+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Wednesday, 16 April 2014

Flower #SLD_2x5 'Gambo' Selection.2Day

No comments

Tuesday, 15 April 2014

Selawat ke atas Rasulullah SAW

ALLAH hanya memerintahkan hambaNya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tiada perintah (kewajipan) ke atas Nabi lain.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya." (Surah Al-Ahzab: 56)
Selawat berasal daripada perkataan Arab, iaitu solat. Solat dari segi bahasa bererti doa, iaitu menyeru atau meminta. Apabila kita berdoa kepada ALLAH, bererti kita menyeru dan meminta kepada ALLAH. Itu juga yang dimaksudkan dengan selawat.
 
Apakah makna ALLAH berselawat ke atas Nabi? Selawat ALLAH ke atas Nabi bermakna pujian ALLAH serta ALLAH menyebut-nyebut nama Rasulullah di sisi malaikat di langit tujuh. Disebut-sebut nama Rasulullah SAW di sisi malaikat yang paling hampir kedudukannya dengan Arasy ALLAH.
 
Apabila berselawat, sebenarnya kita berdoa kepada ALLAH agar ALLAH memperbanyakkan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW dan menyebut nama Baginda di sisi malaikat-Nya. Ia sebagaimana disebut disebut dalam ayat al-Quran di atas.
 
Lafaz yang diucapkan "Allahumma Salli 'ala Muhammad (Ya ALLAH, selawatlah ke atas Muhammad)" atau "Sallallahu 'ala Muhammad (ALLAH berselawat ke atas Muhammad)", adalah ayat permohonan supaya ALLAH berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
 
Imam Ibnu Katsir rahimahullah mentafsirkan ayat, "ALLAH dan golongan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi" berkata, dalam ayat ini ALLAH mengkhabarkan kedudukan Nabi Muhammad SAW yang tinggi, ALLAH memuji-mujinya serta disebut-sebut namanya di sisi malaikat muqarrabin, lalu malaikat pun berselawat kepadanya.
 
Seterusnya ALLAH memerintahkan penduduk bumi agar mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi dan menghimpunkannya bersama selawat penduduk langit agar selawat itu lengkap dan sempurna, dan dimuliakan Nabi Muhammad dengan semulia-mulianya.
 
Imam Al-Qurthubi rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini berkata ia secara langsung menunjukkan ALLAH memuliakan Rasulullah semasa hidupnya (ayat ini turun ketika Rasulullah hidup) dan juga setelah kewafatannya.
 
Ucapan salam ke atas Nabi
ALLAH hanya memerintahkan hamba-Nya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tidak ada perintah (kewajipan) selawat ke atas Nabi lain. Di situ jelas Nabi Muhammad SAW telah dikhaskan dengan satu doa, dan itu menunjukkan kedudukan Baginda SAW yang lebih tinggi berbanding golongan Nabi dan Rasul yang lain.
 
Antara faedah diambil daripada ayat ini adalah kemuliaan dan kedudukan Rasulullah SAWdi sisi ALLAH, dan perintah wajib mengamalkan satu ibadah khusus iaitu berselawat ke atas Nabi di samping ibadah lain yang disyariatkan.
 
Golongan ulama menjelaskan interaksi antara kita dengan Nabi Muhammad setelah kewafatan Baginda adalah sekadar kita berdoa kepada ALLAH untuk berselawat ke atas Baginda. Maka tidak dibolehkan sama sekali kita menyeru, meminta, atau berdoa kepada Nabi SAW.
 
Walaupun ayat ini menjelaskan kedudukan Baginda yang tinggi, tetapi tidaklah sampai kita melebihkan kedudukan Baginda daripada kedudukan yang sepatutnya, dan tidaklah sehingga kita menujukan doa dan seruan kepada Baginda. Dalam urusan meminta hajat, kita hanya meminta daripada ALLAH semata-mata.
 
