+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Wednesday 29 January 2014

Islam tidak ajar suami bertindak ganas

SUAMI berperanan sebagai pemimpin bagi sesebuah rumah tangga. Sudah tentu rumah tangga lebih bahagia dan diberkati  sekiranya peranan dilaksanakan mengikut lunas-lunas agama.
 
Islam tidak mengajar keganasan dalam rumah tangga. Sebaliknya menuntut perkahwinan itu dilalui penuh aman damai yang boleh membawa kebahagiaan berpanjangan.
 
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam melayan isteri. Baginda menjadi pendengar yang baik sewaktu berbicara dengan isteri. Bahkan baginda tidak pernah mengangkat suara sehingga menimbulkan kurang senang dipihak isterinya.
 
Baginda juga suami yang ringan tangan di dapur, sering menolong isterinya memasak. Sedangkan pada masa sama Rasulullah adalah Ketua Negara Islam Madinah yang hebat ketika itu.
 
Kes penderaan terhadap isteri pula ada berlaku bahkan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Lihat sahaja bagaimana seorang isteri kepada pemerintah zalim bernama Firaun yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. Dia beriman kepada ALLAH akan tetapi berada di bawah kezaliman suaminya sendiri.
Sudah pasti kalaulah keislamannya diketahui suaminya, dia akan dibunuh tanpa belas kasihan. Ini menunjukkan kepada kita bagaimana penderaan perasaan yang dialami seorang isteri sehingga dia berdoa kepada ALLAH ke atas kezaliman yang dilaluinya.
 
Seorang suami sama sekali tidak boleh mengabaikan isteri sehingga akhir hayat. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Ibnu Majah bermaksud: "Ya Rasulullah, Apakah hak isteri yang wajib dijaga oleh suami?
 
Lalu Baginda bersabda:
hendaklah suami memberi nafkah kepada isteri, belanja dapur, pakaian dan rumah, jangan sesekali memukul muka isteri, didiklah isteri dengan cara baik, dan tidak menghina isteri serta tidak meninggalkannya bersendirian kecuali di dalam rumah."
ALLAH juga menjelaskan tentang kewajipan melindungi golongan wanita atau isteri sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Nisa' ayat ke-34, bermaksud:
"kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan dengan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
 
Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan ALLAH dan pertolonganNya…"
Berdasarkan dalil di atas fahamlah kita bahawa sama sekali tidak boleh seseorang lelaki atau suami melakukan penderaan atau bertindak ganas ke atas isteri mahupun golongan wanita.
 
Islam mengajar banyak perkara kepada kita termasuklah bimbingan kepada suami tentang cara mendidik isteri yang derhaka (nusyuz). Pertama melalui nasihat iaitu menegur, berbincang dan berkomunikasi melalui nada senang dan mudah difahami.
 
Jangan sesekali suami menghamburkan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan isteri walaupun isteri melakukan kesalahan. Nasihatilah isteri dengan bijaksana mudah-mudahan dia berubah.
 
Kedua, memulaukan dengan mengasingkan tempat tidur isteri. Ini secara tidak langsung memberi pengajaran setelah dinasihati pun masih berdegil. Pengasingan seperti ini dilakukan agar isteri berasa dirinya terabai, maka dia akan meminta kemaafan daripada suaminya.
 
Ketiga, ALLAH membenarkan suami memukul isteri sekiranya  masih tidak berubah setelah dinasihati dan diasingkan tempat tidur. Namun perlu diingat, pukulan itu bukanlah sehingga menyakitkan , tetapi pukulan ringan bertujuan mengajar.
 
 

* Oleh Muhamad Amiro Safwan Mohd Kamil [ Penyunting Al-quran Jabatan Penerbitan Al-quran, Kumpulan Media Karangkraf ]
No comments

Tuesday 28 January 2014

Abu Lahab mati ditangan seorang wanita

Siapa tidak kenal Abu Lahab ? Namanya diabadikan Allah dalam Quran ketika dia bersama isterinya dihumban ke dalam api neraka. Akan tetapi, ramai diantara kita yang tidak mengetahui bagaimana matinya seorang musuh Allah bernama Abu Lahab ini. Seorang pembesar bangsa Quraisy yang juga salah seorang bapa saudara Nabi kita yang mulia Muhammad shallallahu alaihi wa sallam.
 
Penyebab kematian Abu Lahab adalah sebuah pukulan yang dilakukan oleh seorang shahabiyyah yang mulia. Beliau adalah Lubabah Al-Kubra yang dikenali dengan panggilan Ummu Fadl binti Al-Harits radhiyallahu anha. Wanita yang juga menjadi saudara kandung Sayyidah Maimunah binti Al-Harits radhiyallahu anha .
Ummu Fadl tercatat sebagai wanita kedua yang masuk Islam setelah Ummul Mu'minin Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu anha. Ummu Fadl juga adalah seorang isteri dari sahabat dari Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam iaitu Al-Abbas ibn Abdil Muththalib radhiyallahu anhu.
 
Rasulullah sendiri sering mengunjunginya dan berehat pada siang hari di rumahnya. Keluarga mulia ini juga termasuk salah satu tempat bersandar Rasulullah pada masa sukar. Lain pula dengan Ummu Jamil iaitu isteri Abu Lahab. Meskipun nama jamil terlekat dinamanya , namun perangai dan tingkah lakunya jauh dari keindahan. Sebagai isteri Abu Lahab, Ummu Jamil adalah wanita yang aktif memusuhi dan memerangi Islam.
 
Ummu Fadl, bersama suami dan anak-anaknya bersepakat untuk menyembunyikan keIslaman mereka kerana bimbang dengan kejahatan kaumnya. Namun Allah berkehendak lain, Al- Abbas ditawan oleh kaum muslimin saat Perang Badar.
 
Keadaan kaum muslimin yang belum mengetahui perihal keislamannya sedikit sebanyak menyulitkan Rasulullah. Beliau menebus Al-Abbas seperti orang musyrik yang lainnya. Taktik ini dilakukan agar rahsia keIslaman Al Abbas tetap tidak terbongkar oleh orang-orang Quraisy.
 
Ummu Fadl pun melihat kemarahan orang-orang kafir termasuk iparnya, Abu Lahab. Kekalahan kaum kafir dalam Perang Badar sangat menguris hati Abu Lahab. Ummu Fadl pun memperingatkan ke empat anak-anaknya agar tidak menunjukkan raut wajah bahagia sehingga keislaman mereka tetap tidak bocor ke telinga kaum Quraisy.
 
Namun berlaku kejadian yang merubah segalanya. Hal ini bermula ketika Ummu Fadl beserta seorang budaknya bernama Abu Rafi turut mendengarkan perbincangan di hujung rumahnya antara iparnya, Abu Lahab dan anak saudaranya Abu Sufyan Ibnul Harits .
 
Saat itu, Abu Sufyan menceritakan kepada Abu Lahab bagaimana kaumnya kalah melawan kaum muslimin. Abu Lahab pun hanya boleh marah-marah dan melontarkan sumpah serapah atas kenyataan itu. Sebaliknya, di hujung rumah, Ummu Fadl sangat suka atas apa yang didengarnya.
 
Abu Sufyan berkata, "Demi Allah, walau demikian aku tidak akan menyalahkan mereka kerana kami menghadapi manusia-manusia putih berkuda putih diantara langit dan bumi dan tidak ada yang mampu mengalahkan mereka. "
 
Tentu saja Ummu Fadl merasa bahagia mendengarnya , akan tetapi Abu Rafi ` tidak lagi mampu menahan rasa bahagianya hingga kemudian dia berteriak ," Demi Allah, itu adalah para Malaikat ! "
 
Mendengar teriakan itu, Abu Lahab bangkit. Dengan rasa marah, dia lantas menghampiri Abu Rafi lalu memukulnya secara keras. Tersentak melihat budak itu dipukul, Ummu Fadl menjadi lupa untuk menyembunyikan keislamannya. Wanita mulia ini kemudian mencabut sebuah tiang yang ada di rumahnya dan dengan jiwa yang berani lau memukul kepala Abu Lahab lalu berkata, " Beraninya kamu memukul Abu Rafi ketika tidak ada penjaganya" .
 
Apa yang terjadi? Kepala Abu Lahab cedera teruk. Rambutnya dibasahi darah dari belantan yang dilayangkan Ummu Fadl. Abu Lahab pun kemudian meninggalkan rumah saudaranya, Al- Abbas. Selepas tujuh malam, luka tersebut semakin parah dan bekas pukulan itu menembusi sehingga otak menyebabkan kerosakan.
 
Orang-orang di sekitar mula menjauhi Abu Lahab. Para warga mencium bau tidak sedap yang keluar dari luka Abu Lahab. Mereka juga bimbang luka Abu Lahab dapat menular kepada mereka.
 
Abu Lahab pun akhirnya hidup bersendirian. Dia mengerang kesakitan tanpa ada yang membantu. Isterinya, Ummu Jamil ( hammalatul hathab ) yang sepatutnya berada di sebelahnya pergi bersama anak-anaknya meninggalkan Abu Lahab bersendirian. Akhirnya Abu Lahab mati.
 
