyerap sebahagian daripada cahaya matahari.
Pakar-pakar astronomi mengatakan bahawa bulan hanya memantulkan sebanyak 7 % sahaja cahaya matahari yang menyuluhinya.
Berkenaan dengan dua fenomena yang berbeza ini, Al-Quran dalam surah Nuh, ayat ke-16, ketika menerangkan tentang penciptaan langit yang tujuh, menyifatkan matahari di langit sebagai sebuah siraaj (lampu atau pelita), manakala bulan sebagai nuur (cahaya). 
 
وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُوراً وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجاً
Dan Allah menciptakan padanya (langit yang tujuh) bulan sebagai cahaya ( نُوراً ) dan menjadikan matahari sebagai pelita (سِرَاجًا).
 
Penjelasan Al-Quran ini kelihatan membenarkan penemuan saintifik tentang hakikat cahaya yang ada pada matahari dan bulan.
Jika hakikat matahari sebagai pelita atau lampu  (سِرَاجًا) kurang jelas pengertiannya maka di dalam ayat yang lain Al-Quran menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan pelita atau lampu  (سِرَاجًا) itu. Penjelasannya terdapat di dalam surah  An Naba`, ayat ke-13: 
 
وَجَعَلْنَا سِرَاجاً وَهَّاجاً
Dan kami jadikan matahari yang bersifat wahhaaja (membakar).
 
Ayat ini memberitahu kita bahawa lampu yang dimaksudkan ialah lampu yang sifatnya membakar dan mengeluarkan cahaya berkedip-kedip (سِرَاجاً وَهَّاجاً). Kenyataan ini adalah satu gambaran bahawa matahari membakar dan sudah tentu mengeluarkan cahayanya dengan sendiri. Cahaya yang keluar daripada sesuatu yang sedang membakar sudah tentu pula akan menyilaukan mata.
Sebaliknya berkenaan dengan bulan tidak ada penjelasan pada ayat yang lain menunjukkan bahawa ia boleh membakar dan mengeluarkan cahaya dengan sendiri.
Sifat bulan diterangkan di dalam ayat yang lain hanya sebagai bulan yang menerangi dengan nurnya sebagaimana di dalam Surah Al-Furqan ayat 61:                                                                              
 
تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَاء بُرُوجاً وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجاً وَقَمَراً مُّنِيراً
Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj (سِرَاجاً) dan bulan yang bersifat muniir (مُنِيراً).
 
Sifat muniir dari segi bahasa lebih menunjukkan kepada "menzahirkan kecantikan" atau "kelihatan cantik" seperti pokok-pokok apabila mengeluarkan bunga dan manusia apabila wajahnya kelihatan berseri-seri. Dengan sebab itu wajah yang cantik akan diumpamakan seperti bulan yang menerangi. Sifat menerangi yang ada pada bulan tidak bermaksud menunjukkan proses penerbitan tenaga cahaya. Malah lebih kepada fungsi menerangi sesuatu menerusi keindahan cahayanya (nur).
Fakta ini jelas menunjukkan bahawa bulan tidak menghasilkan tenaga cahaya dengan sendiri malah kemungkinan sahaja cahayanya datang daripada sumber yang lain. Oleh itu penemuan sains moden tidaklah bercanggah dengan nas Al-Quran. Malah kelebihan Al-Quran ialah ia relevan di setiap zaman; relevan kepada setiap latarbelakang pendidikan manusia; relevan  untuk menjadi petunjuk bagi mereka yang mencari kebenaran.
 
 

* Oleh: Zaharudin Nawi
No comments

Doa selepas wuduk

Nabi bersabda,
"Sesiapa yang mengambil wuduk dengan sempurna kemudian dia berdoa, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan 'Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj 'alni minat tawwaabin, waj'alni minal mutatohhiriin, akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana yang dia suka."
Hadis riwayat Al-Tirmizi
 
 
 