Ayat ini secara langsung menjelaskan penyimpangan golongan yang berinteraksi dengan Rasulullah, antaranya dengan menyeru Baginda, dan menyedekahkan al-Fatihah kepada Baginda.
 
Ini adalah amalan baru yang diada-adakan. Kita tidak diperintahkan untuk melakukannya, bahkan golongan sahabat yang paling tinggi cintanya kepada Nabi pun tidak pernah melakukannya.
 
Dalam ayat yang sama, ALLAH turut memerintahkan supaya mengucapkan salam kepada Nabi SAW. Ini menunjukkan ada dua ibadah wajib dalam interaksi dengan Nabi iaitu berselawat dan mengucapkan salam.
 
Apa yang dimaksudkan dengan salam? Salam bererti keselamatan. Bagaimanakah ALLAH memberi keselamatan ke atas Nabi? Semasa hidup Rasulullah, telah dipelihara dan diberi keselamatan.
 
ALLAH berfirman:
"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepada mu daripada Tuhan mu. Jika tidak kamu lakukan maka kamu tidak menyampaikan risalahNya. ALLAH akan memelihara (menjaga) kamu daripada manusia." (Surah al-Maidah: 67)
Ayat ini menunjukkan jaminan ALLAH kepada Rasulullah. ALLAH memerintahkan Baginda supaya menyampaikan apa yang telah diturunkan. Ini adalah amanah dan tanggungjawab Baginda.
 
Lalu ALLAH menjamin akan menjaga keselamatan Rasulullah daripada manusia. Ini adalah keselamatan ketika Baginda masih hidup.
 
Adapun selepas kewafatan Baginda, keselamatan dan jagaan ALLAH berterusan ke atas Baginda SAW. Pernah berlaku dalam sejarah di mana ada usaha dilakukan untuk mencuri jasad Baginda di kuburnya, namun usaha itu dapat digagalkan.
 
Sebab itu pada hari ini kita lihat di sekeliling kubur Baginda dipagari dengan dinding logam yang tebal, supaya tidak berulang kejadian seperti ini.
 
Lafaz selawat dan salam
Lafaz selawat ke atas Nabi disebutkan dalam hadis di mana seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan duduk di depan Baginda dan berkata, "Wahai Rasulullah, adapun tentang memberi salam ke atas mu telah kami ketahui, lalu bagaimana cara berselawat ke atas mu?
 
Rasulullah bersabda:
"Ucapkanlah: Allaahumma salli 'ala Muhammad wa 'ala Aali Muhammad, kama sallaita 'ala Ibrahim wa 'ala Aali Ibrahim, innaka Hamidun Majid. Wabaarik 'ala Muhammad wa 'ala Aali Muhammad kama baarakta 'ala Ibrahim wa 'ala Aali Ibrahim innaka Hamiidun Majiid." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Dalam riwayat lain, lafaz "Wabaarik" diganti dengan "Allahumma baarik". Ini adalah lafaz selawat yang paling sempurna dan tidak ada yang lebih sempurna dari itu. Kalau kita inginkan pahala selawat yang paling sempurna, inilah yang perlu kita baca, iaitu seperti yang kita baca dalam tahiyat ketika solat.
 
Adapun lafaz salam, juga seperti yang kita baca dalam tasyahhud, "At-Tahiyatu lillahi wassalawatu watthayyibaat. Assalaamu 'alaika ayyuha An-Nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh." (Riwayat Bukhari & Muslim). Ini adalah lafaz yang diajar Rasulullah.
 
Bagaimanapun, Ibnu 'Umar RA yang merupakan sahabat yang faqih, sesudah kewafatan Rasulullah, membaca, "Assalaamu'alan-Nabiyyi warahmatullaahi wabarakaatuh".
 
Syaikh Al-Albani RH dalam kitab Sifat Shalat Nabi menjelaskan bahawa inilah yang sepatutnya dibaca, kerana lafaz Assalaamu'alaika (Salam ke atasmu) diucap jika Nabi bersama kita (masih hidup). Berbeza dengan Assalamu'alan-Nabiy (Salam ke atas Nabi) diucap kerana kita tidak lagi berinteraksi secara langsung dengan Nabi setelah Baginda wafat.
 