Selepas tiga hari, jasad Abu Lahab terbiar tanpa ada yang mahu menguburkan. Mereka tidak berani mendekati jasadnya. Akhirnya kerana bau busuk yang kian teruk, maka digali sebuah lubang kubur bagi Abu Lahab. Bangkai Abu Lahab ditolak dengan sebilah kayu sehingga masuk lubang kubur.
 
Dari jauh meraka melemparkan batu ke atas kubur Abu Lahab sehingga mereka yakin jasadnya telah tertutup rapat.
 

Ia sebuah tragedi kematian yang lebih hina dari kematian seekor ayam sekalipun .
 
Itulah akhir hayat yang dialami oleh manusia yang sombong kepada Allah dan menolak ajaran NabiNya shallaallahu alaihi wa sallam.
 
 
 

* Sumber dari Detik Islam yang diterjemahkan dari sumber islampos.com
 
No comments

Kisah Nabi Muhammad SAW dan kanak-kanak

RASULULLAH senang bermain-main (menghibur) dengan anak-anak dan kadang-kala baginda memangku mereka.

Baginda pernah menyuruh Abdullah, Ubaidillah dan anak anak lain untuk berbaris lalu berkata, "siapa terlebih dahulu sampai kepadaku akan ku beri sesuatu (hadiah). Mereka pun berlumba-lumba menuju ke arah baginda, kemudian anak-anak itu duduk di pangkuannya lalu Rasulullah menciumi mereka dan memeluknya".
 

Ketika Jaafar bin Abu Tholib, terbunuh dalam peperangan, Rasulullah, sangat bersedih. Baginda segera datang ke rumah Jaafar dan bertemu isterinya Asma bin Umais yang sedang membuat roti, memandikan anak-anaknya dan memakaikan baju.
Baginda berkata, "kemarilah anak-anak Jaafar", ketika anak-anak itu datang kepadanya, beliau menciuminya sambil menitiskan air mata.
 
Lalu Asma bertanya kepada baginda mengapa, 'wahai Rasulullah, mengapa anda menangis? Apakah ada berita dukacita tentang suamiku Jaafar dan sahabatnya?'
Baginda menjawab, 'ya benar, mereka di timpa musibah'. Air mata baginda mengalir deras.
 
Asma pun menangis sehingga wanita sekeliling rumahnya berkumpul dan mengerumuninya. Kemudian Rasulullah bersabda, 'janganlah kalian melupakan keluarga Jaafar, buatlah makanan untuk mereka kerana keluarga ini dalam musibah akibat kematian Jaafar'.
 

Al-Aqraa bin Harits
melihat Rasulullah mencium Al-Hasan lalu berkata, "wahai Rasulullah, aku mempunyai sepuluh anak, tetapi aku belum pernah mencium mereka".
Rasulullah bersabda, "aku tidak akan mengangkat engkau sebagai seorang pemimpin apabila ALLAH mencabut rasa kasih sayang dari hatimu. Barang siapa tidak memiliki rasa kasih sayang, nescaya dia tidak akan disayangi".
 

Seorang anak kecil dibawa kepada Rasulullah untuk didoakan, dimohonkan berakah dan diberi nama. Anak-anak tersebut dipangku oleh baginda. Tiba-tiba anak itu kencing, lalu orang-orang yang melihatnya berteriak.
 
Baginda berkata, "jangan diputuskan anak yang sedang kencing, biarkanlah dia selesaikan kencingnya".
 
Selepas itu, beliau berdoa dan memberi nama lalu membisiki kepada ibu bapa anak itu supaya tidak menyimpan sangkaan buruk. Ketika pasangan itu berlalu, baginda mencuci sendiri pakaian yang terkena kencing tadi.
 

Ummu Kholid binti Khoid bin Saad Al- Amawiyah berkata, aku dan ayahku menghadap Rasulullah dan bermain dengan cincin baginda, ayahku memarahiku tetapi Rasullulah berkata, "biarkanlah dia".
 
Kemudian baginda berkata kepadaku, bermainlah sepuas hatimu, nak!'
 

Ketika Rasulullah bersolat, baginda meletakkan Umamah binti Zainab di lehernya. Tatkala baginda sujud, Umamah diletakkannya di sebelah apabila baginda kembali berdiri diletakannya semula Ummamah dileher. Umamah adalah anak Abu Ash bin Rabigh bin Abdusysyam.
 
 
 
No comments

Monday 27 January 2014

Subuh menyingkap tabir rezeki

"...KEMUDIAN setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia ALLAH, serta ingatlah akan ALLAH sebanyak-banyaknya (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah:10)
Firman ALLAH SWT di atas, menunjukkan Islam mengambil berat akan kecergasan dan semangat untuk memulakan aktiviti pada awal pagi.
 
Setiap hari kita pasti akan memulakan kehidupan dengan waktu pagi. Waktu pagi adalah waktu yang istimewa.
 
Pada waktu pagi inilah kita berasa segar dan bersemangat. Pada waktu pagi ini juga sering dikaitkan dengan optimis dan harapan.
 
Pagi sering dikaitkan dengan kejayaan sehingga pepatah Barat ada yang berbunyi, The early bird catches the worm yang membawa maksud burung yang terbang di pagi harilah yang berjaya menangkap cacing.
 
Benarlah, kejayaan tercipta jika kita mampu merancang hidup kita seawal pagi.
 
Kejayaan tidak menunggu kita tetapi kitalah yang harus mengejar kejayaan. Perancangan seawal pagi mampu menjadikan kita seorang insan yang mampu merancang sepanjang kehidupannya. Jika kita dapat lihat, ramai orang yang berjaya tidak mensia-siakan waktu paginya. Mereka merancang dan menggunakan sebaiknya waktu yang istimewa ini.
 
Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan merupakan kejayaan." (Riwayat Tabarani dalam al-Awsath)
 

* Sebahagian Artikel ini dipetik dari Sinar Harian, 24 Januari 2014
 
 
No comments

Walau Sehebat Mana Kita

Seseorang yang terukir senyuman manis di wajahnya di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian hatinya terukir dengan kedukaan dan kesedihan
 
Seseorang yang hilai tawanya menceriakan dan menghiburkan di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian ia menangis keseorangan memuntahkan segala penderitaan yang menyiksakan
 
Seseorang yang lidahnya petah berbicara meriuhkan keadaan di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian lidahnya sepi membisu membungkam kesepian
 
Seseorang yang sentiasa memberi kata-kata semangat di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian dia juga mencari punca menyuntik semangat dan keyakinan
 
Seseorang yang kelihatan begitu gigih dan sabar di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian ia acap kali terjelepok jatuh tersembam ke bumi dalam mengumpul kekuatan 
 
Seseorang yang meringankan tangan membelanjakan wang sakunya di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian dia akan mengikat perut  menyimpan perbelanjaan diri untuk kehidupan
 
Seseorang yang begitu rasional dalam berdepan sebarang keadaan  di hadapanmu
Sesungguhnya saat  ia bersendirian adakalanya emosi mengatasinya di dalam membuat sebarang keputusan
 
Seseorang yang memberikan segala kudrat tenaga untuk memudahkan urusan harianmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian sering kali jasadnya mengeluh dan mengadu kesakitan
Demikianlah kita
Walau sehebat mana di hadapan manusia
Saat kita bersendirian
Kita juga perlukan sokongan
Saat kita memberi harapan
Hakikatnya kita juga inginkan dorongan
Saat kita keseorangan
Kita juga inginkan kekuatan
Kerana kita hanyalah manusia biasa
Punya kekurangan dan kelemahan
Walau sehebat mana kita
Kita perlukan Tuhan!
 


From: Daniena Hakimi
Sent: Friday, November 30, 2012 2:28 PM
Subject: [Mahligai] Walau Sehebat Mana Kita

No comments

Sunday 26 January 2014

Antara 10 Kisah Sifat-Sifat Kasih Sayang Rasulullah S.A.W

Kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.
  1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.
  2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.
  3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, "Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?" Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, "Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi."
  4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, "Ke mana perginya si polan si polan itu…"
  5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya."
  6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, "Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…" Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.
  7. Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, "Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya." Malaikat menjawab: "Tuan benar." Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk Thaif: "Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui."
  8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.
  9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa. Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.
  10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, "Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dan tanganku?" Rasulullah SAW spontan menjawab, "ALLAH!" Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan. Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, "Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?" Da`thur tergamam dan menjawab, "Tiada siapa." Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk Islam).
 
WALLAHUALAM
 
No comments

Friday 24 January 2014

Apabila Mimpi Dan Ilham Menjadi Hujah

APABILA MIMPI DAN ILHAM MENJADI HUJAH
Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Saya tertarik membaca kenyataan seseorang –tidak pasti samada sarcastic ataupun jujur- yang menyatakan sesiapa yang pergi menziarah kubur Rasulullah s.a.w di Madinah sekarang, baginda tiada di sana. Baginda sibuk hadir dalam majlis-majlis anjuran ustaz-ustaz di Malaysia.

Saya tidak pasti kenapa dia berkata begitu. Namun apa yang saya pasti saya mendengar banyak pihak dengan mudahnya kebelakangan ini mendakwa Nabi s.a.w yang mulia itu hadir dalam majlis ini dan itu anjuran mereka. Ada yang mendakwa Nabi s.a.w mengiringinya ke meja kuliahnya. Ada yang mendakwa dia nampak Nabi s.a.w sedangkan orang lain tidak nampak. Dunia facebook pun meriah dengan cerita-cerita ini.