No comments

Kisah dari Kitab ALLAH yang Terdahulu

Suatu ketika Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang suhuf yang diturunkan kepada suhuf Nabi Allah Musa a.s.
Rasulullah s.a.w berkata, "Sebahagian daripada kandungan suhuf Nabi Musa a.s :-
  1. Aku hairan pada orang yang telah meyakinkan akan datangnya kematian (yakin dirinya akan mati dan ditanya tentang amalannya), tetapi mengapa mereka merasa seronok dan gembira di dunia (tidak membuat persediaan).
  2. Aku hairan kepada orang yang telah meyakini akan adanya qadar (ketentuan) Allah, tetapi mengapa mereka marah-marah (bila sesuatu musibah menimpa dirinya).
  3. Aku hairan pada orang yang telah meyakini akan adanya hisab (hari pengiraan amal baik dan buruk), tetapi mengapa mereka tidak berbuat kebaikan?"
Rasulullah s.a.w ditanya pula tentang sebahagian daripada kitab Taurat, Nabi berkata, "Antara kandungannya ialah :-
  1. Wahai anak Adam, janganlah kau merasa khuatir akan kekuasaan (pangkat), selagi kekuasaanKu kekal abadi iaitu tidak akan hilang selamanya.
  2. Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami menciptakan kamu adalah untuk beribadah kepadaKu, maka dari itu janganlah kamu mensia-siakan (menghabiskan masamu untuk berhibur sahaja).
  3. Wahai anak Adam, Kami tidak mengira akan amalanmu yang akan dilakukan esok, oleh itu janganlah kamu cemas akan rezekimu untuk esok.
  4. Wahai anak Adam, sesungguhnya bagi kamu ada kewajipan dan ketentuan rezeki, sekalipun kamu mengabaikan kewajipanmu terhadapKu, namun Aku tidak akan mengabaikan rezeki yang telah ditentukan untukmu.
  5. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu redha pada apa-apa yang telah aku berikan kepadamu, maka kamu akan merasakan bahagia zahir dan batin. Tetapi jika kamu tidak redha dengan apa-apa yang telah Aku berikan itu, maka kamu akan dikuasai oleh dunia sehingga kamu akan melompat-lompat dan melenting kepanasan di padang pasir yang panas. Demi Keagungan dan KemuliaanKu, ketika itu pun kau tidak akan memperolehi apa-apa selain yang telah aku tetapkan, malahan engkau termasuk di dalam golongan orang yang tercela di sisiKu."
 
 
No comments

Thursday, 9 January 2014

Motivasi Dari Hadis Nabi

Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya. [Riwayat Muslim]
 
Islam itu agama fitrah. Setiap sisi agama pasti akan meraikan fitrah manusia itu sendiri. Tidak ada satu pun pensyariatan dalam agama ini yang bertentangan dan berlawan dengan fitrah penganutnya, jika benar-benar difahami dan dipraktiskan. Saya akan membawakan satu aspek yang cukup mudah tetapi besar peranannya pada artikel kali ini.
 
Sebagaimana hukum hudud itu menjaga,meraikan serta memelihara fitrah manusia, sebegitu juga bagaimana iman itu berperanan dalam menyempurnakan psikologi orang islam. Tidak ramai yang sedar bahawa seorang mukmin itu seharusnya mempunyai psikologi dan mental yang sangat teguh dan kukuh. Lihat sahaja bagaimana mereka berhadapan dengan keadaan yang sulit. Respon mereka sungguh mengagumkan jika kita nilai dan perhatikan.
 
Kita telah dididik dengan iman agar sentiasa positif dan optimis dalam apa jua keadaan. Apabila kita ditimpa kesusahan maka kita akan bersabar dan terus optimis dengan masa hadapan yang lebih cerah. Apabila kita diberikan dengan kesenangan maka kita akan bersyukur lantas menyalurkan pada jalan-jalan yang positif.
 
Berapa ramai manusia yang masih mampu tersenyum dan mengucapkan syukur di atas ujian yang diberikan kepadanya? Reaksi pelik ini hanya ada pada mereka yang beriman sahaja kerana mereka telah menerima surat-surat cinta dari pencipta mereka. Mereka telah dipujuk dan dibelai dengan kasih dan sayang Allah s.w.t.
 
Lihat sahaja berapa banyak ayat-ayat motivasi dari kekasih kita :
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. – al-Zumar (39) : 10
Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman: "Apabila saya menguji seorang hamba-Ku dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan Syurga. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 5653)
Sesungguhnya Allah menyertai(membantu) orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 153
Tidak ada satu kaum di atas muka bumi setenang dan se'cool' kita yang memiliki iman ini. Inilah sepatutnya nilai yang berada didalam diri kita. Psikologi yang sempurna dan pegangan yang kukuh.
 
Kita sering diingatkan bahawa ujian itu bukan dalam bentuk kesusahan sahaja bahkan kesenangan itu juga merupakan suatu ujian dari Allah s.w.t. Bagi mereka yang tidak atau lemah imannya maka amat mudah untuk hanyut dalam kesenangan. Namun Sang pencipta yang memahami fitrah manusia yang lalai itu telah mengingatkan kita dengan nada sayang namun tegas.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. – al-Munaafiquun (63) : 11
Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. "  (Hadith riwayat Imam Tirmizi)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikit pun."  (Hadith riwayat Imam Tirmizi)
Terlalu banyak ayat-ayat sebegini jika ingin disenaraikan semuanya disini. Cukup sahaja beberapa contoh ayat saya kemukakan pada artikel ini. Cukup sahaja ayat-ayat ini membuktikan bahawa peranan iman itu cukup besar dalam penyempurnaan psikologi seorang mukmin yang beriman. Datangkan sahaja ribut badai ataupun pelangi,segalanya baik buatnya. Ajaib bukan orang yang beriman itu?
 
Saya telah kehilangan ibu tercinta. Saya kira ianya sangat berat bagi seorang seperti saya untuk menanggung kehilang sebesar ini pada usia sebegini. Namun Allah telah memujuk dan meyakinkan saya dengan firman-Nya yang berbunyi :
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (Surah AlBaqarah (2) : 286)
Lantas saya bangun dan berkata dengan penuh semangat, "Saya kuat! Saya Ironman!"
 
 

* Sumber dari Harian Islam, Artikel asal dari blog Mindafahmi.com
 
No comments