Syaikh Albani menyatakan mustahil Ibnu Umar RA mencipta sesuatu yang baru daripada dirinya, kerana Ibnu Umar terkenal sebagai orang yang sangat mengikuti dan berpegang teguh sunnah Nabi SAW.
 
Perbuatan Ibnu Umar membaca dengan lafaz ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana perintah daripada Nabi SAW atau apa yang dia pelajari daripada Baginda.
 
Selawat dan salam ini kita ucapkan kedua-duanya di dalam solat. Di samping itu kita disunnahkan untuk berselawat pada tempat yang disyariatkan seperti dalam solat jenazah, selepas azan, dalam doa, dalam majlis, apabila disebut nama Rasulullah SAW, juga pada Jumaat di mana kita disuruh memperbanyakkan selawat.
 
Dengan itu terjelas kepada kita, tidak ada istilah kirim salam kepada Nabi, dan ini termasuk bidaah yang mungkar, kerana tidak ada beza selawat dan salam dari tempat yang dekat atau jauh. Kita tidak disuruh pergi ke kubur Baginda untuk melakukan ibadah ini.
 
Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sesungguhnya antara hari kamu yang paling utama adalah hari Jumaat, maka banyakkanlah selawat ke atas ku pada hari itu.
 
Sesungguhnya selawat kamu dihadapkan kepada ku." Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami dihadapkan ke atasmu sedang engkau telah hancur menjadi tanah?" Baginda menjawab, "Sesungguhnya ALLAH mengharamkan atas bumi jasad-jasad golongan Nabi." (Sahih, Abu Daud)
 
Sabda Baginda lagi, "Janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan (pusat kunjungan). Selawatlah kepadaku, sesungguhnya selawat mu sampai kepada ku di mana pun kamu berada." (Sahih, Abu Daud)
 
 

* Oleh USTAZ IDRIS SULAIMAN, Ahli Majlis Syura Ilmuwan Malaysia (iLMU), 3 Januari 2014
 
 
 
No comments

Kepelbagaian kaedah dakwah

BAGINDA SAW diutuskan kepada umat manusia untuk menyampaikan risalah Islam dengan kadar pemikiran yang mereka fahami. Baginda SAW sentiasa bercakap dengan mereka dalam tahap bahasa dan pemikiran yang mudah difahami mereka.
 
Diriwayatkan dalam Kashf al-Khafa' oleh al-Ajluni - walaupun ada perbahasan berhubung dengan status hadith ini namun dari segi maknanya ia benar, yang menyebut akan sabda Baginda SAW bahawa
"aku diperintahkan untuk berbicara dengan manusia mengikut kadar akal mereka".
Lantaran kerana itu kita dapati para ulama muktabar ketika mengarang kitab-kitab mereka, mereka sudah pun meletakkan siapakah sasaran pembacanya. Imam al-Ghazali ra. sebagai contoh ketika mengarang Bidayatul Hidayah atau Ihya' Ulum al-Din, ia ditujukan kepada orang awam manakala kitab-kitab seperti al-Mustasfa min ilm al-usul atau Ma'arij al-Quds fi Madarij Ma'rifat al-Nafs, ia ditujukan khusus kepada ilmuwan dan para ulama.
 
Inilah juga sepatutnya pendekatan dakwah apabila tidak semua orang boleh kita sama ratakan tahap pemikiran dan akal mereka, atau penghayatan mereka terhadap ajaran agama Islam. Ada dalam kalangan masyarakat awam kita yang jahil murakkab atau digelar juga "jahil totok" dalam erti kata mereka ini tidak pernah sembahyang, tidak menutup aurat dan membuat segala jenis maksiat dan dosa tanpa sedikit pun merasa bersalah. Ada sekelompok lagi ialah golongan yang kadang-kadang taat, dan lebih banyak masa melakukan maksiat dan dosa namun ada perasaan menyesal, manakala kelompok yang terakhir ialah mereka yang lebih banyak melakukan ketaatan dengan sekali sekala terjerumus dalam maksiat dan dosa.
 