Ada yang cuba membuktikan kebenaran aliran yang dibawanya, ataupun tarekatnya, ataupun kelebihan majlisnya dengan kehadiran Nabi s.a.w yang hanya dapat dilihat oleh beberapa orang tertentu sahaja. Hal yang sama pernah didakwa oleh Ashaari al-Arqam dahulu. Bahkan beliau cuba membuktikan kebenarannya itu dengan pelbagai cara, termasuk mimpi tokoh itu dan ini yang membuktikan kesahihan ajaran yang dibawa olehnya.


Bukan Hujah

Dalam Islam, kebenaran itu dibuktikan oleh dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah. Segala keputusan ijmak dan kesimpulan qias berjalan berteraskan dua sumber utama itu. Penghujahan berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dapat difahami dan dikongsi oleh pihak yang mendengar, yang bersetuju ataupun yang membantah kesimpulan yang dibuat. Namun jika hujah itu berteraskan mimpi ataupun ilham ataupun kasyaf, siapa yang boleh berkongsi perkara yang tidak dilihat oleh orang lain.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

"Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi". (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Jika diandaikan mimpi dan ilham itu benar-benar terjadi, siapakah pula yang dapat memastikan itu semua daripada Tuhan, bukan pula bisikan syaitan?! Jika mimpi dan ilham itu oleh para Nabi s.a.w tentu tidak dipertikaikan. Adapun berhujah dengan alasan mimpi orang biasa yang terdedah kepada cakap benar dan bohong, ataupun ditipu oleh syaitan, maka itu bukan bukti kebenaran sesuatu perkara.

Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili:

"Adapun ilham, ada kemungkinan ianya daripada Allah, kemungkinan juga ianya daripada syaitan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah: (terjemahannya): dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu. (Surah al-An`am: 121)."

Katanya lagi:

"Kemungkinan juga ianya adalah bisikan atau percakapan dalam dirinya. Ini seperti yang nyatakan oleh firman Allah : (terjemahannya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh dirinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Surah al-Qaf: 16).

Sambungnya lagi:

"Dengan kemungkinan-kemungkinan ini, ilham tidak boleh menjadi hujah. Berkaitan dengan ini, maka pendapat sebahagian sufi bahawa ilham atau kasyaf adalah hujah yang wajib beramal dengannya di dalam hukum-hakam syarak adalah sesuatu yang batil". ( Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 2/924-925, Beirut: Dar al-Fikr)


Lemah

Tokoh ilmuwan terbilang, pakar Maqasid Syariah yang hebat iaitu al-Imam al-Syatibi (w. 790H) :

"Selemah-lemah hujah mereka ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: "Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini". Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: "Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini". Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan". (Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198. Beirut: Dar al-Kitab)

Saya sangat suka dengan komentar Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam hal ini. Katanya:

"Di kalangan mereka ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan dia telah lama mati. Lalu dia berkata: "Akulah si fulan". Mungkin juga dia berkata : "Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…". Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak mengetahui dan berkata : "Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan". Kadang kala syaitan berkata : "Aku Abu Bakr, Umar…" Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : "Aku al-Masih (Isa)" , atau "aku Musa" atau "aku Muhammad".

Aku (Ibn Taimiyyah) tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka'bah, dia berkata: "Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)". Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi S.A.W keluar daripada kubur baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menjadikan ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya".

Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi S.A.W, lalu Ibn Taimiyyah menyebut:

"Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (w. 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: "Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (mereka yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi S.A.W (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah (selepas Nabi s.a.w wafat) telah bercanggah pendapat dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi S.A.W. dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda (isu tanah Fadak dengan Abu Bakar al-Siddiq), adakah beliau bertanya Nabi S.A.W dan baginda menjawabnya". ( Ibn Taimiyyah, Majmu' al-Fatawa, 5/399. Riyadh: Maktab al-`Abikan)


Lebih Mulia?

Malangnya ini yang dipercayai oleh sesetengah pihak, sehingga mereka percaya ada tokoh tertentu boleh berjumpa Nabi S.A.W bila-bila masa sahaja yang mereka mahu. Kita tahu bahawa selepas kewafatan baginda S.A.W. telah berlaku pertelingkahan di kalangan sahabah terutama dalam isu pembunuhan `Uthman bin `Affan r.a., sehingga membawa perang Jamal dan Siffin. Tiada siapa di kalangan sahabah yang mendakwa mereka akan merujuk perkara ini kepada Nabi S.A.W di kubur baginda, atau memanggil roh baginda. Bahkan mereka kebanyakannya amat keliru dengan keadaan ketika itu. Kata al-Nawawi (w. 676H):

"Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Haqq ialah berbaik sangka terhadap para sahabah. Tidak mencampuri pertelingkahan yang berlaku antara mereka. Ahl al-Sunnah mentakwilkan peperangan antara para sahabah dengan menganggap bahawa mereka adalah mujtahidin yang membuat takwilan bukan berniat untuk bermaksiat atau semata-mata kerana dunia. Bahkan setiap golongan sahabah telah beritiqad bahawa merekalah yang benar, sesiapa yang menentang mereka adalah melampau dan wajib diperangi agar kembali kepada perintah Allah..". Tambahnya lagi: "Isu-isu ketika itu mengelirukan sehinggakan kebanyakan sahabah merasa bingung dengannya lalu mengambil keputusan meninggalkan kedua-dua golongan dan tidak berperang serta tidak berkeyakinan tentang siapa yang benar". ( Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim 18/339. Beirut: Dar al-Khair)

Demikian juga apabila Abu Bakr dan `Umar berselisih pendapat mengenai mereka yang enggan membayar zakat di zaman pemerintahan Abi Bakr, tiada seorang dari kalangan mereka berdua yang menyatakan: "Mari kita bertanya RasululLah!!. Ada sesiapa yang lebih afdhal daripada Abu Bakr dan `Umar?!!!.

 


* Diambil dari Blog Minda Tajdid, 23 Januari 2014

No comments

Ekonomi Islam vs Ekonomi Kapitalis

"Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api"
(Riwayat Abu Daud & Ahmad)
HARI ini, harga barangan keperluan yang menjadi kegunaan seharian masyarakat di negara kita melambung tinggi sehingga boleh dikatakan masyarakat terbeban dengan situasi ini.
 
Ternyata kita gagal mencapai keseimbangan ekonomi dan merapatkan jurang antara kaya dan miskin, malah ia semakin membesar. Kegagalan ini hakikatnya adalah hasil daripada sistem kapitalisme yang penuh dengan kepincangan dan kesalahan. Sistem ciptaan manusia ini ternyata gagal memberi kesejahteraan kepada umat, malah jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
Ekonomi Islam itu menyeluruh
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman, berkata sistem ekonomi Islam adalah mengikut panduan daripada ALLAH Yang Maha Mengetahui. Ia merangkumi seluruh aspek aktiviti perekonomian manusia.
 
"Namun, sebahagian besar daripada kita hanya mengaitkan sistem ekonomi Islam dengan zakat.
 
Bahkan tidak kurang juga ada, atas sebab kejahilan, yang berpandangan, bagaimana mungkin zakat (yang dalam pandangan mereka adalah sistem ekonomi Islam) yang hanya 2.5 peratus itu dapat bertindak sebagai pemacu perkembangan ekonomi umat?
 
"Harus difahami sistem ekonomi Islam bukanlah hanya zakat, bahkan meliputi seluruh aktiviti, ekonomi termasuk pengaturan pemilikan dan pengelolaan serta pengagihan kekayaan yang jelas dan manusiawi.
 
Setiap negara Islam, termasuk kafir zimmi memperoleh hak asasi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tidak akan ada diskriminasi dan pilih kasih. Perintah ALLAH SWT diterapkan sepenuhnya demi memperoleh keredaan-Nya," katanya kepada Halaqah.
 
Menurutnya, sesungguhnya kesejahteraan umat sudah pasti terlaksana jika Islam ditegakkan di tengah kehidupan. Terlalu banyak contoh yang boleh dilihat di sepanjang sejarah kekhilafahan Islam bagaimana penerapan sistem ekonomi Islam menjadikan rakyat hidup dengan penuh kesejahteraan.
 
Tidak akan dapat dilihat kebaikan hakiki tanpa Islam dan tidak akan dapat dirasai Islam secara syumul tanpa penerapannya yang kaffah.
 
Dimonopoli  syarikat gergasi
Pernah berlaku suatu ketika di mana terdapat sejumlah penduduk di Afrika mengalami kebuluran yang serius, pada masa yang sama pengeluar gandum di Amerika Syarikat terpaksa memusnahkan stok gandum mereka hanya semata-mata disebabkan berlakunya penurunan harga gandum di AS pada ketika itu.
 
Terdapat juga sesetengah pengeluar barangan tertentu dimonopoli sepenuhnya sesetengah syarikat gergasi dunia sehinggakan merekalah satu-satunya entiti yang mempunyai kuasa untuk menetapkan harga barangan tersebut.
 
Sekiranya terdapat pesaing lain yang berupaya untuk mengeluarkan produk yang mempunyai kualiti yang hampir sama, maka syarikat gergasi tersebut terpaksa menurunkan harga mereka dan mereka tidak lagi dapat menetapkan harga sewenang-wenangnya. 
Inilah sistem kapitalis yang sekali-kali tidak berupaya untuk menghasilkan sistem pengagihan yang cekap dalam mengagihkan barangan kepada seluruh penduduk dunia yang memerlukannya.
 
Disebabkan sistem kapitalis ini hanya mengutamakan keuntungan material tanpa mengira faktor kemanusiaan (humanitarian), maka kerosakan demi kerosakan terus dihasilkan oleh sistem ini saban hari.
 
Dunia pada hari ini memerlukan sistem ekonomi Islam yang benar  untuk menyelesaikan seluruh keperluan ekonomi manusia.
 
Halal dan dihalalkan
Ustaz Abdul Hakim berkata, asas kepada sistem ekonomi itu perlu dilihat dalam konteks Islam kerana ia meliputi persoalan kepemilikan, pengelolaan kepemilikan dan pengagihan kekayaan di tengah masyarakat.
 
"Jadikan isu kepemilikan sebagai contoh, banyak harta cuba diswastakan. Harta yang sewajibnya menjadi milik awam seperti minyak, air dan elektrik dihadiahkan kepada individu atas nama penswastaan.
 
"Praktik ini bertentangan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api" (Riwayat Abu Daud & Ahmad)
 
Kekayaan atau keuntungan yang diperoleh hasil kegiatan berasaskan riba dan judi sudah dianggap biasa dan mendarah daging bagi golongan  pemimpin yang mahukan kemewahan dan berkuasa.
 
Segelintir masyarakat hari ini semakin alpa dengan peringatan ALLAH dan rasul-Nya sedangkan dengan cukup tegas Rasulullah SAW melaknat golongan yang terlibat dengan riba," katanya.
 
Beliau menambah dengan menyarankan, dalam sistem ekonomi kapitalis yang ada pada hari ini, semua perkara berkenaan menjadi halal dan dihalalkan oleh pemerintah, jika ia membawa keuntungan kepada mereka tanpa melihat pertimbangan dosa dan pahala serta syurga dan neraka.
 
Untuk itu sebagai seorang Muslim sewajarnya tidak melihat hanya kepada persoalan kesejahteraan semata-mata dengan mengetepikan persoalan reda dan murka ALLAH, sebaliknya renungkanlah dengan sedalam penelitian.
 
 

* Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA, Sinar Harian, 24 Januari 2014
No comments

Kisah Durrah Binti Abu Lahab

 
Tidak banyak kisah yang diketahui tentang dirinya sebelum memeluk islam. Setelah memeluk islam dan berhijrah, Durrah termasuk dalam golongan sahabat wanita yang begitu mulia akhlaknya.
 
Berbicara tentang Durrah binti Abul Lahab , Imam az-Zahabi mengatakan terdapat satu hadis berkenaan dengannya al-Haris bin Naufal.
 
Ia adalah hadis yang sama yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam Isobah bahawa Durrah binti Abu Lahab ketika di Madinah semasa hijrah tiba di kampung Rafi bin al-Ma'la kemudian para wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepadanya, Celakalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan celaka .
 

" Justeru , buat apa lagi kamu berhijrah?"
 
Mendengar kata-kata itu, Durrah binti Abu Lahab menemui Rasullulah saw dan menceritakan apa yang dialaminya.
 
Kemudian Rasullulah saw berkata: "Duduklah!"
 
Tidak lama kemudian baginda solat Zuhur dan duduk di atas mimbar dan berkata:
"Wahai manusia sekalian, mengapa aku dicela dalam keluargaku? Demi Alah sesungguhnya syafaatku (pengampunan) akan diterima oleh keluargaku sehingga orang yang keras, lemah bahkan besar akan mendapatkannya pada hari kiamat."
Ad-Daruquthni meriwayatkan dalam kitabnya , bab Ukhwuah dan Ibnu Uday dalam al-Kamil dan Ibnu Mundih daripada Durrah binti Abu Lahab bahawa Rasullulah saw bersabda:
"Seseorang yang hidup itu tidak menanggung derita lantaran keburukan yang dilakukan oleh orang yang sudah mati."
Melalui riwayat di atas, kita hendaklah selalu menghormati orang yang sudah meninggal dunia meskipun orang tersebut sangat memusuhi kita.
 
 
* Cerita daripada sumber asal 100 tokoh wanita di sisi Rasullulah diolah semula blog mselim3
 
No comments

Thursday 23 January 2014

Ilmu itu cahaya, Islam galakan umatnya mencari

MELIHAT bait lirik di atas, pasti semua orang mahu menjadi insan yang berguna. Siapa yang mahu hatinya terus kosong tanpa diisi, terus-terusan dilihat jahil mengenai ilmu agama dan sebagainya. Sudah pasti kita mahu dilihat seorang yang tinggi ilmunya dan mampu berkongsi bersama orang lain.
Terapi jiwa
Sejak kebelakangan ini, kita sering melihat ramai dalam kalangan masyarakat kita mula mencari peluang untuk mengikuti kelas pengajian agama. Di mana sahaja ada kuliah, jika ada masa terluang pasti akan diisi oleh mereka yang dahagakan ilmu agama.
 
Menurut mereka, ia adalah salah satu terapi untuk memenuhi jiwa-jiwa yang kosong setelah seharian bekerja. Ada yang mengikuti secara formal di kelas dan ada juga yang hanya hadir di kuliah anjuran masjid berdekatan.
 
Dalam kehidupan seharian kita di dunia ini, kita dituntut untuk mempelajari pelbagai ilmu untuk memakmurkan dunia dan dalam masa yang sama kita dituntut untuk meluruskan niat ketika menuntut ilmu hanya kerana ALLAH SWT.
 
Kekuatan akal fikiran dan ilmu pengetahuan mampu mengatasi kekuatan lain yang ada pada diri manusia jika ia digunakan dengan betul. Kedua-dua aspek ini perlu diberi keutamaan untuk menjadikan negara kita sebuah negara yang maju bukan sahaja dari segi intelektual, malah dari sudut akhlak.
 
Budaya menuntut ilmu ini bermula sejak dari zaman Nabi Adam AS sehingga sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Ia adalah sebuah kesinambungan ilmu yang bermula sejak penciptaan Nabi ALLAH Adam sehingga kerasulan Baginda SAW dan diteruskan hingga kini. Peristiwa bersejarah penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira' juga adalah berkaitan dengan keilmuan.
 
Firman ALLAH bermaksud:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena dan tulisan. Dia yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al'Alaq: 1-5)
Ayat di atas menjelaskan Islam menyeru umatnya supaya berilmu dan mementingkan ilmu. Sejarah membuktikan keunggulan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada ketinggian ilmu masyarakatnya. Umat yang mementingkan ilmu pasti akan bangkit sebagai umat yang terulung di mata dunia. Benarlah segala seruan ALLAH dan rasul-Nya ilmu sangat penting dalam kehidupan.
 
Tuntutlah ilmu
Islam menggalakkan setiap manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Tiada halangan dalam menuntut ilmu. Kebendaan, kewangan, masa ataupun perkara berbentuk fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu halangan kepada kita untuk terus menuntut ilmu.
 
Hal ini kerana dalam agama Islam, menuntut ilmu adalah sebuah proses yang berterusan dan berpanjangan. Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tertinggi. Ini menunjukkan bahawa ilmu mampu membawa seseorang yang tinggi di sisi ALLAH dan masyarakat.
 
ALLAH berfirman dalam yang bermaksud,
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu diminta untuk memberi ruang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya ALLAH melapangkan (segala halnya) untuk kamu.
 
Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalanganmu. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu kerjakan." (Surah al Mujadalah: 11)
 
 
 
 

* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014
No comments

Siapa wajah-wajah ceria di Hari Kiamat?

Pada suatu ketika, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa jika hari kiamat telah tiba maka Allah SWT akan mengumpulkan suatu kaum yang wajahnya laksana bintang-bintang di angkasa. Dan para malaikat bertanya kepada mereka, " Apa amalan yang kalian kerjakan selama hidup di dunia? "
 
Mereka pun menjawab , "Setiap kali kami mendengar azan, segera kami bergegas mengambil air wudhu atau bersuci . "
 
Ada pula sekelompok orang yang wajahnya berseri-seri laksana rembulan yang memancarkan sinar yang terang. Para malaikat bertanya, " Apakah yang kalian kerjakan sewaktu hidup di dunia? "
 
Jawab mereka, "Kami selalu mempersiapkan diri untuk solat berjemaah. Sebelum azan dikumandangkan, kami telah berwudhu . "
 
Di samping itu, ada pula sekelompok orang yang wajahnya berseri-seri laksana matahari yang memancarkan cahaya terang benderang. Seperti biasa, para malaikat pun bertanya kepada mereka, "Amalan apa yang telah kalian lakukan selama hidup di dunia? "
 
Mereka menjawab, "Kami secara tekun mengikuti solat berjemaah. Setiap waktu solat tiba, kami telah siap di masjid, sebelum azan dikumandangkan.
 
 

*Diambil dari blog Detik Islam yang diterjemahkan dari sumber islampos.com
 
No comments

Halimah as-Saadiah Ibu Susuan Rasullulah Saw

Siapa yang berbicara tentang sejarah Rasullulah saw pasti akan menemui nama Halimah as-Saadiah yang terkenal dengan keperibadian mulia dan kelembutan hatinya.
 