Untuk kategori manusia peringkat pertama dan kedua, mereka perlu didekati melalui pendekatan dakwah yang agak santai dan bersahaja agar mereka ini berminat untuk berada dalam majlis-majlis agama dan tidak merasakan diri mereka ini terasing, atau sudah tiada harapan untuk kembali ke pangkal jalan dan hanya menunggu masa untuk ke neraka sahaja.
 
Radio IKIM.fm baru-baru ini mengambil pendekatan santai sebegini apabila dalam Kembara IKIM.fm Sarawak di Kuching bulan lepas kami telah membuat persembahan di kawasan lalu-lalang orang ramai di Waterfront Kuching dan Alhamdulillah dengan taufiq dan hidayah  ALLAH SWT, seorang wanita telah mengucap dua kalimah syahadah. Tidak kurang juga sambutan daripada mat-mat rock yang didekati dan dikenalkan dengan radio Islam IKIMfm.
 
Begitu juga usaha-usaha mengadakan Selawat Perdana dan majlis-majlis selawat seperti itu sepatutnya dipuji dan digalakkan kerana walaupun dari satu segi ia dilihat seolah-olah sekadar majlis hiburan, tetapi sebenarnya ianya lebih daripada itu dengan pengisian peringatan yang mampu melunakkan hati-hati yang berdosa dan keras untuk mula berjinak-jinak dengan Islam. Walau apa pun kritikan terhadap majlis tersebut, sekurang-kurangnya ianya suatu yang baik dan ma'ruf, dan bukannya mungkar seperti majlis K-Pop atau Future Music Asia Festival 2014 baru-baru ini!
 
Penulis turut dimaklumkan oleh seorang sahabat bagaimana seorang yang sudah lama tidak Solat dan jauh dari penghayatan Islam dalam hidupnya, sebaik selepas Selawat Perdana telah bertanya-tanya di mana majlis-majlis ilmu untuk dia belajar kerana ingin kembali menghayati Islam setelah mula bertaubat.
 
Ya, memang benar masyarakat tidak memadai sekadar didendangkan dengan majlis-majlis berselawat sahaja. Hakikatnya, selepas daripada itu masih banyak tugasan-tugasan besar menanti. Majlis-majlis sebegitu diharapkan dapat melunakkan hati-hati yang keras yang jauh dari ALLAH SWT, manakala mampu terus membakar semangat kepada jiwa-jiwa yang telah jinak untuk semakin gigih beribadah, dan tekun menuntut ilmu agar kecemerlangan diri dapat dicapai dan seterusnya membangun ummah membina peradaban Islam.
 
 

* Oleh DR NIK ROSKIMAN, Sinar Harian, 16 April 2014
No comments

Sunday, 13 April 2014

Rancangan jahat Israel cemari Al-Aqsa didedah

Israel mendedahkan rancangan jahat mereka untuk membina kuil Yahudi di pekarangan masjid Al-Aqsa.
 
BAITULMAQDIS, 13 April 2014 - Rancangan jahat Israel untuk membina sebuah kuil baru berhampiran Al-Aqsa dengan tujuan untuk mencemari kesucian kawasan masjid tersebut akhirnya terbongkar.
 
Model kuil Yahudi yang ditunjukkan kepada umum untuk pertama kali itu turut dilengkapi dewan besar yang boleh memuatkan ratusan pengunjung pada setiap hari.
 
Susulan daripada itu, Yayasan Warisan dan Kebajikan Al-Aqsa bertindak menyelar langkah biadab tersebut dan ia turut disifatkan sebagai satu ancaman langsung terhadap masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.
 
Organisasi terbabit berpendapat projek tersebut sebenarnya bertujuan mendapatkan sokongan tambahan bagi merealisasikan niat jahat mereka untuk merampas al-Aqsa.
 