Takdir Allah swt telah menentukan Halimah as-Saadiah menjadi ibu susuan Rasullulah saw yang datang bersama para wanita Bani Saad. Pada masa itu, tiada ada bayi yang disusui kecuali hanya cucu Abdul Mutalib yang yatim itu.
 
Halimah as-Saadiah berasal daripada keturunan Bani Asad bin Bakar Hawazin sampai pada garis keturunan Qais 'Ailan. Oleh kerana, kemuliaan akhlak serta kelembutannya, Halimah as-Saadiah dipilih oleh Abdul Mutalib untuk menyusukan kedua-dua cucunya iaitu Muhammad bin Abdullah dan Abu Sufyan bin Haris.
 
Selama 4 tahun, Rasullulah saw diasuh dan dididik oleh Halimah as-Saadiah dengan akhlak bangsa Arab yang berperibadi mulia, kebenaran dan kejujuran. Selain itu, ketika dibesarkan dalam kawasan pergunungan, tempat Halimah as-Saadiah tinggal Rasullulah saw dapat belajar bahasa Arab dengan fasih ini berbeza dengan bahasa Arab kota yang kadang kalah tidak fasih dan kasar.
 
Rasullulah saw juga dapat menikmati udara pergunungan yang nyaman sehinggakan tumbesaran badan Rasullulah saw adalah benar-benar sempurna. Ini antara hikmah mengapa Rasullulah saw disusukan oleh Halimah as-Saadiah yang tinggal jauh dari kota Mekah.
 
Ketika Rasullulah berumur 5 tahun 1 bulan, Halimah as-Saadiah mengembalikan Rasullulah saw kepada keluarganya setelah dapat merasakan kurniaan Allah ketika mengasuh Rasullulah saw.
 
Cinta Rasullulah saw kepada Halimah begitu mendalam sehingga suatu hari seorang wanita datang memberitahu tentang kematian Halimah as-Saadiah. Baginda terus menangis setelah itu, wanita tersebut berkata : "Sesungguhnya saudara-saudara sesusuan memerlukanmu."
 
Baginda pergi menemui mereka , Baginda dan saudara-saudaranya merasakan belaian kasih sayang seorang ibu, yang lemah lembut. Kasih sayang Halimah as-Saadiah tentunya meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Baginda. Maka tidak hairanlah apabila mendengar berita kematian ibu susu Baginda ini , mengalir air mata Baginda Rasullulah saw.
 
Antara bentuk pergorbanan Rasullulah saw terhadap Halimah as-Saadiah adalah seperti disebutkan dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Abu Ya'la, dan daripada Imarah bin Tsauban , daripada Abu ath bahawa ketika Rasullulah saw sedang membahagikan daging di al-Ja'ranah, seorang wanita daripada suku Badwiah datang. Ketika wanita itu datang mendekati Rasullulah saw, Rasullulah membuka serbannya dan mempersilakan wanita itu duduk di atas serbannya.
 
Abu ath-Thufail bertanya : "Siapakah dia?"
 
Para sahabat yang lain menjawab , "Dialah wanita yang menyusukan Rasullulah saw." Orang yang dimaksudkan itu ialah Halimah as-Saadiah.
 
 

* Cerita daripada sumber asal 100 tokoh wanita di sisi Rasullulah diolah semula blog mselim3
 
No comments

Wednesday 22 January 2014

Taqwa

Saidina Ali ra mentakrifkan taqwa dengan empat perkara;
  1. Al-khauf min al-Jalil - Takut kepada Allah SWT
  2. Al-'amal bi al-tanzil – Beramal dengan wahyu yang di turunkan ( Al-Quran dan sunah Nabi saw )
  3. Al-ridha bi al-qalil - Redha dengan sedikit yang dimiliki
  4. Al-isti'dad li yaum al-rahil – Bersedia untuk hari kematian
No comments

Tuesday 21 January 2014

20 Fakta Menarik Tentang Islam

Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang Islam yang saya petik dari beberapa senarai di intenet.
  1. Tahukah Anda? Ternyata Nama yang Paling Banyak Diguna di Dunia adalah "Muhammad" disusuli dengan nama "Jack"
  2. Albania merupakan negara satu-satunya di benua Eropah yang 90% penduduknya beragama Islam
  3. Perkataan-perkataan berikut ini adalah berasal dari bahasa Arab : Algebra, Zero, Cotton, Sofa, Rice, Candy, Safron, Balcony, bahkan `Alcohol' juga berasal dari bahasa Arab, Al-Kuhl, yang mempunyai erti "bubuk" yang kemudiannya diserap ke dalam bahasa Inggeris.
  4. Beberapa ayat di dalam Al-Qur'an menggambarkan pentingnya persamaan hak antara lelaki dan wanita (secara perhitungan matematik). Kata "Lelaki" dan "Wanita" di dalam Al-Qur'an sama-sama berjumlah 24. clik sini untuk melihat persamaan matematik yang lain
  5. Islam merupakan agama yang pertumbuhannya paling cepat di dunia menurut banyak sumber, dijangkakan akan menjadi agama nombor 1 di dunia pada tahun 2030. lihat video disini
  6. Jikalau sekarang Al-Qur'an dihancurkan, maka versi arab dari Al-Qur'an akan segera direcover oleh jutaan muslim, yang disebut "Huffaz" yang telah menghafalkan kata-kata di dalam Al-Qur'an dari mulai awal sampai dengan akhir ayat.
  7. Pemeluk Islam bertambah 2,9% per tahun. Pertumbuhan ini lebih cepat dibandingkan dengan pertumbuhan jumlah penduduk bumi sendiri yang hanya 2,3% per tahun.
  8. Berdasarkan data dari Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat. Dianggarkan seramai 15,000 orang yang beragama Islam berkhidmat dalam US Militari ( Stats 1997).
  9. Seramai 8 juta orang Muslim yang kini ada di AS dan 20.000 orang AS masuk Islam setiap tahun setelah peristiwa 9/11. klik untuk lihat video
  10. Jasad Nabi Muhammad pernah ingin dicuri 2 kali, namun kedua-duanya gagal dan salah satu yang mencuri dihilangkan oleh Allah dari bumi
  11. Al Qur'an adalah satu-satunya kitab suci yang boleh dihafal jutaan manusia (Hafidz/penghafal Al Qur'an) sehingga keaslian/kesuciannya selalu terjaga.
  12. Jika agama lain mempunyai lebih dari 4 versi kitab suci yang berbeza satu dengan lainnya, maka Al Qur'an hanya ada satu dan tak ada pertentangan di dalamnya
  13. Para astronaut telah menemukan bahawa planet Bumi itu mengeluarkan semacam radiasi yang berpusat di kota Mekah, tepatnya berasal dari Ka'Bah. Yang mengejutkan adalah radiasi tersebut bersifat infiniti (tidak berakhir), radiasi tersebut menembus planet mars dan masih berlanjutan. Peneliti mempercayai bahawa radiasi ini memiliki karakteristik dan menghubungkan antara Ka'Bah di di planet Bumi dengan Ka'bah di alam akhirat. artikel lanjut di sini
  14. Kata-kata terakhir Nabi Muhammad sebelum wafat adalah "Ummatii … ummatii …ummatii" yang mengungkapkan betapa besar cinta Baginda kepada umatnya.
  15. Solat yang pertama dilakukan oleh Rasulallah Saw menghadap Masjidil Haram adalah solat Asar bersama para sahabat, setelah sebelumnya berkiblat ke Masjidil Baitul Maqdis selama 16 bulan.
  16. Sebanyak 23 kali perang semasa Rasulullah memimpin, hanya sekali kekalahan yang di derita kaum muslimin, yakni, perang uhud.
  17. Musa A.S adalah nama yang paling sering disebut dalam Al-Qur'an, sedangkan Maryam adalah satu-satunya nama perempuan yang disebut dalam Al-Qur'an.
  18. Semua anak Nabi Muhammad, yakni, Al-Qasim, Abdullah dan Ibrahim, meninggal kurang lebih pada usia 2 tahun. Allah sengaja memanggil mereka lebih awal agar kaum muslimin tidak mengangkat mereka menjadi rasul yang baru.
  19. Hajar Aswad itu diturunkan dari syurga, warnanya lebih putih daripada susu, dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.
  20. Al Khawarizmi (matematik), Jabir Ibn Hayyan (kimia), Ibnu Khaldun (sosiologi dan sejarah), Ibnu Sina (kedoktoran), Ar Razi (kedoktoran), Al Biruni (fizik), Ibnu Batutah (antropologi) adalah contoh dari ratusan cendikiawan muslim yang menjadi rujukan dalam ilmu pengetahuan moden.
 
 
 

* Sumber 1 & 2
 
No comments

TG Haron Din Tangkap Buaya 15 Kaki Panjang!

Gambar TG Guru Dato' Dr Haron Din bersama ahli-ahli Darul Syifa' Brunei yang telah berjaya menangkap buaya yang berukuran 15 kaki panjang di Lagoon Kampung Pandan Kuala Belait. Hebat! 
 