Sebelum ini, aktivis Palestin telah memberi amaran berhubung projek penggalian dalam skala besar yang sedang giat dilakukan berhampiran pintu selatan masjid tersebut.
 
Menurut Press TV, sejak beberapa bulan lalu, pelampau Yahudi  dan pihak berkuasa rejim Zionis berterusan meningkatkan tindakan provokasi dengan menyerbu pekarangan Al-Aqsa terutamanya selepas solat Jumaat hingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk Palestin.
No comments

Thursday, 10 April 2014

Bolehkah air jampi dikomersilkan?

LAMBAKAN pelbagai jenis produk di pasaran tempatan tidak dinafikan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan usahawan. Pengguna pula mempunyai banyak pilihan bagi memenuhi cita rasa sendiri.
 
Namun, lambakan produk minuman dan makanan komersil yang dikatakan dihasilkan menggunakan kaedah rawatan Islam mewujudkan banyak persoalan dan tanda tanya dalam kalangan pengguna.
 
Malah terdapat pengusaha didakwa mengeluarkan iklan yang bukan sahaja mengelirukan malah secara jelas menipu orang ramai.
 
Ini termasuklah penjualan produk yang semakin popular kini, iaitu air ruqyah atau air jampi. Air-air ini dikatakan telah dibacakan ayat-ayat suci al-Quran dan boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan kepada pengguna.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertegas akan mengambil tindakan ke atas pengusaha air jampi jika didapati melakukan penipuan seperti itu.
 
Yang pasti, perbuatan memanipulasi rawatan Islam dan bacaan ayat al-Quran untuk mengaut keuntungan, lebih-lebih lagi yang membabitkan elemen penipuan sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam.
 
Untung atas angin Pengkomersilan air ruqyah secara besar-besaran ini bagi sesetengah pihak umpama mengambil keuntungan melalui cara mudah. Sewajarnya ia tidak dikomersilkan kerana boleh menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap kaedah perubatan Islam itu sendiri.
 
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata, perkara seperti ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah apabila masyarakat mula menganggap kesembuhan itu datang daripada air jampi berkenaan.
 
"Contohnya, air-air ini didakwa boleh melariskan perniagaan, menyembuhkan penyakit, menjadikan seseorang itu lebih bijak dan lain-lain lagi. Ruqyah (jampi) ini sepatutnya dibacakan oleh orang yang selayaknya dan mengikut kaedah dan syarat-syarat tertentu.
 
"Apabila perkara ini dikomersilkan, kita khuatir ia tidak mematuhi syarat dan kaedah tersebut," katanya.
 
Menurut Othman, terdapat beberapa isu agama yang timbul berhubung penjualan air jampi.
 
"Pertamanya, apakah produk tersebut diruqyah mengikut kaifiat (kaedah) yang ditetapkan oleh Islam.
 
"Kedua, apakah mereka yang melaksanakan ruqyah itu mempunyai kelayakan yang sepatutnya dan ketiga, bagaimana untuk pengeluar mengawal produk tersebut daripada ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?," soalnya.
 
Menurut Othman, antara kebimbangan utama adalah sama ada pengeluar air ruqyah ini benar-benar patuh kepada garis panduan yang disyariatkan atau prosedur yang sepatutnya dalam Islam.
 
Contohnya, membaca secara lengkap 30 juzuk al-Quran pada air tersebut dan sama ada bacaan itu benar-benar dibuat memenuhi keseluruhan juzuk dan dengan tertibnya.
 
"Saya melihat rawatan secara ruqyah ini adalah sesuatu yang mulia. Cuma, penjualan air ruqyah secara komersil tidak bersesuaian kalau kita andaikan air yang diruqyah itu sebagai ubat.
 
"Biarlah ia boleh didapati pada tempat yang betul sahaja, sama ada di pusat rawatan Islam atau farmasi sebagaimana ubat-ubatan moden yang dikawal pengeluaran dan penjualannya," menurut beliau.
 
Othman menegaskan, Jakim tidak menafikan dalam Islam ada kaedah menggunakan air yang dijampi sebagai penawar dan ubat namun kebiasaannya pihak-pihak yang ingin mendapatkan rawatan itu perlu bertemu terus dengan pengamal perubatan Islam yang dipercayai dan lebih baik jika perawat itu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
 
"Individu yang layak membuat air ruqyah ini lazimnya seorang yang warak dan mustajab doanya di sisi Allah," katanya.
 
 

* Oleh SITI ZUBAIDAH MAT ISA, Sinar Harian, 10 Mac 2014
No comments

Mutiara Kata : Persahabatan

Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya:
"Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya."
 
No comments

Tuesday, 8 April 2014

Mutiara Kata : Manis Dunia

Daripada Abu Said al-Khudri R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda,
"Sesungguhnya dunia itu manis dan indah. Dan sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan kami sebagai khalifah di atas muka bumi, maka dia akan melihat apa yang kamu lakukan. Oleh itu takutlah dan berhati-hati terhadap dunia dan juga terhadap kaum wanita."
No comments

Thursday, 3 April 2014

Biodata iblis, anda patut tahu!

 
  • Nama sebenar : IBLIS LAKNATULLAH
  • Kelahiran : Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s
  • Status diri : Fasik kelas pertama
  • Agama : Kufur
  • Tempat Tinggal : Di hati-hati mereka yang lalai
  • Alamat Tetap : Neraka jahanam
  • Kawasan : Di setiap penjuru yang di dalamnya tiada usaha langsung untuk mengingati ALLAH
  • Arah perjalanan : Tiada haluan dan bengkang-bengkok
  • Isteri : Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati ALLAH, Rasul dan suaminya
  • Kaum kerabat : Semua golongan yang menentang dan memusuhi ALLAH
  • Modal pusingan : Angan-angan kosong dan tipu daya yang halus
  • Tempat pertemuan : Konsert-konsert hiburan, pasar-pasar dan di semua tempat jual beli
  • Musuh ketat : Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa
  • Sahabat karib : Anak-anak Adam
  • Motto kerja : 'Hipokrasi asas akhlak'
  • Hobi : Melalaikan orang dari mengingati ALLAH, menggoda manusia lalu menyesatkannya
  • Cita-cita : Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kafir
  • Sukan (yang tidak digemari) : Acara langkah seribu (semasa malaikat maut ingin mencabut nyawa)
  • Kelemahan diri : Bila manusia membaca istighfar
  • Mentor yang dikagumi : Manusia yang mempunyai berkelebihan lebih dari dirinya
  • Logo : Sebarang tatu
  • Pejabat operasi : Tandas, bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat-tempat maksiat
  • Rakan kongsi : Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia
  • Sumber pendapatan : Segala harta yang diperoleh dengan jalan haram dan riba
  • Jenis perkhidmatan : Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap ALLAH SWT
  • Tempoh perkhidmatan : Sehingga hari khiamat
  • Matlamat sebenar : Membawa anak cucu Adam bersama-sama ke neraka jahanam
  • Teman sejawat : Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran
  • Ganjaran : Dosa-dosa kecil/besar dan kemurkaan ALLAH
  • Pembantu setia : Orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam
  • Peristiwa yang tak dapat dilupakan : Semasa ALLAH menjadikan Nabi Adam a.s
  • Kenangan manis : Di waktu manusia diambang sakaratul maut, mati dalam kekafiran
  • Kenangan pahit : Manusia yang digodanya mati dalam keimanan
  • Makanan kegemaran : Daging orang mati, segala najis dan kotoran
  • Minuman yang digemari : Wiski, brandi, tequila, todi, wine, arak dan semua minuman yang memabukkan.
  • Yang paling ditakuti : Orang mukmin yang bertakwa
  • Yang paling dibenci : Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati ALLAH
  • Alat perangkap : Wanita-wanita cantik, model, pelacur, peragawati dan sebagainya
  • Saat ajal : Bila tiba waktu yang ditentukan ALLAH di hari kiamat kelak
  • Yang paling membosankan : Bila tiada lagi manusia yang mahu mengikuti kemahuannya
  • Tugas yang paling meletihkan : Menganggu manusia ke arah kebaikan kerana ALLAH Taala
  • Tugas yang paling disukai : Mengajak melakukan homoseks, lesbian dan berzina
  • Janji kepada manusia : Janji-janji kosong, angan-angan dan tipu daya
  • Yang membuatnya gembira : Manusia yang mengikut jejak langkahnya
  • Saat yang mendukacitakannya : Manusia yang mempunyai cita-cita untuk bertaubat
  • Yang membuatnya menangis : Bila manusia yang disayanginya sujud kepada ALLAH SWT
 