 
 
 

* Sumber dari RFM2U.blogspot.com
 
No comments

Monday 20 January 2014

Cintai Nabi dengan ikuti sunnahnya

Amalkan gaya hidup dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
MENCINTAI Nabi SAW tidak cukup sekadar dengan pengakuan semata-mata, sebaliknya hendaklah ia direalisasikan seperti apa disabdakan oleh Baginda,
"Tidaklah salah seorang kalian beriman sehingga aku lebih dia cintai daripada anaknya, ibu bapanya, dan seluruh manusia." (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Untuk kita membela agama yang dibawa oleh Nabi, kita hendaklah mencintai Baginda lebih daripada diri sendiri dan kecintaan itu hendaklah diterjemahkan dengan tindakan. Cinta seperti inilah yang  mengisi hati sahabat Baginda SAW.
 
Cinta sejati
Abu Bakar Al-Siddiq RA berkata,
"Wahai Rasulullah, demi ALLAH sesungguhnya aku lebih mencintaimu daripada keluargaku. Sesungguhnya aku lebih mencintaimu daripada anakku. Ketika aku berada di rumah, aku teringat dirimu, aku tidak mampu sehingga aku datang bertemu denganmu lalu aku melihatmu.
 
Namun ketika aku teringat kematianku dan kematianmu, aku mengetahui bila engkau masuk syurga engkau berada di kedudukan golongan Nabi, dan bila aku masuk syurga, aku tidak dapat melihatmu." (Riwayat Hasan, Al-Thabarani)
Nabi tidak menjawab sehingga turun ayat,
"Barang siapa mentaati ALLAH dan Rasul, maka mereka bersama orang yang telah diberi nikmat oleh ALLAH daripada kalangan para Nabi, siddiqin, syuhada,  dan solehin." (Surah al-Nisa: 69)

Umar bin Al-Khatthab RA
berkata,
"Dahulu aku mempunyai seorang jiran Ansar daripada Bani Umayyah bin Zaid, sebuah kabilah yang bermukim di dataran tinggi kota Madinah. Kami berdua bergilir-gilir mengunjungi Rasulullah SAW. Jika hari ini dia turun maka esoknya aku yang turun.
 
Selesai menemui Rasulullah SAW, aku khabarkan kepadanya apa yang disampaikan Rasulullah pada hari itu, baik berupa wahyu atau lainnya. Demikian juga halnya kalau dia yang turun, dia melakukan hal sama.
 
Sebagai lelaki Quraisy, kami orang yang memiliki penguasaan terhadap isteri-isteri kami. Tetapi setiba kami di Madinah, kami dapati orang Ansar adalah orang yang kalah oleh isteri-isteri mereka. Akibatnya isteri-isteri kami mula terpengaruh dengan tabiat wanita Ansar.
 
Pernah satu ketika aku membentak isteriku, tapi dia membantah. Aku jadi berang bila dia berani membantahku. Isteriku berkata, "Mengapa kamu marah atas sikapku, padahal isteri-isteri Nabi SAW juga membantah Baginda SAW? Bahkan ada antara mereka yang meninggalkan Baginda SAW seharian hingga malam."
 
Aku menyinsing pakaianku dan menuju rumah Hafsah. Setiba aku di rumahnya, aku berkata: "Wahai Hafsah, benarkah ada di antara kalian yang membuat Rasulullah SAW kesal seharian hingga malam?"
 
"Benar" jawabnya.
 
"Alangkah ruginya kamu. Apa kamu berasa aman daripada murka ALLAH setelah kamu membuat kesal RasulNya, hingga boleh jadi kamu celaka kerananya? Jangan meminta kepada Nabi SAW dan jangan sekali-kali membantah atau meninggalkannya. Mintalah kepadaku apa yang kamu inginkan dan jangan kamu terpengaruh madumu kerana dia lebih cantik dan lebih dicintai Rasulullah SAW".
 
Pada ketika itu warga Madinah sedang membicarakan Raja Ghassan sedang menyiapkan pasukan berkuda untuk menyerang Madinah. Ketika itu, tiba giliran jiranku orang Ansar itu untuk turun menemui Rasulullah SAW. Petangnya, dia mendatangiku dengan tergesa-gesa dan mengetuk pintu rumahku dengan kuat. Dia berkata, "Ada perkara besar yang baru terjadi!"
 
Aku bertanya, "Adakah pasukan Ghassan telah tiba?"
 
Jawabnya, "Jauh lebih besar dan lebih ngeri dari itu. Nabi SAW telah menceraikan isteri-isterinya!"
 
Aku bergumam, "Alangkah rugi si Hafsah kalau begitu."
 
(Riwayat Al-Bukhari)
Terlalu banyak lagi jika hendak diceritakan, tapi lihatlah bagaimana sikap golongan sahabat yang lebih mementingkan Rasulullah atas diri dan keluarga, sehingga bagi mereka, serangan pasukan Raja Ghassan lebih kecil jika dibanding apa yang terjadi dengan rumah tangga Nabi.
 
Abu Sufyan ra berkata,
"Aku tidak melihat seorang pun manusia yang mencintai manusia seperti kecintaan sahabat Muhammad kepada Muhammad." (Sirah Ibn Hisyam)
Cinta yang sejati lagi ikhlas terhadap Nabi akan terzahir dalam akhlak, amalan, tingkah laku dalam kehidupan, bahkan akan mendorong seseorang itu menolong agama yang dibawa oleh kekasihnya.
 
Bagaimana kita menolong agama yang dibawa oleh Nabi? Antaranya adalah dengan mengikuti, menyebarkan dan mempertahankan Sunnah Baginda.
 
Sesungguhnya syarat agar ALLAH mencintai seseorang hamba adalah dengan dia mengikuti Sunnah Nabi dan menjauhi bidaah. Ini sebagaimana firman ALLAH:
"Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya kamu mencintai ALLAH maka ikutilah aku nescaya ALLAH akan mencintai kamu." (Surah Ali Imran: 31)
 
Perayaan Maulid Nabi
ALLAH menetapkan syarat mengikuti Nabi SAW untuk ALLAH cinta kepada kita. Soal kita mencintai Nabi, itu tidak ada maknanya jika amalan kita menyelisihi amalan Nabi. Apa yang lebih penting adalah kita mengikuti ajaran Baginda, barulah ALLAH membalas cinta kita. Firman ALLAH:
"Barang siapa menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya dan mengikuti selain jalan orang-orang beriman (para sahabat), nescaya Kami biarkan dia dalam kesesatan yang dilakukan itu." (Surah An-Nisa': 115)
Alangkah mendalam erti cinta terhadap Nabi yang diperlihatkan oleh Imam Darul Hijrah yakni Imam Malik rahimahullah ketika beliau berkata,
"Barang siapa yang melakukan bidaah dalam Islam yang dia lihat baik, maka dia telah menuduh Nabi Muhammad SAW telah mengkhianati risalah, kerana ALLAH telah berfirman, "Pada hari ini telah aku sempurnakan untukmu agama kamu" (Surah al-Maidah: 3), maka apa yang bukan agama pada hari itu, tidak akan menjadi bahagian agama pada hari ini." (Riwayat Imam Al-Syatibi dalam Al-I'tisam)
Tidak ada ulama salaf yang merayakan Maulid Nabi. Perayaan Maulid Nabi baharu muncul pada abad ke-4 hijriyah di Mesir, dimulakan oleh kerajaan Syiah Fathimiyah Mesir secara besar-besaran.
 
Selama 400 tahun sejak hijrahnya Nabi SAW, golongan Muslimin tidak mengenal perayaan Maulid Nabi. Jadi Maulid Nabi adalah suatu hal yang baharu dalam agama, kerana tidak ada satu pun generasi awal umat Islam mengerjakannya.
 
Ada yang mengatakan tidak mengapa kita meniru hal itu kerana ia dilihat baik. Namun baik buruk dalam urusan agama ini tidaklah diukur dengan sangkaan dan rasa-rasa. Ini kerana sekiranya hal itu benar-benar adalah kebaikan, ketahuilah dengan pasti generasi awal Islam dalam kalangan sahabat Nabi SAW adalah orang pertama yang akan melakukannya.
 
Malah ulama berselisih pendapat tentang tarikh kelahiran Nabi SAW. Namun apa yang sahih adalah Rabiulawal juga merupakan tarikh kewafatan Baginda SAW. Jadi umat Islam harus ingat ada kebarangkalian orang yang bergembira merayakan tarikh itu sebenarnya sedang bersenang-senang dengan kewafatan Nabi.
 
Boleh jadi dia bergembira dengan lahirnya Nabi SAW, dan boleh jadi dia bergembira dengan wafatnya Nabi kerana Nabi SAW wafat pada tarikh itu. Hal ini tidak mustahil kerana perayaan ini sendiri dimulakan oleh golongan Syiah, di samping mereka turut merayakan hari kelahiran ahlul bait.
 
Adapun beberapa ulama terkemudian yang berpendapat bolehnya sambutan maulid, mereka sekadar membolehkan dalam bentuk mengingati, dan tetap melarang segala acara bidaah dan maksiat yang dilakukan di dalamnya seperti acara nyanyian, majlis yang bercampur lelaki dan perempuan, puji-pujian berlebihan ke atas Nabi dan sebagainya. Ini adalah hal yang diingkari.
 
Agama menyuruh kita mentaati al-Quran dan sunnah, dan Nabi memerintahkan kita menjauhi setiap perkara baharu dalam agama. Jadi jalan selamat adalah meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh generasi awal umat Islam dalam kalangan sahabat dan tabiin.
 
Rasulullah SAW bersabda:
"Jauhilah perkara-perkara baru (dalam urusan agama), kerana perkara baru adalah bidaah, dan setiap bidaah  adalah kesesatan." (Sahih, Abu Daud)
Ketahuilah bahawa orang yang jujur mencintai Nabi adalah orang yang berbangga dengan akidah dan syariat yang dibawa oleh Nabinya. Sama sekali tidak ada keinginan dalam hatinya untuk meniru-niru selain amalan yang telah diajar oleh kekasihnya. Mereka menolong agama yang dibawa Nabi, berusaha mengetahui Sunnah Nabi dan mengajarkannya kepada keluarga dan orang lain.
 
Orang yang mencintai Nabi mengamalkan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang daripada sekecil-kecilnya hingga kepada sebesar-besarnya. Mereka tidak memandang remeh pada satu sunnah pun. Mereka meneladani akhlak terpuji Baginda.
 
Mereka tidak bersikap ghuluw (berlebihan) terhadap Baginda, tidak mengangkatnya lebih tinggi dari kedudukan yang sepatutnya, iaitu sebagai  hamba dan utusan ALLAH.
 
 
 

* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014
No comments

Mencintai Rasulullah SAW

Mengingati Baginda SAW bukan dengan sekadar berselawat.
UMAT Islam di Malaysia secara khususnya boleh dikatakan sangat beruntung. Walaupun sedang diuji dengan banyaknya ancaman dari segi akidah, kekurangan sistem syariah dan kebejatan akhlak, namun masih disinari dengan nur Nabi Muhammad SAW.
 
Itulah nur kelahiran Baginda SAW yang sentiasa ditunggu dan disambut saban tahun setiap 17 Rabiulawal. Tidak dinafikan, masih ada lagi yang menyambutnya dengan sekadar sambutan.
 
Sekurang-kurangnya, masih lagi menjadi penyelamat bagi umat Islam di akhir zaman ini. Dengan harapan semakin tahun semakin ramai berpeluang mengingati dirinya adalah hamba ALLAH SWT yang beragama Islam maka sudah semestinya perlu mencintai Rasulullah SAW.
 
Hayatilah firman ALLAH yang bermaksud,
"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan kedatangan hari kiamat serta dia banyak menyebut ALLAH." (Surah al-Ahzab: 21)
 
Mengapa Nabi SAW diutuskan?
Pendakwah bebas dan juga penulis buku berbentuk islamik, Ustaz Amly Asenar menjelaskan, untuk meningkatkan penghayatan dan kefahaman dalam sambutan Maulidur Rasul maka perlu mengetahui mengapakah Rasulullah SAW diutuskan kepada kita?
 
Memang benar, kita mencintai dan memperlihatkan kecintaan tersebut namun nilai cinta itu akan hambar dan hanya omongan kosong tanpa mengetahui sebab Baginda SAW diutuskan.
 
"Rasulullah SAW diutuskan sebagai membawa perutusan daripada ALLAH. Apakah perutusan itu? ALLAH berfirman yang bermaksud:
"Dialah (ALLAH) yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jumuah: 2)
"Baginda SAW membawa utusan untuk menyampaikan ayat-ayat ALLAH kepada manusia. Apakah ayat-ayat itu? Syeikh Abdul Halim Mahmud seorang ulama besar Al-Azhar mengatakan, "Ayat-ayat ALLAH ialah segala ajaran-Nya, hukum-Nya dan taklif-Nya kepada semua manusia.
 
Sesungguhnya ALLAH tidak mahu meninggalkan manusia tanpa pertunjuk dalam urusan menguruskan kehidupan dengan tujuan membina satu masyarakat yang bertunjangkan akidah, akhlak dan syariat. Oleh sebab itu, ALLAH mengutuskan kepada penduduk bumi satu perlembagaan yang perlu diikuti".
 
"Lihatlah betapa besar tanggungjawab Baginda SAW! Maka tidak hairan apabila kita membaca riwayat hidupnya, pasti penuh dengan pengorbanan tanpa sedikit pun agenda mengaut keuntungan dunia dan menikmati kemewahan hidup," katanya kepada Halaqah.
 
Menurutnya, sewajarnya sambutan ini dimaknakan dengan tranformasi diri seperti yang dikehendaki oleh ALLAH dan Rasul-Nya. Cari dan galilah setiap sudut kehidupan Baginda SAW yang ada persamaan dengan diri kita nescaya akan ada panduan dan pertunjuk daripada Baginda SAW yang boleh dijadikan manfaat.
Positifnya Baginda SAW
Sebagai contoh, kehidupan Rasulullah SAW yang membesar tanpa kasih sayang daripada ayah dan ibunya. Begitu ramai anak-anak yatim di luar sana yang senasib dengan Baginda SAW. Malangnya, anak-anak yatim ini lebih senang menyalahkan takdir dan orang-orang yang berada di samping mereka. Mereka memberontak, menyalahkan, merosakkan diri.
 
Jika anak-anak ini membaca catatan hidup Baginda SAW maka sudah pasti hati mereka akan menjadi tenang. Betapa berharganya nilai diri seorang anak yatim walaupun tidak mendapatkan kasih sayang ibu bapa namun mereka mendapat kasih ALLAH dan Rasul sebagai ganti. Andainya mereka tahu!
 
"Rasulullah SAW membesar menjadi insan yang begitu pengasih kerana Baginda SAW tahu harga dan nilai kasih sayang itu. Sering mengusap kepala anak-anak yatim malah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang mengikut cara Baginda SAW. Peringatan yang berat diberikan kepada mereka yang suka makan harta anak yatim. Semua ini menggambarkan betapa lembutnya hati mereka yang mendapat kasih sayang ALLAH.
 
"Ketika kecil pula, Baginda SAW tidak menunjukkan sikap yang pasif atau kekurangan kerana tiada ayah dan ibu. Malah Baginda SAW lebih berdikari dan berterima kasih kepada semua ahli keluarga Baginda SAW seperti pakciknya Abu Talib yang sudi menjaga dan membesarkannya," katanya.
 
Ustaz Amly berkata lagi, bagi membahaskan kisah hidup Baginda SAW dalam konteks anak yatim sahaja mampu memberikan pelbagai pengajaran dan petunjuk. Oleh itu, bagi memaknakan sambutan dan selawat maka kenalilah diri dan carilah pertunjuk daripada kehidupan Baginda SAW.
 
Adakah anda seorang pemimpin? Pendidik? Pekerja? Suami? Isteri? Ibu? Ayah? Apa jua posisi anda maka anda berkewajipan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan.
 
Kenali Baginda SAW
Generasi hari ini perlu didekatkan dengan Rasulullah SAW dengan cara yang lebih menarik lagi. Bentuk penceritaan dan pembacaan mesti dibantu dengan kecanggihan teknologi yang ada. Dunia filem, kartun dan rancangan televisyen perlu bergerak sepenuhnya ke arah ini.
 
Dengan inilah anak-anak cucu mampu mengenali sedalamnya siapakah dia Nabi akhir zaman. Alangkah indahnya jika watak upin dan ipin yang begitu diminati kanak-kanak diselitkan sepenuhnya ajaran dan akhlak Rasulullah SAW daripada dimasukkan elemen Melayu sahaja.
 
Selain itu, membuka ruang yang luas kepada kanak-kanak dan remaja untuk menterjemahkan keperibadian Baginda SAW dalam apa jua bentuk daripada penumpuan diberikan kepada acara tarian dan nyanyian semata-mata. Apa yang disebutkan hanyalah pengamatan peribadi dan saya berkeyakinan apabila peluang diberikan maka ramai akan tampil memberikan idea dan tenaga.
 
Kemanisan sambutan dan selawat akan lebih dirasai dan bermakna apabila keperibadian Rasulullah SAW berada dalam diri setiap orang Islam. Bermula dengan pemimpin yang takutkan ALLAH dan seterusnya rakyat yang bekerja dengan jati diri seorang Muslim. Buktikan sambutan bukan sekadar berselawat!
 
 

* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014
No comments

Sunday 19 January 2014

Menzahirkan cinta kepada Nabi

Tanda cinta seorang manusia kepada diri Rasul adalah dengan menegakkan sunnahnya.
CINTA, sebuah kata yang mengasyikkan dan menggiurkan. Tidak dapat diungkap dengan sebuah kata, hanya yang pernah menikmati cinta tahu bagaimana indah dan pesona cinta itu.
 
Sungguh cinta  banyak mengubah watak manusia. Hinggakan pedang dihayun oleh Ibnu Muljam – seorang tokoh al-Quran - bagi membunuh Khalifah Ali sebagai syarat menikahi wanita yang dicintainya. Begitu juga Imran bin Khattan, seorang perekod hadis - mengikuti pemahaman isterinya yang merupakan seorang Khawarij.
 
Mereka antara tokoh yang tergelincir dalam jurang kesesatan ketika mencari lembah yang subur dengan benih-benih cinta kepada Nabi. Pada sangkaan mereka, kehidupan beragama yang mereka tempuh merupakan jalan meraih cinta Rasulullah SAW. Namun sayangnya, mereka telah menyelisihi ajaran Nabi.
 