 

* Dipetik dari detikislam.blogspot.com
No comments

Nabi Ibrahim Menguji Menantunya

Pada suatu hari, nabi Ibrahim as datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya Ismail. Ketika baginda tiba, nabi Ismail tiada di rumah sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu. Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu nabi Ibrahim. Tanpa berlengah baginda bertanya kepada perempuan itu tentang nabi Ismail. Perempuan itu memberitahu bahawa nabi Ismail keluar memburu.
 
Apabila disoal tentang suasana kehidupan mereka maka perempuan itu menjawab : " Kami hidup susah dan kesempitan ".
Nabi Ibrahim bertanya lagi : " Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman? ".
Jawab perempuan tadi : " Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman ".
 
Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh perempuan itu maka nabi Ibrahim mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama nabi Ismail. Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu.
 
Sebelum bertolak pulang maka nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan tadi yang juga merupakan menantunya : " Sampaikan salamku kepada suamimu dan pesanlah kepadanya agar menukar bingkai pintu rumahnya ".
 
Sebaik sahaja nabi Ibrahim meninggal rumah itu maka pulanglah nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya : " Adakah ada seseorang datang menziarahimu? ".
Jawab isterinya : " Ya! ada iaitu seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu. Aku telah menerangkan segala apa yang berlaku kepadanya ".
 
Baginda bertanya lagi : " Adakah dia meninggalkan sebarang pesanan kepadamu? ".
Jawab isterinya : " Ya! dia telah berkirim salam kepadamu dan meminta aku memberitahumu agar engkau menukar bingkai pintu rumahmu ".
 
Mendengar jawapan daripada isterinya lantas nabi Ismail menjelaskan kepadanya : " Itulah dia bapaku dan dia telah memerintahkan aku supaya berpisah denganmu dan pulanglah kepada keluargamu semula ".
 
Nabi Ismail terus menceraikan isterinya dan mengahwini perempuan yang lain.
 
Setelah berlalu beberapa lama masa maka nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya Ismail. Kali ini sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu yang mana nabi Ismail tiada di rumah. Baginda mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik.
 
Nabi Ibrahim bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru : " Adakah kamu mempunyai tetamu? ".
Jawab perempuan itu : " Ya! iaitu engkau ".
Kemudian baginda bertanya mengenai kehidupan mereka berdua lalu perempuan itu menjawab : " Kami berada dalam keadaan baik dan bahagia ". Sambil itu dia memuji-muji Allah.
 
Sebelum pulang nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan itu : " Apabila suamimu pulang maka sampaikan salamku kepadanya dan beritahunya supaya terus kekalkan bingkai pintu rumahnya ". Kemudian nabi Ibrahim berlalu pergi.
 
Setelah nabi Ismail tiba di rumahnya maka isterinya telah menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya. Dia memberithu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan salam dan pesanan daripada lelaki tua itu kepada nabi Ismail.
 
Mendengar penjelasan yang diberikan oleh isterinya lalu nabi Ismail dengan gembira memberitahu : " Dia merupakan bapaku dan dia berpesan agar menjagamu dan jangan menceraikanmu ".
 
Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu.
 
 

No comments