Cinta yang didamba namun murka yang kunjung tiba. Pada hemat mereka, bentuk amalan yang akan merangkul cinta daripada Nabi boleh diilhamkan melalui akal fikiran, sangka-sangkaan, mimpi dan igauan: jika sebuah amal itu dirasakan indah dan molek, nampak padanya kebaikan dan ada unsur Islam, maka wajarlah amalan tersebut dilaksanakan.
 
Lalu lahirlah pelbagai ragam amalan yang dituju khusus buat Nabi SAW. Tetapi cinta itu bukanlah sebuah perasaan sehala. Cinta harus dibalas oleh yang dicintai agar sang pencinta berasa 'asyik'.
 
Persembahan tersebut perlu memenuhi kehendak orang yang dicintai, kerana sering berlaku dalam kehidupan manusia tentang pinangan ditolak, pemberian dipulangkan, serta kasih tidak diterima. Cinta tidak berbalas, ibarat bertepuk sebelah tangan.
 
Pepatah Arab menyebutkan: "Tidak menghairankan perkataan mereka mencintai-Nya, namun yang dihairankan perkataan Dia mencintai mereka". Begitulah betapa banyak manusia yang telah mengatakan cintanya kepada Rasulullah SAW, namun Rasulullah tidak menerima cinta yang mereka hulurkan kerana cinta yang mereka persembahkan tidak menepati kehendak Nabi.
Cinta yang berbalas
Sebenarnya jalan untuk melahirkan rasa cinta dan meraih cinta daripada Rasulullah SAW telah dibentangkan oleh Baginda; hingga tidak ada jejak ke syurga melainkan telah dinyatakan dan tidak ada denai ke neraka melainkan telah diperingatkan.
 
Jelas Rasulullah SAW; tanda cinta seorang manusia kepada dirinya adalah dengan menegakkan sunnahnya, bukan dengan berdansa, bukan juga dengan berarak, bukan juga dengan nyanyian dan bukan dengan temasya keramaian. Semua ini tidak pernah dilakukan oleh sahabat Baginda SAW.
 
Kata Nabi kepada Anas bin Malik:
"Dan barang siapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mencintaiku. Dan barang siapa yang telah mencintaiku, maka aku bersamanya di syurga" (Riwayat Tirmidzi).
Lihatlah apa yang dibicarakan Anas, seorang kanak-kanak yang tumbuh membesar di rumah Nabi, di mana cintanya kepada Baginda tidak dapat dimungkiri lagi. Anas berkata:
"Sungguh aku mencintai ALLAH, Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar. Lalu aku berharap mampu bersama mereka walaupun aku belum beramal dengan amalan mereka" (Riwayat Bukhari)
Inilah pemahaman yang diajarkan oleh Rasul kepada muridnya sehinggakan Anas mengerti tanda cinta kepada Rasul adalah dengan melaksanakan ibadah dengan meniru cara amalan Baginda.
 
Perkara ini diperjelaskan lagi oleh Qadi 'Iyadh: "Di antara bentuk kecintaan kepada Baginda adalah dengan menolong sunnahnya, membela syariatnya, berangan-angan untuk berjumpa Baginda semasa hidupnya, dan kemudian dia mengorbankan harta dan jiwanya demi membela Baginda " (Syarh Shahih Muslim)
 
Sahabat menzahirkan cinta
Apa yang dikatakan oleh Qadi 'Iyadh itu dijelmakan oleh para sahabat. Mereka mengikut setiap perintah yang diberikan dan menjauhi setiap larangan diingatkan. Mereka beribadah dengan apa Nabi contohkan, kerana pada hati mereka sesungguhnya pada diri Nabi itu telah ada suri tauladan.
 
Juga mereka beraqidah dengan segala yang diimani oleh Rasulullah SAW, kerana mereka tahu Nabi menerima wahyu dari langit yang ke tujuh. Bukan setakat itu, mereka buktikan kecintaan tersebut dengan air mata dan darah.
 
Dalam sebuah peperangan yang meragut nyawa Abu Jahal, seorang anak belia yang berumur 14 tahun bernama Muaz bin Amr al-Jamuh telah ditebas tangan kirinya sehingga hampir putus. Dia berlari menuju ke arah Rasulullah dengan dua tujuan; pertama adalah untuk mengkhabarkan di mana tempat Abu Jahal berada dan kedua adalah untuk memeluk Rasulullah buat kali terakhir.
 
Ada kisah yang menyayat hati tetapi menggambarkan teguhnya iman dan kecintaannya kepada Nabi. Sedang dia berlari, sejenak dia berhenti lalu dia bermonolog: "Wahai tangan, kamu mengganggu perjalananku untuk menemui Rasulullah". Pedang ditangan kanannya, dia ambil lalu memotong tangan kirinya yang terbuai-buai hingga gugur ke bumi.
 
Begitu pula dengan Ibnu Umar, dia pasti akan mengejar ular jika terserempak kerana ingin melaksanakan hadis Nabi mengenai anjuran membunuh haiwan tersebut. Sementara Uthman Al Affan ditertawakan kaum Musyrikin kerana berjubah senteng lalu beliau membalas dengan berkata: "Beginilah sahabat kami berpakaian".
 
Agungnya cinta seorang sahabat mengatasi seluruh cinta manusia hari ini. Mereka cinta untuk lakukan apa yang Nabi laksanakan. Dalam hati mereka telah berasa cukup sempurna segala bentuk amalan yang Nabi tunjukkan.
 
Juga mereka beriman bahawa melaksanakan apa yang dipraktikkan oleh Nabi dalam bentuk yang asli, merupakan makna kepada 'menegakkan sunnah Nabi' atau 'berpegang teguh kepada sunnah'.
 
Makna pejuang sunnah
Tidak layak untuk menamakan seseorang sebagai 'Pejuang Sunnah Nabi' jika amalannya bukan mengikut bentuk asli daripada Rasulullah SAW. Hanya orang yang menjalankan seluruh amalnya mengikut bentuk Nabi ajarkan baru layak dinobat sebagai 'berpegang teguh kepada Sunnah'.
 
Tetapi pada zaman ini manusia menyangka seruan untuk beribadah persis sama dengan bentuk ibadah Nabi sebagai anasir jahat, ejen Yahudi, kelompok sesat dan pemecah belah umat.
 
Fenomena ini tidak menghairankan kerana Rasulullah SAW telah mengkhabarkan awal-awal lagi kepada para pejuang Sunnah:
"Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari kesabaran, bagi orang yang berpegang teguh dengan sunnah pada saat itu seperti menggenggam bara api. Pada saat itu akan mendapatkan pahala 50 orang yang beramal seperti kalian." (Riwayat Tirmizi)
Lihatlah Rasulullah SAW telah nyatakan, pada akhir zaman nanti akan terjadi keadaan di mana amal sunnah menjadi pelik di mata masyarakat kerana tidak diamalkan sehingga usaha mempraktikkan sunnah terasa sangat berat dan menyiksakan, sekali gus orang yang melaksanakan sunnah akan ditentang.
 
Namun sebagai galang gantinya ALLAH akan memberi pahala 50 orang sahabat kepadanya. Sungguh inilah zamannya. Segugus soal: mengapa kita menganggap seruan untuk menegakkan sunnah Nabi sebagai ajaran yang menyeleweng?
 
Walhal hadis di atas jelas menunjukkan keutamaan menggenggam sunnah pada zaman ini. Kemudian mengapa kita enggan untuk beramal dengan bentuk ibadah yang Nabi laksanakan? Apakah kita menganggap ibadah yang Nabi ajarkan tidak sesuai atau kurang sempurna? Sehingga meruntun kita ubahsuai amalan tersebut, sambil kita berteriak "inilah  ahlul sunnah". Terakhir, bagaimana disebut sunni walhal kita tidak pernah beramal dengan sunnah?
 
Istilah ahl al-sunnah digunakan oleh Ibnu Abbas ketika mentafsir ayat 106 surah Ali 'Imran. Terdiri dari dua kata iaitu ahli dan al-sunnah. Kata ahli merujuk kepada orang yang menjadi sebahagian daripada sesuatu kelompok atau bidang, atau seseorang yang memiliki ilmu atau mahir dalam sesebuah disiplin.
 
Justeru ahlul sunnah adalah seseorang yang mengetahui tentang jalan Nabi dan sahabat, lalu mengamalkannya serta berpegang teguh dengan jalan tersebut sehingga dia dianggap bergabung dengan sunnah.
 
Jelas upaya untuk mencintai Nabi adalah dengan mengikuti sunnah Baginda dan meniti pada mazhab ahlul sunnah, iaitu satu-satunya jalan yang selamat. Ibnu Umar berkata:
"Manusia akan senantiasa berada di atas jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi." (Riwayat al-Baihaqi)
Ingatlah golongan sahabat lebih mencintai Nabi daripada kita dan telah mengikut jejak Nabi secara sempurna. Ikutilah cara para sahabat menzahirkan rasa cinta kepada Baginda. Mereka tertawa, menangis, bersentuhan dan bernafas secara bersama hingga mereka tahu erti cinta.
 
 

* Oleh Wartawan Sinar Harian, 17 Januari 2014
No comments